Tuesday, February 18, 2014

MEMPERKENALKAN NOVEL TERBARU BERSERTA SINOPSIS 
Tuliskan nama novel yg anda inginkan di kotak kosong, contohnya Potret Dua Wajah....Sebarang kesulitan, hubungi talian ini:~ Telefon 03 5101 7480/7481.


Sinopsis Potret Dua Wajah
Dua jelitawan, Dania dan Danila yang berwajah seiras ialah pelajar genius dua bersaudara. Mereka terlalu akrab, dan amat  menyayangi satu sama lain.  Tidak pernah berpisah sedari kecil lalu sering disalah anggap sebagai kembar, meskipun berbeda usia setahun.
Tamat tingkatan 3 Dania  terus ke sebuah Insitiut Teknik , SMTSU di Selangor manakala Danila yang kecewa kerana terpaksa berpisah dengan adik kesayangannya, nekad  menerima tawaran melanjutkan pelajaran di luar negara  berbekalkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Di Institiut tersebut Dania menempa populariti kerana bakat melukisnya yang tiada tara. Dania yang memiliki pakej yg lengkap terus menjadi buah hati sekolah. Dia jadi  anak emas sekolah.  Disayangi oleh majoriti guru di sekolahnya  dan menjadi anak angkat kepada Pengetua Encik Mat Nor.
Dialah juara tenis antara sekolah. Dialah juara petandingan cerpen peringkat nasional .  Paling mengagumkan, dia  sentiasa  mengungguli  tempat pertama di mana-mana  pertandingan melukis yang  diadakan. Bermula  dari peringkat sekolah hinggalah ke peringkat negeri dan nasional.  Dia  meraih  ratusan trofi dan dianugerahi hadiah-hadiah lumayan disamping turut diberi  peluang melawat  Kota Paris. SMTSU menjadi masyhur kerananya.
Kedatangan guru Fizik yang juga  merupakan guru Lukisan kejuruteraan, bernama Masriezal  ke situ telah membenihkan sesuatu yang diluar kemampuan untuk  dia menolaknya. Dia gagal bertahan dan  jatuh cinta.  Sayangnya,  guru itu tidak tertarik dan menganggapnya masih mentah. Meskipun dia berusaha sedaya upaya menarik perhatian guru tersebut bermodalkan kejelitaannya dan bakat melukis luar biasa yang dipunyainya. Tanpa segan-silu, dia  menghadiahkan guru itu karya-karya lukisannya hampir sebilang masa.  Meskipun cintanya  tidak dilayan guru tersebut, namun Dania tidak pernah berputus asa.  Sesuatu terjadi ketika guru itu menyambut pelawaan Dania bertandang ke kampungnya di utara, iaitu di Perlis.
Barulah guru itu mengetahui betapa daif dan melaratnya  gadis hebat yang menjadi  ikon dan idola para pelajar SMTSU itu. Di sebalik semua itu,  Masriezal berasa  amat terharu dan kagum.  Ini  kerana Dania tidak pernah berasa malu menunjukkan kemelaratan hidup dia dan keluarganya.  Yang gadis itu tahu, dia  mahukan Masriezal yang dicintainya itu  menikmati keindahan  desa di mana dia dibesarkan.   Dia seorang pelukis.  Sudah tentu dia juga  pencinta keindahan.  Dan dia mahu berkongsi rasa dan minat itu dengan lelaki yang amat dikaguminya.
Di tengah-tengah  bendang sawah, Dania mempamirkan kemahirannya melukis yang sungguh tiada tara. Dia menunjukkan betapa mudahnya dia  memindahkan segala keindahan di situ ke atas sebuah kanvas dengan semudah ABC. Masriezal kagum. Terlalu kagum. Minat yang mendalam terhadap  bakat Dania menunaskan rasa kasih dalam dirinya terhadap gadis itu. Lalu bersemilah perasaan cinta.
Tercetus konflik bila tiba-tiba Dania berubah sikap.  Dia menjadi  amat penyedih dan seakan-akan  dibelenggu kesusahan atau masalah yang terlalu  serius. Namun dia tetap enggan menyatakan punca dia berdukacita itu kepada Masriezal yang bahkan bersedia hendak  membantunya bila-bila masa sahaja buat gadisnya.  Dania seolah-olah terikat kepada sesuatu yang tidak mampu dirungkai  oleh sesiapapun. Tiba-tiba  saja SMTSU mengalami pertukaran Pengetua.  Lelaki yang menjadi  ayah angkat Dania digantikan oleh seorang pengetua yang lebih muda bernama Khir Nawawi.
