Sunday, December 25, 2011

NOVEL BARU..JANGAN GANGGU LENAKU..[Klik tajuk neh utk ke GROUP CINTAI NOVEL MALAYSIA ;) ]

~ kusentuh cinta itu
saat mata terpejam
namun sirna
sebaik aku terjaga~

Kenapa Atira sering berada di jendela kamar pembantu rumahnya sambil merenung asyik rumah kosong itu?
Bukankah kamar yang disediakan suaminya cukup lengkap? Sayangnya kamar itu hanya diaplikasi sekadar untuknya bersalin pakaian saja. Kerana dia lebih gemar berada di kamar pembantu rumahnya. Sambil merenung rumah kosong yang berjiran dengan rumah itu. Sebuah rumah yang terakam dalam mindanya bak rumah agam dalam Novel Wuthering Heights yang sangat diminatinya.
Kenapa hidup masakininya mesti ada Emalin yang kejam? Wanita itu sentiasa menemani sisi suaminya. Malah mereka berdua berkongsi kamar utama di kediaman milik dia dan suaminya itu - Emalin sering mengingatkan Atira bahawa nama TERATAK ASFALIN itu adalah cantuman nama mereka berdua. Perkara itu terlalu melukakan hati Atira sebagai isteri dan pemilik bersama rumahnya dan suami. Tambah malang, bila Emalin yang tidak sedar diri itu sentiasa pula menyiksa batinnya.
Kenapa Asfahul yang sangat menyayangi Atira tidak pula peka bahawa isterinya itu didera mental dan fizikalnya oleh wanita yang menemankan hidupnya siang dan malam itu? Jahat sungguh!
Kenapa Atira lebih bahagia berada di alam mimpinya berbanding di alam nyata?
Siapa lelaki yang menyerupai suaminya yang kerap menjelma di alam mimpinya?
Di mana sebenarnya lokasi daerah Pelunsur Haji yang sering dilawatinya itu? Bagaikan alam Nirwana ianya terlalu indah untuk digambarkan melalui kata-kata..
Dia tidak ingin lagi kembali ke alam nyata dan berdepan dengan seorang suami yang ignoran. Dia tidak sanggup berdepan dengan wanita yang mencipta konflik hidupnya dan menghantui ketenangan sepanjang hidupnya itu..
Akhirnya bila derita sudah tidak lagi tertanggungkan olehnya, dia mula mengambil pil-pil tidur. Kerana dia enggan keluar dari mimpinya lagi..!
Suaminya Asfahul sudah terlewat ketika menyedari betapa dia sebenarnya amat menyintai isterinya. Dia mencintai Atira. Bukan wanita sadis yang memanipulasi dan tidak pernah meninggalkan sisinya selama ini. Sayang seribu kali sayang, dia sebenarnya sudah melakukan kesilapan paling besar dan parah dalam hidupnya..
Atira tidak mahu lagi kembali padanya..
Tidak mahu lagi keluar dari alam lenanya..
Dia ingin tidur selama-lamanya..
Justeru di alam lenanya itu ~ tersedia alam yang sungguh mengasyikkannya..bersama suami tersayang yang berbeza sikap serta ketrampilannya..
Kata-katanya pada si suami, "Kalau abang dapati Aty tertidur, jangan kejutkan Aty ya bang. Jangan ganggu lena Aty. Kalau boleh Aty nak tidur selama-lamanya.."
Sekian..JANGAN GANGGU LENAKU..!
NAK ORDER ONLINE - Lihat panel di sebelah kanan dan klik Karangkraf.





JANGAN GANGGU LENAKU!!


tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Gurindam Jiwa [[CHAPTER 1 - 15 ]]


Bab 1

“Menyanyi malam-malam menghadap jendela terbuka macam tu tak ubah macam menghibur syaitan!” tegur Ruhani memerhatikan tabir yang terliuk-liuk dilibas angin yang membolos masuk menerusi jendela yang terbuka itu. Suara Ruhani itu gagal menyentak Atira. Dia terus khayal merenung kepekatan malam. Terus khayal mengalunkan rangkap-rangkap lagu tersebut. Lagu Gurindam Jiwa. Sambil fokus matanya terarah pada rumah kosong di depannya!
“Kata orang dulu-dulu, bukak tingkap malam-malam macam tu, serupa saja macam menjemput masuk hantu jembalang!” Ruhani menegur dengan nada keras. “Itu belum masuk bab menyanyi untuk puaka tu!”
Atira berhenti bernyanyi. Gurindam Jiwa itu merupakan lagu kesukaan arwah mamanya, Sharizad. Lagu yang paling dibencinya. Tapi itu dulu!
Kini, seperti ketagih dia akan melagukannya. Hanya itu kaedahnya merawat rindu yang tidak tertanggung terhadap arwah mamanya yang sudah bersemadi berkalangkan tanah itu.
Bukannya dia tidak mendengar teguran ibu mertuanya itu. Tapi, bagai digam pada jendela tersebut, berat sungguh dia hendak berpaling. Angin sepoi-sepoi tiba-tiba mengelus dan mencumbui wajahnya. Membawa bersamanya bau bunga tanjung dan bunga cempaka. Dalam menikmati bau harum yang menakjubkan itu, dia terlupa lagi teguran ibu mertuanya!
“Taut jendela tu Aty...” Ruhani meningkatkan frekuensi suaranya. Matanya mengerling banglo tinggal yang terletak setentang dengan ruang dapur kediaman itu. ‘Itu ke yang diperhatikan Aty, rumah puaka tu?’ getus hatinya. Dia menggeleng tersinggung. Atira langsung tidak berpaling sewaktu disapa. Seolah-olah tidak mengendahkan kehadirannya. Terasa dia diperlekeh. ‘Hebat ke rumah kosong tu? Sampai aku pun dia tak peduli!’ Hatinya menggerutu kurang senang.
Atira masih ralit. Masih khayal memerhatikan bangunan kosong yang berjiran dengan kediamannya itu. Sebahagian dinding rumah itu nampak jelas walaupun semak-samun sudah merimbun. Jendela itu dijadikan medium eskapismenya melarikan diri daripada tuntutan rasa kosong yang melemaskan.
Suara Ruhani sebetulnya berhasil sudah melerai lamunannya yang tenggelam tadi. Cuma, ia belum cukup kuat mengujanya untuk berpaling. Dia belum bersedia untuk keluar dari kelekaannya.
“Kan mak kata tutup, Aty!” Ruhani mula melenting. Sekonyong-konyong, angin yang lebih keras menyerbu masuk. Mendadak sekali! Ruhani berpaling sewaktu terasa pipinya ditampar angin yang sama. Pipi yang terasa lembap diraba-raba. Dia ternganga kehairanan.
‘Aneh... aku tercium bau bunga cempaka.’ Ruhani menstabilkan nafas. ‘Juga bau bunga tanjung.’ Sesuatu menjentak benaknya. ‘Benda tu marah aku tegur ke?’
Arahan tegas itu memaksa Atira menoleh ke belakang. Namun hanya seketika. Tidak lama kemudian, dia kembali menghadapkan mukanya mengagumi binaan yang terbiar tidak berpenghuni itu. Dia sangat tertarik pada warna catnya. Warna kelabunya memberi efek dingin pada sesiapa saja yang merenung rumah itu. Kelihatannya masih tersergam meskipun telah diabaikan oleh si pemiliknya.
“Cantiklah rumah tu, mak.” Atira menyatakan kekagumannya dalam nada berbisik.
Tenggelam asyik! Itulah yang terjadi padanya setiap kali melekapkan matanya ke situ. Pada anggapan Atira, kediaman tersebut bagaikan replika Wuthering Heights. Sebuah rumah agam dalam novel lama kegemarannya. Novel bahasa Inggeris yang sering dibacakan padanya oleh Asfahul berserta terjemahannya sekali. Kisah suka duka penghuni kediaman mewah yang dinamakan Wuthering Heights. Gaya Asfahul bercerita sungguh berkesan hingga mendorong dia menjadi semakin berminat untuk mendalami kisah yang disulami dendam dan tragedi kematian demi kematian itu.
Novel klasik itu telah benar-benar meninggalkan kesan padanya. Tambahan lagi, itu juga caranya untuk mendekati guru tuisyen kesayangannya. Kenangan manis itu seolah-olah baru semalam berlaku.
“Abang dah lupa bercerita pasal novel itu lagi padaku,” rintihnya merasakan dirinya dipinggirkan suami.
“Aty!”
Terdengar nyaring suara di belakangnya. Nada itu kian tinggi. Kian memaksa.
Atira tidak berganjak, tidak juga menoleh. Dia akur menutup jendela tersebut meskipun hatinya berat. Intuisinya membisikkan bahawa Ruhani di belakang tidak mungkin mengalah.
Sewaktu menaut daun jendela, sekali lagi angin malam menyinggah nyaman ke mukanya. Dia merapatkan kelopak matanya menikmati. Akhirnya dia menutupnya terus. Bimbang suara Ruhani menjadi lebih tinggi nanti.
Dia berpaling memandang ibu mertuanya yang sedang menusukkan pandangan padanya. Tanpa meninggalkan jendela itu, dia menyandarkan tubuhnya sambil merenung kembali ibu mertuanya.
‘Angin tadi berbau bunga cempaka.’ Hati Ruhani berkata-kata. Dari Atira, matanya dialihkan pada jendela yang sudahpun bertaut rapat. Pelbagai andaian menjalar ke kalbu. Dadanya berdebar-debar.
“Dah tutup.” Atira tersengih-sengih lucu memandang wajah Ruhani yang berkerunyut.
Terangkat kening Ruhani sebagai respons pada aksi kebudak-budakan menantunya itu.
‘Macam budak-budak.’ Sambil menggeleng-geleng dia mengkritik dalam hati. Sekelumit keinsafan mengocak kalbu. ‘Kasihan dia anak yatim piatu, itu yang menguatkan lagi hatiku menjadikan dia menantu.’ Gelengnya bersayu hati. ‘Dan jasa ayah dia terlalu banyak. Pada aku, pada Hunah dan pada Fahul.’ Dia menginsafi hakikat budi besannya itu. Ketika itu juga matanya asyik membelek bahasa tubuh menantunya.
“Lain kali jangan direnung rumah tinggal tu lama-lama. Lebih-lebih lagi malam-malam begini.” Arahan itu berunsur nasihat. Ruhani benar-benar mahukan Atira mematuhinya lain kali.
Atira menggaritkan kening. Isyarat patuh yang tidak sepenuhnya. Dia sedar keadaan rumah besar yang hampir 50 peratus dirayapi belukar itu sentiasa memukau minatnya walaupun dia cuba menolak rangsangan aneh itu. Dia amat tertarik pada rona cat yang diaplikasi pemiliknya. Rona kelabu memang menonjolkan ketenangan. Atira tertanya-tanya siapakah pemiliknya.
Sambil menarik nafas panjang dia menghadiahkan senyum keanak-anakan pada ibu mertuanya. “Mak, kenapa abang tak cat saja rumah ni sama warna dengan rumah belakang tu. Kan cantik?”
Soalan Atira itu memempan Ruhani. Lama dia terkesima. Sambil mempersoalkan rasional pertanyaan menantunya itu.
“Kenapa tak tanya Abang Fahul sendiri pasal tu?” Dipulangkan soalan Atira dengan rasa hairan. “Soalan tu patut kau tanyakan pada suami kau sendiri? Tanyalah dia. Tanya sendiri pada laki kau tu. Tanya kenapa dia pilih warna kuning air bukannya warna kelabu hodoh macam warna dinding rumah puaka tu.”
Atira menggigit bibir. Tersentap dengan cara ibu mertuanya menggelar rumah tinggal itu. Apatah lagi dengan kaedah soalannya dijawab. Silapkah cara dia bertanya tadi? Sampai ibu mertuanya menggelar rumah itu rumah puaka. Isyy... marah ke?
“Nama rumah kosong tu Teratak Maya!” Atira membetulkan dengan teragak-agak.
Tapi Ruhani endah tak endah mendengar. “Kau ada masalah ke dengan Abang Fahul tu, Aty. Kau tak reti bersembang dengan dia ke? Laki bini harus bersembang selalu.”
Atira spontan mengangguk. Tapi cepat-cepat berbuat yang sebaliknya apabila terfikir kesilapan reaksinya yang mungkin membangkitkan syak wasangka itu. Dia kemudian melongo ke arah Ruhani dengan gaya terbata-bata setelah menggeleng.
Ruhani menyepetkan mata memerhatikan ekspresi menantunya. Ungkapan Atira tadi bunyinya aneh. Mindanya mula gatal menganalisis hubungan antara anak dan menantunya itu.
Atira dalam pada itu, tunduk mengelamun. Memang hubungannya dengan Asfahul tidak seperti pasangan normal yang lain. Bahkan mereka tidak pernah sekamar sejak suaminya itu membawanya tinggal di rumah itu. Namun, kerana usianya yang masih muda, baru melepasi 19 tahun, tidaklah dia melegarkan sangat fikirannya ke situ. Cuma sesekali, terasa juga pedihnya tidak dipedulikan. Tetapi, dia sedar alasan utama Asfahul menikahinya, semuanya kerana amanat bapanya, Syed Azmi Kelana.
Padanya, cukuplah jika Asfahul sekadar melunaskan tanggungjawabnya dari segi zahir. Suaminya itu tidak pernah membebankannya dengan meminta dia membereskan itu ini. Lelaki itu waima menyiapkan sendiri segala keperluannya. Pakaiannya untuk ke ofis juga diuruskannya sendiri, sama ada menghantar ke dobi atau cucian kering.
Atira juga diberi wang perbelanjaan yang lebih daripada mencukupi. Malah sering pula ditanya jika dia memerlukan biaya lebih. Yang mana dengan spontan akan digeleng oleh Atira. Hakikatnya dia memang tidak memerlukannya. Dia tidak perlukan apa-apa. Si yatim piatu yang terpinggir oleh si suami itu hanya mendambakan seorang teman. Ironinya, itulah perkara yang paling mustahil untuk Atira mendapatkannya!
enjoy....[nanti insyaAllah I sambung

SILA BACA SETERUSNYA >>>>

BAB 2
{{{{KEMESRAAN Asfahul perlahan-lahan sirna sekembalinya dia dari luar negara. Lebih parah sesudah dia menjawat jawatan eksekutif di sebuah firma terkemuka, Atira tidak pasti faktor mana satu yang terlebih dulu menjadi penyebab perubahan itu. Setelah balik dari luar negara atau setelah berkerja? Apapun, Asfahul yang dipujanya itu sudah berubah. Benar-benar berubah. Apatah lagi dengan adanya Emalin.
Emalin! Si Emalin pantang berenggang dari sisi suaminya itu. ‘Penceroboh...’ ocehnya sayu. Wanita yang tidak berperikemanusiaan itulah yang mencuri perhatian Asfahul daripadanya.
Ruhani mengamati perubahan wajah Atira. Wajah yang tiba-tiba berselaput mendung itu.
Sambil mengerling menantunya, dia melangkah keluar. Kaki diayun ke dapur. Tiba di kabinet, dia mematikan langkahnya.
Atira membuntuti ibu mertuanya malas-malas. Di dapur, matanya mengekori tangan wanita tua itu yang teraba-raba bahagian paling atas kabinet tersebut. Tertanya-tanya juga dia apa yang sedang dicari oleh ibu mertuanya.
“Boleh kau terangkan pada mak, apa makna semua ni?” Ruhani mengaut dan menjatuhkan beberapa bungkus makanan ringan serta berpuluh-puluh pek mi segera atas pelantar kabinet.
Atira selamba saja memerhatikan. Tidak sedikitpun tergugat dengan sepasang mata yang garang berprasangka itu.
“Takkan dah berbini pun Asfahul masih menelan benda tak berkhasiat ni. Kau tak masak ke?”
Atira mengerutkan kening. “Apa salahnya makan maggi. Ramai aje orang suka.” Spontan jawapannya. Naif ke akar!
Ruhani beristighfar. Macam tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Jadi betullah telahan aku?” Dia mendepani Atira. Berdesis kemarahan di mata.
“Apa gunanya berbini kalau masih terpaksa menelan maggi?” Ruhani agak berang. Ditekan suaranya, menamatkan teguran dengan dengusan kasar.
Goyah juga Atira menyaksikan muka yang mulai merona itu. Teragak-agak dia menjawab.
“Abang Fahul suka makan di luar. Selalu pulang ke rumah lewat malam. Balik saja, terus tidur,” bongkar Atira kerana terpaksa.
Pengakuan itu membuat Ruhani tersentak. “Aty tak masak agaknya. Jadi Fahul makan di luar dulu sebelum pulang ke rumah. Takkan dah penat-penat bekerja dihidangkan mi segera pula? Daripada pulang ke rumah dan sekadar dapat lapar, baik dia sumbat perutnya lebih dulu!” Nada Ruhani sedikit mengendur.
Atira semerta menggeleng. “Baru-baru kahwin dulu, setiap hari Aty masak untuk Abang Fahul tapi tak sekali pun dia jamah. Aty fikir masakan Aty tak macam mak kot. Mak masak kan sedap sangat?” Jawapan terus terang Atira itu memempan ibu mertuanya.
Sesaat Ruhani terpana memandangnya. Terlontar keluhannya sambil dia menggeleng.
Atira cepat-cepat menambah. “Abang dah pesan, masak untuk Aty aje. Abang kata dia makan kat luar saja. Aty ikut cakap abang.”
Ruhani menggali nafas. Menggalinya dalam-dalam. Ditenung semacam wajah menantunya. Simpati pula melihat sikap kebudak-budakan menantunya yang tidak pernah berubah itu. Seolah-olah hanya jasadnya yang membesar tetapi tidak benaknya. Dia mengeluh berat. Sangkaannya, Atira akan jadi lebih matang sesudah berkahwin. Ternyata, harapan hanya tinggal harapan. Gadis itu terus bersikap lurus dan naif. Lalu teringatlah dia bagaimana Syed Azmi Kelana cuba meyakinkannya dulu.
“Mungkin sesudah melalui pengalaman hubungan kelamin, akan mengimpak sedikit perkembangan pada fitrah Aty yang kurang matang tu. Aku pasti alam baru tu mampu membangunkan mindanya. Dia akan mula berfikir seperti orang dewasa. Kerana itu aku tak berani serahkan anak tunggal aku tu pada pemuda lain, Kak Ani. Biarlah Asfahul saja yang menukarnya menjadi wanita sempurna. Menjadikannya seorang ibu. Aty dah tak beremak. Aku ni pula tak berhenti sakit. Entah sempat entahkan tidak aku mewalikan dia. Fahul pula asyik mengulang studinya. Asyik gagal. Entah apa yang dibuatnya di luar negara tu aku pun tak tahu. Aku nak tengok dia berjaya, bukannya buang masa.”
Ruhani akhirnya tewas dengan cadangan bakal besannya itu. Apatah lagi setelah memikirkan jasa-jasa beliau pada keluarga mereka yang tidak bernakhoda. Lagipun dia malu. Asfahul yang cemerlang di tanah air asyik kandas dalam perjuangannya di seberang laut hinggakan terpaksa memanjangkan tempohnya berada di luar negara. Syed Azmi Kelanalah yang menampung kos pengajian dan sara hidup anaknya di sana. Dia terhutang budi yang teramat sangat!
Teringat dia bagaimana Syed Azmi Kelana membantu melunaskan hutang piutang Farhunah, kakak Asfahul. Gara-gara menantunya, Sabri, yang tidak bertanggungjawab. Terselamat anak sulungnya itu daripada terus diburu along dan konco-konconya. Bukan kecil jasa besannya itu. Terlalu besar!
“Biarlah Kak Ani, dia macam anak aku juga. Apalah sangat wang ringgit tu. Mati nanti, semua berciciran. Tengok isteri aku, akhirnya semua tinggal. Dan akulah pembunuhnya, Kak Ani. Jadi, apa ertinya duit bila orang yang aku cinta dah tak ada lagi!” Mata Syed Azmi Kelana sudah banjir.
Ruhani menumpang sebak. “Sudahlah Syed. Awak tak sengaja.”
“Yalah. Tu sebabnya aku nak selalu bersedekah lepas dia dah tak ada ni. Biarlah pahala tu untuk dia,” ucapnya sambil mengesat air mata.
Ruhani terangguk-angguk simpati.
“Apa aku bagi pada anak-anak akak tu sedekah aku untuk Ezad di bawah sana.” Tertahan-tahan lagi suaranya oleh desakan pilu.
‘Hutang budi dibawa mati,’ bisik Ruhani akur pada takdir sepahit itu.

