Monday, July 8, 2013

Sambungan Novel KUINGIN CINTAMU bermula BAB 9. Untuk BAB 1-8, sila refer post sebelum ini.







Novel KUINGIN CINTAMU
BAB 9

Imbas kembali bersama Dr. Damyral.
Lokasi Jambatan Sri Gemilang.


Babak-babak dia menoktahkan hubungan cinta dengan Dr.. Damyral kembali mengopak pintu ingatan. Mereka memilih lokasi pertemuan di Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya. Jambatan yang rekabentuknya seakan-akan sebuah jambatan yang terdapat di Paris. Sebenarnya rumah Dr. Damyral tidak berapa  jauh dari lokasi itu.
Bunyi hentakan sepatu kian lama kian hampir.  .Humaira yang sudah lama gugup, cemas berpaling menanti lelaki yang sedang mara ke arahnya itu. Getar di hatinya hanya TUHAN saja yang tahu. Dari jauh, senyum sudah terukir di bibir lelaki tampan itu. Humaira serba salah. Sekejap-sekejap diketap bibirnya. Hembusan nafasnya sudah tidak sekata.
“Tak menyempat-nyempat nak berjumpa. Saya sepatutnya on call ni. Mujur Dr.. Hillman Aman mahu menggantikan.” Itu kata-kata pertama yang terluah dari bibir Dr.. Damyral setelah berjurus lamanya mereka hanya bertentang mata dalam diam. Dia belum tahu tujuan Humaira mengajaknya berjumpa.
Kasihan!
Berat hati Humaira hendak melontarkan apa yang terpendam di hatinya. Berjurus lamanya dia hanya terkebil-kebil. Teragak-agak hendak menyampaikan. Bagaimanakah reaksi Dr.. Damyral menerima keputusannya itu nanti? Dia semakin berdebar-debar.
“Kenapa membisu ni, sayang?” Dr.. Damyral mula terasa kelainan itu. Wajah Humaira amat serius. Bagaikan memendam sesuatu yang amat berat.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil saya sayang. Seriaulah... Tegak bulu roma saya mendengarnya,” pinta Humaira yang berasa canggung dengan keadaan itu.
Dr.. Damyral tergelak. “Awak lupa ke yang awak juga suka panggil saya begitu?” Dia mengingatkan.
Terkemap sesaat Humaira dibuatnya. Cakap-cakap Dr.. Damyral itu memang betul. Argh... payah!
“Beritau sajalah. Awak ada masalah ke? Come on Aira, luahkan!” ungkap Dr.. Damyral yang menyangka Humaira mungkin perlukan stimulan ataupun motivasi untuk berhadapan dengan masalah yang sukar. Meskipun dia sebenarnya sudah mula tercium sesuatu yang kurang enak akan berlaku. Sixth sense yang dimiliki seorang perawat profesional.
Humaira cuba fokus. Sepasang mata beralis lentik itu ditenungnya tepat-tepat. Sambil menarik nafas sedalam-dalamnya, dia melepaskan apa yang sejak tadi dikemam lidahnya kerana tidak tergamak.
“Damyral... awak ni sporting tak?” tanya Humaira yang sudah terus  dicengkam rasa bersalah.
“Selalunya begitulah. Tapi kenapa?” soalnya terasa kelainan suasana.
“Begini. Entah kenapa, saya baru sedar yang saya hanya sukakan awak. Tapi, untuk menyatakan yang perasaan itu  adalah cinta, ia agak  ironi. Awak rasa,, kita ni terburu-buru sangat tak?”
Humaira agak panik menanti reaksi pakar kesihatan di depannya itu. Namun dia lega kini  kerana sudah berjaya melepasi fasa tersebut. Meskipun bergemuruh dadanya.
Dr.. Damyral hilang kata-kata. Terasa seolah-olah jambatan itu mulai runtuh lalu  perlahan-lahan menghempap sekujur tubuhnya. Nafasnya bagaikan menyumbat dan terkumpul di rengkung. Senyuman yang menghiasi bibirnya tadi hilang terus. Namun dia gagah mengawal amukan perasaannya. Suaranya digumam. Gagal terluah. Tidak disangka khabar ngeri itu yang hendak disampaikan Humaira!
“Kita sepatutnya berkawan saja. Terserah kalau akhirnya berkesudahan dengan cinta ataupun tidak. Takdir tak terlawan kan? Tapi...” Humaira dengan segala susah payah  mengangkat dagu memandang Dr.. Damyral.
“Tapi... setakat ini, apa yang saya rasa bukanlah cinta. Mungkin saya gembira berkawan dengan awak. Ya…itu saja. Saya yakin sekarang, apa yang saya rasakan itu bukannya cinta.” Humaira menarik nafas lega usai saja meluahkan segala  isi hatinya.
Dr.. Damyral terus kaku. Paras lela di depannya itu ditenungnya semacam. Hati di dalam argh... alangkah hibanya!
 Dia memerhatikan bibir yang bergerak-gerak meluncurkan ratusan perkataan berbisa yang tidak lagi mampu ditampung deria dengarnya itu.
Bukankah di Beijing dulu dia pernah bertanya samada Humaira benar-benar sukakannya atau sekadar bersimpati? Dia mahukan satu kepastian. Kerana bila bercinta dia tidak olok-olok! Dia bertanya kerana mahu mengelak dirempuh tragedi yang mampu meragut bahagia seperti apa yang menimpa dia sekarang ini. Ketika di Beijing dulu, Humaira tika itu dengan lantang mengakui tentang perasaannya tanpa sebarang rasa sangsi.
Kata-kata bersumpah Humaira dulu kembali tengiang-ngiang. “Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi. Bahawa saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan tu. Ditakdirkan suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi. Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Gadis itu dengan beraninya bersumpah yang dia memang menyukainya.
Kenapa harus menukar prinsip semudah itu? Sekarang siapa yang meninggalkan siapa? Akhirnya sambil memaksa dirinya bertenang, Dr.. Damyral membalas ungkapan Humaira dengan sebuah senyuman pura-pura. Berombak dadanya bergelut dengan nafas yang menyesak dan mengempang.
“Saya juga pernah terfikir ke situ. Tetapi serba salah hendak mengakui kebenaran itu. Nampaknya perkara sudah jadi mudah sekarang. Betul tak?” balasnya tanpa membuang senyum. Dapat didengar suaranya bergumam sebak. Telinga Humaira saja yang tumpul untuk mengesan semua itu.
Mendengar itu Humaira tergelak-gelak kecil.
Relif!
Kalaulah Humaira benar-benar menatap anak mata lelaki itu. Atau merenungnya dalam-dalam. Akan nampaklah betapa di situ terpahat berjuta kesedihan. Cuma dia lelaki. Lalu dia mengawal kukuh benteng air matanya.  
Dia benar-benar cintakan Humaira.
“Jadi, no hard feeling ya. Kita berpisah secara baik?”
Dr.. Damyral mengangguk.Masih belum lekang senyum yang dipaksakan di bibirnya. Meskipun kalbunya bagaikan disiat-siat.
“Ya... kita berpisah secara baik. Kerana awak yang mahukannya begitu.” Dia mengiaskan perasaan halusnya.
Sungguh ia bahasa tersirat yang gagal ditangkap Humaira. Ditatap oleh Dr Damyral  puas-puas  akan wajah indah yang sudah lama bersemi di halaman cintanya itu. “Aira...”
Humaira yang baru hendak melangkah menuju ke tempat parkir tertegun. Pantas dia berpaling menghadap Dr.. Damyral yang tegak menanti.
“Jangan pernah menyesal dengan perpisahan ini. Mungkin ini yang terbaik. Jalanilah hidup seperti biasa. Saya tak apa-apa. Hidup ini umpama roda pedati. Oleh itu sentiasalah bersedia. Ingat tu!”
Humaira berasa aneh dengan pesanan terakhir lelakinya itu. Namun, dia tetap mengangguk sebagai ganti ucapan terima kasih.
Ditatap lagi oleh Dr.. Damyral sepuas-puasnya akan wajah yang bakal meninggalkannya itu. Apabila yakin Humaira tidak akan menoleh lagi, dia membiarkan air matanya gugur beberapa titis.
Humaira meninggalkan tempat pertemuan itu dengan perasaan yang cukup lega. Tapi tahukah dia apa yang sudah dilakukannya pada lelaki yang benar-benar ikhlas mencintainya itu? Kasihan Dr.. Damyral... Kakinya seolah-olah tidak berjejak lagi pada lantai jambatan.
“Aku benar-benar mencintaimu...” lafaz Dr.. Damyral amat sedih.
Sambil pandangan sayunya merenung Toyota Caldina hitam yang sudah mula bergerak meninggalkannya untuk ghaib buat selama-lamanya itu.
“Seperti dia yang telah pergi, aku juga harus pergi dari sini. Aku akan pergi jauh. Jauh sekali. Kau takkan jumpa aku lagi Aira. Tak sanggup aku terserempak denganmu sekali lagi. Hatta untuk melihat tempat di mana pernah ada bekas tapak kakimu,” raung batinnya yang tersangat hiba. Hatinya sungguh luka. Amat luka.
Humaira takut untuk terikat lama pada satu-satu hubungan. Dirinya yang tidak suka dikongkong, akan terlonta-lonta mencari eskapisme. Dia takut berkahwin. Tambahan pula bila sang kekasih mula memantak isu hantaran dan perkahwinan ke telinganya.
Aku takut diserang  trauma... bisiknya.
 Bagaimana kalau lelaki itu juga sama saja seperti ayah? Hanya sayangkan anak isteri pertama? Manakala anak-anak dengan isteri kedua pula ditiri-tirikan.  Ah tak sanggup aku!  Dia menghempas nafas.
Memikirkan risiko dijebak oleh lelaki seperti ayahnyalah, maka dia mencari cara terbaik untuk segera mengucapkan salam perpisahan. Lagipun, bukunya sudah hampir hendak terbit. Apa lagi?
      ‘Mission accomplished!’ 