Pengetua baharu itu mendatangkan kecurigaan di hati Masriezal.  Dia juga  kelihatannya amat rapat dengan Dania.  Masriezal mengesyaki ada sesuatu yang tidak baik berlangsung di antara Dania dan Pengetua yang masih muda itu.
Atas sesuatu sebab, Dania tiba-tiba  mengambil cuti untuk pulang   ke kampungnya.   Dia bertembung dengan  kakaknya Danila yang baru pulang dari Southampton kerana bercuti juga. Namun hanya seketika mereka dapat bersama.  Kerana Dania  kembali semula ke SMTSU, tapi kali ini dengan sikap berbeza.  Dia kelihatan lebih radikal dan lebih agresif.
  Perubahan itu tentunya  mengejutkan Masriezal yang teramat mencintainya.  Dania seperti mahu menjauhkan diri daripadanya.  Tetapi kenapa? Dia malah, bersikap aneh dan berlagak tidak seperti  dirinya sendiri.  Apakah yang membelenggu Dania hingga mengubah personalitinya sedrastik itu?  Masriezal sedih dan bingung.
Beberapa hari sesudah itu Dania ditemui tergantung di kipas siling kelasnya. Paling menyayat hati, Masriezal yang tidak tahu apa-apa  telah dituduh menghamilkan Dania sehingga menyebabkan gadis itu nekad membunuh diri.
Masriezal meninggalkan profesion perguruannya dan berkhidmat sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat pengilangan di Selangor. Dia berikrar tidak akan ke sekolah itu lagi. Juga tidak akan jatuh cinta lagi. Dia benar-benar kecewa  dan sungguh-sungguh menderita dek kematian Dania..
Manakala  Danila, sesudah kematian Dania,  enggan meneruskan pengajiannya  semula di  Southampton.  Dia  menghidap kemurungan dan sentiasa mengurung dirinya di kamar adiknya yang dipenuhi alat-alat lukisannya. Walhal dia,  amat bencikan lukisan malah memusuhi  apa saja yang berkaitan dengan  seni  lukisan. 
Di SMTSU itu pula,  ramai kenampakan entiti  yang menyerupai wajah Dania.  Kelibat  menyerupai  arwah Dania itu dilihat  bergentayangan di merata-rata  tempat di sekolah tersebut.   Fenomena itu  menakutkan para pelajar yang belajar di sana.  Kelas tempat Dania pernah belajar dulu terpaksa  ditutup dan dijadikan stor.
Penemuan nota kecil di luar pintu kondonya membuatkan  Masriezal bertekad  untuk kembali semula  ke sekolah tersebut demi  membersihkan nama Dania yang diaibkan dengan tohmahan membunuh diri.  Dia tidak percaya pelajar bijak dan genius seperti Dania sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.  Masriezal  dengan dibantu oleh beberapa orang  pelajar Kelas Elit yang pernah dibimbing arwah Dania, berusaha  menyingkap misteri di sebalik kematian pelajar genius tersebut.. .
Maniam yang merupakan jaga sekolah tersebut akhirnya terpaksa dimasukkan ke wad psiakiatri setelah diserang lembaga yang berkeliaran di SMTSU.  Sebelum mati, matanya asyik merenung ngeri  kipas siling di wad di mana dia dirawat.  Dia mati kejung dalam keadaan kedua tangannya kaku di leher seolah-olah sedang mencekik dirinya  sendiri.  Kenapa?
Sebuah kisah sedih.  Kisah impian yang  berkecai .  Kisah pengharapan yang luruh bersumberkan  sebuah  kisah benar seorang pelajar membunuh diri si sekolahnya setelah hamil diperkosa jaga sekolah ini.  Namun sesudah derita ada bahagia.  Anda semua di luar sana…jaga-jaga !



No comments: