Novel KUINGIN CINTAMU
BAB 9
Imbas kembali bersama Dr. Damyral.
Lokasi Jambatan Sri Gemilang.
Babak-babak
dia menoktahkan hubungan cinta dengan Dr.. Damyral kembali mengopak pintu
ingatan. Mereka memilih lokasi pertemuan di Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya.
Jambatan yang rekabentuknya seakan-akan sebuah jambatan yang terdapat di Paris.
Sebenarnya rumah Dr. Damyral tidak berapa jauh dari lokasi itu.
Bunyi hentakan sepatu kian lama kian
hampir. .Humaira yang sudah lama gugup,
cemas berpaling menanti lelaki yang sedang mara ke arahnya itu. Getar di
hatinya hanya TUHAN saja yang tahu. Dari jauh, senyum sudah terukir di bibir
lelaki tampan itu. Humaira serba salah. Sekejap-sekejap diketap bibirnya.
Hembusan nafasnya sudah tidak sekata.
“Tak menyempat-nyempat nak berjumpa. Saya
sepatutnya on call ni. Mujur Dr..
Hillman Aman mahu menggantikan.” Itu kata-kata pertama yang terluah dari bibir
Dr.. Damyral setelah berjurus lamanya mereka hanya bertentang mata dalam diam.
Dia belum tahu tujuan Humaira mengajaknya berjumpa.
Kasihan!
Berat hati Humaira hendak melontarkan
apa yang terpendam di hatinya. Berjurus lamanya dia hanya terkebil-kebil.
Teragak-agak hendak menyampaikan. Bagaimanakah reaksi Dr.. Damyral menerima keputusannya
itu nanti? Dia semakin berdebar-debar.
“Kenapa membisu ni, sayang?” Dr..
Damyral mula terasa kelainan itu. Wajah Humaira amat serius. Bagaikan memendam
sesuatu yang amat berat.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil
saya sayang. Seriaulah... Tegak bulu roma saya mendengarnya,” pinta Humaira
yang berasa canggung dengan keadaan itu.
Dr.. Damyral tergelak. “Awak lupa ke
yang awak juga suka panggil saya begitu?” Dia mengingatkan.
Terkemap sesaat Humaira dibuatnya.
Cakap-cakap Dr.. Damyral itu memang betul. Argh... payah!
“Beritau sajalah. Awak ada masalah ke? Come on Aira, luahkan!” ungkap Dr..
Damyral yang menyangka Humaira mungkin perlukan stimulan ataupun motivasi untuk
berhadapan dengan masalah yang sukar. Meskipun dia sebenarnya sudah mula
tercium sesuatu yang kurang enak akan berlaku. Sixth sense yang dimiliki seorang
perawat profesional.
Humaira cuba fokus. Sepasang mata
beralis lentik itu ditenungnya tepat-tepat. Sambil menarik nafas
sedalam-dalamnya, dia melepaskan apa yang sejak tadi dikemam lidahnya kerana
tidak tergamak.
“Damyral... awak ni sporting tak?” tanya Humaira yang
sudah terus dicengkam rasa bersalah.
“Selalunya begitulah. Tapi kenapa?”
soalnya terasa kelainan suasana.
“Begini. Entah kenapa, saya baru sedar yang
saya hanya sukakan awak. Tapi, untuk menyatakan yang perasaan itu adalah cinta, ia agak ironi. Awak rasa,, kita ni terburu-buru sangat
tak?”
Humaira agak panik menanti reaksi pakar
kesihatan di depannya itu. Namun dia lega kini kerana sudah berjaya melepasi fasa tersebut. Meskipun
bergemuruh dadanya.
Dr.. Damyral hilang kata-kata. Terasa
seolah-olah jambatan itu mulai runtuh lalu perlahan-lahan menghempap sekujur tubuhnya.
Nafasnya bagaikan menyumbat dan terkumpul di rengkung. Senyuman yang menghiasi
bibirnya tadi hilang terus. Namun dia gagah mengawal amukan perasaannya.
Suaranya digumam. Gagal terluah. Tidak disangka khabar ngeri itu yang hendak
disampaikan Humaira!
“Kita sepatutnya berkawan saja. Terserah
kalau akhirnya berkesudahan dengan cinta ataupun tidak. Takdir tak terlawan
kan? Tapi...” Humaira dengan segala susah payah mengangkat dagu memandang Dr.. Damyral.
“Tapi... setakat ini, apa yang saya rasa
bukanlah cinta. Mungkin saya gembira berkawan dengan awak. Ya…itu saja. Saya
yakin sekarang, apa yang saya rasakan itu bukannya cinta.” Humaira menarik
nafas lega usai saja meluahkan segala isi hatinya.
Dr.. Damyral terus kaku. Paras lela di
depannya itu ditenungnya semacam. Hati di dalam argh... alangkah hibanya!
Dia memerhatikan bibir yang bergerak-gerak
meluncurkan ratusan perkataan berbisa yang tidak lagi mampu ditampung deria
dengarnya itu.
Bukankah di Beijing dulu dia pernah
bertanya samada Humaira benar-benar sukakannya atau sekadar bersimpati? Dia
mahukan satu kepastian. Kerana bila bercinta dia tidak olok-olok! Dia bertanya
kerana mahu mengelak dirempuh tragedi yang mampu meragut bahagia seperti apa
yang menimpa dia sekarang ini. Ketika di Beijing dulu, Humaira tika itu dengan
lantang mengakui tentang perasaannya tanpa sebarang rasa sangsi.
Kata-kata bersumpah Humaira dulu kembali
tengiang-ngiang. “Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi. Bahawa
saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan tu. Ditakdirkan
suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi.
Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Gadis itu dengan
beraninya bersumpah yang dia memang menyukainya.
Kenapa harus menukar prinsip semudah
itu? Sekarang siapa yang meninggalkan siapa? Akhirnya sambil memaksa dirinya
bertenang, Dr.. Damyral membalas ungkapan Humaira dengan sebuah senyuman
pura-pura. Berombak dadanya bergelut dengan nafas yang menyesak dan mengempang.
“Saya juga pernah terfikir ke situ.
Tetapi serba salah hendak mengakui kebenaran itu. Nampaknya perkara sudah jadi
mudah sekarang. Betul tak?” balasnya tanpa membuang senyum. Dapat didengar
suaranya bergumam sebak. Telinga Humaira saja yang tumpul untuk mengesan semua
itu.
Mendengar itu Humaira tergelak-gelak
kecil.
Relif!
Kalaulah Humaira benar-benar menatap
anak mata lelaki itu. Atau merenungnya dalam-dalam. Akan nampaklah betapa di
situ terpahat berjuta kesedihan. Cuma dia lelaki. Lalu dia mengawal kukuh
benteng air matanya.
Dia benar-benar cintakan Humaira.
“Jadi, no hard feeling ya. Kita berpisah secara baik?”
Dr.. Damyral mengangguk.Masih belum
lekang senyum yang dipaksakan di bibirnya. Meskipun kalbunya bagaikan
disiat-siat.
“Ya... kita berpisah secara baik. Kerana
awak yang mahukannya begitu.” Dia mengiaskan perasaan halusnya.
Sungguh ia bahasa tersirat yang gagal
ditangkap Humaira. Ditatap oleh Dr Damyral puas-puas akan wajah indah yang sudah lama bersemi di
halaman cintanya itu. “Aira...”
Humaira yang baru hendak melangkah
menuju ke tempat parkir tertegun. Pantas dia berpaling menghadap Dr.. Damyral
yang tegak menanti.
“Jangan pernah menyesal dengan perpisahan
ini. Mungkin ini yang terbaik. Jalanilah hidup seperti biasa. Saya tak apa-apa.
Hidup ini umpama roda pedati. Oleh itu sentiasalah bersedia. Ingat tu!”
Humaira berasa aneh dengan pesanan
terakhir lelakinya itu. Namun, dia tetap mengangguk sebagai ganti ucapan terima
kasih.
Ditatap lagi oleh Dr.. Damyral sepuas-puasnya
akan wajah yang bakal meninggalkannya itu. Apabila yakin Humaira tidak akan
menoleh lagi, dia membiarkan air matanya gugur beberapa titis.
Humaira meninggalkan tempat pertemuan
itu dengan perasaan yang cukup lega. Tapi tahukah dia apa yang sudah
dilakukannya pada lelaki yang benar-benar ikhlas mencintainya itu? Kasihan Dr..
Damyral... Kakinya seolah-olah tidak berjejak lagi pada lantai jambatan.
“Aku benar-benar mencintaimu...” lafaz
Dr.. Damyral amat sedih.
Sambil pandangan sayunya merenung Toyota
Caldina hitam yang sudah mula bergerak meninggalkannya untuk ghaib buat
selama-lamanya itu.
“Seperti dia yang telah pergi, aku juga
harus pergi dari sini. Aku akan pergi jauh. Jauh sekali. Kau takkan jumpa aku
lagi Aira. Tak sanggup aku terserempak denganmu sekali lagi. Hatta untuk
melihat tempat di mana pernah ada bekas tapak kakimu,” raung batinnya yang
tersangat hiba. Hatinya sungguh luka. Amat luka.
Humaira takut untuk terikat lama pada
satu-satu hubungan. Dirinya yang tidak suka dikongkong, akan terlonta-lonta mencari
eskapisme. Dia takut berkahwin. Tambahan pula bila sang kekasih mula memantak
isu hantaran dan perkahwinan ke telinganya.
Aku takut diserang trauma... bisiknya.
Bagaimana kalau lelaki itu juga sama saja seperti
ayah? Hanya sayangkan anak isteri pertama? Manakala anak-anak dengan isteri
kedua pula ditiri-tirikan. Ah tak
sanggup aku! Dia menghempas nafas.
Memikirkan risiko dijebak oleh lelaki
seperti ayahnyalah, maka dia mencari cara terbaik untuk segera mengucapkan salam
perpisahan. Lagipun, bukunya sudah hampir hendak terbit. Apa lagi?
‘Mission
accomplished!’