“MAK ni beranganlah!”
Suara Atira mengejutkan Ruhani daripada lamunan sesaatnya. Dia merenung wajah Atira yang polos manja.
“Mak, betul mak. Abang Fahul pesan supaya Aty jangan masak untuk dia, Masak untuk Aty sorang saja, Aty kan tak kuat makan? Aty masak apa yang sempat sajalah!” sambungnya lagi membela diri.
Ruhani tergeleng lagi. Sebal.
“Tak kira Aty makan banyak ke, sikit ke, benda-benda tu semua akan jadi racun dalam tubuh. Aty kena masak juga. Setidak-tidaknya, untuk kesihatan sendiri. Kalau mengandung nanti macam mana? Nak suruh cucu mak nanti kurang zat dalam tubuhnya. Sakit selalu?” Ruhani enggan mengalah.
‘Itu lagilah mengarut!’ oceh Atira dalam hati. Dia menyengih. Asfahul tidak pernah menyentuhnya. Mustahil baginya untuk hamil!
Ruhani merapat. “Aty...”
Atira tekun menanti. Dia membundarkan sepasang matanya membalas tenungan ibu mertuanya.
“Kalau ada masalah beritahu mak ya. Kalau Abang Fahul buat tak senonoh, jangan diamkan saja. Bagi tau mak ya?” pintanya sekali lagi.
Kali ini Atira mengangguk laju meskipun agak keliru dengan maksud kata-kata itu.
“Buat tak senonoh yang macam mana, mak?” tanyanya lambat menangkap.
“Kalau dia berkasar dengan Aty, dera atau pukul Aty ke.”
Terpacul gelak halus Atira. Mungkinkah? Baginya, Asfahul tidak mungkin akan mengasarinya. Dia suami yang baik. Atira boleh minta apa saja dan dia pasti akan memberi. Cuma Atira belum terfikir untuk meminta apa-apa. Untuk apa? Hanya satu, dia ingin sekali meminta agar Asfahul berhenti menyeret Emalin ke rumah itu. Dia tidak tahan bila Emalin mencalar kalbunya dengan kata-katanya yang pedas dan mengguris hati. Sayangnya dia tidak berani berterus terang. Dia berasakan statusnya tidak cukup kuat untuk mempengaruhi Asfahul menyebelahinya.
[[[BAB 3]]]
ESOKNYA, dia merapati ibu mertuanya di beranda.
“Boleh tak mak cakap jujur dengan Aty? Boleh?” Dia melabuhkan duduk berdepan dengan ibu mertuanya.
Ruhani mengangkat muka sesaat, acuh tak acuh. Dia sedang menghadap hidangan petangnya. Sesekali menghirup Nescafe susu kegemarannya. Pisang nipah goreng yang menjadi sajiannya itu dibeli oleh Atira di gerai tidak jauh dari simpang hendak ke rumah itu.
Atira faham benar juadah kegemaran mertuanya itu sejak dulu. Kalau tidak pisang nipah goreng, pilihan kedua adalah keladi goreng.
Ruhani mengunyah lambat-lambat sambil membalas tusukan mata bundar yang sedang mengacah tumpuannya itu.
“Kenapa mak suruh Abang Fahul nikah dengan Aty?” tanyanya ingin tahu.
Ruhani tergamam disoal seperti itu. Lama dia hanya merenung. Dia menghabiskan sisa makanan di dalam mulutnya. Kemudian meneguk lagi minuman yang dituang Atira ke cawannya yang baru dikosongkan.
“Kenapa tu pulak yang kau tanyakan?” Terpamer riak hairan.
“Abang tu kan belajar di luar negara? Kat sana tentulah ramai perempuan lawa-lawa. Bergaya. Macam Kak Elin tu. Tentu abang lebih berminat kahwin dengan perempuan lawa macam Emalin tu... bukannya dengan Aty. Aty kadang-kadang rasa bersalah. Kerana Aty, Abang Fahul tak jadi kahwin dengan kekasih dia.”
“Apa kau merepek ni, Aty?” Ruhani yang terkeliru memotong dengan kasar. Siapa pula gerangannya ‘Kak Elin’ yang disebut Atira itu? Itu punca kekeliruannya.
Atira menggaritkan kening. Dalam kepalanya tergambar wajah Emalin. Emalin yang cantik. Sering pula dibawa Asfahul bermalam di rumah itu kala ketiadaan tamu. Atira tidak pasti sama ada mereka berada dalam kamar yang sama hingga ke pagi atau tidak. Dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada bersangka buruk. Tapi... Diam-diam dia mengesyaki ada hubungan terlarang antara keduanya. Kerana kamar tetamu sentiasa kelihatan rapi tidak digunakan. Tidak seperti kamar Asfahul yang sentiasa bersepah-sepah dan berselerak asal saja Emalin ke situ.
UCCAY SAMBUNG LAGI......

Atira berasa jijik, namun kasih sayangnya pada suami pujaan menyirnakan perasan kurang enak yang bertamu itu. Meluatnya hanya pada tetamu yang tidak diundangnya itu.
Soalan Atira, “kenapa mak suruh Abang Fahul nikah dengan Aty?” terus terngiang-ngiang di telinga Ruhani. Dia terangka-rangka jawapan munasabah kerana fitrahnya yang tidak suka berdalih ataupun berbohong.
“Abang Fahul pandai. Aty sekolah pun tak habis. Kami ni tak sepadanlah mak.”
Mendengar Atira merendah diri seperti itu, Ruhani mencemik. “Pandai apa? Nama saja belajar di luar negara. Tapi berapa kali pula dia mengulang. Aty tak ingat ke? Entah apa yang dibuatnya di sana. Menghabiskan duit ayah kau! Kadang-kadang, mak rasa malu pada ayah Aty, tau tak?” Ruhani melontarkan kesalannya.
“Bukan ke abang akhirnya berjaya juga? Kerja abang pun bagus.” Pertahannya, kurang setuju dengan kaedah ibu mertuanya mengungkit kegagalan masa lalu Asfahul. Mata tidak puas hatinya tertancap ke muka ibu mertuanya.
“Mak, kenapa mak dan Kak Hunah kahwinkan kami? Abang Fahul tu tak cintakan Aty.” Akuinya sedih. Mengulangi lagi soalannya yang tidak berjawab tadi.
“Kami miskin dan lagi, terlalu banyak terhutang budi pada ayah Aty. Lagipun, tak cinta apanya, Aty? Seorang lelaki takkan terima nikah seorang perempuan tu kalau dia tak suka. Fahul pulak, tak bantah apa-apa terus setuju kahwin dengan Aty bila mak ingatkan dia akan amanah ayah Aty dulu!”
“Takkan tu sebabnya, mak. Ayahkan dah halalkan semua wang yang diberi pada abang, pada mak dan Kak Hunah? Ayah selalu kata, itu sedekah untuk orang susah, pahalanya untuk mama. Aty pun tak faham kenapa ayah suka sangat kaitkan mama tiap kali dia tolong orang lain.”
Ruhani terkemap. Direnungnya wajah Atira yang polos. Terngiang-ngiang lagi pesanan Syed Azmi Kelana.
“Entah apalah nasib Aty kalau dia bernikah dengan lelaki lain. Aku percaya penuh yang Fahul mampu jaga dia dengan baik. Aty manja dengan Fahul. Aku hanya percayakan Fahul. Aty tu entah sampai bilalah mahu tipu diri sendiri yang mamanya tu masih hidup. Dia tak mahu terima langsung, hakikat yang mamanya tu dah tak ada.” Syed Azmi Kelana mengulangi kebimbangannya.
“Hanya Fahul, Kak Ani. Ingat tu. Kalau aku meninggal sebelum Asfahul pulang ke Malaysia, aku harapkan Kak Anilah jadi emak Aty dan minta bantuan Farhunah untuk kahwinkan mereka berdua. Itu saja harapan aku! Mintak tolong sahabat aku Haji Mukri dan Abang Suradi.” Rasa sebak membuatkan dada Ruhani seolah bergulung.

“ARWAH terlalu baik,” getusnya hiba.
Diam-diam, dahulu dia pernah menaruh harapan agar besannya itu sudi mengambilnya sebagai isteri setelah tragedi kemalangan yang meragut nyawa mama Atira dulu. Dia mengharapkan begitu disebabkan hubungan mereka yang terlalu rapat. Dia juga ada rupa. Bukan tidak ada lelaki yang merisiknya. Cuma dia tidak berminat. Tapi Syed Azmi Kelana lain. Sayangnya lelaki patah hati itu hanya mahu menghabiskan sisa hidupnya menjaga Atira. Sambil mengenang arwah isterinya. Apa pun dia redha. Soal jodoh bukan di tangan manusia. Manusia hanya merencana dan ALLAHlah yang Maha Menentukan!
Ruhani merenung wajah yang sedang tekun menanti jawapan itu. Pada Atira dia bersimpati. Pada Asfahul juga dia simpati. Simpati kerana anaknya terpaksa menikahi Atira yang kebudak-budakan. Sebagai seorang yang berjawatan tinggi, ada kala Asfahul perlu penglibatan isterinya dalam komitmen sosial. Namun, apalah yang mampu diharapkan daripada wanita yang bersikap kurang matang seperti Atira itu? Tatkala memerhatikan wajah polos, cantik dan ayu itu, ralatnya terubat. Hatinya turut tersentuh. Mustahil anak lelakinya langsung tidak terpesona dengan wajah seindah rembulan itu. Atira sungguh cantik di mata mertua yang tegas meskipun pembelas itu.
Manakala Atira tidak berkelip menanti jawapan.
“Kerana Aty ni baik dan Abang Fahul tu kan nakal sikit? Jadi kalau dia kahwin dengan gadis baik, kelak dia juga jadi baik. Baik macam Aty ni.”
Atira tersengih mendengar jawapan yang kedengaran lucu itu.
“Dah. Mak nak ke atas. Esok tengah hari panggilkan teksi. Mak nak pulang lepas solat zuhur. Satu lagi, mak nak tahu apa menda alah maknanya perkataan ‘Asfalin’ kat tembok tu? Teratak tu taulah mak!” Sapa pulak Kak Elin yang Aty suka sangat sebut-sebut tu?”
Atira ternganga. Bagaimana dia harus menjawab? Mustahil dia akan mendedahkan pada ibu mertuanya yang rumah itu diberi nama Asfalin, sempena cantuman nama dua kekasih, anak lelakinya dan Emalin! Nasib baik Ruhani tidak mendesak jawapan itu daripadanya!
Ibu mertuanya sudah lesap di tingkat atas. Atira yang berasa bosan, mengelamun depan TV. Dia tertidur hinggalah dikejutkan oleh azan maghrib daripada TV yang masih bersiaran. Semerta dia ke bilik air untuk berwuduk. Selesai, dia ke kamar tingkat bawah itu untuk menyempurnakan tuntutan fardunya.
Tidak lama, dia menelentang atas katil kamar itu sambil membilang petak siling. Memori lama membawanya melayari kembali zaman kanak-kanaknya yang kesepian hinggalah dia remaja puteri. Di mana dia sentiasa dibelai dimanja oleh kedua ibu bapa.
Ayahnya seorang pengetua sebuah sekolah menengah di bandar Muar. Ibunya pula guru sejarah di sekolah lain. Berbanding dengan remaja kecil lain di kampung kelahirannya itu, hidupnya amat mewah lagi selesa. Cuma dia dipingit oleh kedua ibu bapanya. Tidak dibenarkan bergaul dengan sembarangan orang. Rakannya boleh dibilang dengan jari.
Akhirnya Syed Azmi Kelana meninggal dunia akibat komplikasi jantung ketika Asfahul masih merangkak menamatkan pengajiannya di luar negara.Tidak sempat menyaksikan perkahwinan yang ingin sangat disaksikannya itu.
Asfahul menjadi anak yatim setelah arwah ayahnya yang berkerja sebagai pembantu am di sekolah di mana Syed Azmi Kelana menjadi pengetuanya itu meninggal dunia. Pemergiannya disebabkan penyakit kencing manis yang kronik.
Syed Azmi Kelana sudah lama merancang cara untuk merealisasikan hajatnya bermenantukan Asfahul. Dia perlu melakukannya dengan teliti agar ia tidak mendatangkan fitnah dan syak wasangka pada komuniti sekitar mereka. Dia meminta agar Asfahul memberi tuisyen pada Atira. Kaedah tidak langsung buatnya menyalurkan wang belanja pada pelajar pintar itu.
Pelajaran Atira menjadi bertambah baik dan ayahnya juga semakin bertambah lekat hatinya pada Asfahul. Akhirnya Asfahul dijadikan anak angkat tidak rasmi oleh lelaki berhati mulia itu.
‘Kenapa Abang Fahul dah tak seramah macam dulu? Aty rindu dengan sikap abang dulu yang suka bergurau dan berjenaka. Kenapa abang berubah lepas pulang dari Amerika? Sekarang abang dah ada Kak Elin pulak, habis Aty ni macam mana?’ luahnya dalam hati mengulit nostalgia. Terasa kesal. Matanya terus menatap siling. Fikirannya mengembara lagi ke masa lalu.

{{{BAB 4]]]
“ABANG Fahul, novel apa ni?” tanya Atira dengan nada manja. Itulah pertama kali dia melihat novel karya Emily Bronte tersebut.
“Aty kan boleh baca sendiri?” Asfahul membuat mimik mengusik.
“Novel ni kan dalam bahasa Inggeris? Aty tak lancar. Penatlah baca sambil merangkak-rangkak ni. Kena guna kamus pulak.” Asfahul tergelak-gelak halus. Dia mengambil buku tersebut dari tangan Atira lalu duduk bertentangan muka. Dia mendekatkan mukanya ke muka Atira.
Dahi Atira jadi berkerut.
“Abang nak Aty habiskan dulu semua latihan tadi. Dah siap nanti barulah abang akan ceritakan.”
Atira yang kurang puas hati memberontak dalam diam. Bagaimanapun, tetap tekun menyiapkan kerja yang disuruh. Sebaik selesai, dia menengadah pada Asfahul semula.
“Wuthering Heights!” tuntutnya.
Asfahul mengangkat tangan tanda tewas. Dia memulakan penceritaan sambil sesekali memerhatikan reaksi Atira yang kelihatan teruja. Tersengih-sengih Asfahul. Sambil itu si puteri manja membayangkan Asfahul sebagai Heathcliff, hero novel tersebut manakala dia sendiri menjadi heroinnya, Catherine. Perasaannya berbunga. Dia tersenyum dalam dia memadankan watak-watak tersebut dengan mereka.
Wuthering Heights sebenarnya tidak tamat setakat hari itu! Bermula dari hari itu, dia akan meminta dan meminta Asfahul bercerita tentang Wuthering Heights. Berulang-ulang kali.
Sebaik kerja Atira memuaskan hatinya, Asfahul pasti memenuhi janjinya. Lalu dia akan kembali bercerita tentang Wuthering Heights pula. Bercerita tentang watak-watak dalam novel tersebut yang begitu memukau minat Atira. Mr. Earnshaw, Heathcliff, Catherine, Hindley, Edgar Linton dan lain-lain.
Atira memang terlalu manja. Setelah Sharizad meninggal, dialah satu-satunya permata yang menyilaukan sedikit kebahagiaan di hati Syed Azmi Kelana. Lelaki itu menjadi murung dan sentiasa bersedih sejak tercetusnya tragedi kemalangan ngeri yang meragut nyawa isterinya itu.
Pernah rakan-rakannya mencadangkan agar dia berkahwin saja namun dia menolaknya mentah-mentah. Padanya tidak ada istilah perkahwinan kali kedua. Lagipun tragedi kematian isterinya terlalu tragis dan menganggap dirinya pembunuh isterinya!
Yang mengetahui tragedi ngeri itu tidak pernah menuduhnya bersalah. Tidak ada sesiapa yang sengaja mahu melanggar orang yang dicintai. Hatta yang tidak dicintai sekalipun!
Hujan lebat ketika tragedi kemalangan itu, menjadikan suasana seolah-olah diselaputi kabus yang amat tebal. Keadaan itu menutup pandangan. Lampu kereta yang disuluh tinggi juga masih tidak mampu membantu penglihatan. Mamanya meluru ke arah kereta tanpa menyedari yang pemandunya mengalami kesukaran teruk untuk memfokus .
“Abang Fahul, kenapa mama dah lama tak balik. Mama masih marahkan Aty ke?” soalnya setiap kali Asfahul berhenti bercerita.
Soalan itu membuatkan nafas Asfahul hampir ikut terhenti. Matanya merenung Atira dengan belas. Entah bilalah agaknya adik angkatnya itu mampu menerima hakikat pemergian mamanya. Dia memang tidak tahu hendak mencipta satu jawapan untuk pertanyaan maut itu.
“Kalau mama terus tak nak balik macam mana dengan Aty, abang? Ayah selalu sangat masuk IJN selepas mama tak balik-balik.” Kolam mata sudah berair. “Tahun depan Aty masuk tingkatan dua. Lepas tu PMR.” Rona bimbang dan duka mengambil tempat di wajah beraut manja itu.
Asfahul menarik nafas panjang. “Tanpa mama pun Aty akan berjaya juga. Aty kan ada abang? Ada Mak Ani,” pujuknya membahasakan emaknya pada Atira dengan panggilan Mak Ani.
“Abang tak kisah ke, kena jaga Aty?” tanya Atira serius sambil mendongak memandang.
Asfahul menggeleng menidakkan. Dalam hati berjanji untuk menjaganya selagi hayat dikandung badan. Fikirannya singgah pada Syed Azmi Kelana. Terpaut hatinya dengan budi jasa bekas pengetua sekolahnya yang tidak ada tanding taranya itu. Seorang lelaki budiman yang sudah dianggapnya seperti ayah di dasar kalbunya.
Dia berkata perlahan. Hampir berbisik. “Abang berjanji akan jaga Aty,” matanya merenung dalam. “Walau apapun yang terjadi.” Fikirannya sedikit berkecamuk. Seriau pula dengan janji yang dilafazkannya.
Apa akan jadi setelah dia berangkat ke luar negara nanti? Itu yang dirisaukannya. Mampukah Atira meneruskan persekolahan di tingkatan dua kemudian menduduki pula PMR. Mampukah dia meneruskannya dengan lancar jika ditakdirkan Syed Azmi Kelana pula dipanggil ILAHI? Nafas Asfahul terasa sesak. Atira tidak punya sesiapa selain dia, emaknya dan kakaknya, Farhunah.
“Sampai mama balik?” tagih Atira menengadah manja.
Hati Asfahul tersentap. Kenapa Atira tidak mahu menerima kenyataan yang mamanya sudah meninggal dalam kemalangan yang disaksikannya sendiri dulu. Dia mengeluh simpati. Kemudian memberikan pengakuannya..
“Sampai bila-bila, Aty. Sampai bila-bila pun abang akan jaga Aty. Kan abang dah janji tadi?” pujuknya mencuit hidung Atira.
Atira tersenyum menunjukkan wajah polosnya yang manis indah.
Sejenak Asfahul terpegun. Wajah itu akan menjadi senjata menarik para kumbang tapi di hujungnya akan memusnahkan pemiliknya juga kerana sikapnya yang terlalu lurus. Gadis ini nanti akan mudah diperdaya. Asfahul kian diamuk bimbang. Pandangannya meraup wajah yang menengadah dan mencugat memandangnya itu.
“Abang... lagu kegemaran mama. Lagu Gurindam jiwa?”
Asfahul menjongketkan kening.
“Abang nyanyilah. Empat baris tu aje, macam selalu.”
“Tak boleh. Kepala abang tengah berserabut,” protesnya.
Asfahul menggeleng. Dulu sering Atira menyuruh mamanya diam setiap kali wanita itu mengalunkan lagu lama tersebut.
“Mama diamlah... Aty tak nak dengar!” Begitulah dia akan menjerit sambil menekup telinganya setiap kali arwah Sharizad mendendangkan lagu tersebut.
Kini lagu itulah yang sering menjadi nyanyiannya. Asfahul tahu, lagu itu luahan rindu Atira. Dia akan menyanyi setiap kali ingatan terhadap mamanya menerpa. Perbuatannya itu jugalah yang sering meruntun perasaan ayahnya, Syed Azmi Kelana. Lelaki itu berasa dia sudah tewas. Berasakan bahawa dia tidak mampu lagi memberi kebahagiaan pada anak tunggalnya. Dan yang paling bersimpati ialah Asfahul.
“Bang...” Atira mendesak terus. “Please...”
Asfahul tahu Atira tidak mungkin mengalah, lantas dia menyanyikan perlahan-lahan bait yang sering dialunkan ibunya sejak Atira masih bayi hinggalah dia menginjak remaja puteri itu. Lagu itu jugalah yang menjadi dodoian Sharizad buat Atira yang manja sejak dia di dalam buaian.
“Masa Aty kecik, inilah lagu yang mama selalu nyanyikan.” Sharizad sering mengungkit mengingatkan Atira tentang fakta tersebut.
“Ehmm...” Asfahul berdehem menyudahkan rangkap pertama nyanyiannya. Kini lagu itu seakan satu sumpahan buat Atira. Lriknya itu seakan-akan mengejeknya.
Atira mendongak sambil tersenyum indah.
“Sedapnya suara abang,” pujinya jujur.
Hati Asfahul berkocak. Gadis selurus Atira, mampukah membentengi diri di dunia yang terlalu hebat dugaannya ini? Tidak mustahil akan ramai para jejaka yang terpaut hati pada wajah ayunya. Manakala dia pula, gadis yang terlalu naif untuk meletakkan perisai pada segala godaan itu. Dia berasa bimbang ditakdirkan Syed Azmi Kelana mendahului mereka ke alam barzakh. Atira yang akan ditinggal keseorangan? Manakala dia perlu menerima tawaran ke luar negara itu. Kalau tidak, sia-sialah usahanya belajar bersungguh-sungguh hingga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM yang sudah pun diketahui keputusannya itu. Bolehkah emaknya dipercayai untuk menjaga Atira sehingga kepulangannya?
“Aty, biar abang yang jaga Aty ya? Sampai mama Aty balik dan sampai bila-bila,” pujuknya.
Atira mengangguk masih dengan senyuman polosnya yang mempesona. Syed Azmi Kelana yang mendengar di belakang berdoa di dalam hati agar Asfahul benar-benar mengotakan janjinya itu bila tiba waktunya kelak.
“Aty!”
Berkecai lamunan Aty dan dia segera bangkit menyambut kemunculan emak mertuanya. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi.