BAB 10 [SEPULOH]

  


HUMAIRA kelam-kabut menolak daun pintu yang tidak berkunci. Oleh kerana dia tidak nampak Huwaida di mana-mana, dia terus berkurung di biliknya. Sambil berbaring menentang petak siling, dia melepaskan nafasnya yang mengah, seraya menghamburkan keriangan yang tidak terbendung lagi di dada.

“Oh Gosh... aku temui dia semula. Aku dah jumpa dia. Aku jumpa Damyral!” luahnya yakin yang Huwaida tidak mungkin akan terdengar.

Reda sedikit gejolak batin yang panasaran.
Huwaida pasti mengejek-ejeknya jika sedar akan perubahan pada karakternya itu. Itu yang dia mahu elakkan. Sepanjang mereka membesar bersama, Humaira ialah ‘Miss Aloof’ di mata Huwaida. Itu jika diukur mengikut konteks hubungan dia dengan mana-mana lelaki.
Kini matanya terkebil-kebil menatap petak siling,sambil membayangkan wajah yang baru saja dilihatnya tadi!
“Macam mana dia boleh berada di satu lokasi dengan aku.di sini? Pelik!” luahnya agak kuat. Bibirnya dikacip sambil dia memutar otaknya. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang dia akan berjumpa lelaki itu sekali lagi. Tetapi kenapa di sini? Di daerah seterpencil ini?
Aneh sekali memikirkan kemunculan Dr.. Damyral tadi.Bukankah lelaki itu menetap di Putrajaya? Berkhidmat di Hospital Putrajaya?
“Ya TUHAN! Macam mana ex aku boleh ada di sini? Boleh ke aku percaya semua ni?” Kembali nafasnya turun naik bila memikirkan pertembungan tadi.
 Kaget benar dia sewaktu ternampak Dr.. Damyral ketika singgah dipekan, selesai berjogingnya tadi. Tetapi kenapa di ceruk ini? Itu yang mengagetkannya. Dia bersembunyi di daerah itu kerana hendak lari daripada masalahnya. Masalah yang tidak lain daripada Azril. Bekas teman lelakinya yang ketujuh. Yang baru saja ditinggalkannya!Tapi boleh pula dia terserempak dengan yang pertama.
“Nak lari daripada ex ke tujuh, jumpa yang sulung...” Senyumannya agak ‘teruja.’
Perasaan enak berketundak lagi di hatinya sebaik-baik terbayangkan kembali wajah lelaki itu tadi.
Fuh! Tak tentu arah aku berdebar-debar. Macam si Laila bersua Majnun. Eh... memang dah gila talaq ke aku ni? Berkerut mukanya bila membayangkan semula insiden dia ternampak Dr.. Damyral tadi.

HUMAIRA sedang menyusuri kaki lima rumah kedai di pekan kecil itu. Tiba-tiba pandangannya menyambar kelibat seorang lelaki yang sedang memimpin tangan seorang wanita tua menuju ke sebuah teksi yang sedang menunggunya.
Gentleman betul. Smart pula.” Matanya memicing nakal.
Tiba-tiba sesuatu menyentapnya. Dia terlopong. Sesosok tubuh itu seperti pernah dilihatnya. Tapi di mana?Namun intuisinya kuat mengatakan dia pernah mengenali lelaki itu. Tanpa sedar dia terus menghayun kaki  untuk lebih dekat.
 Oh TUHAN! Memang dia pernah melihat lelaki itu. Apatah lagi dengan pakaian yang membalut tubuhnya ketika itu! Kemeja merah samar dan seluar rona beige! Lantas beria-ia diperhatikannya dengan mata membulat.Memang sah dia. Dr.. Damyral yang pernah ditinggalkannya dulu! Dia beristighfar sambil mengurut-urut dada kerana terkejut. Tidak tentu arah paluan jantungnya dapat melihat lelaki   itu.
Lama langkahnya tertegun. Dia seperti dipukau melihat kemeja merah samar yang sama pernah dipadankan Dr.. Damyral di dalam fleece jacketnya ketika pertama kali lelaki itu menegurnya di Tembok Besar Badaling dulu. Cuma kali ini, dia tanpa jaket tersebut. Namun seluar rona beige itu adalah seluar yang sama! Argh mudah saja mengecamnya. Humaira terus bungkam. Dalam berkhayal mengingatkan pertemuan pertama itu, lelaki itu pun ghaib dari pandangan.
Dengan laju dia memacu langkahnya ke tempat teksi tadi. Dia ingin melihat lelaki itu lagi. Datang rasa hampa.Dalam keadaan goyah putus asa itu, dia melilaukan matanya. Bagaikan tercabut keluar jantungnya bila sepasang matanya menyasar pada sesuatu yang amat mengejutkannya. Tepat di depannya, pada cermin ‘tinted’ sebuah premis perniagaan, tertera perkataan Klinik Ryan & Damyral. Ditenungnya perkataan tersebut dengan mulut ternganga. Bola matanya seakan tersembul..
Damyral buka praktisnya di tempat ceruk macam ni...? Boleh buat duit ke? Tapi kelihatannya dia berkongsi dengan seseorang... bisiknya tertarik yang teramat.
Dia maju beberapa langkah lagi dan masuk ke dalam. Matanya mengintai takut-takut ke dalam sebuah bilik yang pintunya terdedah. Berdebar dadanya tatkala ternampak lelaki itu sedang berinteraksi dengan salah seorang pesakitnya. Pakaian yang mendatangkan nostalgia itu! Tiba-tiba sekujur tubuhnya terasa dingin. Terasa seolah-olah dia kini berada di tempat pertemuan mereka dulu. Alangkah indahnya waktu itu, dan baru kini keindahan itu dirasakannya.
Kini wajah itu berada di depan matanya... Aduhai!
Humaira menggigit bibirnya lalu segera beredar meninggalkan tempat itu sebaik sahaja seorang gadis berseragam jururawat bertanyakan urusannya.
Kenapa dengan aku ni? Dia menghela nafas panjang. Tolonglah... aku tak pernah macam ni! Rintihnya mendongak ke langit biru di luar klinik tersebut.
Pelik juga memikirkan lelaki sekacak Dr.. Damyral sanggup meninggalkan Hospital Putrajaya yang serba moden dan canggih  itu. Kemudian membuka praktis di tempat yang jauh daripada keseronokan seperti daerah itu.Paradoks. Nafas yang dihela turut menghantar rasa resah ke seluruh pelusuk jiwa. Lagi dia menyeranahi dirinya. Memang dia sudah penasaran. Humaira tergila-gilakan lelaki? Tunggu kiamat!
Argh... kenapa tiba-tiba mesti ada rasa kosong itu? Bahkan di saat itu, ada keterujaan di hatinya kerana diberikan peluang melihat lelaki itu sekali lagi setelah sekian lama. Dia seperti terinang-inang dalam diam. Alangkah inginnya dia masuk tadi serta menyapa lelaki itu dengan bertanya khabar.Ya... apa khabar dia? Apa khabar Dr.. Damyral?
Kenapa dengan aku? Ini bukan rindu... Bukan rindu! protesnya lalu mengangkat lututnya dalam keadaan berbaring.
Wajah Damyral menerpa dan terus menerpa lagi.Dia bangkit lalu berlari setempat depan almari solek.Mengharapkan dapat menghapuskan wajah Dr. Damyral dari ruang ingatannya.Dia melajukan lagi lariannya bila terapi itu langsung tidak berkesan. Dengan harapan ingatan itu akan terusir bila dia sudah termengah-mengah nanti.
“Astaghfirullah.Gebang betul!”
“Tak puas berjoging ke? Sampai dalam bilik pun sambung lagi? Kemaruk sangat ke nak slim? Shape kau tu aku tengok okey. Jadi, apa masalahnya sekarang?” Huwaida tercegat di ambang pintu memerhatikan aksi Humaira yang melucukannya.
Humaira memberhentikan larian setempatnya. Dia segera berpaling pada Huwaida. “Aku ni dah dimakan sumpah, tau tak? Aku dah tergila-gilakan lelaki yang aku ‘ceraikan’ dulu!” katanya berseloroh dalam nafas termengah-mengah.
“Cakap itu hati-hati sikit. Mana ada perempuan ceraikan suami?”
“Serius Aida.Aku ni macam terkena sumpahan yang aku buat sendiri!” tegas Humaira lagi.
“Sumpah apa pulak? Jomlah makan. Aku dah hidangkan sarapan penuh satu meja tu. Biar joging kau tu tak berkesan.” Dia melawak lalu berpaling dan meninggalkan Humaira yang kemudian mengekorinya hingga ke meja makan.
“Banyaknya!” Humaira terkejut memerhatikan mihun kari, kueteau goreng, nasi lemak dan kuih-muih yang tersaji di depannya. Huwaida menyengih.
“Semalam kau memekak sampai bingit telinga aku ni. Konon dah jemu makan cekodok ‘first class’ aku tu. Sekarang makanlah puas-puas.” Huwaida mengekeh.
Sambil itu, matanya merakam tubuh Humaira yang masih terserlah ramping dan cantik meskipun dibalut oleh sweater dan seluar trackbottom. Humaira pula sedang membelek-belek aneka sarapan yang terhidang.
“Duduklah Aira. Hormat rezeki ni. Jauh tau berjalan kaki ke gerai Mak Cik Suria tu. Nak pula kalau aku beli makanan ini dengan duit royalti kau tu...” Huwaida mengekeh sekali lagi. Humaira tersengih. Huwaida memang selamba.
Melihat Humaira masih berdiri, Huwaida menariknya dan menghempuknya kuat ke kerusi menyebabkan Humaira terjerit sakit.
“Tulang kau ni memang tulang jantanlah, Aida. Sakitlah kau tahu tak?” rungut Humaira bangkit semula sambil mengusap-usap punggungnya yang sengal akibat terhenyak kuat tadi.
Setelah duduk semula, dia menarik piring kueteau ke dadanya. Sambil mengerling geram pada Huwaida yang tersengih-sengih menganggap lucu perlakuannya itu.
Ex kau yang mana satu?” Huwaida ingin tahu.
“Cinta pertama aku. Dia satu-satunya lelaki yang melekap di hati ni. Baru aku sedar yang aku memang cintakan dia.”
Huwaida mengangkat kening.
“Oh... yang kau sebut-sebut semalam eh? Balasan dosalah tu.” Dia  mengejek sambil menempelak dalam nada lembut.
Humaira mendengus sambil mencakar-cakar kueteaunya.
Tau pulak marah... bisik Huwaida.
“Aira.” Huwaida memulakan kembali. Mukanya diseriuskan.
Suasana senyap seketika. Sambil bermain-main dengan garfunya, Humaira melayangkan ingatan pada pertembungannya dengan Dr.. Damyral tadi. Manakala Huwaida pula berpuli-puli merangka cara berkesan untuk mengubah gelagat gila-gila Humaira sejak bergelar novelis.
Mengalahkan Raja Syahriar... Huwaida berbisik sendiri.
Kalau Maharaja Syahriar menukar permaisuri baharu setiap kali menyambut siang, dia pula menukar teman lelaki setiap kali menyambut manuskrip terbaharunya. Tergeleng Huwaida bila difikirkan lama-lama. Dia tahu, Humaira kurang senang jika dia mencampuri urusannya. Tapi dia perlu peduli.Dia sayangkan kembarnya itu.
“Aira... cuba kau dengar baik-baik.Kata orang,meruntuhkan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan Kaabah.” Humaira yang sedang menyuap kueteau ke mulutnya semerta mengangkat muka. Tertegun. Dia menjungkitkan bibirnya mengejek ungkapan kata-kata Huwaida tadi.
“Belum habis ke? Tadi kau suruh aku hormatkan rezeki.” Dia mengelak, enggan melayan.
Tiba-tiba matanya membundar.
“Wei... sapa cakap meruntuhkan Kaabah tu tak berdosa?”
Huwaida mendengus sambil menyepetkan matanya.
“La... bila pulak aku kata tak berdosa?Kau tak dengar keapa yang aku kata tadi?” geleng Huwaida. “Yang aku kata ialah, melukakan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan Kaabah.” Suaranya agak bergumam kerana sedang mengunyah nasi lemak.
Humaira membuat mulut melopong sesaat. Kemudian dia menyuap sesudu kueteau ke mulutnya dalam aksi mengejek.
“Kau tahu kenapa? Kerana Kaabah tu dibina oleh manusia, tapi hati itu dicipta ALLAH SWT. Merosakkan hati seseorang sama saja macam merosakkan ciptaan ALLAH.Aira, cuba lajakkan sikit fikiran kau yang tumpul tu. Bayangkan apa akan jadi kalau mangsa cinta sementara kau tu, sampai bunuh diri atau jadi gila kerana kecewa? Fikir sikit Aira!”
Humaira terdiam.Dia meletakkan sudunya lalu menarik secawan kopi panas rapat ke arahnya. Buat sesaat dia termangu sambil mengembala otaknya.
Sukar juga dia hendak mencari alasan untuk meninggalkan Dr.. Damyral dulu. Dia gagal mencari kesalahan lelaki itu. Tapi lebih mudah berurusan dengan Amirul Ansari dan Kamal Asfahan. Kesalahan mereka hanyalah kerana memaksanya membuat keputusan segera. Konon ibubapa mereka sudah tidak sabar hendak menerima menantu perempuan dalam keluarga mereka.Frasa‘belum bersedia berumah tangga’ dijadikan Humaira sebagai alasan!
Humaira mengangkat dagu dan mencerunkan matanya gaya orang tenat berfikir.
“Kau agak-agaklah Aida, Azril tu boleh sembuh tak?Aku tahu aku berdosa mempermainkan dia.Sebab tu,aku tak henti berdoa supaya dia dapat ganti seorang gadis yang lebih baik daripada aku.” Mendengar itu, keluar gerluhan dari mulut Huwaida.
“Betullah tu.Kau jahat jadi, tak layak untuk romeo tu!” cebiknya.
Humaira membalas dengan membuat memek muka yang sama. “Layan kopi panas kau ni lagi baik. “Dia menyimpul hujung bibir..
“Aira. Taubatlah. Cukuplah dah tujuh orang tu. Cukuplah kau permainkan perasaan orang.Aku takut ada yang berdendam. Tak sanggup aku tengok kau dalam bahaya. Lagipun, aku tengok kau dah mula terima balasan dosa kau tu. Bukan ke kau dah tergila-gilakan semula teman lelaki pertama kau tu. Kau kata dia tinggal di Putrajaya kan?”
Humaira terdiam. Selamba saja Huwaida menempelaknya pasal dosa.Apapun, dia sedar Huwaida ikhlas risaukan keselamatannya. Kerana itu juga Huwaida dulu, akan mengekori Humaira ke mana saja kecuali jika ke tempat kerja. Mending dia sudah berhenti jadi guru tadika sekarang ini, jadi ‘bodyguard’ sepenuh masa lah nampaknya!
“Aku takkan apa-apa. Aku tahu limit aku.”Humaira mempertahankan polisinya.
“Aku yakin, ditakdirkan kau bercinta lagi, semua akan jadi tunggang terbalik.Nasib tak baik, kau tu nanti yang akan terkejar-kejarkan semula mamat yang jadi mangsa kau. Tengoklah apa yang dah jadi pada kau sekarang. Terangau sana, terangau sini.Sekarang mana kau nak cari teman lelaki itu yang mengharu otak kau sekarang?” Humaira yang mendengar mengetap bibirnya sambil mengangkat keningnya.
 Mustahil dia akan beritahu Huwaida yang bekas teman lelakinya itu kini menetap di lokaliti yang sama dengan mereka.Lagipun Huwaida hanya kenal nama Rafiq, bukan Damyral.
“Jika betul apa yang aku teka ni, Kau tanggunglah sendiri akibatnya.Hukum karma beb.Hukum karma!” Keluar lagi sumpahan Huwaida dek kerana geram.
Humaira mengembangkan hidungnya yang mancung itu. Riak wajahnya sengaja dibuat-buat untuk menjengkelkan Huwaida.
“Kau ni memang tak berperasaan.Kosong!” Huwaida bangun lalu ke ruang tamu menyandar di sofa. Sambil menjeling pada Humaira yang terus tercatuk di meja makan.
[[[[[[[[[sambungan
sambungan dari BAB 10 + BAB 11



Penat memerhatikan Humaira, mata Huwaida merayap ke seluruh ruang rumah yang masih berselerak itu. Dia saja yang beria-ia berkemas. Kerja Humaira, hanyalah mengemas rak tempat dia menyimpan novel-novel dia dan rakan-rakan penulisnya saja. Yang lain terbiar menunggu ehsan Huwaida.Huwaidalah yang menyelenggara hampir kesemuanya.
Berkira betul kudratnya... siapalah yang nak buat bini perempuan dengan fi’il macam tu! dengus Huwaida yang masak sangat dengan sikap pemalas Humaira.
“Harapkan muka macam pelakon sinetron, tapi perangai mengalahkan kaki lepak!” laungnya pada si kembar.
Humaira hanya diam. Dihirup kopinya sambil tersengih.
Dalam mencemik dan mengkritik sikap Humaira itu, jauh di lubuk jiwa Huwaida, dia mengagumi paras wajah yang memang penuh pesona itu.Apa yang Humaira tak ada? Wang banyak. Peminat ramai. Aku saja yang tak ada kehidupan aku sendiri. Hanya berdiri belakang bayang-bayang dia, keluhnya agak terkilan.
Tapi aku tak boleh hidup jauh dari dia. Memang aku tak boleh, akuinya akan hakikat tersebut.
Humaira bangun meninggalkan meja makan. Dia bergerak ke jendela di sebelah komputernya. Terasa betapa nyaman angin yang mencuri-curi masuk.Dia menikmati fenomena sekecil itu dengan penuh syukur.
Lensa mata dihalakan ke luar. Menatang seluruh landskap di bahagian tersebut. Pandangannya kemudian tertancap pada bagan berpergola yang dibiarkan oleh penghuni terdahulu. Daun-daun yang berjuntaian dari cecelah liang pergola tampak keringdan layu. Dia bertekad hendak membuang saja pasu-pasu berbalut mikrame yang berjuntaian itu. Kalau boleh dia mahu menggantikannya dengan spesies Episcia yang digemari ibunya, Zainon. Puspa-puspanya yang kecil kemerahan akan menaikkan seri pergola yang kusam itu.
“Entah bila aku dapat buat semua tu. Tapi manalah aku ada masa.” Dia menyuarakan perlahan. Bibir di nipiskan.
 Memikirkan entah bilalah dia berkesempatan untuk merealisasikan hajatnya itu. Memikirkan sikapnya yang suka bertangguh itu, dia menyengih lucu.
“Terbaiklah ‘malas’ aku ni!” lawaknya dalam hati.
Berkerut muka Huwaida menganalisis aksi Humaira yang tersengih-sengih sendiri itu.
“Kerana dia aku terpaksa berhenti mengajar budak-budak di tadika tu. Sekarang aku dah jadi penganggur kehormat.” Dia melepaskan apa yang terbuku. Mencerlung pada Humaira dengan muka cemberutnya.
Teringat Huwaida akan insiden di satu petang yang menghantar mereka ke kotej sekarang.