HUMAIRA kelam-kabut menolak daun pintu
yang tidak berkunci. Oleh kerana dia tidak nampak Huwaida di mana-mana, dia
terus berkurung di biliknya. Sambil
berbaring menentang petak siling, dia melepaskan nafasnya yang mengah, seraya menghamburkan keriangan yang tidak terbendung lagi
di dada.
BAB 10 [SEPULOH]
“Oh Gosh... aku temui dia semula. Aku
dah jumpa dia. Aku jumpa Damyral!” luahnya yakin yang Huwaida tidak mungkin akan
terdengar.
Reda sedikit gejolak batin yang
panasaran.
Huwaida pasti mengejek-ejeknya jika
sedar akan perubahan pada karakternya itu. Itu yang dia mahu elakkan. Sepanjang
mereka membesar bersama, Humaira ialah ‘Miss Aloof’ di mata Huwaida. Itu jika
diukur mengikut konteks hubungan dia dengan mana-mana lelaki.
Kini matanya terkebil-kebil menatap
petak siling,sambil membayangkan wajah yang baru saja dilihatnya tadi!
“Macam mana dia boleh berada di satu
lokasi dengan aku.di sini? Pelik!” luahnya agak kuat. Bibirnya dikacip sambil
dia memutar otaknya. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang dia akan
berjumpa lelaki itu sekali lagi. Tetapi kenapa di sini? Di daerah seterpencil
ini?
Aneh sekali memikirkan kemunculan Dr..
Damyral tadi.Bukankah lelaki itu menetap di Putrajaya? Berkhidmat di Hospital
Putrajaya?
“Ya TUHAN! Macam mana ex aku boleh ada di sini? Boleh ke
aku percaya semua ni?” Kembali nafasnya turun naik bila memikirkan pertembungan
tadi.
Kaget benar dia sewaktu ternampak Dr.. Damyral
ketika singgah dipekan, selesai berjogingnya tadi. Tetapi kenapa di ceruk ini?
Itu yang mengagetkannya. Dia bersembunyi di daerah itu kerana hendak lari
daripada masalahnya. Masalah yang tidak lain daripada Azril. Bekas teman
lelakinya yang ketujuh. Yang baru saja ditinggalkannya!Tapi boleh pula dia
terserempak dengan yang pertama.
“Nak lari daripada ex ke tujuh, jumpa yang sulung...”
Senyumannya agak ‘teruja.’
Perasaan enak berketundak lagi di
hatinya sebaik-baik terbayangkan kembali wajah lelaki itu tadi.
Fuh! Tak tentu arah aku berdebar-debar.
Macam si Laila bersua Majnun. Eh... memang dah gila talaq ke aku ni? Berkerut
mukanya bila membayangkan semula insiden dia ternampak Dr.. Damyral tadi.
HUMAIRA sedang menyusuri kaki lima rumah
kedai di pekan kecil itu. Tiba-tiba pandangannya menyambar kelibat seorang
lelaki yang sedang memimpin tangan seorang wanita tua menuju ke sebuah teksi
yang sedang menunggunya.
“Gentleman betul. Smart pula.” Matanya memicing nakal.
Tiba-tiba sesuatu menyentapnya. Dia
terlopong. Sesosok tubuh itu seperti pernah dilihatnya. Tapi di mana?Namun
intuisinya kuat mengatakan dia pernah mengenali lelaki itu. Tanpa sedar dia
terus menghayun kaki untuk lebih dekat.
Oh TUHAN! Memang dia pernah melihat lelaki
itu. Apatah lagi dengan pakaian yang membalut tubuhnya ketika itu! Kemeja merah
samar dan seluar rona beige!
Lantas beria-ia diperhatikannya dengan mata membulat.Memang sah dia. Dr..
Damyral yang pernah ditinggalkannya dulu! Dia beristighfar sambil mengurut-urut
dada kerana terkejut. Tidak tentu arah paluan jantungnya dapat melihat lelaki itu.
Lama langkahnya tertegun. Dia seperti
dipukau melihat kemeja merah samar yang sama pernah dipadankan Dr.. Damyral di
dalam fleece jacketnya ketika pertama
kali lelaki itu menegurnya di Tembok Besar Badaling dulu. Cuma kali ini, dia
tanpa jaket tersebut. Namun seluar rona beige itu adalah seluar yang sama! Argh
mudah saja mengecamnya. Humaira terus bungkam. Dalam berkhayal mengingatkan pertemuan pertama itu, lelaki itu pun ghaib dari
pandangan.
Dengan laju dia memacu langkahnya ke
tempat teksi tadi. Dia ingin melihat lelaki itu lagi. Datang rasa hampa.Dalam
keadaan goyah putus asa itu, dia melilaukan matanya. Bagaikan tercabut keluar
jantungnya bila sepasang matanya menyasar pada sesuatu yang amat
mengejutkannya. Tepat di depannya, pada cermin ‘tinted’ sebuah premis
perniagaan, tertera perkataan Klinik Ryan & Damyral. Ditenungnya perkataan
tersebut dengan mulut ternganga. Bola matanya seakan tersembul..
Damyral buka praktisnya di tempat ceruk
macam ni...? Boleh buat duit ke? Tapi kelihatannya dia berkongsi dengan
seseorang... bisiknya tertarik yang teramat.
Dia maju beberapa langkah lagi dan masuk
ke dalam. Matanya mengintai takut-takut ke dalam sebuah bilik yang pintunya
terdedah. Berdebar dadanya tatkala ternampak lelaki itu sedang berinteraksi
dengan salah seorang pesakitnya. Pakaian yang mendatangkan nostalgia itu! Tiba-tiba
sekujur tubuhnya terasa dingin. Terasa seolah-olah dia kini berada di tempat
pertemuan mereka dulu. Alangkah indahnya waktu itu, dan baru kini keindahan itu
dirasakannya.
Kini wajah itu berada di depan
matanya... Aduhai!
Humaira menggigit bibirnya lalu segera
beredar meninggalkan tempat itu sebaik sahaja seorang gadis berseragam jururawat
bertanyakan urusannya.
Kenapa dengan aku ni? Dia menghela nafas
panjang. Tolonglah... aku tak pernah macam ni! Rintihnya mendongak ke langit
biru di luar klinik tersebut.
Pelik juga memikirkan lelaki sekacak
Dr.. Damyral sanggup meninggalkan Hospital Putrajaya yang serba moden dan canggih
itu. Kemudian membuka praktis di tempat yang
jauh daripada keseronokan seperti daerah itu.Paradoks. Nafas yang dihela turut
menghantar rasa resah ke seluruh pelusuk jiwa. Lagi dia menyeranahi dirinya.
Memang dia sudah penasaran. Humaira tergila-gilakan lelaki? Tunggu kiamat!
Argh... kenapa tiba-tiba mesti ada rasa
kosong itu? Bahkan di saat itu, ada keterujaan di hatinya kerana diberikan peluang
melihat lelaki itu sekali lagi setelah sekian lama. Dia seperti terinang-inang
dalam diam. Alangkah inginnya dia masuk tadi serta menyapa lelaki itu dengan
bertanya khabar.Ya... apa khabar dia? Apa khabar Dr.. Damyral?
Kenapa dengan aku? Ini bukan rindu...
Bukan rindu! protesnya lalu mengangkat lututnya dalam keadaan berbaring.
Wajah Damyral menerpa dan terus menerpa
lagi.Dia bangkit lalu berlari setempat depan almari solek.Mengharapkan dapat menghapuskan
wajah Dr. Damyral dari ruang ingatannya.Dia melajukan lagi lariannya bila
terapi itu langsung tidak berkesan. Dengan harapan ingatan itu akan terusir bila
dia sudah termengah-mengah nanti.
“Astaghfirullah.Gebang betul!”
“Tak puas berjoging ke? Sampai dalam
bilik pun sambung lagi? Kemaruk sangat ke nak slim? Shape kau tu aku tengok okey. Jadi, apa masalahnya
sekarang?” Huwaida tercegat di ambang pintu memerhatikan aksi Humaira yang
melucukannya.
Humaira memberhentikan larian
setempatnya. Dia segera berpaling pada Huwaida. “Aku ni dah dimakan sumpah, tau
tak? Aku dah tergila-gilakan lelaki yang aku ‘ceraikan’ dulu!” katanya
berseloroh dalam nafas termengah-mengah.
“Cakap itu hati-hati sikit. Mana ada
perempuan ceraikan suami?”
“Serius Aida.Aku ni macam terkena
sumpahan yang aku buat sendiri!” tegas Humaira lagi.
“Sumpah apa pulak? Jomlah makan. Aku dah
hidangkan sarapan penuh satu meja tu. Biar joging kau tu tak berkesan.” Dia
melawak lalu berpaling dan meninggalkan Humaira yang kemudian mengekorinya
hingga ke meja makan.
“Banyaknya!” Humaira terkejut
memerhatikan mihun kari, kueteau goreng, nasi lemak dan kuih-muih yang tersaji
di depannya. Huwaida menyengih.
“Semalam kau memekak sampai bingit
telinga aku ni. Konon dah jemu makan cekodok ‘first class’ aku tu. Sekarang
makanlah puas-puas.” Huwaida mengekeh.
Sambil itu, matanya merakam tubuh
Humaira yang masih terserlah ramping dan cantik meskipun dibalut oleh sweater dan seluar trackbottom. Humaira pula sedang membelek-belek
aneka sarapan yang terhidang.
“Duduklah Aira. Hormat rezeki ni. Jauh
tau berjalan kaki ke gerai Mak Cik Suria tu. Nak pula kalau aku beli makanan
ini dengan duit royalti kau tu...” Huwaida mengekeh sekali lagi. Humaira
tersengih. Huwaida memang selamba.
Melihat Humaira masih berdiri, Huwaida
menariknya dan menghempuknya kuat ke kerusi menyebabkan Humaira terjerit sakit.
“Tulang kau ni memang tulang jantanlah,
Aida. Sakitlah kau tahu tak?” rungut Humaira bangkit semula sambil
mengusap-usap punggungnya yang sengal akibat terhenyak kuat tadi.