“Tak tidur lagi ke mak ni?” getus Atira gusar. Dia terbata-bata diganggu terjahan mertuanya itu. “Ada apa mak?” tanyanya.
Ruhani merapat. “Ada apa kau kata? Tengok apa yang kau sendiri sedang buat ni. Kenapa kau tidur di bilik orang gaji ni. Kenapa tak tidur di bilik kau dengan Asfahul saja?”
Atira terkesima. Wajah Ruhani direnungnya dengan pucat. Ibu mertuanya mengintip gerak-gerinyakah? Tidur di kamar suaminya? Tidak pernah dibuatnya. Kamar itu kamar suaminya dengan Emalin!
“Mak tanya ni!” Ruhani menghadapnya memaksa jawapan.
Atira beroleh ilham untuk membela suaminya. “Kan Abang Fahul belum balik mak? Pasal tu Aty baring sekejap di sini supaya boleh dengar bunyi enjin kereta abang.”
Ruhani terdiam. Lama dia memerhatikan Atira. Akhirnya mengundur keluar dari kamar itu apabila terasa yang dia sudah terlebih mengesyaki sesuatu yang mungkin tidak pernah wujud. Dia kembali percaya yang Asfahul dan Atira sebenarnya bahagia. Tapi benarkah?
[[[BAB 5 ]]]

IBU mertuanya sudah lama lesap ke atas. Atira terkuap-kuap, terasa benar-benar mengantuk. Ada sesuatu yang mengujanya untuk mendekati jendela. Dia membukanya luas-luas. Dia mendongak merenung langit yang kelam. Hanya ada sebutir dua bintang yang tidak begitu jelas kelihatan.
“Hidup Aty ini terlalu sunyi. Nasib baik emak ada. Tu pun esok mak dah nak balik. Hidup Aty akan sunyi semula.” Dia berkeluh-kesah. Kemudian kembali mendongak merenung dua bintang yang malas-malas mengerdip.
“Wahai bintang, kalaulah kau boleh turunkan seorang teman untukku... tidaklah hidup ini terlalu sunyi. Abang Fahul asyik layan Kak Elin saja!” keluhnya dan merapatkan kelopak matanya. Tersenyum membayangkan jika benar-benar dianugerahi seorang teman mengisi kesunyiannya.
Sewaktu kembali membuka matanya... Dia terkejut bukan kepalang!
Atira berasa hairan melihat rumah kosong di depannya itu sudah terang benderang disuluhi berkerlipan lampu. Dia berasa pelik. Bukankah rumah itu tidak berpenghuni. Bagaimana pula boleh jadi terang benderang seperti itu?
Difokuskan matanya untuk melihat secara menuntas. “Rumah tu tak ada orang tinggal. Kan rumah tu kosong?” Menyoal lagi dia dengan penuh kehairanan.
“Sayang...”
Atira ternganga diterpa kelibat Asfahul yang segak berbaju Melayu menghadapnya dari luar jendela. Dia tidak dengar enjin kenderaan Asfahul tadi. Jadi bila masa suaminya itu pulang. Bermimpikah dia?
Asfahul memanggilnya sayang?
Benarkah Asfahul yang sedang berdepan dengannya sekarang? Kini memanggilnya sayang pula? Sudah lama dia tidak mendengar perkataan berupa pujukan itu sejak dia merenung kali terakhir pesawat yang menerbangkan Asfahul ke USA dulu. Teringat kata-kata lambaian Asfahul dulu.
“Nanti abang pulang untuk jaga Aty. Jangan menangis sayang, adik abang.” Kata-kata yang hingga ke saat ini masih diingatnya. Selepas pesawat itu berlepas, dia mula belajar merindu. Jiwanya akan sebak setiap kali kedengaran bunyi kapal terbang melalui ruang udara. Hatinya seperti hablur yang terhempas. Mujurlah Asfahul tidak berhenti menghantar poskad dan foto-fotonya yang sering dirakamnya ketika berada di sana.
“Ada kenduri di rumah tu. Kenalah pergi kalau orang dah ajak, betul tak sayang?”
Atira tersenyum mendengar perkataan sayang itu diulang lagi ke telinganya. Terasa lunak mendengar panggilan selembut itu terlontar dari bibir suaminya. Lama sudah dia tidak mendengarnya. Teringat pula bila Asfahul memujuknya agar belajar dulu.
“Sayang... kenapa tak pandang betul-betul bila abang ajar tadi?” Kata-kata yang kini hanya tersimpan dalam memori sepi. Asfahul akan memanggilnya sayang setiap kali Atira mula tumpul minat pada apa yang diajarnya. Asfahul seolah-olah sedang mengawal benteng sabarnya dengan menggunakan satu perkataan itu. Atira faham. Lalu dia akan mula memberikan konsentrasi. Sementelahan ada upah jika dia menyegerakan apa-apa yang disuruh Asfahul. Dia akan diperdengarkan kisah Wuthering Heights sekali lagi. Novel cinta yang tidak pernah membosankannya. Ulanglah sepuluh kali pun. Dia akan terus mendengarnya. Sebuah kisah cinta yang unik. Kisah Heathcliff dan Catherine. Cuma dia berasa sedih kerana di akhir cerita hero dan heroinnya mati.
Kini yang pasti, zaman belajar tuisyen dengan Asfahul memang sudah lama berlalu. Asfahul sudah pun menjadi suaminya. Suami hanya pada nama tapi hakikatnya, Emalinlah yang dicintainya. Emalin jugalah yang berkongsi dengan Asfahul kamar utama kediaman itu. Memikirkan itu, jiwanya menjadi kacau. Sukmanya jadi pilu. Anehnya tadi, Asfahul kembali melekatkan panggilan itu padanya. Panggilan ‘sayang’.
Bahagia betul dirasakannya bila mengenangkan hal tersebut. Cuma, dia terasa pelik dengan penampilan suaminya yang sedang memakai baju Melayu, seperti seorang putera dalam wayang gambar tampaknya. Dan kini, berdiri di luar jendela pula. Kenapa tidak masuk saja?
“Astaghfirullah...”
Satu suara yang lantang mengetuk gegendang telinga Atira. Itu suara Ruhani. Atira tidak mempedulikannya. Dia hanya ingin merenung wajah Asfahul. Merenung dan terus merenung. Sekian lama mereka tidak berbicara semesra itu. Atira rindu.
“Abang terpaksa pergi sayang. Besok abang akan datang lagi bertemu Aty.” Asfahul melambainya dengan penuh kasih sayang, kemudian ghaib entah ke mana.
Sayu hati Atira merenung kelibat yang sirna itu. Betapa pun dia ingin menahannya, namun apakan daya!
“Apa punya laki, bininya tertidur di bilik orang gaji pun dia tak kejutkan.” Terdengar pula suara Ruhani berleter.
Atira membuka matanya perlahan-lahan. Hatinya sedih terpaksa berpisah dengan Asfahul tadi. Dia merenung Ruhani yang tercegat di sisi katil itu. Ditenyeh matanya yang pedih.
“Bangun. Mandi dan ambil wuduk. Kemudian solat subuh.”
Atira terpisat-pisat bangun menurut perintah.
“Bilik air kau kat atas!” Terdengar lagi sergahan Ruhani, apabila Atira melangkah ke bilik air bersebelahan kamar di tingkat bawah itu. Terkocoh-kocoh dia berlari ke tangga mengelak dari semburan seterusnya daripada Ruhani.
“Kenapa dibuka juga tingkap subuh-subuh begini?” leter Ruhani sepeninggalan Atira. “Entah apa yang ada pada rumah puaka tu!” gerutunya sambil menaut dengan kasar jendela tersebut lantas terjerit bila hujung jarinya terasak kuat pada gril jendela.
“Memang ada puaka kat rumah tu!” Dia melepaskan geram sambil menahan sakit.
Di atas, Atira bertembung dengan Asfahul. Ruhani memang tahu Asfahul sudah pulang ke rumah. Cuma dia tidak tahu yang Asfahul pulang setelah menghantar Emalin ke rumahnya. Dia terdengar enjin kenderaan di luar lama tadi dan turun memastikan Atira tidak ada lagi di kamar bawah. Memang dia terkilan melihat Atira masih lagi terbaring di situ .
Asfahul menahan Atira dari memasuki bilik air. Kedua tangannya mencengkam bahu Atira.
“Abang dengar mak membebel kat bawah. Kenapa Aty degil? Kenapa suka tinggalkan kamar Aty dan pergi tidur di bilik sempit kat bawah tu?” tegur Asfahul kurang senang. “Sekarang abang yang akan dimarahi mak.”
“Abangkan tau sebab dia? Aty tak nak ganggu abang dengan Kak Elin tu. Jadi, walaupun Kak Elin tak ada, Aty dah terbiasa menyorok kat situ.”
Asfahul memaut dagunya. Panas telinganya mendengar kaedah Atira membidasnya.
“Hmm... dah pandai menjawab.”
“Aty kan memang selalu lepak kat bilik tu. Abang tak kisah pun bila Kak Elin ada!”
“Jangan sindir abang, Aty. Aty tau abang takkan bawa Kak Elin kalau sesiapa ada di rumah ni. Lebih-lebih lagi mak.” Rahangnya bergerak-gerak. Dia mengetap gerahamnya. Pandangan matanya tajam menikam wajah Atira.
“Kalau sesiapa ada? Aty ni bukan sesiapa ke?” Atira memulangkan dengan sinis, meskipun agak gentar dengan sepasang mata yang menikam tajam itu.
Semerta wajah Asfahul berubah. “Aty lain. Aty isteri abang,” balasnya. Habis modal.
“Lagilah abang tak patut bawak perempuan lain. Kerana Aty ni isteri abang.” Atira menegakkan haknya meskipun dirasakannya amat rapuh.
“Aty tak puas hati dengan abang ke? Kan abang dah tunaikan janji abang. Bawa Aty ke mari dan jaga Aty? Aty tak payah tinggal sorang-sorang lagi dalam rumah kosong di Muar tu. Arwah ayah dah tak ada, mama tak ada. Hanya ada Aty sorang di situ kalau abang tak jaga Aty!”
Atira menurunkan kelopak matanya mengalah. Demi diingatkan tentang sedikit keberuntungannya itu. Akhirnya terangguk-angguk tewas. Siapalah dia dibandingkan si jelita Emalin.
“Aty janganlah paksa abang yang bukan-bukan ya?” Atira mengangguk lagi. Siapalah dia di rumah itu? Dia kemudian melangkah ke bilik air. Tapi tertegun langkahnya bila mendadak teringatkan sesuatu. Semerta dia berpaling.
“Bang, kejap.”
Asfahul berpusing bila Atira memanggilnya. “Apa lagi ni?” tanyanya menyepetkan mata pada isterinya.
“Teratak Maya sebelah tu kenduri apa tadi? Ada orang kahwin ke?”soalnya.
Asfahul mengerutkan dahi. “Rumah sebelah tu?”
Atira mengangguk, mengiakan pertanyaan suaminya.
“Rumah sebelah tu kan kosong, Aty? Mana ada orang!”
Atira membuka mulut ingin memprotes, namun Asfahul memintas.
“Jangan merepeklah Aty ni. Kenduri apa? Kan rumah sebelah tu memang tak ada orang?” tukas Asfahul dengan dahi dikerunyutkan.
“Tapi abang siap berbaju Melayu dan berkain samping tadi? Macam orang nak pergi nikah,” usiknya pula.
“Aty, abang bukannya gila nak ke rumah kosong sebelah tu. Apa lagi dengan siap berbaju Melayu dan berkain samping pula. Apa yang Aty merepek ni? Cukuplah tu. Jangan mengarut lagi. Nak suruh abang biul ke?” Reaksi Asfahul lalu terus meninggalkan Atira terpinga-pinga.
Atira terus tercegat dan terpaku di situ. Tercengang-cengang memerhatikan pintu kamar yang sudahpun ditautkan Asfahul.
“Habis siapa yang panggil sayang tadi?” luahnya terus tercengang-cengang. Makin difikir semakin aneh dirasakannya. Apa sebenarnya yang aku alami tadi? Soal nubarinya berkali-kali.
[[[BAB 6]]]
ATIRA memerhatikan rumah itu lama-lama. Teragak-agak dia kala membawa langkahnya menghampiri pintu pagar rumah tinggal itu. Dadanya berkocak seribu. Berdebar-debar. Juga was-was. Sambil melangkah dia bernyanyi-nyanyi kecil untuk mengusir debaran di hatinya. Apalagi kalau bukan lagu Gurindam Jiwa yang sering jadi dendangan mamanya. Lagu itu pernah jadi lagu yang amat dibencinya.
Dulu, sewaktu mamanya masih di sisi, sering dia merungut jengkel akan hobi mamanya menyanyikan lagu lama tersebut. Namun setelah ketiadaan mamanya, lagu itu bagaikan pengganti diri mamanya yang tiada. Pengubat jiwa yang rindu lara.
Rasa takut-takut dan tidak yakin mengganggu kelancaran nyanyiannya. Namun, naluri ingin tahu mengatasi ketakutan yang mengendurkan azamnya itu. Pintu pagar kediaman tersebut tidak bermangga. Mudahlah baginya membolos masuk. Buat seketika, dia menghitung-hitung. Sambil tercegat kebingungan di pekarangan kediaman yang sudah ditutupi belukar itu. Akhirnya, dia memberanikan diri berjalan mengelilingi rumah itu. Atira melangkah dengan berhati-hati kerana khuatir terserempak dengan ular yang lazimnya menghuni kawasan semak. Setelah puas meninjau-ninjau, ditujunya bahagian dapur.
Sungguh sayang. Pintu daripada kayu nyatuh yang cantik sudah rosak rupanya. Bagaimanapun, kondisinya itu memudahkan ia dikuak. Hanya dengan beberapa kali tolakan. Terpegun Atira beberapa saat kala menyaksikan perkakas yang masih banyak terdapat di dalamnya. Kabinet, dapur gas dan peti ais. Dia membuka peti ais, namun spontan menghempasnya dengan kuat kala terhidu bau yang memualkan. Sesak semput nafasnya.
Kenapa mereka tidak jual atau setidak-tidaknya pun, keluarkan segala isi peti ais tersebut? Entah berapa tahunlah agaknya semua makanan itu terperap di dalamnya. Dia mendenguskan nafas menerusi hidung. Bau tersebut masih lekat, enggan pergi.
Kakinya mula memanjat tangga. Ditinjaunya dari satu kamar ke satu kamar yang kesemuanya berkunci. Bagaimanapun, ada sebuah kamar nampaknya yang boleh dibuka. Sebaik-baik berada di dalamnya, matanya merenung kagum segala hiasan di dalamnya. Sungguh cantik. Katil, almari solek dan almari baju masih kukuh. Semua perabot daripada kayu mahogani. Cuma kamar tersebut dicemari sawang dan sarang labah-labah. Teruk!
“Kaya betul pemilik rumah ni dulu,” katanya dengan kuat memikirkan tiada sesiapa di situ yang akan terdengar.
“Aku nak bersihkan bilik ni.” Azamnya seperti digerakkan sesuatu. Dia bergegas pulang.
Tidak lama kemudian, dia berada di bilik rumah kosong itu semula dengan penyapu dan penyodok sampah. Tidak terperi seronoknya dia apabila melihat hasil yang begitu memuaskan. Disebabkan keletihan, dia terbaring lelah atas katil yang masih berhabuk itu. Perlahan dia menyusuri alam lena.
“Terima kasih, sayang.”
Atira tersenyum merenung Asfahul yang mara menghampirinya. Asfahul yang semalam berbaju Melayu kuning dan siap berkain samping. Sungguh kacak dan tampan. Dia tersenyum senang menyambut kemunculan lelaki itu.
“Inilah mahligai persinggahan kita berdua. Abang sangat sayangkan Aty.” Atira memeluk Asfahul. Hairan dengan nikmat kehangatan yang sukar difahaminya tatkala pelukannya berbalas. Namun, Asfahul lekas-lekas memohon izin tatkala terdengar dari jauh sayup-sayup kumandang azan dari masjid berdekatan kawasan perumahan tersebut.
“Abang terpaksa pulang untuk solat dulu.” Pamitnya seraya menghindar.
Aksi Asfahul itu mengingatkan Atira bahawa dia juga belum menyempurnakan solat asar. Sewaktu berpusing untuk bangun, barulah disedarinya yang dia terlena dalam kamar rumah kosong itu. Dia terpinga-pinga.
‘Tidak mungkin Abang Fahul ke sini.’ Hatinya berbisik rasional. ‘Tapi tadi tu memang Abang Fahul.’ Hatinya mengiakan pula meskipun mindanya digodam rasa keliru.
Atira pulang tergesa-gesa. Usai solat, dia tercegat di garaj menghadap jalan raya kecil kawasan perumahan Bukit Kota itu. Rasa sunyi mencengkam ke seluruh sanubari. Langsung tidak ada manusia yang lalu lalang di situ. Betapa sepi alam ini dirasakannya. Sungguh sepi. Kalau tidak kerana didesak Emalin, dia pasti tentu, yang suaminya lebih rela memilih satu di antara tiga buah kediaman kosong di belakang rumahnya. Kesemua rumah yang sudah kosong itu ada tergantung papan tanda ‘for sale’. Tidak ada rasionalnya kenapa Asfahul memilih banglo yang paling belakang lokasinya untuk didiami. Berjiran dengan rumah kosong pula! Di depannya pula disempadani oleh bukit gondol yang berbatu.
“Beginikah bosannya hidup lepas kahwin?” Nalurinya cuba mengupas sesuatu yang cukup membingungkannya.
Kesepian itu mengundang rindu terhadap beberapa orang sahabatnya yang masih sudi menegurnya jika berkesempatan bertemu. Itupun jika Asfahul pulang ke daerah kelahiran mereka di Muar. Sayangnya dia sudah lama tidak pulang ke rumah peninggalan ibu bapanya itu. Asfahul juga tidak pernah bertanya sama ada dia berhajat pulang ke sana. Mujur ibu mertuanya rajin menjenguk mereka di Bukit Kota itu. Itu sajalah eskapismenya dari kepompong sepi yang melemaskan itu.
Rumahnya di Parit Jawa, Muar kini terbiar kosong. Arwah ayahnya sudah setahun lebih meninggalkannya. Mengingatkan itu, batinnya diterjah pilu. Terasa betapa dia sendirian di mayapada ini. Sebatang kara!
Dulu pernah Farhunah meminta untuk tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya itu. Atira tanpa berfikir panjang terus mengizinkan. Namun, Asfahul pula yang melarang beria-ia.
“Nanti Aty takkan dapat masuk ke rumah tu lagi. Macamlah Aty tak kenal Abang Sabri tu. Barang-barang dan kain baju mama dan ayah kan banyak kat dalam tu. Barang-barang kemas mama lagi?” Keras sekali Asfahul menentang hasratnya itu.
“Aty tak suka pakai barang-barang kemas, rimas. Bagi saja Kak Hunah.” jawabnya mudah, membuatkan Asfahul tergeleng-geleng.
“Itu semua kenangan mama dan ayah untuk Aty. Aty kena ingat tu!” Asfahul bertegas.
Atira akhirnya akur. Lama juga Farhunah berkecil hati dan tidak bertegur dengan Asfahul kerana keengganannya membenarkan mereka mendiami rumah besar itu. Buat Asfahul, daripada mengizinkan rumah kenangan itu dicerobohi kakaknya suami isteri, baik diwakafkan dan dijadikan surau saja. Atau dijadikan rumah anak-anak yatim.
“Syukur alhamdulillah Abang Fahul sudi kahwin denganku,” bisiknya pada diri sendiri. “Sekarang aku cuma ada Abang Fahul, sempit sungguh duniaku,” bisiknya lagi. “Kalaulah Kak Elin tak ada...” Angannya sambil mengetap bibir yang bergetar.
Tiba-tiba dia teringatkan ibu saudaranya, Syahriah, yang tinggal di Johor Bharu. Dia masih kanak-kanak sewaktu kali terakhir mereka berjumpa. Mamanya belum menghilangkan dirinya lagi sewaktu keluarganya itu datang bertamu. Waktu ayahnya meninggal, dia berusaha menghubungi ibu saudaranya itu untuk memberitahu berita tragis tersebut.
Sayang sekali beliau dan keluarga gagal menghadirkan diri. Itulah satu-satunya saudara ibunya. Kakak kandung Sharizad.
Atira sedih, sekali lagi terasa dia hanya sebatang kara di dunia ini. Arwah bapanya memang tidak mempunyai adik-beradik kecuali saudara mara jauh. Dan kini dia keseorangan. Tanpa seorang ayah. Tanpa seorang Hawa yang boleh dipanggilnya mama.
“Kenapa mama tak pernah jumpa Aty,” bisiknya sendu. “Abang Fahul dah tak ramah macam dulu lagi,” keluhnya kesal. Aty minta maaf kerana terlambat jumpa mama. Maafkan Aty mama, pulanglah mama. Rumah Abang Fahul di Bukit Kota ni sunyi sangat untuk Aty tinggal, mama,” bisiknya pada diri sendiri seraya melepaskan air matanya.
Lagu Gurindam Jiwa yang sering dinyanyikan ibunya terngiang-ngiang di kejauhan. Air matanya menitik lagi. Dia kesal kerana sering merungut jengkel tiap kali mamanya menyanyikan lagu itu dulu. Kini praktiknya menyanyikan lagu itu seolah-olah jadi sedikit penawar pada rindunya yang tidak pernah bernoktah.
“Mama...” rintihnya sendu.
Lama dia melayan perasaan sedihnya. Setelah reda lara di jiwa, rasa jemu pula menguasai diri. Akhirnya dia mengulangi rumah kosong itu semula. Dia ke Teratak Maya. Lambat-lambat dia memijak anak tangga menuju ke atas. Dia mengulangi kamar yang dibersihkannya tadi. Dengan perasaan ingin tahu, dia berusaha menarik pintu almari pakaian yang masih kelihatan baik itu. Namun gagal. Dia keluar dari situ dan menghampiri kamar yang pernah gagal dibukanya dulu. Aneh sekali kerana kali ini, begitu mudah pula untuk membukanya!
Kamar itu juga padat bersawang, beberapa sarang labah-labah seolah-olah menghalangnya dari masuk. Dia kehairanan melihat ada beberapa patung kecil yang dibaluti kain-kain merah tergolek di penjuru kamar. Sedang asyik memerhatikan, dia tiba-tiba terjerit sewaktu ternampak seekor ular hitam berlingkar di bawah meja solek. Segera dia berlari keluar dan terus pulang semula ke rumah.
Dari beranda, setelah menstabilkan nafasnya, dia kembali termangu merenung rumah kosong tersebut. Argh... sepi sungguh terasa hidupnya. Sepi terlalu sepi. Sehinggakan rumah kosong seperti itu memberikan gambaran indah padanya.
Sudah fitrah kejadian, makhluk-makhluk halus gemar meresapi jiwa yang kosong sebagaimana jiwanya pada kala itu. Makhluk-makhluk tersebut memang pakar menggoda dengan memprojek lakaran-lakaran indah di minda manusia. Harus tahu, setengah makhluk halus memang boleh memasuki otak manusia dan bermarkas di situ.
“Mak dah balik ke?” tanya Asfahul.
Atira berpaling terkejut. Benar-benar tergamam ditegur suaminya. Terlalu asyik melamun, hingga tidak kedengaran olehnya bunyi enjin kereta Asfahul.
Asfahul menghampirinya. “Kenapa Aty suka sangat perhatikan rumah kosong tu?” tanya Asfahul kurang senang. “Jangan asyik menghadap rumah tu. Syaitan sangat suka dengan orang berkhayal!”
Atira tidak membalas kata-kata Asfahul. Matanya tidak berkelip. Kerana di belakang Asfahul mengekor seseorang yang amat dijengkelkannya. Emalin!
Jengkel betul dirasakan Atira memikirkan kebiasaan Emalin mengekori suaminya pulang ke rumah itu apatah lagi bila hujung minggu. Dia pengunjung tetap Teratak Asfalin jika tiada tetamu.
“Aty? Dengar tak abang kata tadi?” Asfahul menekan nadanya.
Atira mengangguk sambil memerhatikan sahaja perempuan yang dibahasakan Kak Elin padanya oleh suaminya itu mengiringi Asfahul ke dalam. Manakala dia hanya monyok sambil lambat-lambat mengekori. Dia berhenti bila Asfahul berpaling menghadapnya dengan dahi berkerut.
“Mak balik sendiri ke?” soal suaminya.
“Tak. Aty panggilkan teksi tadi. Mak kirim salam.”
“Okey...” kata Asfahul sepatah . Tiba-tiba dia mendekatkan mukanya. Menarik sesuatu dari celah rambut Atira lalu menayangnya di depan muka si isteri.
“Apa ni? Sawang. Ati buat apa masa abang tak ada kat rumah? Mak cik tu tak datang bersihkan rumah ke?” tanyanya ingin tahu.
Atira terpana. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Asfahul mendekatkan mukanya lagi. Meraup rambut di ubun-ubun Atira. Kemudian menggeser jari-jemarinya.
“Apa ni? Macam sarang labah-labah, melekit.” Komennya lalu memeta ke wajah Atira mohon penjelasan.
Atira terbata-bata hendak menjawab.
“Kalau nak kemas rumah suruh Mak Esah. Jangan buat sendiri.”
Atira tidak juga membalas. Terus merenung keduanya dengan jengkel.
Asfahul menggeleng dan melangkah ke tangga meninggalkan Atira yang masih memerhatikan mereka dengan hati terbuku. Dia diekori Emalin yang berpaut pada lengan Asfahul.
Atira berasa hatinya seumpama dihiris-hiris. Tiba-tiba dia mengejar.
“Abang tak nak makan ke?” tanyanya mengah.
Asfahul menggeleng dan kembali memanjat tangga.
“Kami dah makan di luar tadi,” cebik Emalin.
Atira pura-pura tidak mendengar mahupun memandangnya. Dia terus memujuk suaminya.
“Tapi masakan hari ni semua macam yang mak selalu masakkan untuk abang. Dia kata dia nak abang makan semua lauk pauk kegemaran abang. Itu pesan mak sebelum dia pulang.”
Asfahul bungkam sejenak. Tidak lama kemudian, dia kembali meneruskan langkahnya ke atas.
“Cuci rambut tu!” Dia melaungkan arahannya sebelum terus hilang di kamarnya bersama Emalin.
Atira yang kecewa lalu berundur ke kamarnya. Direnung rambutnya di cermin solek. Kemudian menarik sawang dan sarang labah-labah yang melekat pada rambutnya.
‘Nasib baik Abang Fahul tak syak aku ke rumah kosong tu,’ bisiknya tersenyum sekilas. Hari itu, dia patuh dengan saranan Ruhani supaya sesekali masak untuk suaminya.
Namun seperti biasa, usahanya itu tidak dihargai. Dia pula bukan jenis kuat makan.
‘Kak Elin tu dah rosakkan kepala Abang Fahul,’ keluhnya dalam hati yang memendam cemburu. ‘Kalau tidak mesti abang turun dan jamah sikit.’ Dia cemburukan Emalin yang dicintai Asfahul.
‘Tapi dia memang cantik dan bergaya,’ akuinya sebal sambil membandingkan dirinya yang dianggapnya tidak seberapa berbanding Emalin itu.
“Ah lantaklah!” bentaknya dan berbaring di katil. Tidak sampai sepuluh minit dia mula mengembara ke alam mimpi.
ATTENTION..!! Buckle your seatbelt..Our boeing gonna make a quick landing on THE new chapter :) ***
{{BAB 7 **
“ATY sayang!”
Atira terkejut. Manis dan kacak sungguh Asfahul yang sedang berdiri mendepaninya saat itu.
“Abang?”
“Ikut abang jom!”
“Ke mana?”
Asfahul tersenyum. “Ikut sajalah.”
Atira merasakan tubuhnya ringan serta melayang-layang. Dia dibawa Asfahul ke sebuah taman yang indah. Ada pelbagai bunga-bungaan yang tumbuh dan mekar di taman itu. Segalanya mengasyikkan pandangan. Ada sungai kecil mengalir di tepiannya. Bau di sekitarnya enak dan menyamankan. Bau pasir sungai, dedaun segar dan diselang-seli bau bunga cempaka dan bunga tanjung.
“Apa nama tempat ni, bang?” tanya Atira sambil merewangkan pandangan ingin tahunya ke sekitar. Hanya kehijauan di sekelilingnya. Dia berasakan seolah-olah sedang berada di taman yang dikelilingi belantara. Terasa pelik lantas dia berpaling menghadap Asfahul.
“Inilah daerah Pelunsur Haji. Abang akan bina sebuah rumah di sini. Tidak jauh dari sini. Rumah tu untuk Aty. Puncak Pelunsur Haji, kita namakan kediaman kita itu nanti.”
Atira tersengih melebar. Terasa ranum hatinya. “Tapi kan abang dah beli Teratak Asfalin?”
“Rumah itu nanti lagi cantik. Untuk Aty dan abang saja. Abang akan perlihatkan pada Aty. Bila Aty mula cintakan abang.”
Atira terkesima lantas menengadah ke muka Asfahul. “Aty memang sayangkan abang. Sejak dulu lagi. Sejak Aty kecik.”
Asfahul menggeleng. Namun senyuman masih berlegar di wajahnya yang manis. “Itu sayang pada seorang abang. Abang mahu Aty sayangkan abang macam seorang kekasih. Abang mahu Aty cintakan abang macam isteri cintakan suaminya. Barulah kita beroleh bahagia,” jelas Asfahul terus tersenyum.
“Apa bezanya? Pada Aty sama saja.”
Asfahul tergelak kecil. “Ada bezanya.”
“Apa dia?”
Asfahul terus tergelak-gelak. “Nantilah. Suatu ketika abang akan beritahu tapi bukan sekarang!”
Atira tiba-tiba menangkap butir-butir bicara dari suara lelaki dan perempuan yang saling bertingkah. Yang menghairankan, di situ tiada sesiapa, hanya dia dan Asfahul berdua. Dia berpaling pada Asfahul dan terpinga-pinga sewaktu melihat kelibat Asfahul yang kian lama kian sirna.
“Ya ALLAH. Faul, tengok apa ni?” Emalin separuh menjerit.
Atira cepat-cepat membuka mata. Dia terpisat-pisat.
Asfahul terkejut melihat tubuh yang terbaring di garaj. Dia bercekak pinggang sambil menggeleng.
Tiba-tiba saja Atira merasakan tubuhnya melayang-layang. Kemudian terdampar di sofa dengan wajahnya diterjah sepasang mata Asfahul. Emalin sedang berdiri di belakangnya. Sukar menginterpretasi erti panahan mata wanita itu. Marah atau benci?
“Kenapa Aty terbaring kat luar tu? Kan sejuk di luar tu?” soal Asfahul pelik.
Atira yang tergamam mendengar kenyataan suaminya itu terus duduk melilaukan matanya ke sekeliling. Sewaktu matanya bertembung dengan Emalin dia melihat kekasih suaminya itu sedang mencemik padanya
“Macam budak lurus. Berjalan dalam mimpi.” Terluah kata-kata berupa ejekan daripada Emalin.
“Aty... Aty tak sedar ke yang Aty tidur di luar? Di garaj?” soal Asfahul bertubi-tubi.
Lagilah Atira bertambah bingung. “Bila masa pulak Aty tidur di luar?” tanyanya hairan.
Asfahul menarik lengan Atira dan menayangkannya benar-benar depan mata isterinya itu. “Aty nak bukti ya? Tengok ni. Merah-merah. Kesan nyamuk gigit. Aty tidur di luar yang sejuk tu buat apa? Kalau ada orang aniaya macam mana?” soal Asfahul lagi, mula membayangkan sesuatu yang membimbangkan yang mungkin terjadi andai keadaan Atira tidak mampu dikawal.
Atira terdiam. Dia berasa pelik dengan tuduhan Asfahul. Bila masa pula dia tidur di luar? Dia tidur di kamar tingkat bawah semalam. Sebelumnya dia dibawa Asfahul ke sebuah taman di tengah belantara. Taman yang sungguh indah menghijau. Mustahil Asfahul semudah itu lupa? Atau apakah dia hanya bermimpi? Dahinya berkerut-kerut menganalisis. Dia merenung dalam-dalam akan wajah suaminya.
Suaminya tadi memakai baju Melayu sedondon kuning. Daripada fabrik yang cukup halus lagi lembut. Mungkinkah bukan Asfahul itu yang sedang menghadapnya kini? Sikap kedua-duanya jelas berbeza. Seorang dingin dan seorang lagi penuh kehangatan cinta. Ditenungnya lagi dalam-dalam wajah suaminya. Cuba menganalisis apakah turut wujud perbezaan sifat antara kedua-duanya.
Ternyata tidak ada. Wajah mereka sama. Persis. Tapi mata Asfahul tadi bersinar-sinar, tidak setajam mata yang sedang memanahnya kini.
“Entah-entah, sengaja cari perhatian you tak?” Emalin mencelah sambil menuduh.
Asfahul berpaling padanya. “Tak payah berprasangka yang bukan-bukan. Aty bukan macam tu,” tangkis Asfahul membela. Membuat Emalin yang tersentap sekali gus memasamkan muka. “Aty, abang nak ke tempat kerja. Jangan buat benda-benda pelik dan bahaya macam ni lagi ya?” pintanya.
Atira sekadar menggangguk. Hairan dengan perubahan Asfahul. Kenapa ramah dan prihatin benar? Dan bila masa pula dia tidur di luar? Dia enggan percaya omongan Asfahul itu. Dia menutup pintu sebaik sahaja Asfahul dan Emalin menghilang dengan kereta masing-masing. Kemudian ke dapur. Dilihatnya jendela di dapur yang menghadap rumah besar itu terbuka lebar. Bukankah dia sudah mengunci jendela itu sejak semalam? Dahinya berkerut memikirkan sikapnya yang alpa. Tangannya terasa gatal tiba-tiba. Dia menggaru bahagian yang gatal lalu terkejut sewaktu mendapati kulit lengannya yang dipenuhi bintat-bintat merah kesan gigitan nyamuk.
“Banyaknya kena gigit!” Dia terkejut. “Benarkah tadi tu Abang Fahul atau bukan?” dia tertanya-tanya. Benaknya musykil dan dia agak keliru.
‘Tapi aku gembira bila di sampingnya. Dunia di situ indah. Tidak seperti dunia yang aku berada sekarang. Bosan dan tak bererti,’ bisik hatinya, membanding-banding.