BAB 11[SEBELAS]
  


'ANAK berdua ni ke kembar yang bernama Humaira dan Huwaida?” Lelaki baya itu mengisyaratkan ibu jarinya pada Humaira dan Huwaida yang diam kehairanan.
“Rupa kamu memang tak sama.” terangguk-angguk lagi dia dengan kilauan aneh di matanya. “Pelik juga kerana Syahirah dan Munirah tu kembar seiras.” Dia senyum sambil mengamat-amati wajah kedua-duanya. Tapi pandangannya agak lama hinggap di muka Humaira.
‘Siapa Syahirah? Siapa Munirah?” berdetak di hati Huwaida dan Humaira. Apa kena-mengena dengan mereka?
“Ayah kamu yang berikan alamat ni, jadi tak perlulah berprasangka yang bukan-bukan. Nama pakcik, Lutfi.”
Humaira dan Huwaida sebenarnya masih terpinga-pinga dengan kemunculan lelaki yang tidak dikenali itu. Cakap pula terus ke isu fokal, apa kes? Tiba-tiba ditawarkan pula rumah untuk mereka tinggal secara percuma!
Mereka kemudian diminta lelaki itu agar menemui sepasang suami isteri. Suami isteri itu dalam rangka berhijrah ke Australia kerana hendak tinggal bersama anak sulung mereka yang bermastautin di sana kononnya. Sepasang suami isteri yang sudah berumur. Sangat ramah orangnya.
Tertanya-tanya Humaira, siapa sebenarnya mereka berdua itu? Apa kaitannya dengan dia dan Huwaida? Kenapa dia dan Huwaida  diminta tinggal di rumah mereka? Aneh!
“Ini amanah. Permintaan daripada seseorang.” Itu yang dulang-ulang pada Humaira dan Huwaida yang tidak berhenti bertanya.
Tapi amanah siapa? Tanda tanya tersebut hingga ke saat itu masih berserabut di kepala menjadi teka-teki yang tinggal tidak berjawab. Memang luarbiasa tawaran tersebut. Tetapi oleh kerana terdesak hendak lari daripadaAzril, tanpa menimbang pro dan kontra, tawaran tinggal secara percuma itu mereka terus terima.
Humaira menoleh bila intuisinya menangkap Huwaida sedang memerhatikan gelagatnya.
“Simpan sajalah tazkirah kau tu. Tengah dok fikir plot manuskrip baru aku ni!” bohongi Humaira.   Kemudian kembali meninjau ke luar.
“Teringat yang mana satu?” Huwaida menyindir. Humaira yang tercuit dengan sindiran itu menjawab.
“Cuba kau bayangkan apa akan jadi kalau aku betul-betul kahwin dengan Azril. Parahkan? Malam-malam nak kena layan. Pagi petang kena siapkan makan minum dia. Habis, bila masa pula aku nak menulis? Hatta, seluruh hidup aku nanti, hanya untuk melayan karenah dia sorang!”
Dia melepaskan perasaannya meskipun tidak ditanya Huwaida. Sedang matanya terus melekap di pergola yang terbiar itu. Teringat dia pesanan aneh pasangan suami isteri itu.
“Jangan beritahu sesiapa alamat ataupun kedudukan rumah tu nanti. Walaupun pada emak awak sendiri!” Bukankah pelik dan misteri bunyinya?
“Lantaklah. Aku menyorok kat sinipun hanya untuk sementara saja.” Humaira menyedap-nyedapkan hatinya.
Sambil dalam hati dia bertekad untuk keluar dari situ sebaik-baik beroleh kediaman yang berkenan di hati Huwaida. Dia sendiri tidak kisah. Tidak cerewet seperti Huwaida yang sangat pembersih. Asal selesa dan kondusif untuk dia meneruskan kerja-kerja penulisannya, cukuplah!
 Tidak seorang pun di antara teman lelakinya yang mengetahui apa sebenarnya kerjaya Humaira selain bertugas sebagai setiausaha. Jika tidak, mudah saja hendak mencarinya di syarikat penerbitan yang menerbitkan novel-novelnya.


BAB 12 [DUA BELAS]


SIAPA yang tidak kenal dengan penulis bernama Ruhi Hasrat? Penulis yang sudah berjaya melahirkan enam buah novel yang meletup-letup di pasaran. Novelnya yang ke tujuh kini sedang dalam rangka memasuki pasaran. Para peminat karya-karyanya sudah tidak sabar menanti buah tangan terbarunya. Hebat sungguh penangan seorang novelis yang bernama Ruhi Hasrat itu!
“Sekarang aku tak tahu macam mana nak hidupkan babak percintaan dalam novel ni. Hero dan heroin macam kaku aje. Aku cuba ubah ke genre Islamik, tapi masih kaku. Kenalah aku  cari satu orang  ustaz ni. Ustaz Fadzil tu boleh tahan juga. Dia pun, macam sukakan aku...” Humaira berseloroh sengaja hendak menyakat Huwaida yang asyik mengerling padanya.
“Aku jerut leher kau dengan tali mikrame ni baru tahu.” Huwaida menjegil.
Humaira terkekeh-kekeh ketawa. “Kau kenal Ustaz Fadzil kan? Mamat Pordia yang dah lama masuk Islam dan dah bergelar ustaz tu?” Humaira mengekeh lagi.
“Pordia?”
“Campuran Portugis dan India.” Humaira mengikik terus.
Huwaida menggeleng. “Hoi Aira. Bertaubatlah buat kerja tak senonoh tu. Asal nak tulis novel baru saja, kau cari mangsa baru. Spesies Drakula ke apa kau ni? Merosakkan hati manusia ni berdosa besar.” Huwaida belum jemu menasihat.Entah yang ke berapa puluh kali pula.
Dia tidak pernah berputus asa. Meskipun pasti yang nasihatnya itu langsung tidak berkesan pada si pemburu cinta itu.Bagaikan memantaknya ke telinga kuali.
Tapi dia sayangkan Humaira. Dia tidak mahu kembarnya itu ditimpa musibah. Dia takut perbuatan Humaira itu didendami.
“Kau ingat aku ni macam Anis Ayuni? Ramlee Awang Mursyid?mMudah saja nak tulis novel. Mereka mungkin tak perlu dapatkan feel macam aku. Kau apa tahu? Menulis novel bukannya mudah. Aku mahu menulis sesuatu yang boleh meresap hingga ke hati pembaca. Kau fikir apa?”
Huwaida mencemik mendengar penjelasan Humaira.
 “Nak muntah aku!” ejeknya.
“Kau tahu Aida? Setiap kali aku dicintai seseorang, aku berasa sangat romantis, dan perasaan itu membantu aku menghidupkan jalan cerita aku. Biarpun lama-kelamaan aku berasa jemu. Tapi sempat juga aku siapkan manuskrip aku!”
“Astaghfirullah...” Huwaida beristighfar. Istighfar yang entah ke berapa ribu kali pula. Dia meletakkan ke meja sisi, tali-tali mikrame yang bersimpul yang ditanggalkannya dari pergola di laman kotej itu.
“Nak aku label kau ni sebagai gatal, tak juga. Tak pulak kau layan boyfriend kau tu macam perempuan kemaruk jantan. Tapi, kau ni bercinta macam petik bunga. Lepas petik, kau cium. Lepas cium, kau buang. Wei... tak baiklah Aira kau buat macam tu selalu. Tengok apa jadi pada Azril. Merana betul dia. Sampai kita terpaksa menyorok di sini. Kira balalah tu. Segeralah bertaubat!” Humaira selalunya diam jika terasa dirinya bersalah.
Azril tu fanatik! dengusnya.
“Okey Aira, aku ada cadangan untuk kau. Apa kata kau buat novel thriller. Berhenti buat romance genre. Tadi kau cakap pasal Ramlee, dia kan penulis novel thriller? Genre thriller ni tak perlu feeling tu semua. Guna fakta dan imaginasi saja.”
Mendengar itu Humaira memutar bola matanya ke atas. Dia merapatkan lagi tubuhnya ke tingkap. Keningnya berkerenyut sewaktu pandangannya sekali lagi diterpa kelibat wanita yang sering memunculkan dirinya di sekitar halaman kotej tersebut. Wanita itu kini sedang duduk berjuntai kaki di bagan berpergola tersebut. Bila masa pula munculnya?
Wanita itu memakai baju kurung Kedah dengan kain batik berwarna cokelat. Dia mengamat-amati wajah yang dijuruskan ke lain itu.
“Siapa? Macam tak betul.” Dia tertanya-tanya ingin tahu lantas segera menghampiri Huwaida di kerusi empuknya.
“Ada jiran kat bagan tepi sana. Pergilah jenguk. Mungkin dia datang nak bertanya khabar,” katanya lalu cepat-cepat menjatuhkan diri dan berbaring di sofa setentang. Aksi mengelak dari melakukan tugas yang disuruhnya Huwaida bereskan itu.
 Huwaida mendengus. Sambil membuat mimik muka dia bangkit dan menuju ke pintu. Sepuluh minit saja dia hilang,kemudian dia muncul semula menghadap Humaira.Dia mendekat lalu menepuk kuat punggung si kembar yang sedang meniarap di sofa itu. Humaira terjerit. Terasa perit, dia lantas  bangkit dan menentang muka Huwaida.
“Nombor satu, jiran yang kau kata tadi tu,memang tak nampak muka dia pun. Memang sah tak ada!
Nombor dua, meniarap macam tu, bagi peluang diperkosa syaitan ataupun jin kafir.” Mendengar itu Humaira menyengih lucu.
“Makcik tu dah pulang kut. Kenapa dia tak ketuk pintu depan? Kalau betul-nak tanya khabar?” dalih Humaira sambil benaknya membayangkan wajah wanita itu tadi.
Masing-masing saling terdiam. Meneka-neka jiran dari rumah yang mana satu.
“Semalam yang kau tegur kenapa aku cemas sangat tu, pasal tergamam ternampak dialah. Tiba-tiba saja tercegat depan tingkap dapur, menakutkan orang. Lepas tu ghaib.Terkejut gila aku!” Mendengar cerita Humaira itu, Huwaida berubah serius. Mukanya berkerut cemas. Terpapar riak ketakutan di wajahnya. Melihat ekspresi mukanya yang sudah  berubah itu, Humaira mula terkekeh lucu.
“Oi... bukan hantulah. Dia manusia macam kita juga. Jangan berteori yang bukan-bukan okey?”
Huwaida mengurut-ngurut dada. Dia memang penakut.
“Kotej yang kita diami ni okey.Tak perlu risau,” yakini Humaira lagi.
Huwaida mendadak berdiri. Tiba-tiba saja menarik lengan Humaira supaya mengikutnya. Lagi kuat Humaira cuba melepaskan pautannya itu, lagi kuat lengannya dijujut Huwaida.Akhirnya, Humaira mengalah dan membiarkan saja dirinya dituntun ke bilik belakang. Tubuh adik kembarnya itu lebih besar. Memang tidak mungkin dia mampu mengatasi kekuatannya.
Sampai di bilik yang terletak paling belakang, Huwaida memusing tombolnya lalu menolak daun pintunya dengan agak kuat. Bunyi berkeriut menandakan pintu itu jarang dibuka.Memang bilik itu sudah lama tidak digunakan.
“Habis perabot yang tak diguna disumbat ke dalam ni,” kritik Humaira sebaik-baik menerjah ke dalamnya.“Berhabuk!” tambahnya lagi.
“Kotej ni cantik. Tapi weird.Aku jumpa banyak bingkai gambar yang pecah. Tuan rumah dulu tak kisah nak buang agaknya.”
“Entahlah. Kalau kau tak selesa atau terjumpa makhluk pelik berkeliaran dalam rumah ni, nanti kita carilah rumah lain. Apa susah, duit aku banyak.” Humaira melawak sambil menghilai, membuatkan kening Huwaida berkerut semula.
“Jangan menghilai macam tu, naik tegak semacam bulu tengkuk aku. Tapi bila aku fikirkan, peliklah kenapa pasangan suami isteri tu beria-ia suruh kita tinggal di rumah dia ni. Tak pelik ke?” Humaira terdiam. Benaknya tenat menganalisis sesuatu.
Part tu aku setuju. Aku juga terfikir, buat apa dia bina pagar cantik dan mahal macam tu, kalau dia tak nak tinggal di sini lagi?”
Tapi dia cepat-cepat mengancip bibirnya bila terfikir yang ungkapan berbau negatif seperti itu, hanya akan melunturkan semangat Huwaida untuk terus tinggal di situ.
“Fikirlah Aira. Tiba-tiba saja ada orang tawarkan kita tinggal di rumahnya. Kalau rumah buruk atau rumah tinggal terbiar tu, tak adalah aku pelik sangat.Tapi rumah ni cantik.”
Humaira mengangguk.
“Yup.Setuju!”
Memang Humaira hairan sewaktu mula-mula sampai dulu. Namun ketika itu, dia enggan membuka mulut. Takut Huwaida berbolak-balik hendak tinggal di situ pula. Mana nak dicari rumah sewa dalam masa sesingkat itu? Sedangkan dia perlukan tempat yang cukup selamat untuk menyorok daripada Azril yang ketika itu sedang penasaran terhadapnya. Siapa tahu? Mungkin sekarang pun dia masih memburu Humaira di merata-rata tempat?
“Kau pulak desperate sangat nak lari. Jadi, aku pun setuju sajalah...” ujar Huwaida.
“Aira, mungkin kita ni sebenarnya sedang masuk perangkap yang lebih berbahaya dari amukan Azril.  Perangkap halus?”Huwaida mula berandaian.
“Jomlah ke ruang tamu.” Humaira cepat-cepat menarik Huwaida keluar dari situ.
“Hmm... aku dengar kau sebut ‘Perangkap Halus’ tadi. Itu tajuk novel Ramlee terbaru ke?” seloroh Humaira ingin mengusir kebimbangan di hati kembarnya itu.
“Jangan melawaklah. Tak lucu pun!” Huwaida duduk menyandar di sofa dengan ekspresi bimbangnya.
“Kita mungkin sedang diperangkap suami isteri tu.” Tetap mengesyaki ada sesuatu yang tidak beres sedang mengintai mereka.
“Aku tak fikir begitu. Dia kata, itu pesan seseorang yang minta kita tinggal di rumah ni. Tapi bila kita usyar, tak pulak dia bagitahu siapa orangnya,” rumus Humaira.
“Tapi kalau kita dalami maksud mereka tu, bermakna ini bukanlah rumah mereka. Tapi... ternyata kepunyaan orang yang minta kita tinggal di sini! Rahsia itulah yang patut kita cungkil, bukan suami isteri tu.” Huwaida terlopong mendengar teori Humaira tersebut.
Mukanya sudah tidak tentu arah, resah.
“Sementara saja Aida. Nanti kalau dah biasa dengan tempat ni, aku akan cari rumah lain. Aku janji, okey?” Humaira beralah. Mendatarkan intonasinya. Sambil menyembunyikan perasaan tidak sedap hati sendiri. Hati kembarnya yang mula tabrakan itu perlu diteguhkan.
Tiba-tiba, tingkap di ruang tamu yang tadinya menganga luas, terkatup mendadak.
“Opocot!” Huwaida tersentak. Daun tingkap itu seperti dilantun dari luar oleh seseorang. Humaira mengikik mendengar Huwaida terlatah.
“Topik yang kita bualkan ni macam ada special effect,” katanya mengikik lagi. Mentertawakan Huwaida yang terlatah.Rajin pula dia bangun untuk menguak semula tingkap.
Sewaktu melemparkan pandangannya ke pintu pagar, dia pula yang hampir terlatah sebaik-baik terpandang kelibat wanita tadi sedang menyandar di tembok pagar seraya tersenyum padanya. Dengan rambutnya yang kusut masai, cukup menggugat bila dia tersenyum semanis itu!
“Belum balik lagi rupanya. Malaslah aku nak layan...” getus Humaira lalu kembali ke sofa. Dia menyandar dengan kening berkerut. Dia mengangkat dagunya pada Huwaida dengan niat hendak bertanya tentang jiran tadi. Namun niatnya itu dipatahkan bila Huwaida kembali menimbulkan isu novel thrillernya.
“Aku serius. Kau tulislah novel thriller macam Ramli Awang Mursyid tu, Aira. Novel macam tu tak perlukan feeling.” Saranan Huwaida membuat Humaira terlupa terus kes wanita tadi. Dia membuat bunyi mengejek ‘kah kah kah’.Hangat juga cuping telinga Huwaida.
“Tempat ceruk macam ni memang paling sesuai untuk seorang ‘Ruhi Hasrat’ menulis novel thriller. Percayalah cakap aku ni.” Huwaida tetap dengan gagasannya.
“MISTERI KOTEJ PERCUMA oleh Ruhi Hasrat!” Huwaida mengejeknya.
“Ruhi Hasrat? Anak tok ada beberapa naskhah novel nukilan Ruhi Hasrat.” Kedua-dua kembar itu tersentak.Sekilat menoleh ke pintu mencari sumber suara.
“Dah pintu ternganga lebar, jadi,tok masuklah.” Lelaki itu tersengih-sengih. “Rumah tok di belakang rumah ni saja. Rumah separuh papan yang dah buruk tu. Nama tok, Tok Adam!”
Dalam tersengih-sengih dia memperkenalkan dirinya. Tersipu-sipu Humaira bila lelaki itu enggan menyambut tangan yang dihulurkannya.
“Lelaki yang sambut tangan perempuan bukan muhrim, sama saja macam jinjing daging babi. Tak terkecuali perempuan tau?”  Pesanannya itu membuat Humaira goyah.Malu benar rasanya.
“Tapi kalau kau berdua cucu atok tak apalah…” Dia berseloroh sambil matanya memicing. Kedua-dua kembar terdiam.
“Ruhi Hasrat ya? Memang tok ada belek novel Landasan Terakhir Cinta. Tapi setengah jalan saja. Muallah tekak tok, nak baca kisah cinta orang muda ni. Tapi anak dara tok memang minat sangat dengan Ruhi Hasrat tu,” pujinya membuatkan Humaira menjongketkan keningnya berisyarat bangga pada Huwaida.
Huwaida mencemik sambil menyentuh kedua-dua bahunya tanda meluat. Humaira tergelak-gelak membalas.
“Tok cuma nak pesan. Kalau anak berdua ni perlukan tukang kemas laman atau tak puas hati dengan gaya tok mesin rumput tu, datang kat rumah tok buat komplen ya? Itu memang kerja tok. Tok minta diri dulu!” katanya tidak lekang dengan senyumannya.
Sebaik-baik lelaki tua itu keluar, Huwaida mengangkat muka berisyarat pada Humaira.
“Kunci pintu!” Serentak terlontar keluar dari mulut kedua-duanya. Seperti biasa, Huwaidalah yang menggalas tugas tersebut.
Dah setua Tok Aki macam tu pun masih ada anak dara lagi ke? Humaira mengekeh-ngekeh tidak tahan dengan kelucuan tersebut.