Setelah duduk semula, dia menarik piring
kueteau ke dadanya. Sambil mengerling geram pada Huwaida yang tersengih-sengih
menganggap lucu perlakuannya itu.
“Ex
kau yang mana satu?” Huwaida ingin tahu.
“Cinta pertama aku. Dia satu-satunya
lelaki yang melekap di hati ni. Baru aku sedar yang aku memang cintakan dia.”
Huwaida mengangkat kening.
“Oh... yang kau sebut-sebut semalam eh?
Balasan dosalah tu.” Dia mengejek sambil
menempelak dalam nada lembut.
Humaira mendengus sambil
mencakar-cakar kueteaunya.
Tau pulak marah... bisik Huwaida.
“Aira.” Huwaida memulakan kembali.
Mukanya diseriuskan.
Suasana senyap seketika. Sambil
bermain-main dengan garfunya, Humaira melayangkan ingatan pada pertembungannya
dengan Dr.. Damyral tadi. Manakala Huwaida pula berpuli-puli merangka cara
berkesan untuk mengubah gelagat gila-gila Humaira sejak bergelar novelis.
Mengalahkan Raja Syahriar... Huwaida
berbisik sendiri.
Kalau Maharaja Syahriar menukar
permaisuri baharu setiap kali menyambut siang, dia pula menukar teman lelaki
setiap kali menyambut manuskrip terbaharunya. Tergeleng Huwaida bila difikirkan
lama-lama. Dia tahu, Humaira kurang senang jika dia mencampuri urusannya. Tapi
dia perlu peduli.Dia sayangkan kembarnya itu.
“Aira... cuba kau dengar baik-baik.Kata
orang,meruntuhkan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan
Kaabah.” Humaira yang sedang menyuap kueteau ke mulutnya semerta mengangkat
muka. Tertegun. Dia menjungkitkan bibirnya mengejek ungkapan kata-kata Huwaida
tadi.
“Belum habis ke? Tadi kau suruh aku
hormatkan rezeki.” Dia mengelak, enggan melayan.
Tiba-tiba matanya membundar.
“Wei... sapa cakap meruntuhkan Kaabah tu
tak berdosa?”
Huwaida mendengus sambil menyepetkan
matanya.
“La... bila pulak aku kata tak berdosa?Kau
tak dengar keapa yang aku kata tadi?” geleng Huwaida. “Yang aku kata ialah,
melukakan hati seseorang itu lebih besar dosanya daripada meruntuhkan Kaabah.”
Suaranya agak bergumam kerana sedang mengunyah nasi lemak.
Humaira membuat mulut melopong sesaat.
Kemudian dia menyuap sesudu kueteau ke mulutnya dalam aksi mengejek.
“Kau tahu kenapa? Kerana Kaabah tu
dibina oleh manusia, tapi hati itu dicipta ALLAH SWT. Merosakkan hati seseorang
sama saja macam merosakkan ciptaan ALLAH.Aira, cuba lajakkan sikit fikiran kau
yang tumpul tu. Bayangkan apa akan jadi kalau mangsa cinta sementara kau tu,
sampai bunuh diri atau jadi gila kerana kecewa? Fikir sikit Aira!”
Humaira terdiam.Dia meletakkan sudunya
lalu menarik secawan kopi panas rapat ke arahnya. Buat sesaat dia termangu
sambil mengembala otaknya.
Sukar juga dia hendak mencari alasan
untuk meninggalkan Dr.. Damyral dulu. Dia gagal mencari kesalahan lelaki itu.
Tapi lebih mudah berurusan dengan Amirul Ansari dan Kamal Asfahan. Kesalahan
mereka hanyalah kerana memaksanya membuat keputusan segera. Konon ibubapa
mereka sudah tidak sabar hendak menerima menantu perempuan dalam keluarga
mereka.Frasa‘belum bersedia berumah tangga’ dijadikan Humaira sebagai alasan!
Humaira mengangkat dagu dan mencerunkan
matanya gaya orang tenat berfikir.
“Kau agak-agaklah Aida, Azril tu boleh
sembuh tak?Aku tahu aku berdosa mempermainkan dia.Sebab tu,aku tak henti berdoa
supaya dia dapat ganti seorang gadis yang lebih baik daripada aku.” Mendengar
itu, keluar gerluhan dari mulut Huwaida.
“Betullah tu.Kau jahat jadi, tak layak
untuk romeo tu!” cebiknya.
Humaira membalas dengan membuat memek
muka yang sama. “Layan kopi panas kau ni lagi baik. “Dia menyimpul hujung
bibir..
“Aira. Taubatlah. Cukuplah dah tujuh
orang tu. Cukuplah kau permainkan perasaan orang.Aku takut ada yang berdendam.
Tak sanggup aku tengok kau dalam bahaya. Lagipun, aku tengok kau dah mula terima
balasan dosa kau tu. Bukan ke kau dah tergila-gilakan semula teman lelaki
pertama kau tu. Kau kata dia tinggal di Putrajaya kan?”
Humaira terdiam. Selamba saja Huwaida
menempelaknya pasal dosa.Apapun, dia sedar Huwaida ikhlas risaukan keselamatannya.
Kerana itu juga Huwaida dulu, akan mengekori Humaira ke mana saja kecuali jika
ke tempat kerja. Mending dia sudah berhenti jadi guru tadika sekarang ini, jadi
‘bodyguard’ sepenuh masa lah nampaknya!
“Aku takkan apa-apa. Aku tahu limit
aku.”Humaira mempertahankan polisinya.
“Aku yakin, ditakdirkan kau bercinta
lagi, semua akan jadi tunggang terbalik.Nasib tak baik, kau tu nanti yang akan
terkejar-kejarkan semula mamat yang jadi mangsa kau. Tengoklah apa yang dah
jadi pada kau sekarang. Terangau sana, terangau sini.Sekarang mana kau nak cari
teman lelaki itu yang mengharu otak kau sekarang?” Humaira yang mendengar
mengetap bibirnya sambil mengangkat keningnya.
Mustahil dia akan beritahu Huwaida yang bekas
teman lelakinya itu kini menetap di lokaliti yang sama dengan mereka.Lagipun
Huwaida hanya kenal nama Rafiq, bukan Damyral.
“Jika betul apa yang aku teka ni, Kau
tanggunglah sendiri akibatnya.Hukum karma beb.Hukum karma!” Keluar lagi sumpahan
Huwaida dek kerana geram.
Humaira mengembangkan hidungnya yang
mancung itu. Riak wajahnya sengaja dibuat-buat untuk menjengkelkan Huwaida.
“Kau ni memang tak berperasaan.Kosong!”
Huwaida bangun lalu ke ruang tamu menyandar di sofa. Sambil menjeling pada
Humaira yang terus tercatuk di meja makan.
[[[[[[[[[sambungan
sambungan dari BAB 10 + BAB 11
[[[[[[[[[sambungan
sambungan dari BAB 10 + BAB 11
Penat memerhatikan Humaira, mata Huwaida
merayap ke seluruh ruang rumah yang masih berselerak itu. Dia saja yang
beria-ia berkemas. Kerja Humaira, hanyalah mengemas rak tempat dia menyimpan
novel-novel dia dan rakan-rakan penulisnya saja. Yang lain terbiar menunggu
ehsan Huwaida.Huwaidalah yang menyelenggara hampir kesemuanya.
Berkira betul kudratnya... siapalah yang
nak buat bini perempuan dengan fi’il macam tu! dengus Huwaida yang masak sangat
dengan sikap pemalas Humaira.
“Harapkan muka macam pelakon sinetron,
tapi perangai mengalahkan kaki lepak!” laungnya pada si kembar.
Humaira hanya diam. Dihirup kopinya
sambil tersengih.
Dalam mencemik dan mengkritik sikap
Humaira itu, jauh di lubuk jiwa Huwaida, dia mengagumi paras wajah yang memang
penuh pesona itu.Apa yang Humaira tak ada? Wang banyak. Peminat ramai. Aku saja
yang tak ada kehidupan aku sendiri. Hanya berdiri belakang bayang-bayang dia,
keluhnya agak terkilan.
Tapi aku tak boleh hidup jauh dari dia.
Memang aku tak boleh, akuinya akan hakikat tersebut.
Humaira bangun meninggalkan meja makan.
Dia bergerak ke jendela di sebelah komputernya. Terasa betapa nyaman angin yang
mencuri-curi masuk.Dia menikmati fenomena sekecil itu dengan penuh syukur.
Lensa mata dihalakan ke luar. Menatang
seluruh landskap di bahagian tersebut. Pandangannya kemudian tertancap pada
bagan berpergola yang dibiarkan oleh penghuni terdahulu. Daun-daun yang
berjuntaian dari cecelah liang pergola tampak keringdan layu. Dia bertekad
hendak membuang saja pasu-pasu berbalut mikrame yang berjuntaian itu. Kalau
boleh dia mahu menggantikannya dengan spesies Episcia yang digemari ibunya,
Zainon. Puspa-puspanya yang kecil kemerahan akan menaikkan seri pergola yang
kusam itu.
“Entah bila aku dapat buat semua tu.
Tapi manalah aku ada masa.” Dia menyuarakan perlahan. Bibir di nipiskan.
Memikirkan entah bilalah dia berkesempatan
untuk merealisasikan hajatnya itu. Memikirkan sikapnya yang suka bertangguh
itu, dia menyengih lucu.
“Terbaiklah ‘malas’ aku ni!” lawaknya
dalam hati.
Berkerut muka Huwaida menganalisis aksi
Humaira yang tersengih-sengih sendiri itu.
“Kerana dia aku terpaksa berhenti
mengajar budak-budak di tadika tu. Sekarang aku dah jadi penganggur kehormat.”
Dia melepaskan apa yang terbuku. Mencerlung pada Humaira dengan muka
cemberutnya.
Teringat Huwaida akan insiden di satu
petang yang menghantar mereka ke kotej sekarang.
BAB 11[SEBELAS]
'ANAK berdua ni ke kembar yang bernama
Humaira dan Huwaida?” Lelaki baya itu mengisyaratkan ibu jarinya pada Humaira
dan Huwaida yang diam kehairanan.