“PUAN Aty tak takut dimarahi suami?”
“Kenapa?” soal Atira pelik. Direnungnya wajah wanita Indonesia itu dengan mata tidak berkelip.
“Kerana jemput Kak Su ke rumah makan kek yang Aty buat ni. Bukankah Kak Su ni hanya orang gaji saja. Bukan madamnya?”
Atira tergelak lucu. Geli hati dia mendengar omelan pembantu rumah Indonesia yang bernama Sunarti itu. Dia kerap terserempak wanita itu menolak kereta sorong bayi di simpang jalan berhampiran gerai kuih-muih di simpang berdekatan. Bermula dengan tegur-menegur, akhirnya mereka jadi agak mesra. Hari itu wanita tersebut memenuhi pelawaan Atira agar singgah ke Teratak Asfalin seandainya dia kelapangan.
“Merepek Kak Su ni. Majikan Kak Su kan tak ada. Takkan tak bosan? Lagipun rumah kita kan dekat dan berjiran. Abang Fahul tak kisah kalau Aty kawan dengan sapa pun. Lagipun Mak Esah tak datang kerja hari ni. Anak dia sakit.”
Sunarti tersengih. Majikannya berbangsa Cina tiada di rumah kerana pergi bercuti ke luar negara.
“Aty bosanlah, Kak Su. Kek tu mama ajarkan cara buatnya pada Aty dulu. Ada beberapa resipi kek yang Aty tahu buat. Kek keju, keladi, marble dan kek oren ni. Aty selalu buat kek-kek ni. Ingat nak bagi Mak Esah rasa, tapi dia tak datang. Rezeki Kak Su lah ni.” Guraunya mesra.
Pembantu rumah itu mengangguk menghargai. Tidak berhenti dia menjamah kek yang dibuat sendiri oleh Atira. Tidak henti-henti juga dia memuji-muji keenakannya.
Atira pula tidak henti-henti menerangkan cara membuatnya. Menurut Atira, kek oren jika dibuat mengikut resipi yang tepat memang sungguh enak rasanya. Dan jangan terlalu kering kerana keadaan kek seperti itu akan menimbulkan rasa muak.
“Kak Su, siapa yang menghuni rumah sebelah tu dulu? Rumah kosong tu. Rumah tu dah dijualkah?” soal Atira yang tidak sabar hendak mengetahui.
“Teratak Maya ke?”
Atira mengangguk. Serius menyelidik.
“Kurang pasti, Puan Aty. Tapi rumah tu tak pernah dijual. Pemiliknya memang ada sesekali datang menjenguk rumah tu. Arwah ayah mereka dulu sangat kaya dan beliau juga ada perniagaan di Indonesia jika Kak Su tak silap. Ada dua bini. Satu Cina Muslim dan satu lagi berasal dari Padang, Indonesia,” balas Sunarti sambil mengunyah baki kek dalam mulutnya. Matanya membelek baki kek yang masih berada dalam pinggan.
“Maknanya pemilik rumah itu masih hidup?” soal Atira tidak sabar-sabar.
Sunarti mengangguk.
“Pemilik sebenar sudah mati. Yang sesekali datang menjenguk tu warisnya. Datang sekejap saja kemudian beredar lepas tak sampai sepuluh minit jenguk rumah tu!” jelasnya panjang lebar.
“Kak Su tau kerana setiap kali datang, dia seolah-olah sengaja membuat keretanya mengaum-ngaum. Seolah-olah, nak maklumkan pada semua orang tentang ketibaannya yang agung itu. Macam dia seorang yang ada kereta!” Dia memuncungkan bibirnya sambil berseloroh.
Atira kelihatan berfikir.
Melihat keadaan Atira tersebut, dia lantas bertanya. “Kenapa?” Sunarti hanya separuh berminat.
“Tak ada apa-apa sebenarnya,” balas Atira lalu perlahan-lahan tenggelam dalam fikirannya.
Sunarti mengerutkan dahi memerhatikannya. Kenapa Atira beria-ia benar hendak mengetahui tentang rumah kosong tersebut. Apakah suaminya berhajat hendak memiliki rumah yang pernah di dalamnya terjadi satu kejadian pembunuhan dulu?
“Aty, lama dulu pernah ada pembunuhan berlaku di rumah tu, ni Kak Su dengar daripada orang. Hampir sebelas tahun yang lalu. Kak Su pun tak berapa pasti cerita sebenarnya. Ingat-ingat lupa.” Dia memulakan gosipnya. Wajah Atira berkerut tertarik.
“Takkan Kak Su bekerja selama tu kat rumah Cina tu?” tanya Atira sedikit hairan. Sunarti menyengih.
Dulu Kak Su kerja dengan majikan lain. Bila dia dah pindah ke luar negara, Kak Su diambil majikan Tionghua ni berkhidmat untuk dia,” terangnya. Atira mengetap bibir memberi konsentrasi. “Masa tu Kak Su baru belasan tahun, baya Puan Aty ini, mungkin lagi muda,” ujarnya meyakinkan.
Esoknya sekali lagi Atira mengemaskan rumah kosong tersebut. Berhati-hati dia. Bimbang kalau-kalau terserempak dengan ular berbisa itu lagi. Tiba-tiba penyapunya terpelanting jatuh sewaktu satu suara garau menyergahnya dari belakang.
“Sunarti!” dia separuh menjerit. Bibik jirannya itu tergelak-gelak mengekeh.
“Suara Kak Su macam orang lelakilah!” ujarnya tergelak. Sunarti menyengih.
“Saya rasa kalau mati hidup balik pun takkan jumpa manusia sebaik Puan Aty.” Pujinya tersengih-sengih. Terasa aneh pula dia dengan kesungguhan Atira itu.
Atira memerhatikan hasil kerjanya. Rumah itu kini kelihatan seolah-olah didiami orang, boleh dikira bersih meskipun tidak seratus peratus.
“Sayang rumah secantik ni tak berjaga. Biarlah bersih. Lagipun beberapa tingkapnya ternganga. Kalau bersih, tentu tak ada pencuri sanggup ambil apa-apa kerana menyangka rumah ni berpenghuni,” balas Atira.
Sunarti tergeleng. Tertanya-tanya.
“Panggillah Aty saja. Janggallah panggil puan. Akak lebih tua daripada Aty.” Pintanya melebarkan senyum. Sunarti mengangguk mesra.
“Aty ni baik sangat. Kagum kak Su. Jangan kena dakwa-dakwi kerana menceroboh sudah. Nanti tuan di Teratak Asfalin itu juga yang capek membayar denda.” Guraunya dan meminta izin pulang. Namun, dia kembali semula dengan membawa bersama sebatang penyapu di tangannya. Atira berasa seronok sekali.
“Saya ni dah gila agaknya,” katanya terkekeh-kekeh ketawa bersama Atira. Mereka berbual sambil tertawa.
Atira benar-benar gembira hari itu. Terasa dirinya berteman. Rona ceria melimpahi wajahnya. Hari itu dia tidak berasa sunyi seperti selalu. Hari itu juga Asfahul lupa menjengahnya di alam mimpi. Dan dia mula belajar merindu. Bukan suaminya. Tapi lelaki di alam mimpinya itu!
enjoy sayang...
***[[[BAB>>>[8]

“KALAU aku di tempat kau, atau jadi kau, aku minta cerai. Aku malu tau? Malu kerana menyemak dan mengganggu hubungan orang lain!” Kejam sekali ayat yang dilontarkan. Wajah itu mencemik meluat padanya.
Tergamam Atira. Dia terpinga-pinga diterjah seperti itu. Dipandangnya Emalin yang masih dalam gaun tidur. Gadis itu berdosa besar menyengajakan dirinya dilihat Asfahul dalam keadaan seperti itu. Hatinya berbisik sambil membalas renungan tajam tanpa belas Emalin. Kalaulah dia tahu betapa Emalin sudah biasa membiarkan dirinya diperlakukan oleh Asfahul sejak mereka masih berada di Illinois lagi.
“Dia tak cintakan kau dan tak pernah tidur dengan kau, tu maknanya kau tu tak bermakna pada dia. Tapi kau biarkan diri kau yang tak tau malu tu jadi beban pada dia di rumah ini. Hidup segan mati tak mahu. Jadi bahan welfare!” lontarnya lagi sambil mengawal nadanya takut didengari Asfahul yang turut berada di rumah waktu itu.
Jadi benarlah sangka Atira. Emalin memang melakukan perbuatan sumbang dengan suaminya! Dia merenung jengkel.
“Sedarlah diri tu sikit. Pergi balik ke rumah kau di Muar tu!”
Terpana Atira. Dia dihalau dari rumahnya sendiri! Patutkah dia dihalau dari rumah suaminya sendiri oleh seorang tetamu yang bukan pun isteri pada lelaki itu. Tapi kenapa dia berasa seperti tidak berdaya melawan? Seolah-olah dialah pengganggu bukan tetamu yang menghalaunya itu! Mata bening itu mulai berkaca. Bibirnya bergetar. Kalaulah ayahnya masih ada di rumahnya di Muar, sudah tentu dia akan menyuruh ayahnya menjemputnya waktu itu juga. Sayangnya dia kini tiada sesiapa. Hanya ada Asfahul dan Ruhani. Farhunah? Hidupnya sendiri berantakan oleh suaminya yang tidak tahu makna tanggungjawab itu.
“Bukan saya yang tentukan semua ni. Tapi keluarga kami. Merekalah yang jodohkan kami,” balas Atira menahan diri dari teresak-esak. Tersayat kalbu yang dirobek-robek itu. Dia yang punya alasan kukuh untuk melawan membiarkan saja dirinya tewas berhujah. Oleh kerana keyakinan yang tidak pernah ditancap seorang suami ke hati dan mindanya bahawa dialah sebenarnya suri kediaman itu, pemilik bersama kediaman itu.
Atira berfikir, seandainya dia diceraikan oleh Asfahul, dengan siapa dia harus tinggal? Ibu saudaranya Syahriah tidak pernah menganggapnya wujud. Sungguh dia tidak punya sesiapa di mayapada ini selain Asfahul dan keluarganya. Mamanya menghilang entah ke mana. Alangkah sengsaranya hidup tidak mempunyai saudara untuk mengadu.
“Bagi tau mak bapak kau, Faul tak ingin pada kau. Tak sudi pada kau. Yang kau tu hanya menyemak saja di rumah ni. Bagi tau terus terang. Aku ni kekasih dia dan kami dah janji akan kahwin sejak kita orang di US lagi.” Herdiknya tapi tetap dalam nada yang dikawalnya. Bimbang Asfahul terdengar.
Kedengaran batuk-batuk di atas. Emalin bergegas meninggalkan Atira lalu buru-buru ke atas. Tidak lama kemudian, bergema hilai tawa di atas.
Atira terasa sesuatu beban di dadanya. Kolam matanya berair. Kemudian tumpah setitis demi setitis air matanya. Kalbunya mulai merawan hiba.
“Ke mana mama?” Esaknya perlahan sambil merebahkan pipinya di meja makan. Bahunya terhenjut-henjut mengawal tangisan. Lagu Gurindam Jiwa dodoian mamanya terngiang-ngiang di kejauhan.
“Tak nak dengar!” itu suaranya bertahun-tahun yang lalu. Suara dia berkeriau memarahi ibunya. Dia bosan kerana sering diperdengarkan senandung yang serupa hampir setiap hari dalam hidupnya.
Kini lagu yang dulu sangat dibencinya, tidak ubahnya bagaikan nyanyian bidadari padanya. Dia membiarkan air matanya luruh lagi. Dia rindu.
“Kalau mama balik, mama nyanyilah semula lagu tu. Aty dah suka lagu tu. Dah tak benci lagi. Dan Aty juga janji nak cuba sukakan murtabak yang mama suka tu. Nanti Aty teman mama pergi kedai murtabak kat pekan Parit Jawa tu ya, mama? Pasal ayah dah tak ada nak temankan mama lagi,” katanya tidak peduli lagi mengawal sedu sedannya. Alangkah peritnya jiwa yang merindukan kehadiran seseorang yang sudah dinantikan sekian lama! Penantian yang tidakkan ada noktahnya hingga bila-bila. Kalau saja dia tahu yang orang yang ditunggunya itu sudah tiada di alam fana.
Atira cepat-cepat menyeka air matanya. Dia terdengar suara Asfahul dan Emalin sedang berbual. Mungkin kedua-duanya sudah turun ke bawah. Sudah siap berpakaian formal untuk ke pejabat. Atira mengesat air matanya bersungguh-sungguh.
Asfahul ke dapur menjenguk Atira. “Aty, abang pergi dulu. Jangan keluar dari rumah. Kalau buka pintu pagar pun hanya untuk Mak Esah saja, ya?” pesannya. Berkerut wajahnya seketika apabila Atira yang menghadap ke arah yang bertentangan langsung tidak mahu menoleh padanya. Sebaliknya hanya mengangguk mengisyaratkan kepatuhannya.
Sebenarnya dia tidak mahu Asfahul terlihat kesan tangisan di wajahnya. Asfahul mendekat. Atira berdebar. Kalau Asfahul bertanya di depan Emalin, tentu wanita itu akan mencari pasal dengannya dengan cara yang lebih teruk lagi. Dia berdoa agar Asfahul melangkah setakat itu saja.
“Kenapa sombong sangat dengan abang ni?” tanya Asfahul.
Atira terus mendiamkan diri.
Tangan kanan Asfahul menyauk dagu Atira memaksa isterinya itu berpaling ke arahnya.
Atira menurut. Emalin yang baru menjengah ke ruang yang sama memerhatikan dengan dada bergemuruh kencang.
“Aty menangis?” tanya Asfahul tergamam. “Tapi kenapa?” Dia beralih posisi dan berdepan dengan isterinya.
Atira tunduk tapi terpaksa menengadah bila Asfahul dengan tangannya memaksa isterinya mengangkat dagu.
“Aty... kenapa ni? Bagi tau abang kenapa Aty menangis?” tanyanya lembut dan memujuk.
Emalin pula pada masa yang sama, mensasarkan pandangan berapinya. Meluat betul dia. Namun, sekeping hati miliknya itu tetap berdebar. Bimbang sungguh dia sekiranya isteri Asfahul itu memecahkan tembelangnya mengugut tentang isu cerai tadi.
“Syarifah Atira Azlin!” Asfahul mengeraskan nadanya menuntut tumpuan Atira.
“Aty teringatkan mama,” dalih Atira.
Asfahul kembali meluruskan tubuhnya sambil melepaskan keluhan. Dia memandang Emalin, mengangkat kening padanya yang lega sekali dengan isyarat Asfahul tersebut. Nampaknya Atira tidak berani membuka tembelangnya. Dia tersenyum mengejek.
“Itu rupanya.” Asfahul kembali menunduk pada Atira yang masih melekap di kerusi makan itu. “Aty kan ada abang?” pujuknya terus.
Atira tiba-tiba mendongak. “Abang. Kalau nanti abang bosan dengan Aty, abang akan ceraikan Aty ke?” tanyanya dengan bola mata berkaca.
Asfahul tergamam sekali lagi. Matanya fokus ke anak mata Atira.
Emalin yang mendengar separuh ternganga. Berganda tergamam! ‘Jahanam budak bodoh ni,’ seranahnya meradang dalam hati sambil matanya memanah pada kedua-duanya.
“Jangan sebut lagi perkara tak baik tu. Abang takkan pernah tinggalkan Aty. Jangan merepek macam ni lagi.” Suaranya mengeras. Atira menarik nafas lega. Sepasang mata itu kembali bercahaya meskipun alisnya masih kebasahan.
“Abang nak Aty ingat janji abang ni sampai bila-bila. Aty fahamkan?”
Atira mengangguk. Emalin di belakang menghadiahkan Atira muka berkulat.
“Good girl!” Asfahul menepuk-nepuk pipi Atira seperti memujuk kanak-kanak sebelum berpergian.
Sebaik mereka beredar pergi, Atira bangun lalu memasuki kamar yang digelar Ruhani dan Asfahul sebagai kamar orang gaji itu. Dia menguak kaca jendela dan kembali merenung rumah tinggal itu. Dadanya kembali sesak oleh sebak. Hatinya benar-benar terguris dengan kata-kata penghinaan Emalin terhadapnya. Diperlakukan sehina itu oleh seorang tetamu di rumahnya sendiri.
Sedangkan dia melayan tamunya itu dengan begitu beradab sekali. Meskipun terpaksa melawan rasa jengkel dan jelik dalam hati. Perasaannya tidak keruan lantas dia beralih ke katil dan membaringkan tubuhnya. Berusaha menyabarkan hatinya sambil merawat dukanya.
“Aty?”
“Abang?” Atira memalingkan mukanya spontan. Terkejut didatangi Asfahul. Alangkah ranum hatinya melihat wajah yang dirinduinya itu.
Asfahul meleretkan senyumnya. Betapa menawannya dia menurut pandangan Atira. Dia menghulurkan tangan menyuruh Atira bangun. Atira patuh lalu berlabuh di birai katil menghadapnya. Asfahul menggenggam kedua tangan Atira.
“Abang datang lagi. Tapi di mana Kak Elin?” Muka Asfahul berubah.
“Pedulikan dia. Abang tak pernah sukakan dia. Abang hanya cintakan Aty.”
Atira tersenyum bahagia mendengar. Lega betul rasanya mendengar pengakuan itu terbit dari mulut suaminya sendiri. Tapi bukankah Asfahul mencintai Emalin? Pelik! Benarkah ini Asfahul suaminya? Dia skeptikal.
“Bila agaknya Aty akan benar-benar menyintai abang? Supaya abang boleh bawa Aty tinggal di rumah kita di Pelunsur Haji itu. Itu saja kunci yang boleh menghalang Aty dari pulang ke sini semula. Kita akan kekal berada di sana,” ujar Asfahul tersenyum manis sekali.
Atira sekali lagi kebingungan. Bukankah Teratak Asfalin yang didiaminya kini merupakan rumah mereka? Rumah Asfahul juga. Asfahul menyebut ‘rumah kita di Pelunsur Haji’? Oh ya... dia pernah mendengar tentang rumah yang disebut Asfahul akan didirikannya itu, pada pertemuan mereka terdahulu. Hatinya mengelopak riang. Hanya mereka berdua? Tidak ada Emalin! Bilakah dia berpeluang untuk melihat rumah yang dikatakan Asfahul sebagai ‘rumah kita’ itu.
“Di rumah itu nanti, kita akan membesarkan anak-anak kita bersama-sama. Aty akan berasa bahagia di samping abang, percayalah!” Asfahul meyakinkan dengan penuh bersemangat.
Atira tersenyum. Kebahagiaan di hatinya memancar begitu menakjubkan sekali. Sentuhan Asfahul sungguh membuai sukmanya yang kosong selama ini. Namun...
“Aty!” Suara seseorang terus mengejutkan Atira dari lenanya. Dia bangun terpisat-pisat.
Asfahul sedang tercegat menghadap katilnya. “Apa yang abang pesan selalu pada Aty?” tanyanya dengan lagak autoritarian yang membuatkan Atira terdiam.
“Kan abang sudah pesan jangan tidur di bilik pembantu rumah ni lagi. Kenapa Aty degil?”
“Macamlah kita ada pembantu rumah!” Atira melawan sambil menguap. Terlontar tidak sengaja sebetulnya. Tiba-tiba rasa hairan itu menerjah kembali!
Hah? Asfahul di depannya? Di mana Asfahul yang lengkap berpakaian seumpama hendak ke majlis istiadat istana tadi? Mungkinkah...
Dia keliru. Apakah dalam hidupnya wujud dua Asfahul? Satu di alam lenanya manakala satu lagi di alam sedarnya. Apakah kaitan keduanya? Apakah mereka saling mengenal atau sebaliknya? Berdenyut kepalanya diterjang kekeliruan tersebut. Dia menekan perut. Terasa benar-benar lapar. Dia lupa yang dia ketiduran sejak Asfahul ke pejabat hinggalah Asfahul pulang. Dia tidur dengan sekadar berbekalkan sarapan rutinnya yang ringkas.
“Memang pembantu rumah kita tak tinggal di kamar ni, tapi kamar ni memang abang khaskan hanya untuk pembantu rumah. Kamar Aty kan lengkap di atas?” Leternya geram. Namun berusaha untuk tidak menaikkan frekuensinya. Atira cukup mudah tergamam jika terlalu dimarahi. Kata orang , semangat rapuh.
“Lain kali tidur kat atas. Di kamar Aty bukan di sini faham?” Asfahul kembali mengingatkan. Tergugat juga kesabarannya.
Dia menarik lengan Atira agar mengikutnya ke atas. Atira sengaja memberatkan tubuhnya enggan mengikut.
“Ini kamar Aty, bukan di bawah!” kata Asfahul dan mendudukkan Atira di katilnya sebaik-baik mereka berada dalam kamar tersebut.
“Dengar sini. Abang letih dengan perangai Aty ni. Sekarang abang nak masuk tidur. Lain kali tak payah tidur di bilik bawah tu. Tak payah tunggu abang. Abang ada kunci. Abang boleh buka pintu dan masuk sendiri. Aty jangan susahkan diri Aty pasal abang, faham tu? Abang nak Aty berehat dan bersenang-lenang saja di rumah ni. Macam arwah ayah pesan pada abang dulu. Dia mahu Aty selamat dan tidak hidup susah,” ulangnya lagi dengan nada bercampur marah dan geram.
Asfahul sudah pun melangkah keluar sewaktu Atira mengejarnya. Dia teringatkan kata-kata Emalin yang mengguris hati itu.
“Abang, Aty nak tanya sekali lagi boleh tak?”
Asfahul mengangkat kening berisyarat mata agar Atira meneruskan saja soalannya.
“Aty ni menyemak ke kat rumah ni?” tanyanya tidak mahu berselindung lagi. Dia mahukan kepastian sekali lagi. Dia mahu Asfahul jujur dengannya.
Dahi Asfahul berkerunyut. Kemudian memandang dalam-dalam mata Atira. “Kenapa tanya soalan bodoh tu lagi?” soalnya agak tegang.
“Abangkan ada Kak Elin. Tentu abang rasa Aty ni menyemak saja di rumah ni.”
“Kak Elin ke yang cakap macam tu?” Asfahul menduga. Mula merasakan seolah-olah ada sesuatu yang tidak beres. Atira semerta mengangguk lurus. Asfahul menarik nafas. Wajahnya berubah rona. Tahulah dia puncanya.
Berjurus lamanya dia terdiam. Pesanan arwah bapa mertuanya, Syed Azmi Kelana, terus terngiang-ngiang di telinga.
“Ayah hanya percayakan kau, Fahul. Aty tu manja. Kebudak-budakan. Ayah takut lelaki lain takkan tahan dengan rengekan dia. Ayah tengok, dia dengar kata-kata Fahul. Berjanjilah yang Fahul akan jaga Aty kalau ayah dah tak ada.”
Asfahul mengejipkan matanya sewaktu terasa kedua bola matanya mula berkaca kerana perit. Dia memagut dagu Atira. Sambil menggumam suaranya dia berkata dalam nada sebak. “Tak. Aty tak menyemak. Pada abang, Aty tak pernah menyemak di rumah ni. Atau pun dalam hidup abang. Abang macam ni pun kerana ayah Aty. Abang akan tetap jaga Aty sayang abang ni hingga bila-bila.”
Atira menunaskan senyum.
“Kalau Kak Elin kata apa-apa, Aty tak payah dengar ya?”
Atira terangguk-angguk. Seronok bila dia digelar ‘sayang’ oleh Asfahul.
“Kalau mama pulang semula, bolehkan dia tinggal bersama dengan kita?”
Asfahul tergeleng-geleng. Kemudian mengangguk sambil memaksa senyum. “Boleh sayang,” jawabnya ringkas. Lalu meninggalkan ruangan tersebut. Tergeleng-geleng dia sambil melangkah itu.
Namun, Atira mengalami perasaan yang sebaliknya. Bahagia menjelma semula di hatinya. Selama beberapa hari dia berkeadaan ceria begitu, selama itu juga Asfahul dalam mimpinya tidak menjelmakan diri. Tidak pula dia tertanya-tanya kenapa.
Pada hari ketiga, suaminya tidak lagi menjengah bertanyakan khabar. Dia meragui dan tercari-cari makna perkataan ‘sayang’ yang terluah itu. Akhirnya, kembali dia merindu. Bukan merindui suaminya. Kerana dia tahu Asfahul, suaminya itu tidak pernah merinduinya. Dia merindukan Asfahul di alam mimpinya, Asfahul yang hangat dan penuh perasaan cinta terhadapnya!
ENJOY....!!!!
HAPPY NEW YEAR...!!! [sekarang sambung..]
Bab 9

ASFAHUL memandu sambil memperlahankan kenderaannya ketika hampir ke pintu pagar Teratak Maya. Direnungnya rumah yang mempunyai rekabentuk sama dengan rumah yang didiaminya kini. Teringat betapa kelam-kabutnya Emalin sewaktu dia mula-mula memaklumkan hajatnya hendak membeli sebuah rumah kediaman. Satu keharusan, kerana dia akan melangsungkan perkahwinannya dengan Atira. Emalin tidak mampu menghalang perkahwinan tersebut. Ini kerana di awal perkenalan mereka, dia sudah pun diberitahu tentang ketetapan hubungan Asfahul dengan Atira yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun jua. Ia muktamad!
Tanpa berlengah Emalin mengheretnya ke Bukit Kota itu. Bersungguh-sungguh dia ketika mencadangkan agar Asfahul membeli sebuah rumah kosong bersebelahan Teratak Maya, rumah yang kini dinamakan Teratak Asfalin. Daripada cadangan, terus jadi satu desakan.
Kini terpaksalah Asfahul berjiran dengan rumah tidak berpenghuni yang digelar ibunya sebagai rumah puaka itu. Setelah acap kali bertelingkah, main tarik-tarik tali, akhirnya Asfahul bersetuju juga dengan desakan bertalu-talu daripada Emalin.
Atas gesaan Emalin juga dia telah melekapkan di tembok pagar, nama Teratak Asfalin. Menurut Emalin, itu cantuman namanya dengan nama Emalin. Tetapi Asfahul beranggapan lain sewaktu memeterikan nama itu.
“Ini rumah Atira.” Itu katanya pada Emalin yang mencebik dalam hati.
“Asfalin itu cantuman nama kita berdua.” Emalin menegaskan lagi.
“Biarlah jadi rahsia rumah ini.” Asfahul menggerakkan keningnya.
“ Apa yang ada dalam kepala I, itulah sebenarnya maksud nama Teratak Asfalin ini,” tambah Asfahul lagi, berteka-teki.
Sebetulnya, Asfahul pada awalnya memang menolak . Dia tidak berkenan. Dia mengidamkan rumah yang dikelilingi jiran-jiran. Dia harus memikirkan faktor keselamatan Atira yang selalu akan ditinggalkan sendirian di rumah itu kelak. Namun pujukan demi pujukan daripada Emalin, akhirnya berjaya juga meleburkan hatinya meskipun dia langsung tidak faham punca kesungguhan Emalin itu.
“I sanggup bersabar bila you kahwin juga dengan adik angkat you tu. Sedangkan hati I meratap kecewa you tau tak? Setidak-tidaknya, tunaikanlah permintaan I yang satu ni. I berkenan dengan rumah tu. Walaupun yang akan tinggal di situ ialah you dengan Atira, bukan you dengan I,” katanya dalam nada kecewa dan merajuk.
Asfahul simpati. Juga serba salah. Harus baginya memuaskan hati pihak yang terkesan teruk dengan ketetapan perkahwinannya. Dia tidak suka menambah kecewa Emalin. Lantas meskipun tidak berkenan, dengan berat hatinya dia bersetuju. Lalu berjiranlah dia dengan rumah terbiar diliputi semak itu. Belum termasuk kebarangkalian ia menjadi habitat pada haiwan berbisa.
Pemandangan itu sungguh jelek pada perspektifnya. Apa relevannya melepaskan pilihan yang sebegitu banyak dengan menetapkan pilihan yang langsung tidak rasional dan tiada prospek tersebut? Bagaimana jikalau nanti rumah itu dijadikan markas pencuri atau sarang penagih dadah? Namun, tewas juga dia akhirnya pada desakan tiada hentinya oleh Emalin.
“Teratak Maya!” keluhnya membaca nama yang tertera pada tembok rumah terbiar itu. Nama rumah yang hurufnya sudah hampir pudar oleh hakisan cuaca dan masa. “Tak ada ke siapa-siapa berkenan dengan rumah ni?” katanya mengeluh. “Setidak-tidaknya jiran tu nanti boleh jadi kawan Aty.” Sekali lagi dia mengeluh.

“DOWN syndrome. Pernah dengar?”
“Bengap sangat ke aku ni sampai tak tau tu semua?” Danial membalas dalam jenaka. Asfahul menipiskan bibirnya dalam lagak serius. Tidak tercuit. Dia sedang berkonflik dengan dirinya.
“Hmm...” Reaksinya mengangkat kening. Tidak lama, wajah itu berkerut-kerut ingin meluahkan sesuatu. Tampak berat.
“Tapi, yang aku nak bincang dengan kau ni bukan kes down syndrome. Tak ada kaitan pun. Melaut bezanya. Cuma simptomnya tu. Ada satu peratus persamaan. Seorang gadis yang tak matang-matang walaupun taraf pemikirannya boleh diklasifikasi normal. Dia juga peka terhadap perkembangan di sekitarnya.”
“Sama sekali bukan down syndrome.” Giliran Danial mengerutkan mukanya. “Dia seorang gadis. Tahap pemikiran normal. Peka pada sekeliling tapi tidak pernah matang.” Kening Danial terangkat sambil bibirnya mengulangi ungkapan Asfahul tersebut. “Apa maksud kau? Aku tak dapat tangkap.”
“Sikapnya kebudak-budakan. Mindanya tu tak mencapai tahap dewasa.”
“Oh... Maksud kau fikirannya tak berkembang selari dengan pertumbuhan fizikalnya?”
Asfahul spontan mengangguk. Lega rasanya apabila seorang responden memahami isu yang dibicangkan.
“Nampak pada mata kasar macam tulah.” Asfahul menggerakkan kening.
Danial berusaha memahami. “Kes siapa yang kau rujuk ni? Siapa penghidap penyakit yang hanya ada satu peratus persamaan dengan simptom down syndrome ni?” tanyanya mengaitkan fakta yang dijadikan ciri sinonim oleh Asfahul itu.
“Kes seorang yang aku kenal.” Asfahul mengelak daripada membongkar identiti individu yang diperkatakan.
Terangkat kening Danial.
“Maksud kau, budak perempuan tu bodoh ke?” tanyanya kehabisan modal untuk menyoal.
Asfahul menggeleng. Nampak tergugat. Kurang senang dengan aplikasi nahu ‘bodoh’ tersebut.
“Kalau kau bagi dia masalah matematik dia akan berjaya menjawab biarpun makan masa. Tapi bila tiba bab literature, dia terus zilch. Dia isteri pada satu lelaki ni. Lelaki ni pula, tak pernah tidur dengan isterinya itu kerana menganggapnya masih budak.”
Danial tergelak. Riak lucu terpamer di wajahnya.
“Cantik ke si gadis yang masih berfiil macam budak-budak ni? Kau kata laki dia tak pernah tidur dengan dia. Maknanya dia dah berkahwin. Kenapa kau masih sebut dia sebagai gadis?” Danial keliru.
“Hmm... memang cantik! Laksana bidadari. Aku sebut gadis kerana dia memang masih gadis. Begitulah dia selama-lamanya di mata aku.” Asfahul menjawab sambil menggarit-garitkan keningnya. Berjenaka.
Danial membesarkan bola matanya. Tertarik meskipun Asfahul hanya melawak.
“Biar betul, Fahul! Kenapa pulak di mata kau. Bukan di mata suaminya?”
Pertanyaan Danial itu membuat Asfahul gugup seketika. [ ha ha..layannnzzz ]
SAMBUNGANNNN*** ~
Danial membesarkan bola matanya. Tertarik meskipun Asfahul hanya melawak.
“Biar betul, Fahul! Kenapa pulak di mata kau. Bukan di mata suaminya?”
Pertanyaan Danial itu membuat Asfahul gugup seketika. Kemudian menyambung puji-pujiannya. “Wajahnya cantik. Mata besarnya itu sangat redup. Hidungnya tirus dan mancung. Bibirnya penuh dan sangat manis serta comel apabila menyungging senyum. Dia juga lembut dan manja orangnya. Fragile. Dia sangat innocent, Dany, tu sebab aku kata dia seperti bidadari. Dia belum diusik suaminya, jadi kira gadislah tu. Tapi yang pasti dia bukan penghidap down syndrome cuma mindanya lambat berkembang selepas satu peristiwa tragis yang menimpanya.” Kali ini Asfahul serius melandaskan fakta-fakta sebagai teras jawapannya.
“Susah kes ni.” Danial menarik nafas. “Alah, kau cadangkan saja pada lelaki tu supaya tidur saja dengan bini dia. Buat-buat tak tahu personaliti dia tu. Lagi satu, berdosa kau memuji dan memuja isteri orang tau?”
“It’s a crime to sleep with a child, Dany,” balas Asfahul mengelak memberi reaksi pada amaran sahabatnya.
“Satu kesalahan jenayah meniduri kanak-kanak dengan tujuan seks. Kau kan tau tu?” Asfahul sekali lagi menekankan fakta yang dijadikan polisinya itu.
“Kau tau ke definisi seorang kanak-kanak? Ciri fizikal kanak-kanak salah satunya ialah saiz anatomi. Kalau dah baring sama panjang, apa yang kanak-kanaknya?”
“Suami dia tak sampai hati. Terasa bersalah hendak menyentuhnya. Apatah lagi perkahwinannya dengan gadis itu merupakan wasiat arwah ayah mertuanya. Dia terhutang budi selain menyanjung tinggi arwah mertuanya tu. Satu pengorbanan sebetulnya kerana dia dah ada kekasih. Malah sudah kerap terlanjur dengan kekasihnya tu.”
“Ini dah melalut. Ada kekasih? Kenapa tak kahwin saja? Kau kata bini dia tu tak matang. Tentu dia tak kisahkan kalau laki dia pasang dua? Dia bukan faham pun, kalau betul mindanya tu kebudak-budakan.” Danial menjongketkan kening ketika membahaskan isu itu. Dia menokok lagi.
“Lagipun daripada terus terlanjur dan melakukan zina terkutuk tu, kan elok bertaubat dan kahwin saja? Kau tahu? Sekali zina hukumannya sebat seratus kali. Kalau dah berkali-kali? Pancung lagi baik, buat panas bumi ALLAH ni saja!”
Asfahul membulatkan matanya. Dia terkejut dengan lontaran kemarahan Danial itu. Terasa ada sesuatu menyekat kerongkongnya. Dia berdehem.
“Tak ada halangan bagi pihak isterinya. Cuma kekasihnya menentang keras poligami. Tak suka dimadu.”
Mendengar itu Danial menggeleng.
“Kekasihnya tu maukan lelaki tu ceraikan isterinya dulu barulah dia setuju dinikahi.”
“Amboi... Tak sedar diri betul. Masuk dalam rumah tangga orang, nak jadi tuan pulak. Betul-betul melukut tak sedar dek untung.”
Luahan Danial itu membuat Asfahul separuh terlopong. Tidak menyangka Danial akan memaki seteruk itu. Wajah Danial ditenungnya tepat-tepat. Danial mungkin ada kalanya ‘laser’, tapi mengutuk seperti itu, jauh berlawanan dengan peribadi asalnya.
“Kenapa kau ambil berat sangat pasal lelaki tak bermoral tu? Bukan ke dia yang jadi nakhoda kapal dia? Biarlah dia yang tentukan arah pelayarannya. Kalau senget kapalnya, itu dia yang minta. Jangan kau sampai sakit-sakit kepala fikirkan masalah yang hanya membebankan kepala otak kau tu!” Nasihat Danial jujur.
Asfahul terdiam. Akhirnya menekur ke meja. Di ruang benaknya, wajah Atira dan Emalin saling mengambil giliran.
Danial berasa serba salah kerana gagal memberi pandangan yang dimahukan Asfahul. Di sebalik menolong, dia membuat suasana jadi tegang oleh bahasa tidak beretikanya. Mendadak dia teringatkan sesuatu.
“Aku pernah terbaca tentang sesuatu.”
Asfahul mengangkat dagu teruja.
“Err... Peter Pan Syndrome. Tapi sindrom ni merujuk pada lelaki yang tak bertanggungjawab lepas berkahwin. Masih dengan gelagat hendak berseronok dan melupakan tanggungjawab.” Danial tersengih sambil berceloteh. Sengihannya terhenti sebaik menyedari yang Asfahul masih menekuni isu tadi.
Dia mengangkat tangan aksi ‘surrender’. “Memang aku ‘blank’ pasal ni!” Akhirnya Danial mengakui.
“Aku pun tak suka heret lebih jauh isu ni. Kau ingat, ada tak rawatan untuk kes-kes seumpama ni?” tanya Asfahul.
“Kau betul-betul ambil berat pasal lelaki ni. Kagum aku.” Danial memerhatikan Asfahul. Dia menyambung,
“Takkan kau tak pernah rujuk pada pakar. Maksud aku lelaki tu? Mungkin ada rawatan mental therapy untuk kes seperti ini.” Danial tiba-tiba merenung tuntas Asfahul. Dia mula memberi teori.
“1) Pasangan ini baru berkahwin. 2) Belum pun sampai setahun. 3) Dan masalah penyakit ni pula baru melintasi fikiran lelaki tu. 4) Sebelum ni dia sibuk belajar di luar negara.” Danial mengerutkan kening sambil membutirkan semula fakta-fakta yang diutarakan Asfahul tadi. Sejurus, dia mengecilkan matanya. “Ni macam kes kau aja! Kau kan baru berkahwin dan baru pulak pulang dari luar negara?” Dia menyerkap jarang.
“Merepeklah!” Asfahul yang gugup disergah telahan Danial itu tergugup-gagap menafikan.
Danial yang mula mengesyaki Asfahul menyembunyikan sesuatu daripadanya terteleng merenungnya dengan lagak skeptikal.
“Jangan tenung aku macam tu lah!” Asfahul semakin resah apabila rahsianya hampir terbongkar. Dia melarikan matanya
Sambungan****
Bab 10]]]]

DANIAL bersungguh-sungguh memerhatikan Atira yang sedang meletakkan satu per satu cawan atas meja kopi itu. Kemudian menuangkan pula air minuman yang masih panas itu dengan tertib ke dalam setiap cawan. Dia menghulurkan secawan pada Danial. Kenapa Atira harus membuat dirinya kelihatan seperti pembantu rumah?
Berkerut dahi Danial memerhatikan. Tambah berkerut apabila menyaksikan Atira dengan selamba pula menyuakan secawan pada Emalin yang duduk bersentuh tubuh dengan Asfahul di sofa yang sama. Mengah dadanya menggali nafas. Berkali-kali beristighfar di dalam hati. Apa yang dilihatnya itu terlalu menjengkelkannya. Aksi tanpa perasaan Emalin itu sungguh menyakitkan matanya. Dia sebagai orang luar sudah memandangnya jelik, apatah lagi buat Atira yang merupakan isteri pada lelaki yang dihimpitnya itu? Tidak sedarkah Emalin betapa dia sedang berdepan dengan isteri pemilik rumah itu? Argh... terlalu biadap!
Kini Danial menyaksikan Emalin dengan sengaja menyerahkan cawan yang diserahkan padanya oleh Atira tadi ke tangan Asfahul. Aksi Emalin itu membuat hati Danial tambah mendongkol. Sakit mata melihat Emalin yang kemudiannya memberi isyarat mengarahkan Atira menghulurkan cawan yang lain padanya. Kerana cawannya tadi sudah diserah pada Asfahul. Menggelodak rasa meluatnya melihat anak bekas pengetua yang dihormatinya diperkacang begitu saja. Tidak tertahan, dia membuka mulut.
“Sedih hati Tuan Syed kalau dia tengok semua ini,” luahnya kerana terlalu bersimpati.
Asfahul dan Emalin yang dipempan dengan komen Danial itu serentak berpaling padanya. Asfahul mengangkat kening isyarat seakan bertanya “Apa maksud kau?”. Soalan yang gagal terluah dari mulutnya itu menerobos keluar dengan garangnya melalui kedua bola matanya.
“Kau tak teringin cari pembantu rumah ke Fahul? Takkan kau tergamak jadikan isteri kau ni babu rumah kau ‘berdua’ ni?” perlinya membidas sikap oportunis Emalin. “Dia ni kan anak manja. Anak tunggal pengetua kita dulu. Biasa ke dia melayan tetamu dengan beraksi macam bibik ni. Dia kan dah biasa dilayan macam seorang puteri di rumahnya?” Sengaja ditekankan perkataan berdua itu supaya Emalin sedar ‘siapa’ dirinya dan apa kedudukannya dalam rumah tersebut.
Asfahul tersentap. Apatah lagi Emalin. Sekali lagi? Lebih parah daripada rasa terkejut tadi. Perlahan mata mereka beralih pada Atira yang sudah pun hilang di dapur. Mata Emalin kemudian menyasar ganas ke muka Danial. Wajahnya bertukar masam mencuka.
Danial menggeleng. Peduli apa dia pada pandangan amaran daripada Emalin itu? Yang juga kenalannya semasa di US dulu.
“Aku rimas tengok gaya hidup kau ni. Kenapa kau tak kahwin saja dengan Elin ni. Elak buat dosa. Lagipun kau tak kesian ke kat isteri kau tu? Dia tu baik. Nampak pada aku macam normal aje. Macam isteri yang lain-lain juga. Apa yang budak-budaknya? Tengok tu? Kek yang dia buat tu boleh kalah Secret Recipe!” sambungnya panjang lebar.
Asfahul yang tergamam dengan teguran Danial itu gagal membalas.
Danial membuat mimik mencebik. “Aku dah dapat tangkap siapa perempuan yang kau ceritakan hari tu. Sewaktu ke sini dan saksikan cara kau dan Elin layan isteri kau, aku dah agak dah. Aku tau kau maksudkan Aty, anak pengetua kita yang cantik dan manja tu!!”
Emalin meluruskan tubuhnya menghadap Danial dengan muka merona. Danial sengaja mengeraskan perkataan ‘cantik’ dan ‘manja’ tersebut. Darahnya mendidih. Asfahul pula tidak tentu arah air mukanya.
“Kalau Faul nak kahwin dengan aku, dia kena pastikan aku tidak bermadu!” tekannya dalam nada marah dan beramaran. Matanya menyasar lebih ganas ke muka Danial.
Asfahul yang mendengar agak terpana. Nampaknya perkara yang ingin disembunyikan, sudah terluah sedikit demi sedikit. Lalu teragak-agak dia hendak menuturkan apa-apa lagi. Dia sudah tidak berupaya masuk ke dalam sesi perbualan dengan tamunya itu. Dia sudah canggung dan serba salah setelah disentap tentang kedudukan Atira dalam rumah itu oleh Danial tadi. Rahsia yang tiris juga sudah disahihkan bila Emalin sendiri mengakui prinsipnya tentang konsep bermadu itu. Dia berasa malu. Dan pengakuan angkuh Emalin menjelaskan pendiriannya enggan bermadu itu memburukkan lagi keadaan.
“Habis ke mana kau nak kawan kita Fahul ni campak isterinya yang yatim piatu, tak bersalah dan tak berdosa tu?” herdik Danial kini dengan kasar. “Jangan tak kisah sangat pada masalah orang, tambah awak tu baru nak masuk ke dalam rumah tangga mereka. Jangan kau nak api-apikan Fahul supaya sisihkan anak tunggal pengetua kami tu.” Amaran berapi-apinya membuat Emalin tambah menyirap.
Namun, baru saja dia hendak membuka mulut menyuarakan protesnya, ditingkah lagi oleh Danial tanpa membilang saat.
“Sepatutnya yang mengatakan ‘aku tak nak bermadu tu’ bukan kau Elin, tapi Aty. Kau sepatutnya bilang, ‘aku tak kisah bermadu, pasal aku ‘hanya’ menumpang!’”
Merona wajah Emalin yang ternganga itu.
“Danial. Jangan lebih-lebih.” Barulah Asfahul bersuara memberi amaran. Bila dilihatnya Emalin kian merah padam mukanya menahan berang.
Malulah dia kalau konflik itu berlanjutan pada krisis yang lebih kronik. Emalin yang agak pemberang itu tidak akan teragak-agak untuk menyerang balas. Apa pula kata Atira nanti?
Danial yang diberi amaran oleh Asfahul terus bingkas berdiri. Sebelum itu dia menjamah sedikit kek yang terhidang. Asfahul mengangkat muka. Tidak pernah hatinya segalau itu sebelum ini. Selalunya, kedatangan Danial ke rumah menemuinya adalah agenda yang sentiasa ditunggu-tunggunya. Mereka sangat akrab.
“Sedap kek yang Aty buat ni, Fahul. Kau tau buat ke Elin? Aty tu dah cukup pakej dia. Cantik, lemah lembut, pandai memasak. Patuh pada suami. Hinggakan suami bawak perempuan lain ke dalam rumah dia pun masih mampu tersenyum. Syurgalah tempat dia,” sindirnya sambil beredar tergesa-gesa enggan mendengar kata balas sama ada daripada Asfahul mahupun Emalin.
“Yang mana satu bini dan yang mana satu gundik ni...” Danial tergeleng-geleng menyaksikan aksi yang menjengkelkan itu. Dia cukup menyampah.
Sementelah, Asfahul itu rakan karibnya ketika di Parit Jawa, Muar dulu. Membesar bersama-sama dan bersekolah sama-sama. Ke luar negara pun sama-sama. Seolah-olah mereka ditakdirkan untuk dewasa bersama-sama juga. Mereka seperti isi dan kuku. Justeru memang dia patut menegur salah laku sahabat yang disayanginya itu.
Sewaktu di luar, Danial berpaling ke arah jendela bersebelahan balkoni. Itu jendela kamar kecil yang sering dipanggil bilik orang gaji. Matanya tertarik melihat Atira yang sedang merenung dengan asyik rumah kosong di hadapannya.
‘Jelita betul isteri si Fahul. Fresh feature. Pergi melekap dengan perempuan tak bermaruah tu buat apa? Buta mata hati. Kalau pass kat aku anak pengetua ni, gerenti aku layan macam puteri!’ gerutu Danial dalam hati mengutuk perbuatan dan sikap sahabatnya itu. Dia terus memerhatikan dengan ralit perlakuan Atira hinggalah disergah oleh suara perempuan di belakangnya. Dia berpaling.
“Lain kali kau jangan ganggu hubungan aku dengan Faul dengan mulut lancap kau tu!” kata Emalin memberi amaran pada Danial. Mendengar itu Danial terus berlalu ke keretanya.
“Baik kau panggil ‘foul’ saja. Tentu jugak maksudnya walaupun dalam BI. Mak Ani tu dah elok-elok bagi nama dia Asfahul, kau panggil dengan panggilan buruk macam tu!” balasnya antara kedengaran dengan tidak oleh Emalin.
Emalin mendengus lalu masuk ke dalam semula. Manakala Atira yang masih melekap di jendela terasa bosan lalu merapat ke katil. Dia berbaring sambil berfikir tentang masa lalunya. Perlahan-lahan dia mula memasuki alam lenanya.
Setelah sekian lama tidak menghadirkan dirinya, fenomena dan entiti aneh itu mendatanginya lagi.
“Aty... bangunlah sayang.”
Atira terjaga, serentak mendapati Asfahul tercegat berdiri di sisi katil sambil tersenyum memandangnya. Semerta dia bangun, langsung memeluk pinggang lelaki itu.
“Aty rindukan abang. Semalam abang keluar dengan Kak Elin lama sangat. Tak sedar pun bila abang balik.”
Asfahul tersenyum melirik. Dia menghulurkan tangannya dan disambut oleh Atira dengan perasaan bahagia.
“Ikut abang, kita ke taman belantara di Pelunsur Haji.”
Atira mengangguk. Lalu mula terasa tubuhnya melayang-layang merentas awan yang sejuk. Sirostratus atau sirokumulus, dia tidak pasti. Nama-nama awan itu dipelajari ketika di alam sekolah dulu.
Lagipun pemandangan di bawah tidak lagi jelas apabila sudah berada di atas. Apa yang dialaminya, dia dibawa merentasi kabus yang basah dingin. Nampak samar-samar kediamannya, Teratak Asfalin di bawah. Dia melentokkan kepalanya di bahu Asfahul yang sedang memeluknya sambil melayang-layang di udara.
“Abang dah lama tak datang.” Atira menyuarakan kerinduannya.
“Abang tak dapat menembusi Aty, jika hati Aty ada pada orang lain.” Dia membuka rahsia itu yang membuatkan Atira terdiam.
Apakah ia ada kaitan dengan perasaannya yang berbunga setiap kali suaminya Asfahul agak prihatin terhadapnya? Beberapa hari sudah, Asfahul sering menjenguk bertanyakan khabarnya. Kemudian keadaan kembali ke asal. Dia dibiar sepi sendiri. Seperti yang dialaminya sebelumnya. Seperti selalu. Asfahul ini... Asfahul itu... Atira terkeliru lagi.
enjoy ye.....
SAMBUNGAN BAB 11*****
“ATY... bangun.”
Atira tersedar bila terasa pipinya ditepuk-tepuk orang. Matanya dipejamcelikkan. Terpinga-pinga melihat suaminya. Asfahul sedang mencangkung menghadapnya. Di sisinya, Emalin. Tercegat merenung Atira dengan pandangan jengkel. Asfahul bangun meluruskan tubuhnya.
Kemudian kembali membongkok dan mengangkat Atira lalu mencempungnya ke dalam. Diekori oleh Amalin dengan airmuka yang sukar diinterpretasi.
“Menyusahkan orang, mengada-ngada,” gerutunya di belakang Asfahul.
Asfahul pura-pura tidak mendengar. Kekerapan Atira berjalan dalam tidur kebelakangan ini benar-benar mengocak ketenangannya. Benar-benar menakutkannya. Sebagai suami, sudah tentu dia amat bimbang!
“Aty, kenapa dengan Aty ni. Pandang abang!” Asfahul hilang sabar.
Atira bingkas dari pembaringan dan tertenyeh-tenyeh matanya. Sesudah jelas penglihatannya, barulah matanya beralih memandang Emalin pula.
Wajah Emalin seperti biasa. Bertukar masam mencuka jika mata Atira terarah padanya. Antara stimulus membuat Atira kian diselubungi kompleks rendah diri.
Di celah-celah elemen negatif itu, timbul kagum di hati Atira merenung gaun tidur merah yang tersarung ke tubuh Emalin .
‘Cantik sungguh dia,’ pujinya dalam hati sambil tunduk melirik pijama yang tersarung ke tubuhnya pula. Dia menggigit bibir agar tidak tercebik diri sendiri yang kurang bergaya. Kemudian dia mendongak kembali pada Asfahul yang mengulangi soalannya tadi.
“Kenapa dengan Aty. Kenapa pergi tidur atas rumput kat luar tu?”
Atira mengangakan mulutnya hairan.
“Aty tak sedar ke Aty tidur di laman malam tadi. Hari tu di garaj, sekarang di laman pula. Kenapa dengan Aty? Nak abang rantai pintu bilik Aty supaya tidak merayap keluar malam-malam lagi? Nak sangat ke abang buat macam tu. Atau rantai terus kaki Aty?” Asfahul menggertak agak keras.
Atira terkedu. Pertama kali Asfahul sekasar itu terhadapnya. Direnungnya Asfahul dengan matanya yang bening. Sesaat Asfahul terpaku.
Mata Atira terbuka lebar. Redup dan indah serta jernih tatkala menatapnya. Asfahul masih ingat renungan itu. Itu kaedahnya merayu dia supaya bercerita tentang Wuthering Heights. Novel Emily Bronte yang amat diminati Atira. Renungan merayu itulah yang sering mencairkan sukmanya. Mengalah habis. Dan kini isterinya tanpa sedar sedang menggunakan taktik lamanya itu. Mendadak terbayang wajah bapa mertuanya, Syed Azmi Kelana.
Perasaannya tiba-tiba tidak keruan. Dia lantas meraup pipi Atira. Datang perasaan geramnya. Menggunakan kedua telapak tangan, dia meraup dan menepuk-nepuk pipi Atira. Umpama aksi seorang abang terhadap seorang adik kesayangan. Asfahul enggan terperangkap lebih lama dalam perasaan aneh itu lalu bangkit dan meluruskan tubuhnya. Diperhatikan dengan berang oleh Emalin yang menyirap darah cemburunya.
“Abang nak sediakan sarapan. Aty baringlah dulu ya. Atau pergi mandi ke?”
Atira tergeleng bila mendengar perkataan ‘mandi’ lalu kembali berbaring sambil memeluk salah satu kusyen ke dadanya. Sesuatu membengkak di dadanya lantas dipejamkan matanya serapat-rapatnya. Tadi Asfahul memarahinya. Kemudian mengugutnya pula. Sebagai anak perempuan tunggal, dia jarang sekali dibahasakan sekesat itu oleh arwah ayahnya. Apatah lagi digertak. Kalau marah pun, Syed Azmi Kelana akan mengaplikasi teknik memujuk. Tidak perlu meninggikan suara. Atira sudah tentu akan patuh.
“Mama merajuk lama sangat...” dendangnya hiba. Itu ungkapan yang sering dijadikannya modal jika Asfahul atau Syed Azmi Kelana menegurnya .
Asfahul tahu Atira masih mendongkol kerana dia memarahinya tadi. Timbul pula kesal di hatinya.
Emalin mengekori Asfahul ke dapur. “You jangan layan sangat budak gedik tu, Faul!” Peringatnya, namun Asfahul tidak menghiraukan. Langkahnya terus diayun ke dapur.
“I buatkan sandwich untuk kita sarapan.” Asfahul tersenyum sambil menjongketkan sebelah kening.
“I call that positive attitude.” Responsnya mengusik.
Emalin ke peti ais lalu mengeluarkan roti dan mentega. Menggunakan pisau, dia memulakan kerjanya dengan cermat dan tertib. Tergambar riak ceria di wajahnya.
Asfahul mengangkat kening. “Aty kalau buat kerja dapur, habis bersepah seluruh tempat.” Sambil mengkritik isterinya dia memuji Emalin yang tersenyum simpul menyambut.
“Habis siapa yang jadi tukang kemasnya?” Emalin bertanya, dia sebenarnya ingin tahu.
“Ada mak cik yang tinggal di taman yang berjiran datang ke rumah ni setiap pagi. Dia akan pulang selepas tengah hari. Dialah yang mengemaskan rumah. Kadangkala, bila datang malas Aty, Mak Esah tu jugaklah yang akan menyediakan sarapan. Dia akan duduk di kerusi kesukaannya tu sambil menunggu dihidangkan,” balas Asfahul tersenyum mengenangkan sikap Atira yang ada kala kebudak-budakan. Dia menuding pada kerusi yang dimaksudkannya. Sebuah kerusi yang menghadap jendela.
Emalin mencemik. Timbul perasaan meluat mendengar kaedah Asfahul menggambarkan sikap isterinya. Jelas terselit rasa kasihnya yang unik terhadap isteri yang tidak pernah digaulinya itu. Kadang-kadang Emalin terfikir, di sini di sebuah rumah milik lelaki itu, ada suri terbiar yang tidak berani disentuh oleh sang suami. Hanya kerana sikap isteri yang keanak-anakan.
Tapi di luar sana, ayah, abang, adik, saudara, ipar-ipar, sanggup menceroboh kanak-kanak yang bukan hak untuk digauli mereka. Menganiaya hamba-hamba yang tidak berkudrat mempertahankan diri. Membelah konteks itu, hatinya memuji peribadi Asfahul yang mulia itu. Tetapi tatkala terimbas kembali ucapan berlemak Asfahul tentang isterinya tadi, wajahnya kembali mencerut.
“Jangan tarik muka macam tu, tak cantik,” usik Asfahul sambil mencapai dua keping roti dan menapak ke kabinet.
Emalin mengekor. “Nak bawa ke mana roti tu?” tanyanya hairan.
“Aty suka makan roti bakar. Dia takkan makan kalau tak dibakar terlebih dulu.” Terangnya sambil menusukkan dua keping roti tersebut ke dalam pembakar roti.
“Bala betul dapat bini sewel,” omel Emalin dan kembali ke meja makan untuk meneruskan pekerjaannya. Mulutnya mencebik-cebik. Meluat sungguh!
“I tak suka you ejek dia macam tu, jangan sebut dia macam tu lagi. Elin, dengar ni. Aty tu normal. Cuma sikapnya saja agak keanak-anakan.” Asfahul membela. Dia menghampiri Emalin yang duduk menghadap hidangan yang sudah tersedia.
“Sarapan tanpa minum ke ni?” usik Asfahul.
Emalin bangun ke sinki dan memenuhkan air ke dalam cerek lalu menjerangnya. Selesai, dia berpaling menghadap Asfahul masih dengan muka mengejek.
“Dia menyusahkan. Dia juga jadi batu penghalang pada perkahwinan kita,” luah Emalin tidak puas hati.
“Aty bukan penghalang. Dia takkan peduli pun. Cuma I yang perlukan masa. I harus uruskan semuanya dengan perlahan. Kalau terburu-buru, satu hal pun tak menjadi nanti. You kena ingat tu. Sementelahan, kami belum sampai setahun pun berkahwin. Dia tu amanah pada I. Amanah TUHAN dan amanah arwah ayahnya. Mertua abang.”
“Eii... menyampah!” Emalin mengacau kuat gula yang dimasukkan ke dalam kopi menunjukkan protes.
Asfahul mengeluh memerhatikannya. Dia tidak suka sikap mengongkong seperti itu. Mungkin kerana itu, dia amat selesa dengan kehadiran Atira di rumah itu. Padanya Atira tidak pernah mengganggu urusannya. Hanya fitrahnya yang suka berjalan dalam tidur itu yang merunsingkannya. “Galau...” bisiknya.
Asfahul memanggil Atira agar bersarapan bersama di meja yang diletak di ruang dapur itu. Meskipun keberatan hendak menyertai mereka kerana tidak selesa dengan kehadiran Emalin, namun dia jarang sekali mengingkari arahan suaminya. Berat sungguh kakinya hendak melangkah ke meja itu.
Mereka bersarapan dalam senyap. Namun, Atira didera resah bila Emalin dengan sengaja beberapa kali melakukan provokasi melalui isyarat mata padanya. Tidak tahan, dia berpaling pada Asfahul melepaskan resahnya.
“Abang...”
Asfahul mengangkat muka.
“Abang. Boleh hantar Aty jumpa mama kat sekolah dia?” pinta Atira tiba-tiba.
Tergeleng Asfahul. “Janganlah sekarang. Lain kali abang hantar ya?” Asfahul memujuk.
Emalin memfokus.
Asfahul mencuba pendekatan berbeza menelusuri benak isterinya. “Kenapa dengan mama Aty?” tanyanya lembut.
Emalin memutar jengkel bola matanya ke atas.
“Mama merajuk lama sangat. Aty kan ada mesyuarat pasukan bulan sabit merah masa tu? Mama masih marahkan Aty agaknya.” Suaranya bergumam dalam kepiluan. Dia kesal kerana telah mengambil enteng pesanan mamanya. Punca mamanya tidak lagi pulang-pulang.
“Aty... takkan Aty tak mampu langsung nak ingat pengebumian jenazah mama?” Asfahul cuba membantunya mengimbas kenangan tersebut. Sambil matanya berjaga-jaga dengan ekspresi Atira. Bersiaga kalau-kalau Atira bertukar histerikal diperdengarkan kenyataan tentang kematian mamanya itu.
Emalin pula mengerutkan dahinya.
“Pengebumian siapa?”
Pertanyaan Emalin itu tidak dihiraukan Asfahul. Fokusnya kini tuntas pada reaksi isterinya. Dia menggenggam kedua-dua tangan Atira. Berwaspada dengan risiko kebarangkalian reaksi yang negatif.
“Takkan sayang tak ingat langsung yang mama dah meninggal dunia,” Asfahul cuba memujuk.
Serentak Atira menikam ganas sepasang mata suaminya. Dia merungkai dengan kasar tangan yang menggenggam. Manakala Emalin berasa cuping telinganya berpijar mendengar perkataan sayang yang terlontar dari mulut kekasihnya itu.
“Abang Fahul sengaja nak sakitkan dada Aty kan? Dari dulu macam tu. Mentang-mentang mama marah kat Aty, abang berani cakap macam tu. Jangan perbodohkan Aty!”
Spontan Asfahul menarik nafas yang tertahan. Sambil menggeleng dia mendengus. Gagal lagi!
Dia berpalis sekilas pada Emalin yang mula menayang riak resah dan bosan bila isu berkenaan dipanjangkan. Sedangkan Asfahul sebenarnya cuba mengembalikan ingatan isterinya. Sudah kerap dia melakukannya, namun eksperimennya itu tetap berakhir dengan kegagalan. Atira sentiasa mengelak mengingati tragedi tersebut. Asfahul mengembalikan fokusnya. Seraut wajah manja itu dibelek dengan tuntas.
“Aty lupa ke? Dulu, abang yang jemput Aty di tepi sungai bila Aty lari kerana tak mau tengok jenazah guru sejarah yang terbaring di tengah-tengah rumah Aty. Takkan Aty lupa?” ucap Asfahul perlahan dan lambat-lambat. Enggan menggoncang emosi isterinya. Seraya menggunakan ganti nama guru sejarah kerana bimbangkan keadaan Atira yang mungkin histerikal andai dia menyebut ‘mama’ secara terus terang lagi.
“Bila masa cikgu tu jadi jenazah? Kan Aty tak sempat jumpa cikgu tu? Cikgu tu merajuk dan tak pulang-pulang sampai sekarang kerana marahkan Aty. Cikgu sejarah tu kan mama? Abang ni jahat!” pekik Atira lantas berlari ke tingkat atas meninggalkan Asfahul tersandar. Manakala Emalin kebingungan kerana tidak faham butir cerita.
Di tingkat atas, Atira meluru masuk ke kamarnya dan mengunci pintu dari dalam. “Abang tipu Aty. Mentang-mentang mama marahkan Aty.” Terdengar esakannya dari dalam.
Setelah emosinya stabil dan dia tenang semula, dia berusaha menganalisis kata-kata Asfahul tentang peristiwa kematian mamanya. Dia benar-benar tidak ingat. Guru sejarah itu ialah mamanya. Paling akhir dia bersama mamanya ialah ketika ayahnya menghantar wanita itu ke sekolah di mana dia mengajar mata pelajaran Sejarah. Mereka berkhidmat di sekolah yang berbeza. Manakala Atira bersekolah di mana ayahnya yang jadi pengetuanya. Panggilan telefon mamanya yang terakhir itu masih diingatnya. Tetapi mamanya tidak dapat ditemui ketika dia dan ayahnya tiba di sekolah itu untuk menjemputnya.
“Mama merajuk kerana kami terlewat menjemput,” katanya lalu mengesak semula. “Aty sangat rindukan mama.” Esaknya terus dan menelangkup ke tilam meluahkan kesengsaraan jiwanya.
Dalam kesedihan itu, dia amat berharap Asfahul yang seorang lagi itu mendatanginya dan dia kian merindu.
Chapter [[[12]]]*****
Ruhani menanti hingga Asfahul selesai makan dan membasuh tangan. Kemudian mengekori anaknya itu ke ruang tamu sambil menyusun beberapa baris ayat dalam kepalanya. Banyak yang dimusykilkannya tentang hubungan anaknya itu dengan menantunya. Juga sikap pelik Atira yang masih suka bersendirian.
“Dah bersuami pun masih gemar menyendiri!” Gelengnya sambil berkeluh kesah.
Meskipun dia tahu fitrah menantunya itu yang memang pendiam, tapi mustahil sesudah berkahwin, perangai dan sikapnya tetap berada di takuk lama. Malah, dia seakan melihat Atira yang sama seperti sebelum ini. Seorang perawan dan belum disentuh kegadisannya. Entah betul atau tidak. Tapi itulah yang ditangkap oleh mata hatinya setiap kali pandangannya merayap pada sekujur tubuh anak perawan tunggal Syed Azmi Kelana itu.
Justeru, membuat dia skeptikal. Malah was-was dengan duduk hubungan anak dan menantunya. Kegemaran Atira mengasingkan diri di kamar pembantu rumah itu menambah syak wasangkanya bahawa ada sesuatu yang tidak beres dalam hubungan kedua-duanya. Selalunya seorang isteri, tentu lebih gemar berjeda di kamar sendiri jika suami tiada di rumah. Paling-paling bersantai di ruang tamu. Semestinya bukan kamar seorang pembantu rumah! Dia resah dengan sesuatu yang samar-samar seperti itu.
Asfahul berlabuh atas salah satu kerusi yang disusun Ruhani berderet di anjung rumah batu sederhana besar itu. Muka Ruhani masih berkerut meskipun sewaktu Asfahul memuji-muji keenakan masakannya. Benaknya melayang-layang ke Teratak Asfalin memikirkan Atira yang sendirian kala itu. Dia khuatir.
“Siapa kat rumah? Kau patut cari orang gaji Fahul.” Ruhani memulakan mukadimah.
“Tengah usahakan mak. Kawan saya yang uruskan. Dia pun sedang cari pembantu rumah yang baru. Yang lama tu pengotor. Saya minta bantuan Danial.”
Ruhani mengangkat kening. Hambar saja topik itu buatnya untuk diketengahkan. Dia hanya mengangguk bila Asfahul menyebut Danial. Rakan karib Asfahul sejak di zaman persekolahan. Ruhani menumpukan matanya pada Asfahul yang asyik tertoleh-toleh memandang rumah bapa saudaranya di seberang jalan. Rumah itu tampak sunyi.
“Dia orang suami isteri pergi Kuala Kangsar bercuti di rumah Katijah. Memang tak ada orang,” kata Ruhani menjawab teka-teki di benak Asfahul.
Asfahul tersenyum mendengar. Tidak perlu bertanya, mudah saja emaknya membaca soalan di kepalanya.
“Satu yang mak tak faham sampai sekarang. Kenapa kau pilih banglo yang berjiran dengan rumah puaka tu? Kenapa tak cari rumah lain yang meriah dengan jiran-jiran. Mak risaukan si Aty tu!” Ibunya kini duduk benar-benar mendepaninya. Wajahnya serius.
“Kalau ada apa-apa berlaku pada dia, dia bukannya cukup pantas untuk membentengi dirinya sendiri. Yang dia tahu menangis dan meratap-ratap. Mak takut dia dianiaya. Berdosa besar kita pada Tuan Syed nanti. Kita dah abaikan amanahnya!” Ruhani mengingatkan hal itu dengan sungguh-sungguh.
Asfahul agak goyah mendengar istilah amanah itu disebut ibunya. Memang dia sering berjanji dengan arwah pengetuanya itu, sama ada jika diminta atau tidak olehnya. Janji yang dia dan ibunya sentiasa perbaharui setiap kali menerima budi lelaki budiman tersebut. “Kami berjanji akan menjaga Aty.”
“Rakan saya err... Emalin, yang cadangkan rumah tu dulu. Dalamnya selesa dan luas, jadi saya teruskanlah.”
Ruhani mengamati riak teragak-agak di wajah anak lelaki tunggalnya itu sewaktu menuturkan nama Emalin.
“Mak rasa macam pernah dengar nama tu disebut Aty. Siapa dia dengan kau?”
Wajah Asfahul berubah semerta. Dia melarikan matanya.
“Siapa si Emalin tu. Kenapa kau boleh dengar cakap dia tapi bukan ikut gerak hati kau sendiri?”
Asfahul mula tidak tentu arah.
“Dia bukan bini kau yang kau nak kena layan sangat kehendak dia. Nak beli rumah pun kena mintak pandangan dia?”
Ruhani mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak beres sedang mengambil tempat di Teratak Asfalin. Apalagi bila melihat Asfahul tidak menjawab sebaliknya hanya diam dan memandangnya terkulat-kulat.
[[[[CHAPTER 13 ]]
ASFAHUL dan Emalin sudah lama pergi. Atira menjenguk kamar utama. Nafas yang dihempas berderu bila terpandangkan pakaian-pakaian wanita bersepahan atas lantai. Pakaian dalam turut berselerakan. Dia beristighfar.
“Pengotor dan tak tau malu betul Kak Elin ni.” Atira mencemik dan mengecilkan matanya memandang cadar katil yang separuh melorot ke bawah. Dia mendengus. Sejurus, ternampak olehnya sebuah tas tangan kecil yang cantik. Perlahan dia mampir untuk membelek.
“Purse Kak Elin,” katanya. Matanya melegari dokumen dan kad pengenalan yang turut tertinggal.
“Mungkin mereka tak pergi jauh. Kalau tak, masakan Kak Elin tinggalkan kad pengenalan dia.” Omelnya lantas membelek kad pengenalan tersebut.
Emalin binti Shamsudin Fatah. Terdapat kad pengenalan lama milik orang lain dalam tas tangan tersebut. “Kartu Tanda Penduduk (KTP).” Dia membelek, “Ini milik warga Indonesia.” bisiknya.
“Mayasari, cantik sungguh nama perempuan ni,” bisiknya kagum. “Mayasari. Macam nama tuan puteri dalam filem lama,” bisiknya terus mengagumi.
Hairan juga kenapa KTP wanita itu boleh berada dalam simpanan Emalin. Teringat dia yang Emalin juga sepertinya, yatim piatu. Mungkin itu milik arwah ibunya. Disimpan untuk kenang-kenangan. “Pasti dokumen lama yang tak diserahkan,” bisiknya lagi.
Terdengar bunyi deru enjin kenderaan menjalar masuk ke pekarangan rumah. Terkocoh-kocoh dia memasukkan semula barang-barang itu lalu lintang pukang meluru ke kamarnya. Sambil meleraikan gumpalan nafasnya, dia menaut pintu kamar.
“Kalau buat dosa, gerenti takut-takut macam aku ni,” bisiknya menyengih. Dia bergerak ke jendela dan mengintai ke bawah.
Berdegup laju jantungnya menyaksikan Emalin berjalan sambil melilit lengannya di pinggang Asfahul. Manakala lengan Asfahul melengkari bahu Emalin. Hati cemburunya ditujah rasa sayu yang datang mendadak. Tidak sedar matanya berkaca oleh duka.
“Kenapa aku tak secantik Kak Elin?” bisiknya hiba. “Dan aku sekarang selalu menangis. Sikit-sikit menangis,” katanya menonyoh mukanya membuang air mata.
“Rasanya tentu Abang Fahul akan lebih menyayangi aku kalau aku cantik macam Kak Elin,” bisiknya mengangankan keadaan itu. “Rindunya aku pada ayah... pada mama,” bisik hati yang tersayat. Tiba-tiba, perasaan keseorangan itu menghinggap lagi. Dia berpeluk tubuh sambil bersila atas katil. Cengkaman tangannya ke lengan diperteguh. Rasa sunyi itu bertualangan kian hebat ke seluruh petala hatinya.
Akhirnya dia teresak-esak. Bayangan Asfahul berpelukan dengan Emalin tadi begitu meruntun perasaannya. Ditambah dirinya yang sebatang kara tanpa sesiapa di dunia ini selain suami dan keluarganya. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu!
Bukankah dia kini memiliki seorang lagi teman. Namun ia seakan suatu ilusi yang tidak mampu diterjemah oleh akal yang berjejak di alam nyata. Siapa Asfahul yang seorang lagi. Yang begitu memikat akan adab dan gayanya. Yang begitu sabar mencintai dan menantinya. Siapa gerangan Asfahul yang sedemikian sempurna itu?
“Siapa... siapa dia sebenarnya?” Nuraninya bertanya.
Lantas dia terkejut bila Asfahul menerjah masuk.
“Aty, abang ada belikan sate atas meja dapur. Nanti turun makan ya?”
Atira tunduk tidak mahu Asfahul melihat keadaannya. Dia mengangguk sambil menunduk. Dari ekor mata dia mampu melihat Emalin bersungguh-sungguh menarik lengan Asfahul agar segera berganjak dari situ.
Asfahul menurut tapi terhenti di muka pintu tatkala menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada Atira.
“You masuk dulu.” Terdengar suaranya lembut menyuruh Emalin meninggalkannya.
Emalin beredar dalam keadaan meronyok.
Asfahul merapati Atira. Secara paksa dia mengangkat dagu isterinya menggunakan jari telunjuk. Tersentuh juga hatinya tatkala melihat wanita itu sedang menangis. Dia berlabuh di sisi Atira lalu memujuk dengan suara lembut.
“Syarifah Atira Azlin... come on...” Dia memujuk.
Atira mengunci mulutnya.
“Kenapa Aty menangis ni. Apa lagi yang tak kena?” kata Asfahul sambil membelai rambut isterinya.
“Aty cuma rindukan mama dan ayah,” akui Atira akhirnya. Tersekat-sekat.
“Jangan macam ni,” keluh Asfahul gagal mencari ungkapan yang lebih sesuai.
Atira menoleh pada Asfahul dengan wajah yang basah.
“Abang, hidup kita ni memang selalu sunyi ke? Aty setiap hari rasa terlalu sunyi di rumah ni. Kalaulah ayah dan mama ada.”
Pertanyaan yang klise, namun tetap membuat Asfahul tersentap. Darahnya berderau. Nafasnya seolah-olah bergumpal diterjah soalan itu. Dia merenung wajah yang basah kemerahan itu.
“Aty kadang-kadang rasa macam dah tak larat lagi dengan rasa sunyi ni. Aty rindukan mama.”
Asfahul hilang kata-kata. Dia cuba menelusuri rintihan Atira. Alangkah tergamaknya dia. Sekian lama dia telah membiarkan Atira sendirian selama ini. Pernahkah terfikir dia akan kesunyian yang dideritai Atira. Pernahkah sebelum ini dia mengajak Atira keluar bersiar-siar. Atau membeli belah. Menemankannya makan-makan? Dia menghela nafas dalam-dalam. Selama ini dia hanya mengheret Emalin ke hulu ke hilir. Lupa dia pada isteri sendiri yang dinikahi lengkap menurut lunas yang dituntut syarak. Perlahan dia beristighfar dalam hati. Kejam sekali sikap tidak pedulinya. Sekarang, terbit pula kesal. Isterinya sedang merintih kesunyian hidupnya pada suami yang menganggap remeh perasaannya!
Fenomena apakah ini? Terfikir benarnya kata-kata Atira. Dia hanya memandang enteng elemen tersebut selama ini. Sangkanya, Atira sudah berpuas hati dan berasa hidupnya senang lenang. Apa lagi dia tidak pernah diarahkan berbuat apa-apa. Sedangkan isterinya itu sebenarnya tertekan kerana sering bersendirian di rumah itu. Manakala dia sendiri sentiasa ditemani Emalin dalam dunia maksiatnya. Perasaan simpatinya melimpah tiba-tiba. Dicampur pula dengan rasa berdosa. Dia melingkarkan tangannya ke bahu Atira lalu memeluk wanita yang terus tergamam dengan aksi lain daripada kebiasaannya itu.
Atira mendiamkan diri. Pelukan suaminya terasa hangat dan buat sesaat hatinya dibenihi rasa bahagia.
“Janganlah berfikiran seperti itu lagi ya. Abang kan ada. Abang akan jaga Aty hingga ke akhir hayat abang. Aty tak sendirian di dunia ni. Aty ada abang,” pujuknya memperkemas pelukannya.
Alangkah bahagia perasaannya pada kala itu. Sangat bahagia. Kalaulah selamanya Asfahul begitu!
“Hoi... nanti rebah atas katil tu!” Terjahan Emalin benar-benar mengejutkan suami isteri itu.
Emalin sedang berdiri tegak di ambang pintu dengan gaun tidur. Perasaan Atira gugup sewaktu membalas pandangan tajam Emalin. Matanya sayu mengiringi langkah suaminya pergi meninggalkannya. Alangkah terasa kerdil dirinya dibandingkan dengan wanita secantik itu.
Terteleng kepala Emalin ketika menjongketkan bibir atasnya sebelum meminggir dari kamar tersebut. Dua tangannya memaut lengan Asfahul.
Atira terfikir, kenapa sebentar tadi sewaktu diterjah Emalin dia berasa seolah-olah sedang mencuri sesuatu daripada wanita itu? Bukankah Asfahul itu suaminya? Namun dia merasakan seperti itu. Walhal yang logiknya, Emalinlah yang sedang mencuri daripadanya.
***[[[CHAPTER - 14 - ]]]
SEBULAN selepas itu, Teratak Asfalin menerima penghuni baru. Sunarti yang dihentikan khidmatnya oleh majikan lamanya merayu pada Atira agar mengambilnya jadi pembantu rumah di Teratak Asfalin. Masih teringat Atira bagaimana Sunarti datang pertama kali untuk melamar pekerjaan tersebut. Dia seperti seorang yang benar-benar dalam kesusahan. Dia tampak kebingungan. Secara merendah diri dia bersuara merayu.
“Saya berjanji akan berkhidmat di rumah ini dengan jujur. Tidak akan mencuri atau melanggar amanah. Saya juga berjanji tidak akan memburukkan kisah keluarga ini pada tetangga yang lain. Tolong Kak Su, ya Aty? Bayarlah berapa saja, Kak Su tak kisah. Kak Su tak mahu dihantar pulang,” pintanya bersungguh-sungguh merayu.
Atira ternganga. Dia serba salah. Siapalah dia hendak menggaji seorang pembantu rumah? Mak Esah sudahpun digaji Asfahul kerana bimbangkan Atira yang sendirian di rumah itu. Jadi apa perlunya seorang lagi pembantu rumah? Namun, Sunarti terus-terusan mendesak.
Mujur pada hari itu Asfahul berada di rumah. Yang celanya, Emalin juga ada di sisi Asfahul pada ketika itu. Kehadiran Emalin membuatkan Atira agak gementar saat menyampaikan hasrat Sunarti tersebut. Namun, didesak oleh rasa belas terhadap sesama makhluk, dicekalkan juga hatinya.
“Apa ni Aty. Cakap sajalah. Asyik mengerling Kak Elin tu buat apa?” tegur Asfahul bila Atira yang berlabuh menghadapnya di sofa tersebut terus mengunci mulutnya . Pandangannya pula asyik digilirkan pada Emalin
Atira terkaku. Terkedu bila disergah Asfahul biarpun secara berhemah. Sebenarnya kaku itu kerana impak provokasi halus Emalin. Wanita itu sedang memanipulasinya melalui cemikan dan panahan matanya. Hanya dengan berisyarat begitu sudah memadai membuat Atira goyah.
Emalin dengan sadis sedang mentertawakan dalam hati akan kompleks inferior yang membelenggu isteri Asfahul itu. ‘Naif...’ Dia berbisik.
Asfahul meraup kedua belah pipi Atira dan menghalakan wajah itu ke mukanya. Tanpa melepaskan kedua tangannya dia berkata.
“Sekarang beritahu abang, apa yang Aty nak sampaikan ni?” katanya mendekatkan wajahnya ke muka Atira, menyekat isterinya dari berpaling ke lain.
Emalin menjeling tajam Asfahul.
“Kak Su yang kerja dengan jiran Cina di belakang tu dah berhenti. Dia minta kerja kat sini. Aty nak mintak pada abang supaya ambil dia. Boleh tak?”
Belum sempat Asfahul hendak menjawab, segera dipintas oleh Emalin dalam nada yang tinggi.
“Tak boleh. Bukan banyak sangat kerja kat rumah ni. Kau sorang pun boleh buat!” ujarnya meluat. “Mengada-ngada hendakkan pembantu rumah. Kau tu siapa?” Dia menokok dengan nada yang lebih keras.
Asfahul menghela nafas panjang. Kurang senang dengan kaedah Emalin memonopoli suasana. Dia melepaskan tangannya lalu menoleh pada Emalin di sisi dengan tenungan amaran.
“Saya tak suka orang lain masuk campur urusan saya.” Tegasnya mengejutkan Emalin bukan sedikit.
Emalin meradang dalam hati. Lalu melepaskan rasa marahnya dengan mencemik ke arah Atira yang tidak lagi teruja melayan provokasinya.
“Kenapa. Aty suka dia ke?” tanya Asfahul tertarik. Membiarkan saja protes Emalin.
Atira mengangguk. Matanya berkerdipan mengharap. Akan berkuranglah rasa sunyinya jika Asfahul sudi menggaji Sunarti. Dia berdoa dalam hati agar hajatnya itu ditunaikan.
“Dia saja kawan yang Aty ada kat kawasan perumahan ni. Boleh ke bang?” tanyanya dengan mata bersinar. Gaya Asfahul menyoal dengan lembut itu mewajakan semangatnya.
“Boleh. Kalau dia tu baik dengan Aty apa salahnya. Tidaklah Aty kesunyian di rumah ni. Aty pun boleh berehat, tak perlu buat apa-apa kerja. Hari tu, rambut Aty abang tengok penuh dengan sawang dan sarang labah-labah. Abang tak suka Aty buat kerja berat-berat macam tu. Cakap pasal sawang, kamar mana yang Aty bersihkan sampai seteruk tu?” soal Asfahul ingin tahu.
Sejauh yang dia tahu, kelima-lima kamar di rumah itu dalam keadaan bersih kerana selalu dikemas dan dibersihkan oleh Mak Esah. Hairan juga dari mana datangnya sawang dan sarang labah-labah tersebut?
Pertanyaan Asfahul itu membuat Atira terdiam. Tidak berani menjawab. Tidak berani berbohong sebenarnya.
“Okeylah. Katakan pada dia, dia boleh pindah ke kamar pembantu rumah tu. Esok abang ambil cuti dan uruskan dokumen dia. Gembira sekarang?” tanya Asfahul tersenyum.
Atira tergelak halus. Memanglah dia gembira. Tidak sabar dia hendak memberitahu Sunarti berita baik tersebut. Dia meninggalkan ruang tamu itu dan terus ke dapur menemui Sunarti yang tekun menunggu di luar pintu. Mereka berdakapan dengan gembira. Atiralah yang terlebih gembira.