[[[sambungan.  KINI BAB 13 [TIGA BELAS]
  

"DAMYRAL!” Lelaki yang disapa berpaling. Lama dia terpempan. Kejutan itu memang tidak disangka-sangka. Tidak berkelip matanya menerkam Humaira.Dia terperanjat besar.Ya ALLAH... kalbunya berbisik.
 Dia?
Humaira seperti itu juga. Bungkam. Terpaku di tempat dia tercegat. Hanya bibirnya yang bergetar kerana terlalu kepingin menyeru nama itu sekali lagi. Manakala Dr.. Damyral terus dalam kondisinya. Terpempan.
 Betulkah apa yang aku nampak ni.? Atau aku bermimpi? Baru semalam aku pakai baju yang pernah aku pakai di pertemuan pertama kami dulu.Takkan hari ini tiba-tiba saja dia buat penampilan khas! Dia berbisik seraya  mengecil-ngecilkan matanya cuba fokus.
Sebenarnya semalam ialah tarikh ulang tahun Humaira memutuskan hubungan mereka. Setiap kali tibanya tarikh tersebut, Dr.. Damyral pasti akan menyarung semula baju tersebut untuk mengingatkan dirinya betapa pembelotan Humaira terhadapnya. Dia mahu melupakan Humaira, tetapi tidak tindakan kejam gadis tersebut. Ada tercemar dendam di hatinya yang dulu sungguh luhur terhadap gadis itu.
Sudah empat tahun dia meninggalkan Putrajaya semata-mata hendak melarikan diri daripada insan yang sedang tercegat di depannya sekarang. Gadis jelita yang telah merampas seluruh kebahagiaan hidupnya. Kini, gadis itu sedang menyapanya. Hanya beberapa kaki saja di depannya. Bagaimana dia tidak bungkam terkejut!
Dr.. Damyral masih diam. Terpaku dan tidak berganjak walau seinci. Hanya matanya yang mengikuti setiap pergerakan Humaira.
Humaira yang pulih dari tergamam perlahan-lahan mara mendekatinya. “Nak ke mana?” Dia kian hampir.
 Tidak sabar dia hendak menentang lebih dekat wajah lelaki yang sedang mematung di depannya itu.Teragak-agak bibirnya mengukir senyum. Ada gerak sinkronis pada getar di bibir dan debar di dadanya.
Manakala Dr.. Damyral yang sudahpun pulih daripada tergamam sekadar menggerakkan matanya tanpa bergarit dari posisinya. Riaknya tetap serius. Mindanya sedang mengadaptasi diri pada pertemuan yang tidak disangka-sangka itu.  Sesuatu yang tidak pernah terlintas di akalnya! Berjumpa semula Humaira?
“Seriusnya awak. Assalamualaikum!” Humaira menyapa lagi. Teragak-agak. Dalam termengah, bibirnya yang bergetar menggagahkan sebuah senyuman.
Dr.. Damyral merenungnya sambil menarik nafas panjang-panjang. Dia juga sudah pulih dari kondisinya yang tergamam tadi. Cuma senyum masih mahal di wajah itu. Setelah berjurus lamanya merenung, barulah lelaki itu mengangguk pada Humaira. Hanya sekali. Dia nampaknya amat berwaspada!
Untuk sesaat Humaira dibuai leka. Alangkah kacak dan tenang paras di depannya itu. Kesan udara bersih daerah itukah? Ada damai di wajah itu. Atau, apakah dia salah mentafsir? Humaira meneliti wajah yang pernah memukaunya ketika di Badaling dulu itu..
 Tapi dia telah meninggalkan lelaki itu.
Tanpa alasan.
Tanpa sebab.
Meskipun ada ikrar yang sudah terpatri.Sungguh, dialah lelaki yang paling sabar bahkan paling gentleman berbanding kesemua bekas teman lelakinya yang lain. Ditatapnya wajah lelaki itu dengan penuh rindu.
“Aira panggil tadi sekadar hendak merenung saja ke?”
Dr. Damyral sudah memulakan interaksi. Jelas sekali dia memutar fakta. Kerana sesungguhnya,dialah pihak yang paling terkedu dek  insiden tersebut. Humaira tersentak.Dia berhenti menganalisis.. Diujanya nafas dalam tersipu. Kenapa hati jahatku ini bergetar semacam? Terlalu kalut? Tersipu-sipu lagi.
“Aira apa khabar?” Dr.. Damyral bertanya dengan matanya dikecilkan untuk fokus pada wajah yang sudah sekian lama tidak ditatapnya itu.
 Empat tahun berlalu. Wajah itu tidak sedikit pun mengalami sebarang perubahan. Masih secantik Humaira yang mempesonakannya ketika pertembungan pertama di Tembok Besar Badaling dulu. Ada sesuatu membengkak di dadanya mengimbas pertemuan yang telah membuka lembaran baru dalam hidup masa lalunya itu. Lembaran yang terkoyak, namun dilipatnya kemas dalam memori.
“Awak macam tak suka melihat saya.” Humaira cepat-cepat mengancing gigi. Bukan itu yang hendak disuarakan. Kenyataan itu hanya berdetik di hati.
 Dia sebenarnya ingin bertanya khabar tapi,kenapa ayat bodoh itu yang harus mendahului lidahnya?Bodoh betul aku ni. Dia mengutuk kebebalannya.
Dr.. Damyral hilang modal untuk menjawab.
Akhirnya...
“Siapa kata...” Dia teragak-agak. Tidak bersedia dengan apa yang hendak dituturkan. Alangkah ironinya!
 Hilang kata-kata di depan seorang perempuan? Tapi makhluk di depannya itu bukan calang-calang perempuan dalam hidup masa lalunya. Mungkin hanya dirinya saja yang ‘bukan siapa-siapa’ dalam hidup Humaira. Tapi tidak Humaira, dalam hidupnya.
Humaira menelan nafas. Tenungan Dr.. Damyral membuatkan dirinya tidak keruan. Resah. “Awak nak ke mana Damyral?” Humaira akhirnya menghentam ketul ais yang masih berbongkah untuk mengimbangi suasana canggung dingin itu.
Dr.. Damyral menjatuhkan pandangannya ke bawah. “Saya belum sarapan. Saya keluar kerana hendak bersarapan.”
Humaira mengangguk. Kata-kata lelaki itu amat ringkas. Malah boleh dikira jumlah perkataan yang digunakannya. Dia seolah-olah tidak mengalu-alukan pertemuan itu. Tetapi setidak-tidaknya, perkataan yang keluar dari mulut itu sudah melebihi empat sukukata.
Sepatutnya Humaira pamit saja. Namun hatinya yang berkeras, degil. Dia tidak mahu terlepas peluang berbual dengan lelaki itu. Biarpun situasi mereka saat itu tidak ubahnya seperti berdiri di tengah-tengah sebuah perkuburan sepi.
“Saya... err... baru lepas joging... kemudian...” Humaira hendak menyambung lagi, tapi tiba-tiba saja dipintas oleh Dr.. Damyral.
“Saya boleh agak melalui jammies yang awak pakai tu.” Pandangannya kini tertancap pada pakaian rona biru cair yang membalut tubuh Humaira.
Tidak banyak yang dapat dilihat kerana sebarang lekukan disembunyikan oleh pakaian yang longgar itu. Tetapi Humaira kelihatan seperti remaja dalam kostum sedemikian. Mata Dr.. Damyral yang tertarik, memuji-muji di dalam hati. Penampilan gadis itu tetap menggetarkan rindu yang sudah dihumbannya jauh ke telaga hati yang paling dalam.
Humaira jadi gementar diperhatikan seperti itu. Ditambah dengan aksi yang sungguh dingin lagi kaku. Resahnya ke paras maksima.
Dr.. Damyral menghirup nafas. Diangkat dagunya menentang kejauhan. Lama baru dihempaskan nafas yang sengaja ditahan. Reda sedikit jiwa yang kacau. Humaira mengetap bibir sambil mengangkat kening. Hilang sudah apa-apa modal hendak berinteraksi selanjutnya. Situasi amat kaku. Terlalu kaku. Dr.. Damyral sekali lagi mengecilkan mata memandangnya. Dia memang teruja bila Humaira membuat mimik muka seperti itu. Mengetap bibir sambil mengangkat keningnya.
“Bagaimana luka di lutut awak dulu? Luka tu jadi parut ke? Teruk juga luka dulu tu.” Pertanyaan Dr.. Damyral itu menyentap perasaan Humaira. Selama lima bulan berpacaran, sejak  pulang dari Beijing,  Humaira tidak pernah menyebut lagi tentang kecederaan di lututnya itu.
 Rupa-rupanya bekas teman lelakinya itu masih ingat akan peristiwa secebis itu. Patutkah dia rasa terharu? Ada angin nostalgia bertiup entah dari mana.
Serentak kenangan kali kedua mengunjungi Tembok Besar itu menerjah ke ruang ingatan. Dia menatap wajah yang bertanya. Tercari-cari elemen sentimental di wajah itu. Masih adakah? Kenapa perasaannya lain tiba-tiba. Kosong...sayu? Perasaan berdosa juga tidak ketinggalan. Datang menyelit-nyelit.
Direnungnya Dr.. Damyral yang hanya memakai kemeja T cokelat dan seluar jeans. Nyaman matanya melihat lelaki itu berkondisi sesantai itu. Dulu pun, dia akan berpenampilan seperti itu juga pada setiap ‘date’ mereka. Kecuali pada pertemuan pertama.
“Kalau sering joging macam ni, ada migrain pun boleh hilang. Saya sendiri selepas mengamalkan joging, bila diserang sakit kepala saja, cukup dengan Migraine Ice,” akuinya sambil mengangguk. Hati Humaira tersentuh bila Dr.. Damyral mula memanjangkan bicara.
Tapi sejak bila pula doktor di depannya ini mula diserang migrain? Tahukah Humaira? Derita perpisahan itulah yang menjadi punca serangan itu. Rindu lelaki itu terhadap dirinya yang kian hari kian meremukkan lagi sekeping hati yang dulu cukup waja itu.
“Hmm... luka kat lutut ni, memang ada tinggalkan parut. Nampak macam line Tembok Besar pulak kat lutut saya ni.”
 Alamak... apa  pula yang dia merepek ni? Tapi kata-katanya itu telah membuat bibir Dr.. Damyral merekah tersenyum. Agak lama bertahan senyum itu di bibirnya.
“Tetap tak lari dari isu Tembok Besar,” usiknya. Tapi tiada pancaran di mata itu yang menggambarkan perasaan lucunya. Meskipun bibirnya tersenyum. Senyum itu tidak sampai pun ke matanya.
Humaira menyedari kekurangan itu. Bahkan ada sesuatu pada pandangan lelaki itu yang menyentapnya. Mengajaknya mengimbas semula peristiwa dia memutuskan hubungan mereka di Jambatan Sri Gemilang, Putrajaya dahulu. Humaira tiba-tiba jadi kelu.
“Sudi teman saya bersarapan?” Dr.. Damyral sekonyong-konyong mempelawa. Terkejut bukan kepalang Humaira.
“Nak!” spontan dan pantas sekali Humaira memotong. Akhirnya dia malu sendiri.
Berkerut-kerut kening Dr..Damyral dengan reaksi Humaira. “Berjoging memang boleh buat kita lapar,” ucapnya. Tidak pasti samada mengalas ataupun menyindir.
 Tapi dia tersenyum. Tersindir sungguh Humaira dengan senyuman itu. Apatah lagi dengan terpancarnya kilauan sinis dari anak mata lelaki itu. Mungkinkah dia mentertawakan keterujaannya tadi? Atau hanya benaknya saja yang berprasangka?
Tapi argh... dia malu.
 Malu!
Nampak sangat dia tidak menyempat-nyempat menyanggupi pelawaan lelaki itu tadi. Humaira tidak tentu arah. Diketapnya ketat-ketat bibirnya yang gemar melontar kata-kata tidak berjadual itu. Selalu sangat belot pada tuannya!
“Awak tahu ke tempat makan yang popular di sini?” Dr.. Damyral sengaja memberi peluang Humaira untuk memilih.
Humaira menggeleng. Tapi diam-diam bersyukur kerana soalan lelaki itu sudah membantu mengendur ketegangannya. Datang semula staminanya.
“Saya... saya sendiri sedang tercari-cari tempat makan yang menarik. Saya kan baru tiba di daerah ini?” Humaira berusaha bersikap normal. Sambil mengusir rasa canggung yang kerap kali mengganggu kelancaran lidah serta aksinya.
 Dr.. Damyral mengangguk. Tiba-tiba mengangkat dagu. Matanya dicerunkan ke satu arah.
“Siapa tu?” Humaira berpaling ke belakang. Mengekori sasaran mata Dr.. Damyral.
“Itu Aida, kembar saya. Kami joging berdua tadi.” Humaira amat bersyukur dengan kemunculan Huwaida di saat-saat seperti itu. Hilang rasa canggung serta kakunya. Dia menyengih pada Huwaida yang kian mendekat.
“Oh, kembar yang awak ceritakan dulu. Ya... saya ingat.” Dr.. Damyral terangguk-angguk. Humaira terkedu kembali.
 Kenapa setiap perkataan ‘dulu’ yang terlontar dari mulut lelaki itu sentiasa membenihkan elemen bersalah di hatinya? Malah turut menggamit nostalgia. Humaira mengeluh dalam diam. Cepat-cepat dia memperkenalkan Huwaida.
“Hmm... Saya rasa elok kalau saya bawa awak berdua bersarapan di Jeti Kuala Perlis. Sambil bersarapan, kita tengok air.” Suaranya bertukar ramah pada Huwaida yang tersengih-sengih memberikan respon. Mungkin selesa dengan perubahan situasi bila bertambah seorang lagi responden. Pertama kali dilihat Humaira, Huwaida kelihatan ceria dan rileks walaupun ada lelaki di antara mereka.
Walhal, sepanjang yang dia tahu, Huwaida bukannya tahu bergaul disebabkan sikapnya yang kasar dan perengus itu. Ramai suka mengelak daripadanya. Cuma satu, kembarnya itu tidak pula anti dengan mana-mana lelaki kecuali terhadap ayah mereka, Fakrul Razi.
 Tanpa berlengah mereka mengikut Dr.. Damyral ke kereta. “By the way, di mana awak parkir kereta awak? Saya tak nampak pun Toyota Caldina hitam awak?” tanyanya.
 Bila dia menyebut Toyota Caldina hitam itu pun, hati Humaira sudah ditabrak rasa bersalah. Entah kenapa. Mungkin disebabkan oleh sebuah hubungan yang sudah bobrokan. Tapi bukankah Dr.. Damyral juga ada mengakui yang dia menganggap Humaira hanya kawan? Ketika mereka berpisah secara baik pada pertemuan terakhir dulu? Justeru perlukah wujud rasa bersalah tersebut?
Sebenarnya Toyota Caldina itu sudah tiada lagi. Dia telah menukarnya dengan Nissan Almera kerana bimbangkan keberadaannya dikesan oleh bekas teman lelakinya yang bukan seorang dua itu. Terutama Azril yang masih kemaruk mencarinya!
BAB EMPAT BELAS[14]


LAMBAT betul makanan sampai!” rungut Huwaida menyigung kuat rusuk Humaira di sebelahnya. “Aku dah lapar.”
Pesanan yang mereka pinta ternyata ‘makan masa’ juga untuk sampai ke meja. Perut masing-masing sudah  beramukan bila terhidu bau aneka makanan di situ.
Humaira menoleh dengan hati yang hangat. Dia sudah belajar untuk tidak duduk di sebelah Huwaida bagi mengelak perbuatannya yang gemar menyigung itu. Terpaksa... takkan pula aku nak duduk di sebelah Dr. Damyral, fikirnya menahan senak disigung kasar oleh Huwaida tadi.
“Seronok jadi guru tadika?” Dr. Damyral menyoal bila Huwaida memperkenalkan dirinya sebagai bekas seorang guru tadika.
Huwaida yang rasa selesa dengan keramahan Dr. Damyral melayan apa saja yang ditanyakan padanya. Lelaki itu sekadar mahu memanaskan sedikit suasana dengan melarikan tumpuan daripada Humaira. Tidak lama suasana ditenggelami oleh keriuhan suara Huwaida bercerita.
“Doc kalau tengok keletah kanak-kanak di Tadika Sweet Bunny tu, memang terhibur.” Memang bukan Huwaida di sebelahnya itu... getus Humaira mengerutkan keningnya..
“Oh ya ke?” Terangguk-angguk Dr. Damyral yang sesekali memicing matanya pada Humaira.
Humaira kehairanan memerhatikan kelainan sikap Huwaida. Dia seperti ‘lembik’ berdepan dengan lelaki tampan di depannya itu. Hidung mancung, wajah agak bujur. Kening agak lebat tetapi pancaran matanya itu sering membuat dia kelihatan seperti sedang tertawa dalam diam. Mungkin juga mentertawakan. Ini kerana apabila dia tersenyum, akan muncul garis di hujung dua belah matanya. Sesekali dia tertawa, kelihatan seolah-olah dia separuh menyeringai kerana akan terserlah dua baris giginya yang putih itu.
 Dr. Damyral dilihat Humaira cukup teruja dengan cerita Huwaida. Atau mungkin juga terpaksa menunjukkan minat. Humaira pula yang terasa seolah-olah dipinggirkan. Mahu tak mahu, terpaksalah dia jadi pendengar setia sambil menyuap  nasi lemak di pinggannya sampaikan ikan bilis gorengnya pun disudu ke mulut tidak bersisa.
“Teringinlah nak gurau-gurau dengan mereka semula.” Huwaida meluahkan lagi rasa rindunya.
Dr. Damyral menggerakkan keningnya. “Mungkin saya ada resolusi untuk masalah awak tu Aida. Tapi, elok jika saya confirmkan terlebih dahulu dengan rakan saya Datuk Zainal Abidin. Rakan saya tu sebenarnya sedang tercari-cari seorang guru untuk tadika yang baru dibuka untuk isterinya Datin Salamah. Buat sementara, tadika tu kini dikelolakan oleh dua orang pembantu. Dia tentu gembira jika saya bawa Aida berjumpa dengannya.”
“Wow... seronoknya!” Huwaida separuh terjerit oleh gembira. Terangkat tinggi kening Humaira.
Dr. Damyral tersengih. Buat Huwaida, itulah berita paling membahagiakannya sejak duduk di  Kampung Rantau itu.Humaira turut tersenyum lega mendengar tawaran tersebut. Sekurang-kurangnya Huwaida akan berhenti mengkritik, mengunjing atau membebel tentang aktiviti masa lalunya.
Huwaida bermohon diri mencari tandas. Dr. Damyral mencuri kesempatan itu bertanyakan tentang tujuan Humaira datang ke daerah yang jauh dari Kuala Lumpur itu.
“Awak nampak serasi dengan Aida.”
Humaira mengelak menjawab soalan Dr. Damyral. Lagipun dia sedikit tersinggung. Dr. Damyral hanya memberi tumpuan pada Huwaida saja. Dia jadi kera sumbang di antara mereka berdua. Tapi siapalah dia hendak mempersoalkan layanan lelaki itu terhadapnya? Dia bukan sesiapa lagi di hati Dr. Damyral.
“Hmm... saya tanya tentang tujuan yang menghantar awak ke mari.”
“Err...” Humaira teraba-raba modal. “Saya sedang launching kerja baru.”  Teragak-agak dia sambil membayangkan manuskripnya yang baru mencecah beberapa muka surat.
Dahi Dr. Damyral berkerut-kerut memberi konsentrasi.
“Sedang perah otaklah ni. Ingat senang ke nak puaskan hati pembaca. Oops!” Tiba-tiba dia tersentap dengan kata-katanya itu. Hampir bocor rahsia penulis terkenal Ruhi Hasrat!
Matanya membulat teringatkan jawapan yang terlajak keluar tadi. Itulah padahnya bila terburu-buru hendak menjawab. Akhirnya terhambur fakta yang sedayanya mahu disembunyikan. Humaira tergigit-gigit bibirnya yang celopar. Mengutuk mulutnya yang gemar berangkara.
Terangkat kening Dr. Damyral memerhatikan Humaira mengerut-ngerutkan muka memandangnya. Hendak tergelak pun ada. Tapi dipendamkannya. Tanpa mengetahui krisis impuls di kepala gadis itu.
“Kerja baru?” Dr. Damyral memberi tumpuan. Muncul tanda tanya bila menganalisis jawapan Humaira tadi.
 Humaira mengancip giginya. Mustahil dia akan berterus terang mengatakan yang dia seorang penulis?
Kalau boleh dia tidak mahu seorang pun tahu bahawa dia dan Ruhi Hasrat ialah entiti yang sama. Apatah lagi hero pertamanya diberi nama Amyr, singkatan nama Damyral di tengah-tengah. Dia sudah bertindak bodoh tujuh kali. Kerana ketujuh-tujuh hero novelnya menggunakan nama-nama bekas teman lelakinya!
“Eh, dah lama saya tak tengok pepatung.” Telunjuk kanannya menuding pura-pura berminat pada beberapa ekor pepatung yang berterbangan di udara.
“Saya yakin udara di sini belum tercemar kan? Tengok tu ada segerombolan lagi sedang mara.” Daripada pura-pura, akhirnya dia benar-benar teruja dengan fenomena tersebut. Dr. Damyral tersenyum mengangguk. Terkesan dengan peralihan minat tiba-tiba bekas temanitanya itu.
“Pepatung ni sensitif. Kalau kat Melaka, jangan beranganlah  hendak  melihat spesies serangga ni. Rama-rama pun payah jumpa.”
Nasib baik tak terlepas perkataan manuskrip tadi... getusnya lega bila teringat semula.
Apapun, Humaira mula terasa mesra semula. Huwaida yang muncul kembali, tertanya-tanya erti senyuman yang meleret di bibir Humaira.
“Tadi awak kata kerja baru? Kerja awak sebagai setiausaha di Kuala Lumpur tu macam mana pula?” Dr. Damyral nampaknya belum melupakan kenyataannya tadi.
 Aduh... kacau, bisik Humaira dengan air muka yang sudah berubah.
“Bukan ke awak orang Selangor. Jadi awak ke sini kerana apa?” Dr. Damyral kembali mengasaknya dengan soalan kritikal. Bukan dia tidak tahu asal usul gadis itu. Kerana pada hairarki mereka, ujud pertembungan. Sengaja dia mengumpan.
Takkan aku nak beritahu yang aku lari dari teman lelaki aku yang ke tujuh? Soalan pertama belum pun aku jawab.Dibaginya satu lagi soalan. Habislah pecah tembelang aku nanti. Riak mukanya tidak keruan.
“Err... di sini ada saudara sebelah ayah saya. Saya juga tak pasti di mana ‘Selangor’nya kami. Kerana asal usul mama kami juga orang Perlis. Cuma ibu bapa kami dah terlupakan daerah kelahiran mereka. Saya sebenarnya sedang bercuti panjang.” Humaira beroleh akal tiba-tiba. Huwaida di sebelahnya mencemik sambil membuang pandang ke lain.
“Kerja baru yang awak kata tadi?” Dr. Damyral masih mengasak dengan soalan yang sama.
 Doktor ni serius nak tahu apa yang aku buat. Macam pakar kesihatan yang sedang mendiagnosis penyakit, keluh Humaira betul-betul mati akal hendak menjawab.
Huwaida yang berasa seronok melihat Humaira terkial-kial bila diinterogasi lelaki itu, tersengih-sengih sambil menyedut lemonade yang baru dipesannya. Dia memang mengamalkan meminum lemonade setiap kali usai menjamu selera. Humaira sering menegah kerana bimbang kembarnya itu diserang gastrik. Namun itulah kaedah Huwaida mengawal berat badannya. Tidak boleh ditegur habitnya yang satu itu.
“Err... kerja baru ya? Saya err... Oh ya, saya baru ‘hendak’ berjinak-jinak dengan bisnes kecil-kecilan buat cokelat untuk hantaran perkahwinan. Juga goodies untuk majlis-majlis, sebagai  ‘door gift’. Sekali-sekala, saya cuba juga cipta resipi baru untuk pelanggan yang berminat dengan cokelat yang saya ‘hendak’ buat.” Mendengar itu tersembur lemonade dari mulut Huwaida. Dia tersedak lalu terbatuk-batuk kecil.
Humaira berpaling dengan pandangan mata beramaran pada Huwaida. Mukanya bertukar masam berkulat melihat Huwaida yang sudah mula mengekeh-ngekeh. Bertambahlah hairan jadinya Dr. Damyral.
“Kenapa Aida tertawa?” tanyanya ingin tahu.
Huwaida menyeka matanya yang berair akibat tersedak dan tertawa tadi. Dia mengibar-ngibarkan tangannya. “Tak ada apa-apa.” Dia menyeka lagi matanya yang berair. Nafas Humaira turun naik menahan geram. Menyirap-nyirap darah ke mukanya yang sudah pun merah padam.
“Err... Doktor tahu tak? Setiap kali tolong Aira yang ‘pakarlah sangat ni’ buat cokelat, memang rumah kami jadi pesta gelak ketawalah. Rambut dan mukanya comot dengan cokelat. Kes cokelat tersumbat dalam lubang hidungnya juga dah jadi hal biasa.” Dia kembali mengekeh. Sengaja menyindir Humaira yang sejak tadi sudah merah padam mukanya. Tidak lupa menangguk di air keruh untuk mengenakan Humaira
Mendengar itu Dr. Damyral ikut tersengih lucu. “Hmm..ada juga sikap feminin dalam diri Aira ya? Tentu sedap cokelat yang awak buat. Tapi kalau tak sedap, lari pulak pelanggan betul tak?” Dr. Damyral berseloroh.
Mencemik lagi Huwaida.
“Awak tahu? Kandungan phenylethylamine dalam cokelat boleh meligatkan penyerapan triptofan ke otak hingga terhasil dopamine. Fungsi Dopamine ni termasuk merangsang rasa senang. Hati akan berasa rileks. Phenylethylamine tadi turut meransang naluri. Sebab tu awak berdua happy bila Aira buat cokelat tu.”
“Betullah sangat!” Huwaida mengejek.
Berkerut kening Dr. Damyral. “Tapi, kenapa rahsiakan tentang hal ni dulu? Misteri juga Aira ni ya?”
Dalam asyik memerhatikan keterujaan lelaki itu, datang ketakutan di hati Humaira. Bagaimana kalau lelaki di depannya itu meminta untuk merasai keenakan cokelat yang dibuatnya? Parah jadinya dia!
“Hisy, berani ke dia suruh aku buat cokelat untuk dia? Argh... bukannya dia boyfriend aku ke yang nak kerahkan aku buat itu ini!” Sayangnya ocehan itu selamat mendarat di telinga Dr. Damyral tanpa sempat Humaira menyekatnya. Huwaida mengikik halus.
Humaira tersedak. Terpaksa dicapainya gelas berisi lemonade Huwaida lalu dituntung isinya hingga licin. Berbinar mata Dr. Damyral menyaksikan tingkah laku Humaira yang di luar ekspektasinya itu.
“Boyfriend?” Dr. Damyral memetik.
 Humaira menggelabah. Kian kelalut. Huwaida di sisinya semakin seronok. Seronok bila Humaira terlepas apa yang difikirkannya. Perkara yang memalukan Humaira itu memang lucu padanya. Mulut dan otak kembarnya yang cantik itu, memang sering selari. Kurang mekanisme kawalan dalam berkompromi. Lalu seringlah timbul masalah seperti itu.Apa yang dalam kepala, keluar ikut mulut. ‘Thinking aloud’.Selalu kantoi. Terdengar Huwaida tergelak perlahan-lahan.
Humaira meradang. Huwaida langsung tidak membantu mengalas tingkah lakunya yang kerap tersasar itu.
“Awak cakap pasal boyfriend tadi?” Dr. Damyral mengingatkan.
Humaira mengetap bibir. Hulu-hala otaknya mencari idea untuk menutup cerita. Akhirnya, dia terpandangkan penyelamatnya. Betul-betul di belakang Dr. Damyral. Sepasang warga tua sedang menikmati sarapan jadi pencetus ilham!
“Tu! Lelakiyang sarapan dengan perempuan tu. Agaknya boyfriend ke suami?”
Pantas Dr. Damyral berpusing 180 darjah. Terus melompat keluar tawanya.
“Dah datuk dan nenek macam tu, boyfriend apanya Aira? Awak ni pelawak juga ya?” gelengnya dengan gelak-gelak kecil yang masih berekor. Humaira menoleh pada Huwaida yang asyik menghakimi gerak-gerinya yang kelelong dan kelalut.Sesekali mencebiknya. Humaira menggerakkan keningnya.
“Awak serius sangat tadi, jadi saya buatlah joke,” katanya terasa bangga pula. Huwaida membuat mimik hendak muntah.
Sah aku dah gila. Aku dah jadi tak betul sejak jumpa dia hari tu lagi. Humaira mendengus geram. Mengutuk-ngutuk tingkah lakunya sendiri yang cukup berlainan daripada fitrah asalnya itu. Apa sihir yang dikenakan lelaki ini padaku? Batinnya melolong bagai nak gila. Mukanya berkerut-kerut menahan emosi.
“Saya memang macam ni. Kat rumah pun saya memang suka melawak. Selalu sangat Aida sampai tak sempat ke bilik air bila saya buat lawak!” Dia membalas dendam pada Huwaida yang tidak berhenti menyindirnya dengan tersengih-sengih.
“What the hell...” Huwaida hendak membidas balik tapi cepat-cepat mengunci mulutnya bila matanya berkalih ke muka Dr. Damyral yang kaget mendengar kenyataan Humaira.
 