“Rupa kamu memang tak sama.”
terangguk-angguk lagi dia dengan kilauan aneh di matanya. “Pelik juga kerana
Syahirah dan Munirah tu kembar seiras.” Dia senyum sambil mengamat-amati wajah
kedua-duanya. Tapi pandangannya agak lama hinggap di muka Humaira.
‘Siapa Syahirah? Siapa Munirah?”
berdetak di hati Huwaida dan Humaira. Apa kena-mengena dengan mereka?
“Ayah kamu yang berikan alamat ni, jadi
tak perlulah berprasangka yang bukan-bukan. Nama pakcik, Lutfi.”
Humaira dan Huwaida sebenarnya masih
terpinga-pinga dengan kemunculan lelaki yang tidak dikenali itu. Cakap pula
terus ke isu fokal, apa kes? Tiba-tiba ditawarkan pula rumah untuk mereka
tinggal secara percuma!
Mereka kemudian diminta lelaki itu agar
menemui sepasang suami isteri. Suami isteri itu dalam rangka berhijrah ke
Australia kerana hendak tinggal bersama anak sulung mereka yang bermastautin di
sana kononnya. Sepasang suami isteri yang sudah berumur. Sangat ramah orangnya.
Tertanya-tanya Humaira, siapa sebenarnya
mereka berdua itu? Apa kaitannya dengan dia dan Huwaida? Kenapa dia dan Huwaida diminta tinggal di rumah mereka? Aneh!
“Ini amanah. Permintaan daripada
seseorang.” Itu yang dulang-ulang pada Humaira dan Huwaida yang tidak berhenti
bertanya.
Tapi amanah siapa? Tanda tanya tersebut
hingga ke saat itu masih berserabut di kepala menjadi teka-teki yang tinggal
tidak berjawab. Memang luarbiasa tawaran tersebut. Tetapi oleh kerana terdesak
hendak lari daripadaAzril, tanpa menimbang pro dan kontra, tawaran tinggal
secara percuma itu mereka terus terima.
Humaira menoleh bila intuisinya
menangkap Huwaida sedang memerhatikan gelagatnya.
“Simpan sajalah tazkirah kau tu. Tengah
dok fikir plot manuskrip baru aku ni!” bohongi Humaira. Kemudian kembali meninjau
ke luar.
“Teringat yang mana
satu?” Huwaida
menyindir. Humaira yang tercuit dengan sindiran itu menjawab.
“Cuba kau bayangkan apa akan jadi kalau
aku betul-betul kahwin dengan Azril. Parahkan? Malam-malam nak kena layan. Pagi
petang kena siapkan makan minum dia. Habis, bila masa pula aku nak menulis?
Hatta, seluruh hidup aku nanti, hanya untuk melayan karenah dia sorang!”
Dia melepaskan
perasaannya meskipun tidak ditanya Huwaida. Sedang matanya terus melekap di
pergola yang terbiar itu. Teringat dia pesanan aneh pasangan suami isteri itu.
“Jangan beritahu sesiapa alamat ataupun
kedudukan rumah tu nanti. Walaupun pada emak awak sendiri!” Bukankah pelik dan
misteri bunyinya?
“Lantaklah. Aku menyorok kat sinipun
hanya untuk sementara saja.” Humaira menyedap-nyedapkan hatinya.
Sambil dalam hati dia bertekad untuk
keluar dari situ sebaik-baik beroleh kediaman yang berkenan di hati Huwaida. Dia
sendiri tidak kisah. Tidak cerewet seperti Huwaida yang sangat pembersih. Asal
selesa dan kondusif untuk dia meneruskan kerja-kerja penulisannya, cukuplah!
Tidak seorang pun di antara teman lelakinya
yang mengetahui apa sebenarnya kerjaya Humaira selain bertugas sebagai
setiausaha. Jika tidak, mudah saja hendak mencarinya di syarikat penerbitan yang
menerbitkan novel-novelnya.
BAB 12 [DUA BELAS]
SIAPA yang tidak kenal dengan penulis
bernama Ruhi Hasrat? Penulis yang sudah berjaya melahirkan enam buah novel yang
meletup-letup di pasaran. Novelnya yang ke tujuh kini sedang dalam rangka
memasuki pasaran. Para peminat karya-karyanya sudah tidak sabar menanti buah
tangan terbarunya. Hebat sungguh penangan seorang novelis yang bernama Ruhi
Hasrat itu!
“Sekarang aku tak tahu macam mana nak
hidupkan babak percintaan dalam novel ni. Hero dan heroin macam kaku aje. Aku
cuba ubah ke genre Islamik, tapi masih kaku. Kenalah aku cari satu orang ustaz ni. Ustaz Fadzil tu boleh tahan juga.
Dia pun, macam sukakan aku...” Humaira berseloroh sengaja hendak menyakat
Huwaida yang asyik mengerling padanya.
“Aku jerut leher kau dengan tali mikrame
ni baru tahu.” Huwaida menjegil.
Humaira terkekeh-kekeh ketawa. “Kau
kenal Ustaz Fadzil kan? Mamat Pordia yang dah lama masuk Islam dan dah bergelar
ustaz tu?” Humaira mengekeh lagi.
“Pordia?”
“Campuran Portugis dan India.” Humaira
mengikik terus.
Huwaida menggeleng. “Hoi Aira.
Bertaubatlah buat kerja tak senonoh tu. Asal nak tulis novel baru saja, kau
cari mangsa baru. Spesies Drakula ke apa kau ni? Merosakkan hati manusia ni
berdosa besar.” Huwaida belum jemu menasihat.Entah yang ke berapa puluh kali
pula.
Dia tidak pernah berputus asa. Meskipun
pasti yang nasihatnya itu langsung tidak berkesan pada si pemburu cinta
itu.Bagaikan memantaknya ke telinga kuali.
Tapi dia sayangkan Humaira. Dia tidak
mahu kembarnya itu ditimpa musibah. Dia takut perbuatan Humaira itu didendami.
“Kau ingat aku ni macam Anis Ayuni?
Ramlee Awang Mursyid?mMudah saja nak tulis novel. Mereka mungkin tak perlu
dapatkan feel macam aku. Kau apa tahu? Menulis novel bukannya mudah. Aku mahu
menulis sesuatu yang boleh meresap hingga ke hati pembaca. Kau fikir apa?”
Huwaida mencemik mendengar penjelasan
Humaira.
“Nak muntah aku!” ejeknya.
“Kau tahu Aida? Setiap kali aku dicintai
seseorang, aku berasa sangat romantis, dan perasaan itu membantu aku
menghidupkan jalan cerita aku. Biarpun lama-kelamaan aku berasa jemu. Tapi
sempat juga aku siapkan manuskrip aku!”
“Astaghfirullah...” Huwaida
beristighfar. Istighfar yang entah ke berapa ribu kali pula. Dia meletakkan ke
meja sisi, tali-tali mikrame yang bersimpul yang ditanggalkannya dari pergola
di laman kotej itu.
“Nak aku label kau ni sebagai gatal, tak
juga. Tak pulak kau layan boyfriend kau
tu macam perempuan kemaruk jantan. Tapi, kau ni bercinta macam petik bunga.
Lepas petik, kau cium. Lepas cium, kau buang. Wei... tak baiklah Aira kau buat
macam tu selalu. Tengok apa jadi pada Azril. Merana betul dia. Sampai kita
terpaksa menyorok di sini. Kira balalah tu. Segeralah bertaubat!” Humaira
selalunya diam jika terasa dirinya bersalah.
Azril tu fanatik! dengusnya.
“Okey Aira, aku ada cadangan untuk kau.
Apa kata kau buat novel thriller. Berhenti buat romance genre. Tadi kau cakap
pasal Ramlee, dia kan penulis novel thriller? Genre thriller ni tak perlu
feeling tu semua. Guna fakta dan imaginasi saja.”
Mendengar itu Humaira memutar bola
matanya ke atas. Dia merapatkan lagi tubuhnya ke tingkap. Keningnya berkerenyut
sewaktu pandangannya sekali lagi diterpa kelibat wanita yang sering memunculkan
dirinya di sekitar halaman kotej tersebut. Wanita itu kini sedang duduk
berjuntai kaki di bagan berpergola tersebut. Bila masa pula munculnya?
Wanita itu memakai baju kurung Kedah
dengan kain batik berwarna cokelat. Dia mengamat-amati wajah yang dijuruskan ke
lain itu.
“Siapa? Macam tak betul.” Dia tertanya-tanya
ingin tahu lantas segera menghampiri Huwaida di kerusi empuknya.
“Ada jiran kat bagan tepi sana. Pergilah
jenguk. Mungkin dia datang nak bertanya khabar,” katanya lalu cepat-cepat menjatuhkan
diri dan berbaring di sofa setentang. Aksi mengelak dari melakukan tugas yang
disuruhnya Huwaida bereskan itu.
Huwaida mendengus. Sambil membuat mimik muka dia
bangkit dan menuju ke pintu. Sepuluh minit saja dia hilang,kemudian dia muncul
semula menghadap Humaira.Dia mendekat lalu menepuk kuat punggung si kembar yang
sedang meniarap di sofa itu. Humaira terjerit. Terasa perit, dia lantas bangkit dan menentang muka Huwaida.
“Nombor satu, jiran yang kau kata tadi
tu,memang tak nampak muka dia pun. Memang sah tak ada!
Nombor dua, meniarap macam tu, bagi
peluang diperkosa syaitan ataupun jin kafir.” Mendengar itu Humaira menyengih lucu.
“Makcik tu dah pulang kut. Kenapa dia
tak ketuk pintu depan? Kalau betul-nak tanya khabar?” dalih Humaira sambil
benaknya membayangkan wajah wanita itu tadi.
Masing-masing saling terdiam.
Meneka-neka jiran dari rumah yang mana satu.
“Semalam yang kau tegur kenapa aku cemas
sangat tu, pasal tergamam ternampak dialah. Tiba-tiba saja tercegat depan
tingkap dapur, menakutkan orang. Lepas tu ghaib.Terkejut gila aku!” Mendengar
cerita Humaira itu, Huwaida berubah serius. Mukanya berkerut cemas. Terpapar
riak ketakutan di wajahnya. Melihat ekspresi mukanya yang sudah berubah itu, Humaira mula terkekeh lucu.
“Oi... bukan hantulah. Dia manusia macam
kita juga. Jangan berteori yang bukan-bukan okey?”
Huwaida mengurut-ngurut dada. Dia memang
penakut.
“Kotej yang kita diami ni okey.Tak perlu
risau,” yakini Humaira lagi.
Huwaida mendadak
berdiri. Tiba-tiba saja menarik lengan Humaira supaya mengikutnya. Lagi kuat
Humaira cuba melepaskan pautannya itu, lagi kuat lengannya dijujut Huwaida.Akhirnya,
Humaira mengalah dan membiarkan saja dirinya dituntun ke bilik belakang. Tubuh
adik kembarnya itu lebih besar. Memang tidak mungkin dia mampu mengatasi
kekuatannya.
Sampai di bilik yang terletak paling
belakang, Huwaida memusing tombolnya lalu menolak daun pintunya dengan agak
kuat. Bunyi berkeriut menandakan pintu itu jarang dibuka.Memang bilik itu sudah
lama tidak digunakan.
“Habis perabot yang tak diguna disumbat
ke dalam ni,” kritik Humaira sebaik-baik menerjah ke dalamnya.“Berhabuk!”
tambahnya lagi.
“Kotej ni cantik. Tapi weird.Aku jumpa banyak bingkai gambar
yang pecah. Tuan rumah dulu tak kisah nak buang agaknya.”
“Entahlah. Kalau kau tak selesa atau
terjumpa makhluk pelik berkeliaran dalam rumah ni, nanti kita carilah rumah
lain. Apa susah, duit aku banyak.” Humaira melawak sambil menghilai, membuatkan
kening Huwaida berkerut semula.
“Jangan menghilai macam tu, naik tegak
semacam bulu tengkuk aku. Tapi bila aku fikirkan, peliklah kenapa pasangan
suami isteri tu beria-ia suruh kita tinggal di rumah dia ni. Tak pelik ke?”
Humaira terdiam. Benaknya tenat menganalisis sesuatu.
“Part
tu aku setuju. Aku juga terfikir, buat apa dia bina pagar cantik dan
mahal macam tu, kalau dia tak nak tinggal di sini lagi?”
Tapi dia cepat-cepat mengancip bibirnya
bila terfikir yang ungkapan berbau negatif seperti itu, hanya akan melunturkan
semangat Huwaida untuk terus tinggal di situ.
“Fikirlah Aira. Tiba-tiba saja ada orang
tawarkan kita tinggal di rumahnya. Kalau rumah buruk atau rumah tinggal terbiar
tu, tak adalah aku pelik sangat.Tapi rumah ni cantik.”
Humaira mengangguk.
“Yup.Setuju!”
Memang Humaira hairan sewaktu mula-mula
sampai dulu. Namun ketika itu, dia enggan membuka mulut. Takut Huwaida
berbolak-balik hendak tinggal di situ pula. Mana nak dicari rumah sewa dalam
masa sesingkat itu? Sedangkan dia perlukan tempat yang cukup selamat untuk
menyorok daripada Azril yang ketika itu sedang penasaran terhadapnya. Siapa
tahu? Mungkin sekarang pun dia masih memburu Humaira di merata-rata tempat?
“Kau pulak desperate sangat nak lari. Jadi, aku pun setuju sajalah...” ujar
Huwaida.
“Aira, mungkin kita ni sebenarnya sedang
masuk perangkap yang lebih berbahaya dari amukan Azril. Perangkap halus?”Huwaida mula berandaian.
“Jomlah ke ruang tamu.” Humaira
cepat-cepat menarik Huwaida keluar dari situ.
“Hmm... aku dengar kau sebut ‘Perangkap
Halus’ tadi. Itu tajuk novel Ramlee terbaru ke?” seloroh Humaira ingin mengusir
kebimbangan di hati kembarnya itu.
“Jangan melawaklah. Tak lucu pun!”
Huwaida duduk menyandar di sofa dengan ekspresi bimbangnya.
“Kita mungkin sedang diperangkap suami
isteri tu.” Tetap mengesyaki ada sesuatu yang tidak beres sedang mengintai
mereka.
“Aku tak fikir begitu. Dia kata, itu pesan
seseorang yang minta kita tinggal di rumah ni. Tapi bila kita usyar, tak pulak
dia bagitahu siapa orangnya,” rumus Humaira.
“Tapi kalau kita dalami maksud mereka
tu, bermakna ini bukanlah rumah mereka. Tapi... ternyata kepunyaan orang yang
minta kita tinggal di sini! Rahsia itulah yang patut kita cungkil, bukan suami
isteri tu.” Huwaida terlopong mendengar teori Humaira tersebut.
Mukanya sudah tidak tentu arah, resah.
“Sementara saja Aida. Nanti kalau dah
biasa dengan tempat ni, aku akan cari rumah lain. Aku janji, okey?” Humaira
beralah. Mendatarkan intonasinya. Sambil menyembunyikan perasaan tidak sedap
hati sendiri. Hati kembarnya yang mula tabrakan itu perlu diteguhkan.
Tiba-tiba, tingkap di ruang tamu yang
tadinya menganga luas, terkatup mendadak.
“Opocot!” Huwaida tersentak. Daun
tingkap itu seperti dilantun dari luar oleh seseorang. Humaira mengikik
mendengar Huwaida terlatah.
“Topik yang kita bualkan ni macam ada special effect,” katanya mengikik
lagi. Mentertawakan Huwaida yang terlatah.Rajin pula dia bangun untuk menguak semula
tingkap.
Sewaktu melemparkan pandangannya ke
pintu pagar, dia pula yang hampir terlatah sebaik-baik terpandang kelibat
wanita tadi sedang menyandar di tembok pagar seraya tersenyum padanya. Dengan
rambutnya yang kusut masai, cukup menggugat bila dia tersenyum semanis itu!
“Belum balik lagi rupanya. Malaslah aku
nak layan...” getus Humaira lalu kembali ke sofa. Dia menyandar dengan kening
berkerut. Dia mengangkat dagunya pada Huwaida dengan niat hendak bertanya
tentang jiran tadi. Namun niatnya itu dipatahkan bila Huwaida kembali
menimbulkan isu novel thrillernya.
“Aku serius. Kau tulislah novel thriller
macam Ramli Awang Mursyid tu, Aira. Novel macam tu tak perlukan feeling.” Saranan Huwaida membuat
Humaira terlupa terus kes wanita tadi. Dia membuat bunyi mengejek ‘kah kah
kah’.Hangat juga cuping telinga Huwaida.
“Tempat ceruk macam ni memang paling sesuai
untuk seorang ‘Ruhi Hasrat’ menulis novel thriller. Percayalah cakap aku ni.”
Huwaida tetap dengan gagasannya.
“MISTERI KOTEJ PERCUMA oleh Ruhi
Hasrat!” Huwaida mengejeknya.
“Ruhi Hasrat? Anak tok ada beberapa
naskhah novel nukilan Ruhi Hasrat.” Kedua-dua kembar itu tersentak.Sekilat menoleh
ke pintu mencari sumber suara.
“Dah pintu
ternganga lebar, jadi,tok masuklah.” Lelaki itu tersengih-sengih. “Rumah tok di belakang rumah ni saja. Rumah separuh papan yang dah buruk
tu. Nama tok, Tok Adam!”
Dalam tersengih-sengih dia
memperkenalkan dirinya. Tersipu-sipu Humaira bila lelaki itu enggan menyambut
tangan yang dihulurkannya.
“Lelaki yang sambut tangan perempuan
bukan muhrim, sama saja macam jinjing daging babi. Tak terkecuali perempuan
tau?” Pesanannya itu membuat Humaira goyah.Malu
benar rasanya.
“Tapi kalau kau berdua cucu atok tak
apalah…” Dia berseloroh sambil matanya memicing. Kedua-dua kembar terdiam.
“Ruhi Hasrat ya? Memang tok ada belek novel
Landasan Terakhir Cinta. Tapi setengah jalan saja. Muallah tekak tok, nak baca kisah
cinta orang muda ni. Tapi anak dara tok memang minat sangat dengan Ruhi Hasrat
tu,” pujinya membuatkan Humaira menjongketkan keningnya berisyarat bangga pada
Huwaida.
Huwaida mencemik sambil menyentuh
kedua-dua bahunya tanda meluat. Humaira tergelak-gelak membalas.
“Tok cuma nak pesan. Kalau anak berdua
ni perlukan tukang kemas laman atau tak puas hati dengan gaya tok mesin rumput
tu, datang kat rumah tok buat komplen ya? Itu memang kerja tok. Tok minta diri
dulu!” katanya tidak lekang dengan senyumannya.
Sebaik-baik lelaki tua itu keluar,
Huwaida mengangkat muka berisyarat pada Humaira.
“Kunci pintu!” Serentak terlontar keluar
dari mulut kedua-duanya. Seperti biasa, Huwaidalah yang menggalas tugas
tersebut.
Dah setua Tok Aki macam tu pun masih ada
anak dara lagi ke? Humaira mengekeh-ngekeh tidak tahan dengan kelucuan
tersebut.
[[[sambungan. KINI BAB 13
[TIGA BELAS]
"DAMYRAL!” Lelaki yang disapa
berpaling. Lama dia terpempan. Kejutan itu memang tidak disangka-sangka. Tidak
berkelip matanya menerkam Humaira.Dia terperanjat besar.Ya ALLAH... kalbunya
berbisik.
Dia?
Humaira seperti itu juga. Bungkam.
Terpaku di tempat dia tercegat. Hanya bibirnya yang bergetar kerana terlalu
kepingin menyeru nama itu sekali lagi. Manakala Dr.. Damyral terus dalam
kondisinya. Terpempan.
Betulkah apa yang aku nampak
ni.? Atau aku bermimpi? Baru semalam aku pakai baju yang pernah aku pakai di
pertemuan pertama kami dulu.Takkan hari ini tiba-tiba saja dia buat penampilan
khas! Dia berbisik seraya mengecil-ngecilkan matanya cuba fokus.
Sebenarnya semalam ialah tarikh
ulang tahun Humaira memutuskan hubungan mereka. Setiap kali tibanya tarikh
tersebut, Dr.. Damyral pasti akan menyarung semula baju tersebut untuk
mengingatkan dirinya betapa pembelotan Humaira terhadapnya. Dia mahu melupakan
Humaira, tetapi tidak tindakan kejam gadis tersebut. Ada tercemar dendam di
hatinya yang dulu sungguh luhur terhadap gadis itu.
Sudah empat tahun dia meninggalkan
Putrajaya semata-mata hendak melarikan diri daripada insan yang sedang tercegat
di depannya sekarang. Gadis jelita yang telah merampas seluruh kebahagiaan
hidupnya. Kini, gadis itu sedang menyapanya. Hanya beberapa kaki saja di
depannya. Bagaimana dia tidak bungkam terkejut!
Dr.. Damyral masih diam. Terpaku dan
tidak berganjak walau seinci. Hanya matanya yang mengikuti setiap pergerakan
Humaira.
Humaira yang pulih dari tergamam
perlahan-lahan mara mendekatinya. “Nak ke mana?” Dia kian hampir.
Tidak sabar dia hendak
menentang lebih dekat wajah lelaki yang sedang mematung di depannya
itu.Teragak-agak bibirnya mengukir senyum. Ada gerak sinkronis pada getar di
bibir dan debar di dadanya.
Manakala Dr.. Damyral yang sudahpun
pulih daripada tergamam sekadar menggerakkan matanya tanpa bergarit dari
posisinya. Riaknya tetap serius. Mindanya sedang mengadaptasi diri pada
pertemuan yang tidak disangka-sangka itu. Sesuatu yang tidak pernah
terlintas di akalnya! Berjumpa semula Humaira?
“Seriusnya awak. Assalamualaikum!”
Humaira menyapa lagi. Teragak-agak. Dalam termengah, bibirnya yang bergetar
menggagahkan sebuah senyuman.
Dr.. Damyral merenungnya sambil menarik
nafas panjang-panjang. Dia juga sudah pulih dari kondisinya yang tergamam tadi.
Cuma senyum masih mahal di wajah itu. Setelah berjurus lamanya merenung,
barulah lelaki itu mengangguk pada Humaira. Hanya sekali. Dia nampaknya amat
berwaspada!
Untuk sesaat Humaira dibuai leka.
Alangkah kacak dan tenang paras di depannya itu. Kesan udara bersih daerah
itukah? Ada damai di wajah itu. Atau, apakah dia salah mentafsir? Humaira
meneliti wajah yang pernah memukaunya ketika di Badaling dulu itu..
Tapi dia telah meninggalkan
lelaki itu.
Tanpa alasan.
Tanpa sebab.
Meskipun ada ikrar yang sudah
terpatri.Sungguh, dialah lelaki yang paling sabar bahkan paling gentleman
berbanding kesemua bekas teman lelakinya yang lain. Ditatapnya wajah lelaki itu
dengan penuh rindu.
“Aira panggil tadi sekadar hendak
merenung saja ke?”
Dr. Damyral sudah memulakan
interaksi. Jelas sekali dia memutar fakta. Kerana sesungguhnya,dialah pihak
yang paling terkedu dek insiden tersebut. Humaira tersentak.Dia berhenti
menganalisis.. Diujanya nafas dalam tersipu. Kenapa hati jahatku ini bergetar
semacam? Terlalu kalut? Tersipu-sipu lagi.
“Aira apa khabar?” Dr.. Damyral
bertanya dengan matanya dikecilkan untuk fokus pada wajah yang sudah sekian
lama tidak ditatapnya itu.
Empat tahun berlalu. Wajah itu
tidak sedikit pun mengalami sebarang perubahan. Masih secantik Humaira yang
mempesonakannya ketika pertembungan pertama di Tembok Besar Badaling dulu. Ada
sesuatu membengkak di dadanya mengimbas pertemuan yang telah membuka lembaran
baru dalam hidup masa lalunya itu. Lembaran yang terkoyak, namun dilipatnya
kemas dalam memori.
“Awak macam tak suka melihat saya.”
Humaira cepat-cepat mengancing gigi. Bukan itu yang hendak disuarakan.
Kenyataan itu hanya berdetik di hati.
Dia sebenarnya ingin bertanya
khabar tapi,kenapa ayat bodoh itu yang harus mendahului lidahnya?Bodoh betul
aku ni. Dia mengutuk kebebalannya.
Dr.. Damyral hilang modal untuk
menjawab.
Akhirnya...
“Siapa kata...” Dia teragak-agak.
Tidak bersedia dengan apa yang hendak dituturkan. Alangkah ironinya!
Hilang kata-kata di depan
seorang perempuan? Tapi makhluk di depannya itu bukan calang-calang perempuan
dalam hidup masa lalunya. Mungkin hanya dirinya saja yang ‘bukan siapa-siapa’
dalam hidup Humaira. Tapi tidak Humaira, dalam hidupnya.
Humaira menelan nafas. Tenungan Dr..
Damyral membuatkan dirinya tidak keruan. Resah. “Awak nak ke mana Damyral?”
Humaira akhirnya menghentam ketul ais yang masih berbongkah untuk mengimbangi
suasana canggung dingin itu.
Dr.. Damyral menjatuhkan
pandangannya ke bawah. “Saya belum sarapan. Saya keluar kerana hendak
bersarapan.”
Humaira mengangguk. Kata-kata lelaki
itu amat ringkas. Malah boleh dikira jumlah perkataan yang digunakannya. Dia
seolah-olah tidak mengalu-alukan pertemuan itu. Tetapi setidak-tidaknya,
perkataan yang keluar dari mulut itu sudah melebihi empat sukukata.
Sepatutnya Humaira pamit saja. Namun
hatinya yang berkeras, degil. Dia tidak mahu terlepas peluang berbual dengan
lelaki itu. Biarpun situasi mereka saat itu tidak ubahnya seperti berdiri di
tengah-tengah sebuah perkuburan sepi.
“Saya... err... baru lepas joging...
kemudian...” Humaira hendak menyambung lagi, tapi tiba-tiba saja dipintas oleh
Dr.. Damyral.
“Saya boleh agak melalui jammies
yang awak pakai tu.” Pandangannya kini tertancap pada pakaian rona biru cair
yang membalut tubuh Humaira.
Tidak banyak yang dapat dilihat
kerana sebarang lekukan disembunyikan oleh pakaian yang longgar itu. Tetapi
Humaira kelihatan seperti remaja dalam kostum sedemikian. Mata Dr.. Damyral
yang tertarik, memuji-muji di dalam hati. Penampilan gadis itu tetap
menggetarkan rindu yang sudah dihumbannya jauh ke telaga hati yang paling
dalam.
Humaira jadi gementar diperhatikan
seperti itu. Ditambah dengan aksi yang sungguh dingin lagi kaku. Resahnya ke
paras maksima.
Dr.. Damyral menghirup nafas.
Diangkat dagunya menentang kejauhan. Lama baru dihempaskan nafas yang sengaja
ditahan. Reda sedikit jiwa yang kacau. Humaira mengetap bibir sambil mengangkat
kening. Hilang sudah apa-apa modal hendak berinteraksi selanjutnya. Situasi
amat kaku. Terlalu kaku. Dr.. Damyral sekali lagi mengecilkan mata
memandangnya. Dia memang teruja bila Humaira membuat mimik muka seperti itu.
Mengetap bibir sambil mengangkat keningnya.
“Bagaimana luka di lutut awak dulu?
Luka tu jadi parut ke? Teruk juga luka dulu tu.” Pertanyaan Dr.. Damyral itu
menyentap perasaan Humaira. Selama lima bulan berpacaran, sejak pulang
dari Beijing, Humaira tidak pernah menyebut lagi tentang kecederaan di
lututnya itu.
Rupa-rupanya bekas teman
lelakinya itu masih ingat akan peristiwa secebis itu. Patutkah dia rasa
terharu? Ada angin nostalgia bertiup entah dari mana.
Serentak kenangan kali kedua
mengunjungi Tembok Besar itu menerjah ke ruang ingatan. Dia menatap wajah yang
bertanya. Tercari-cari elemen sentimental di wajah itu. Masih adakah? Kenapa
perasaannya lain tiba-tiba. Kosong...sayu? Perasaan berdosa juga tidak
ketinggalan. Datang menyelit-nyelit.
Direnungnya Dr.. Damyral yang hanya
memakai kemeja T cokelat dan seluar jeans. Nyaman matanya melihat lelaki itu
berkondisi sesantai itu. Dulu pun, dia akan berpenampilan seperti itu juga pada
setiap ‘date’ mereka. Kecuali pada pertemuan pertama.
“Kalau sering joging macam ni, ada
migrain pun boleh hilang. Saya sendiri selepas mengamalkan joging, bila
diserang sakit kepala saja, cukup dengan Migraine Ice,” akuinya sambil
mengangguk. Hati Humaira tersentuh bila Dr.. Damyral mula memanjangkan bicara.
Tapi sejak bila pula doktor di
depannya ini mula diserang migrain? Tahukah Humaira? Derita perpisahan itulah
yang menjadi punca serangan itu. Rindu lelaki itu terhadap dirinya yang kian
hari kian meremukkan lagi sekeping hati yang dulu cukup waja itu.
“Hmm... luka kat lutut ni, memang
ada tinggalkan parut. Nampak macam line Tembok Besar pulak kat lutut saya ni.”
Alamak... apa pula yang
dia merepek ni? Tapi kata-katanya itu telah membuat bibir Dr.. Damyral merekah
tersenyum. Agak lama bertahan senyum itu di bibirnya.