ATIRA tidak sangka sama sekali apabila Asfahul sanggup mengambil cuti demi menguruskan segala dokumen yang perlu untuk menggajikan khidmat pembantu rumah. Dia amat menghargainya. Malah sama-sama membantu Sunarti menyusun barang-barangnya ketika di kamar.
Bagi Asfahul pula, ada dua motif kenapa dengan mudah dia bersetuju dengan permintaan Atira tersebut. Tugas pembantu rumah itu hanyalah ‘secondary’. Pertama, supaya kehadiran Sunarti mampu mengurangkan rasa sepi yang selalu dirasai Atira. Manakala kedua, dia perlukan seseorang untuk menghuni kamar di bawah itu agar Atira tidak lagi menjadikan kamar pembantu rumah itu sebagai ruang eskapismenya. Itu langkah tiga dalam satu.
“Mereka tuduh Kak Su hempas anak mereka, sedangkan Boo tu terjatuh dari kerusi. Kak Su bilang demi ALLAH demi ALLAH tapi mereka tetap tak mahu percaya. Kak Su pasrah kerana ternyata itu sudah nasib aku,” adu Sunarti dengan perasaan sebal.
Atira tersenyum. “Tak apalah. Kalau tak jadi macam tu, tentu sampai sekarang Kak Su tak dapat tinggal di sini bersama kami. Betul tak?”
Sunarti tersengih mendengar alasan itu. Dia benar-benar lega dan riang. Peluang berkhidmat dengan pasangan yang belum memiliki cahaya mata tapi dengan bayaran upah yang sama, tentunya amat berbaloi. Manakala pada siangnya, dia akan dibantu oleh Mak Esah yang datang setiap pagi hingga ke tengah hari. Dia benar-benar berpuas hati seraya mensyukuri nikmat rezeki yang melimpah ruah itu. Sesungguhnya setiap ujian itu terselit hikmah tersembunyi.
[[[CHAPTER 15]]]**
MENERUSI jendela, Emalin tertinjau-tinjau rumah sebelah yang kosong tidak berpenghuni itu. Biarpun diklasifikasikan sebagai rumah sebelah, namun ia tidaklah terlalu dekat antara satu sama lain. Terpaksa juga menapak jika hendak ke Teratak Maya dari situ. Cuma kedudukannya itu yang sederet dengan Teratak Asfalin berbanding rumah-rumah yang lain dalam taman perumahan Bukit Kota itu.
Teratak Asfalin dan Teratak Maya terletak di barisan paling belakang. Di depannya hanya ada bukit kecil yang sudah gondol . Tidak ada rumah lain menghadap rumah itu.
Dalam dia memerhatikan sambil mengelamun itu, tiba-tiba matanya menangkap kelibat yang tidak begitu jelas sedang bergerak-gerak di pekarangan rumah tinggal itu. Berkerut keningnya mengamati dengan asyik.
Namun tumpuannya itu terganggu oleh dengkuran yang agak kuat daripada Asfahul yang masih bungkam di katil. Matanya meraup sekujur tubuh yang hanya bersarung seluar pijama itu. Kemudian kembali matanya fokus pada kelibat tadi yang dilihatnya masih berlegar-legar di pekarangan rumah kosong yang menghadap dapur dan jendela kamar tingkat atas itu.
Dia tahu sangat rumah yang dikenali dengan nama Teratak Maya itu. Sebetulnya selain Teratak Maya dan Teratak Asfalin, hanya ada beberapa rumah saja di situ yang diberi nama oleh pemiliknya. Manakala pemilik yang lain tidak begitu menitikberatkan aspek yang satu itu bila membeli rumah.
Tersenyum-senyum dia setelah jelas di matanya kelibat yang sedang terhendap-hendap itu.
Atira!
Dia yang terpempan pada awalnya berasa pelik dengan tingkah laku Atira itu. Telatah anehnya itu memang mengundang rasa hairan .
“Gila betul bini si Faul tu!” Dia tergelak-gelak halus sambil bergerak ke katil. Berlabuh di sebelah Asfahul. Dia bercadang untuk memberitahu Asfahul apa yang disaksikannya itu, namun spontan ditegah oleh bisikan kedua benaknya.
“Biarlah. Untung-untung dia betul-betul jadi gila. Lebih senang aku nak kerjakan si bodoh tu.” Dia tersengih-sengih geli hati. Dengan lagak malas, dia mengheret tubuhnya ke meja solek dan menghurai ikatan rambutnya. Sambil menyisir perlahan rambutnya, mukanya yang tenang itu berkerunyut mendadak sewaktu benaknya digempur oleh bayangan wajah Atira. Wajah polos indah yang belum pernah disentuh alat mekap.
“Faul belum nampak kecantikan dan keindahan isterinya. Yang menerpa matanya setiap kali memandang Aty ialah sikap keanak-anakannya. Bahaya betul kalau dia mula perasan hal yang satu itu,” gerutunya bimbang.
“Kenapa TUHAN kurniakan wajah secantik itu pada perempuan sebengap itu?” gerutunya lagi. Mempertikai ciptaan Allah menunjukkan miskinnya iman seseorang.
Mulalah dia berfikir untuk melakukan sesuatu yang keji. Dia tidak mahu cinta Asfahul terhadapnya digugat oleh pesona tersembunyi yang ada pada isterinya itu.
Mujurlah jalan keji itu belum ditemui olehnya. Kuranglah dosa penduduk bumi. Namun, hati yang prejudis itu tetap beriktikad. Dan yang pasti dia harus membuatkan kedudukannya di rumah itu sah terlebih dulu barulah agenda itu boleh dijayakan tanpa sebarang halangan. Untuk menggugat seorang ahli dalam sesuatu kelompok, seseorang itu harus masuk menjadi ahli terlebih dulu, barulah jarum bisa dimainkan. Teori jahat itulah yang akan dipraktikkannya. Seperti permainan setengah ahli politikus yang berhaluan kiri. Mereka akan menyusup masuk ke dalam parti lawan, menjadi duri dalam daging kemudian keluar setelah misi terlaksana. Sungguh ulah hati yang berkesumat seperti itu!
“Nampaknya aku terpaksa merelakan diriku bermadu. Apa-apa pun langkah itu merupakan pilihan terakhir aku. Juga pantang nombor satu aku!” rungutnya mendengus kesal. Sungguh dia kesal.
“Aku akan terima takdir hidup bermadu itu demi untuk menyusun strategi masa depanku.” Dia berpaling sedikit merenung Asfahul yang masih tegar lena. Sambil mengecilkan matanya, dia berbisik dengan iltizam di dada.
“Aku takkan lepaskan kau begitu saja, Faul. Seluruh hati dan jasad kau tu adalah hak aku. Aku cintakan kau. Dan Aty tak layak memiliki lelaki sehebat kau. Hanya aku gandingan kau!” Dilontarnya tekad itu dengan nada yang amat perlahan.
Dia terkenangkan ibunya, Mayasari, yang akhirnya tewas oleh pelbagai ujian hidup setelah melalui kesukaran di rantau orang. Wang yang ada tidak mampu menampung kos kehidupan mereka di Buffalo Grove, Illinois. Daerah kecil yang menemukan dia dengan Asfahul yang sedang menuntut di universiti di situ. Asfahul menyewa sebuah rumah banglo di Buffalo Grove dengan beberapa orang rakan sepengajiannya dari Malaysia. Jauh sedikit sahaja dari kediamannya.
Bagaimanapun, pertemuan kali pertama mereka ialah di Raupp Museum. Ketika itu Asfahul ditemani rakannya, Danial. Tidak sangka pertemuan pertama itu menunaskan pula beberapa pertemuan lain. Lalu lahirlah keakraban hati, kesannya mereka terjebak ke dalam lembah cinta yang tiada batas sempadan. Lupa pada dosa-dosa yang akan menerjunkan mereka ke jurang api neraka.

EMALIN turun ke tingkat bawah. Dia membuka pintu pagar dan melangkah laju menuju ke rumah kosong yang dipanggil Teratak Maya itu. Ingin mengetahui motif perlakuan Atira tersebut.
Sebelum melangkah melepasi pintu pagar yang dikuak Atira itu, matanya mengerling sekilas pada nama Teratak Maya yang tulisannya masih tertera di situ meskipun sudah hampir pudar ronanya oleh hakisan cuaca. Sesuatu terbuku di kalbunya. Namun, dia tetap meneruskan langkahnya untuk menyusul dan mengintai aktiviti Atira. Meronta-ronta nalurinya ingin tahu apa yang hendak dibuat Atira di rumah kosong itu.
Sama seperti Atira, dia juga menyusup masuk melalui pintu yang sama. Mudah saja dia mencari kedudukan pintu tersebut. Untuk seketika, langkahnya mati tatkala mendapati keadaan rumah tersebut yang bersih lagi kemas. Berdetik rasa hairan di hatinya.
Memang dia pelik. Bukankah rumah itu sudah lama terbiar? Malah kawasan sekitarnya juga sudah hampir membelukar. Justeru siapa yang mengemaskan rumah tersebut hinggakan kelihatan begitu bersih dan rapi seolah-olah ianya berpenghuni? Langkah yang diayun membawanya ke kamar di mana Atira sedang lena terbaring di atas katil. Emalin tercegat di situ, terpaku!
Dalam terpaku, dia memerhatikan dengan hairan. Matanya meliar pada keseluruhan kamar tersebut yang bersih. Seperti ada orang yang menggunakan kamar tersebut. Matanya kembali hinggap pada Atira yang berkeadaan aneh.
Keadaan Atira seperti itu menghairankannya. Perlahan-lahan dia mampir. Disentuhnya pipi Atira dengan hujung jarinya. Atira tidak terusik. Malah terus kekal dalam keadaanya yang tenggelam beradu bagaikan seorang puteri itu. Yang menghairankan, bibirnya bergerak-gerak seolah-olah sedang tersenyum. Ia berulang beberapa kali. Emalin kaget. Dia mencuri peluang untuk benar-benar mengamati wajah yang kelihatan tenang sekali itu. Kemudian mendongkol dalam hati. Timbul rasa cemburu dan iri hati.
Yang nyata, Atira sangat jelita meskipun tanpa sebarang palitan mekap. Dia menyauk leher Atira dengan kedua tangannya secara main-main, pura-pura hendak mencekik wanita itu sekadar melepaskan geram. Untuk melontar rasa sakit hati yang tidak terpuaskan. Namun dalam hatinya, dia membayangkan dia sedang melakukan pembunuhan sebenar. Dan mangsanya ialah Atira. Dia tersenyum lebar, seronok melakar gambaran tersebut.
Sekonyong-konyong, entah dari mana, muncul seekor ular hitam menjalar naik ke katil itu lalu bergerak menyusur ke arahnya. Emalin menekup mulut menahan dirinya dari menjerit. Dia membuka langkah seribu lalu lari keluar lintang pukang.
Sesampai saja dia di rumah, tanpa berlengah, dia terus ke tingkat atas dalam keadaan termengah-mengah. Sambil berlabuh di sisi katil menghadap Asfahul, dia menstabilkan nafasnya. Perlukah diceritakan kejadian pelik tadi? Dia percaya Atira tentu masih berada di sana. Dia hairan. Apa motif Atira berada di rumah itu? Takkan hanya kerana nak berbaring?
Setelah gagal menjana otaknya untuk mencari sebab yang sesuai, dia hanya mampu menggeleng. Kalau diberitahu pada Asfahul, tindakan yang akan diambil lelaki itu nanti tentu lebih menguntungkan Atira. Bukannya bermanfaat untuk dirinya. Jadi biar saja!
‘Faul tak boleh tau gelagat gila isterinya. Nanti diubatinya Aty. Aku jugak yang rugi. Biar budak tu gila terus.’ Tekadnya menyimpul perasaan yang penuh hasad.
foto bawah, aku dengan seorang bakal pembaca Novel Jangan Ganggu Lenaku..;) Di Karnival Karangkraf. Menumpang tuah karnival, kerana buku ini diulang cetak setelah 15 hari berada di pasaran.