1 comment:

Daniel said...

Memandangkan wajah kita berbeza, masalah kita berbeza, saya tidak tahu apa kesusahan yang anda alami, tetapi saya ingin anda tahu sama ada anda benar-benar ingin keluar dari pahit itu. Ada penyelesaian untuk anda. Saya ingin memperkenalkan seorang lelaki bernama Dr Okpa kepada umum, dia seorang tukang sihir dan dia membantu saya menyelamatkan perkahwinan saya setahun yang lalu. isteri saya keluar rumah mengatakan dia tidak berminat lagi dengan kesatuan kami, saya terkejut kerana saya tidak ingat kami bergaduh, kemudian saya mendapat tahu dia bersama lelaki lain, saya merayu dia untuk pulang. untuk bersama saya dan anak-anak, tetapi dia tidak lagi bertindak sendiri, saya mendapati kemudian bahawa lelaki yang bersamanya telah merasukinya dengan pesona. Saya menghubungi Dr Okpa dan jampi itu dibatalkan selepas 3 hari jampi isteri saya pulang ke rumah. Saya ingin anda tahu bahawa Dr Okpa mampu melakukan apa-apa jenis jampi. Hubungi beliau di Call/WhatsApp: +27653527813 atau melalui e-mel: okpatempleofsolution@gmail.com

Nama: Ahkam
Negara: Singapura