“Tetap tak lari dari isu Tembok
Besar,” usiknya. Tapi tiada pancaran di mata itu yang menggambarkan perasaan
lucunya. Meskipun bibirnya tersenyum. Senyum itu tidak sampai pun ke matanya.
Humaira menyedari kekurangan itu.
Bahkan ada sesuatu pada pandangan lelaki itu yang menyentapnya. Mengajaknya
mengimbas semula peristiwa dia memutuskan hubungan mereka di Jambatan Sri
Gemilang, Putrajaya dahulu. Humaira tiba-tiba jadi kelu.
“Sudi teman saya bersarapan?” Dr..
Damyral sekonyong-konyong mempelawa. Terkejut bukan kepalang Humaira.
“Nak!” spontan dan pantas sekali
Humaira memotong. Akhirnya dia malu sendiri.
Berkerut-kerut kening Dr..Damyral
dengan reaksi Humaira. “Berjoging memang boleh buat kita lapar,” ucapnya. Tidak
pasti samada mengalas ataupun menyindir.
Tapi dia tersenyum. Tersindir
sungguh Humaira dengan senyuman itu. Apatah lagi dengan terpancarnya kilauan
sinis dari anak mata lelaki itu. Mungkinkah dia mentertawakan keterujaannya
tadi? Atau hanya benaknya saja yang berprasangka?
Tapi argh... dia malu.
Malu!
Nampak sangat dia tidak
menyempat-nyempat menyanggupi pelawaan lelaki itu tadi. Humaira tidak tentu
arah. Diketapnya ketat-ketat bibirnya yang gemar melontar kata-kata tidak
berjadual itu. Selalu sangat belot pada tuannya!
“Awak tahu ke tempat makan yang
popular di sini?” Dr.. Damyral sengaja memberi peluang Humaira untuk memilih.
Humaira menggeleng. Tapi diam-diam
bersyukur kerana soalan lelaki itu sudah membantu mengendur ketegangannya.
Datang semula staminanya.
“Saya... saya sendiri sedang
tercari-cari tempat makan yang menarik. Saya kan baru tiba di daerah ini?” Humaira
berusaha bersikap normal. Sambil mengusir rasa canggung yang kerap kali
mengganggu kelancaran lidah serta aksinya.
Dr.. Damyral mengangguk.
Tiba-tiba mengangkat dagu. Matanya dicerunkan ke satu arah.
“Siapa tu?” Humaira berpaling ke
belakang. Mengekori sasaran mata Dr.. Damyral.
“Itu Aida, kembar saya. Kami joging
berdua tadi.” Humaira amat bersyukur dengan kemunculan Huwaida di saat-saat
seperti itu. Hilang rasa canggung serta kakunya. Dia menyengih pada Huwaida
yang kian mendekat.
“Oh, kembar yang awak ceritakan
dulu. Ya... saya ingat.” Dr.. Damyral terangguk-angguk. Humaira terkedu
kembali.
Kenapa setiap perkataan ‘dulu’
yang terlontar dari mulut lelaki itu sentiasa membenihkan elemen bersalah di
hatinya? Malah turut menggamit nostalgia. Humaira mengeluh dalam diam.
Cepat-cepat dia memperkenalkan Huwaida.
“Hmm... Saya rasa elok kalau saya
bawa awak berdua bersarapan di Jeti Kuala Perlis. Sambil bersarapan, kita
tengok air.” Suaranya bertukar ramah pada Huwaida yang tersengih-sengih
memberikan respon. Mungkin selesa dengan perubahan situasi bila bertambah
seorang lagi responden. Pertama kali dilihat Humaira, Huwaida kelihatan ceria
dan rileks walaupun ada lelaki di antara mereka.
Walhal, sepanjang yang dia tahu,
Huwaida bukannya tahu bergaul disebabkan sikapnya yang kasar dan perengus itu.
Ramai suka mengelak daripadanya. Cuma satu, kembarnya itu tidak pula anti
dengan mana-mana lelaki kecuali terhadap ayah mereka, Fakrul Razi.
Tanpa berlengah mereka
mengikut Dr.. Damyral ke kereta. “By the way, di mana awak parkir kereta awak?
Saya tak nampak pun Toyota Caldina hitam awak?” tanyanya.
Bila dia menyebut Toyota
Caldina hitam itu pun, hati Humaira sudah ditabrak rasa bersalah. Entah kenapa.
Mungkin disebabkan oleh sebuah hubungan yang sudah bobrokan. Tapi bukankah Dr..
Damyral juga ada mengakui yang dia menganggap Humaira hanya kawan? Ketika
mereka berpisah secara baik pada pertemuan terakhir dulu? Justeru perlukah
wujud rasa bersalah tersebut?
Sebenarnya Toyota Caldina itu sudah
tiada lagi. Dia telah menukarnya dengan Nissan Almera kerana bimbangkan
keberadaannya dikesan oleh bekas teman lelakinya yang bukan seorang dua itu.
Terutama Azril yang masih kemaruk mencarinya!
BAB EMPAT BELAS[14]
BAB EMPAT BELAS[14]
LAMBAT betul makanan sampai!” rungut
Huwaida menyigung kuat rusuk Humaira di sebelahnya. “Aku dah lapar.”
Pesanan yang mereka pinta ternyata
‘makan masa’ juga untuk sampai ke meja. Perut masing-masing sudah beramukan bila terhidu bau aneka makanan di
situ.
Humaira menoleh dengan hati yang hangat.
Dia sudah belajar untuk tidak duduk di sebelah Huwaida bagi mengelak
perbuatannya yang gemar menyigung itu. Terpaksa... takkan pula aku nak duduk di
sebelah Dr. Damyral, fikirnya menahan senak disigung kasar oleh Huwaida tadi.
“Seronok jadi guru tadika?” Dr. Damyral
menyoal bila Huwaida memperkenalkan dirinya sebagai bekas seorang guru tadika.
Huwaida yang rasa selesa dengan
keramahan Dr. Damyral melayan apa saja yang ditanyakan padanya. Lelaki itu
sekadar mahu memanaskan sedikit suasana dengan melarikan tumpuan daripada Humaira.
Tidak lama suasana ditenggelami oleh keriuhan suara Huwaida bercerita.
“Doc kalau tengok keletah kanak-kanak di
Tadika Sweet Bunny tu, memang terhibur.” Memang bukan Huwaida di sebelahnya
itu... getus Humaira mengerutkan keningnya..
“Oh ya ke?” Terangguk-angguk Dr. Damyral
yang sesekali memicing matanya pada Humaira.
Humaira kehairanan memerhatikan kelainan
sikap Huwaida. Dia seperti ‘lembik’ berdepan dengan lelaki tampan di depannya
itu. Hidung mancung, wajah agak bujur. Kening agak lebat tetapi pancaran
matanya itu sering membuat dia kelihatan seperti sedang tertawa dalam diam.
Mungkin juga mentertawakan. Ini kerana apabila dia tersenyum, akan muncul garis
di hujung dua belah matanya. Sesekali dia tertawa, kelihatan seolah-olah dia
separuh menyeringai kerana akan terserlah dua baris giginya yang putih itu.
Dr. Damyral dilihat Humaira cukup teruja
dengan cerita Huwaida. Atau mungkin juga terpaksa menunjukkan minat. Humaira
pula yang terasa seolah-olah dipinggirkan. Mahu tak mahu, terpaksalah dia jadi
pendengar setia sambil menyuap nasi
lemak di pinggannya sampaikan ikan bilis gorengnya pun disudu ke mulut tidak
bersisa.
“Teringinlah nak gurau-gurau dengan
mereka semula.” Huwaida meluahkan lagi rasa rindunya.
Dr. Damyral menggerakkan keningnya.
“Mungkin saya ada resolusi untuk masalah awak tu Aida. Tapi, elok jika saya confirmkan terlebih dahulu dengan
rakan saya Datuk Zainal Abidin. Rakan saya tu sebenarnya sedang tercari-cari
seorang guru untuk tadika yang baru dibuka untuk isterinya Datin Salamah. Buat
sementara, tadika tu kini dikelolakan oleh dua orang pembantu. Dia tentu
gembira jika saya bawa Aida berjumpa dengannya.”
“Wow... seronoknya!” Huwaida separuh
terjerit oleh gembira. Terangkat tinggi kening Humaira.
Dr. Damyral tersengih. Buat Huwaida,
itulah berita paling membahagiakannya sejak duduk di Kampung Rantau itu.Humaira turut tersenyum
lega mendengar tawaran tersebut. Sekurang-kurangnya Huwaida akan berhenti
mengkritik, mengunjing atau membebel tentang aktiviti masa lalunya.
Huwaida bermohon diri mencari tandas.
Dr. Damyral mencuri kesempatan itu bertanyakan tentang tujuan Humaira datang ke
daerah yang jauh dari Kuala Lumpur itu.
“Awak nampak serasi dengan Aida.”
Humaira mengelak menjawab soalan Dr.
Damyral. Lagipun dia sedikit tersinggung. Dr. Damyral hanya memberi tumpuan
pada Huwaida saja. Dia jadi kera sumbang di antara mereka berdua. Tapi siapalah
dia hendak mempersoalkan layanan lelaki itu terhadapnya? Dia bukan sesiapa lagi
di hati Dr. Damyral.
“Hmm... saya tanya tentang tujuan yang
menghantar awak ke mari.”
“Err...” Humaira teraba-raba modal.
“Saya sedang launching kerja
baru.” Teragak-agak dia sambil
membayangkan manuskripnya yang baru mencecah beberapa muka surat.
Dahi Dr. Damyral berkerut-kerut memberi
konsentrasi.
“Sedang perah
otaklah ni. Ingat senang ke nak puaskan hati pembaca. Oops!” Tiba-tiba dia
tersentap dengan kata-katanya itu. Hampir bocor rahsia penulis terkenal Ruhi
Hasrat!
Matanya membulat teringatkan jawapan
yang terlajak keluar tadi. Itulah padahnya bila terburu-buru hendak menjawab.
Akhirnya terhambur fakta yang sedayanya mahu disembunyikan. Humaira
tergigit-gigit bibirnya yang celopar. Mengutuk mulutnya yang gemar berangkara.
Terangkat kening Dr. Damyral
memerhatikan Humaira mengerut-ngerutkan muka memandangnya. Hendak tergelak pun
ada. Tapi dipendamkannya. Tanpa mengetahui krisis impuls di kepala gadis itu.
“Kerja baru?” Dr. Damyral memberi
tumpuan. Muncul tanda tanya bila menganalisis jawapan Humaira tadi.
Humaira mengancip giginya. Mustahil dia akan
berterus terang mengatakan yang dia seorang penulis?
Kalau boleh dia tidak mahu seorang pun
tahu bahawa dia dan Ruhi Hasrat ialah entiti yang sama. Apatah lagi hero
pertamanya diberi nama Amyr, singkatan nama Damyral di tengah-tengah. Dia sudah
bertindak bodoh tujuh kali. Kerana ketujuh-tujuh hero novelnya menggunakan
nama-nama bekas teman lelakinya!
“Eh, dah lama saya tak tengok pepatung.”
Telunjuk kanannya menuding pura-pura berminat pada beberapa ekor pepatung yang
berterbangan di udara.
“Saya yakin udara di sini belum tercemar
kan? Tengok tu ada segerombolan lagi sedang mara.” Daripada pura-pura, akhirnya
dia benar-benar teruja dengan fenomena tersebut. Dr. Damyral tersenyum mengangguk.
Terkesan dengan peralihan minat tiba-tiba bekas temanitanya itu.
“Pepatung ni sensitif. Kalau kat Melaka,
jangan beranganlah hendak melihat spesies serangga ni. Rama-rama pun
payah jumpa.”
Nasib baik tak terlepas perkataan
manuskrip tadi... getusnya lega bila teringat semula.
Apapun, Humaira mula terasa mesra
semula. Huwaida yang muncul kembali, tertanya-tanya erti senyuman yang meleret
di bibir Humaira.
“Tadi awak kata kerja baru? Kerja awak
sebagai setiausaha di Kuala Lumpur tu macam mana pula?” Dr. Damyral nampaknya
belum melupakan kenyataannya tadi.
Aduh... kacau, bisik Humaira dengan air muka
yang sudah berubah.
“Bukan ke awak orang Selangor. Jadi awak
ke sini kerana apa?” Dr. Damyral kembali mengasaknya dengan soalan kritikal.
Bukan dia tidak tahu asal usul gadis itu. Kerana pada hairarki mereka, ujud
pertembungan. Sengaja dia mengumpan.
Takkan aku nak beritahu yang aku lari
dari teman lelaki aku yang ke tujuh? Soalan pertama belum pun aku
jawab.Dibaginya satu lagi soalan. Habislah pecah tembelang aku nanti. Riak
mukanya tidak keruan.
“Err... di sini ada saudara sebelah ayah
saya. Saya juga tak pasti di mana ‘Selangor’nya kami. Kerana asal usul mama
kami juga orang Perlis. Cuma ibu bapa kami dah terlupakan daerah kelahiran
mereka. Saya sebenarnya sedang bercuti panjang.” Humaira beroleh akal
tiba-tiba. Huwaida di sebelahnya mencemik sambil membuang pandang ke lain.
“Kerja baru yang awak kata tadi?” Dr.
Damyral masih mengasak dengan soalan yang sama.
Doktor ni serius nak tahu apa yang aku buat.
Macam pakar kesihatan yang sedang mendiagnosis penyakit, keluh Humaira
betul-betul mati akal hendak menjawab.
Huwaida yang berasa seronok melihat
Humaira terkial-kial bila diinterogasi lelaki itu, tersengih-sengih sambil
menyedut lemonade yang baru
dipesannya. Dia memang mengamalkan meminum lemonade setiap kali usai menjamu selera. Humaira sering menegah
kerana bimbang kembarnya itu diserang gastrik. Namun itulah kaedah Huwaida
mengawal berat badannya. Tidak boleh ditegur habitnya yang satu itu.
“Err... kerja baru ya? Saya err... Oh
ya, saya baru ‘hendak’ berjinak-jinak dengan bisnes kecil-kecilan buat cokelat
untuk hantaran perkahwinan. Juga goodies untuk majlis-majlis, sebagai ‘door gift’. Sekali-sekala, saya cuba juga
cipta resipi baru untuk pelanggan yang berminat dengan cokelat yang saya
‘hendak’ buat.” Mendengar itu tersembur lemonade
dari mulut Huwaida. Dia tersedak lalu terbatuk-batuk kecil.
Humaira berpaling dengan pandangan mata
beramaran pada Huwaida. Mukanya bertukar masam berkulat melihat Huwaida yang
sudah mula mengekeh-ngekeh. Bertambahlah hairan jadinya Dr. Damyral.
“Kenapa Aida tertawa?” tanyanya ingin
tahu.
Huwaida menyeka matanya yang berair
akibat tersedak dan tertawa tadi. Dia mengibar-ngibarkan tangannya. “Tak ada
apa-apa.” Dia menyeka lagi matanya yang berair. Nafas Humaira turun naik
menahan geram. Menyirap-nyirap darah ke mukanya yang sudah pun merah padam.
“Err... Doktor tahu tak? Setiap kali
tolong Aira yang ‘pakarlah sangat ni’ buat cokelat, memang rumah kami jadi
pesta gelak ketawalah. Rambut dan mukanya comot dengan cokelat. Kes cokelat
tersumbat dalam lubang hidungnya juga dah jadi hal biasa.” Dia kembali
mengekeh. Sengaja menyindir Humaira yang sejak tadi sudah merah padam mukanya.
Tidak lupa menangguk di air keruh untuk mengenakan Humaira
Mendengar itu Dr. Damyral ikut tersengih
lucu. “Hmm..ada juga sikap feminin dalam diri Aira ya? Tentu sedap cokelat yang
awak buat. Tapi kalau tak sedap, lari pulak pelanggan betul tak?” Dr. Damyral
berseloroh.
Mencemik lagi Huwaida.
“Awak tahu? Kandungan phenylethylamine
dalam cokelat boleh meligatkan penyerapan triptofan ke otak hingga terhasil
dopamine. Fungsi Dopamine ni termasuk merangsang rasa senang. Hati akan berasa
rileks. Phenylethylamine tadi turut meransang naluri. Sebab tu awak berdua
happy bila Aira buat cokelat tu.”
“Betullah sangat!” Huwaida mengejek.
Berkerut kening Dr. Damyral. “Tapi,
kenapa rahsiakan tentang hal ni dulu? Misteri juga Aira ni ya?”
Dalam asyik memerhatikan keterujaan
lelaki itu, datang ketakutan di hati Humaira. Bagaimana kalau lelaki di
depannya itu meminta untuk merasai keenakan cokelat yang dibuatnya? Parah
jadinya dia!
“Hisy, berani ke dia suruh aku buat
cokelat untuk dia? Argh... bukannya dia boyfriend
aku ke yang nak kerahkan aku buat itu ini!” Sayangnya ocehan itu selamat
mendarat di telinga Dr. Damyral tanpa sempat Humaira menyekatnya. Huwaida
mengikik halus.
Humaira tersedak. Terpaksa dicapainya
gelas berisi lemonade Huwaida lalu dituntung isinya hingga licin. Berbinar mata
Dr. Damyral menyaksikan tingkah laku Humaira yang di luar ekspektasinya itu.
“Boyfriend?” Dr. Damyral
memetik.
Humaira menggelabah. Kian kelalut. Huwaida di
sisinya semakin seronok. Seronok bila Humaira terlepas apa yang difikirkannya.
Perkara yang memalukan Humaira itu memang lucu padanya. Mulut dan otak
kembarnya yang cantik itu, memang sering selari. Kurang mekanisme kawalan dalam
berkompromi. Lalu seringlah timbul masalah seperti itu.Apa yang dalam kepala,
keluar ikut mulut. ‘Thinking aloud’.Selalu kantoi. Terdengar Huwaida tergelak
perlahan-lahan.
Humaira meradang. Huwaida langsung tidak
membantu mengalas tingkah lakunya yang kerap tersasar itu.
“Awak cakap pasal boyfriend tadi?” Dr. Damyral
mengingatkan.
Humaira mengetap bibir. Hulu-hala
otaknya mencari idea untuk menutup cerita. Akhirnya, dia terpandangkan
penyelamatnya. Betul-betul di belakang Dr. Damyral. Sepasang warga tua sedang
menikmati sarapan jadi pencetus ilham!
“Tu! Lelakiyang sarapan dengan perempuan
tu. Agaknya boyfriend ke
suami?”
Pantas Dr. Damyral berpusing 180 darjah.
Terus melompat keluar tawanya.
“Dah datuk dan nenek macam tu, boyfriend apanya Aira? Awak ni
pelawak juga ya?” gelengnya dengan gelak-gelak kecil yang masih berekor.
Humaira menoleh pada Huwaida yang asyik menghakimi gerak-gerinya yang kelelong
dan kelalut.Sesekali mencebiknya. Humaira menggerakkan keningnya.
“Awak serius sangat tadi, jadi saya
buatlah joke,” katanya terasa
bangga pula. Huwaida membuat mimik hendak muntah.
Sah aku dah gila. Aku dah jadi tak betul
sejak jumpa dia hari tu lagi. Humaira mendengus geram. Mengutuk-ngutuk tingkah
lakunya sendiri yang cukup berlainan daripada fitrah asalnya itu. Apa sihir
yang dikenakan lelaki ini padaku? Batinnya melolong bagai nak gila. Mukanya
berkerut-kerut menahan emosi.
“Saya memang macam ni. Kat rumah pun
saya memang suka melawak. Selalu sangat Aida sampai tak sempat ke bilik air
bila saya buat lawak!” Dia membalas dendam pada Huwaida yang tidak berhenti
menyindirnya dengan tersengih-sengih.
“What the
hell...” Huwaida
hendak membidas balik tapi cepat-cepat mengunci mulutnya bila matanya berkalih
ke muka Dr. Damyral yang kaget mendengar kenyataan Humaira.