Thursday, May 9, 2013

NOVEL BARU - KUINGIN CINTAMU



Assalam. pada penghujung musim dingin yang lalu saya telah   ke Beijing untuk mengutip LATAR BELAKANG cerita tentang seorang gadis bernama Humaira yang bercita-cita hendak menjadi Novelist Best Seller dan menukar namanya menjadi RUHI HASRAT.  Jadi...Mulai Minggu depan saya akan update setiap minggu, novel terbaharu saya KUINGIN CINTAMU. SUDAHPUN ada di kedai-kedai buku utama di seluruh negara.  Siapa yg tidak memilikinya boleh membacanya secara percuma di sini.  Assalam.  Pertembungan hero dan heroin di suatu tempat percutian membenihkan rasa cinta namun mengundang tragedi yang bukan kecil dalam hidup mereka. Pertemuan pertama di Tembok Besar Badaling berakhir dengan pelbagai konflik di antara dia dengan temanlelakinya dan juga kembarnya sendiri Huwaida



Prolog






FAKRUL RAZI berpeluk tubuh. Matanya menilik sudut pagar  yang sudah siap. Bibirnya menguntum senyum penuh makna. Lutfi, kontraktor Melayu yang sebaya usia dengannya itu pula kelihatan terangguk-angguk melayan sambil memerhati beberapa orang pekerja Indonesia yang sedang tekun bekerja.
“Cuaca panas kat Perlis sekarang ni Razi. InsyaALLAH boleh siap cepat. Jangan risau.” Lutfi cuba meyakinkan. Sangkanya  jiran sekampungnya dulu  itu  mahukan pagar konkrit dengan rekabentuk Tembok Besar China  itu disiapkan segera.
“Tak perlu tergesa-gesa. Belum masanya anak-anak aku tinggal di kotej ni. Aku mahu pagar konkrit yang mengelilingi  kotej  ini nampak macam replika Tembok Besar China, tempat dia mula-mula bertemu Dr.. Damyral. Satu-satunya doktor di kampung kita ni dulu. Aku mahu kisah cinta mereka hidup semula.”
Lamunan Fakrul Razi mati bila matanya hinggap pada kelibat seorang wanita yang sedang mengintainya di dinding sebelah kanan kotej tersebut.
“Abang pulang...” Wanita itu merintih dengan suara sendu. Cepat-cepat Fakhrul Razi beredar meninggalkan tempat itu.
“Perempuan gila!” dengusnya melajukan keretanya meninggalkan lokasi.
“Aku Sya, bang. Aku masih hidup...Yang mati 23 tahun dulu Munirah, bukannya Sya...” rintih perempuan itu lagi, merenung sayu ke arah kereta yang sudah semakin jauh.


 

BAB 1
KIAN hampir mereka dengan kotej yang tertera alamatnya pada sekeping kertas, kian besar mata Humaira terbeliak. Pandangannya dan Huwaida diterkam oleh pemandangan rekabentuk pagar yang mengelilingi kediaman unik tersebut.
Humaira ternganga. Tidak sedar yang dia sedang memandu ketika itu. “Eh, sama macam tembok di Badaling!” serunya terkejut besar. Perasaan kaget bercampur hairan. Dia tertoleh-toleh pada Huwaida yang duduk di sebelah.
“Ya, ya, memang sama!” balas Huwaida.Mukanya juga berkerut hairan. “Tapi mata kau tu,tolong tengok pada pintu pagar tu. Jangan sampai temboknya pula yang kau langgar.Jahanam Nissan Almera baru kau ni nanti!” Amaran Huwaida.
Huwaida juga seperti Humaira.Terpegun  melihat pagar bertembok yang sungguh unik itu. Rasanya belum ada sesiapa pun yang membina pagar dengan bentuk seperti itu. Tidak pernah dibuat orang.Kalaulah dia tahu idea siapa.
Humaira memandu keretanya berhati-hati memasuki perkarangan rumah baru mereka itu. Sebuah kediaman ala kotej yang terletak di Kampung Rantau. Sebuah daerah terpencil di utara Perlis. Hanya beberapa kilometer saja dari Wang Kelian.
Umum mengetahui, dari Wang Kelian hanya selempar batu sahaja jika hendak ke Wang Prachan disebelah Thailand. Wang Kelian ialah tempat asal Syahirah, ibu mereka. Wanita yang tidak pernah dikenali Humaira mahupun Huwaida. Satu fakta yang terpadam daripada sejarah hidup mereka. Wanita yang disangka ayahnya Fakrul Razi , sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah juga yang disangka oleh semua orang kampung.
Humaira terus kaget. Gagal mengawal matanya yang asyik merenung pagar unik itu.
“Aku rasa, kat sini kau boleh tulis novel kau yang kelapan dengan rileks. Tak perlu bercinta lagi. Konon, kalau tak bercinta tak ada ‘feel’ menulis. Tak ada cinta, tak ada novel.Enam novel enam kali bercinta. Tujuh novel tujuh kali bercinta. Huh!” Huwaida sempat menyindir sewaktu turun dari kereta.
 Mengejek  sikap kembarnya, Humaira yang gemar memulakan ‘cinta baharu’ setiap kali melancarkan manuskrip terbaharunya.
Rasa-rasanya, selain Humaira, belum ada penulis lain yang berfitrah sedemikian. Bukan saja perbuatannya itu menjengkelkan Huwaida, tetapi mengundang musibah dan bala yang tidak henti-henti. Antara bencana tersebut ialah mereka berdua terpaksa cabut hingga ke Perlis itu untuk menyorok daripada buruan bekas teman lelaki terkini Humaira  iaitu Azril.
Humaira bagai tidak mendengar celoteh itu. Matanya terkedip-kedip membelek pagar yang melingkari kotej tersebut. Terasa seolah-olah dia dikelilingi Tembok Besar Cina. Ada perasaan rindu mengacahnya bila matanya hinggap pada replika unik itu. Rindu pada teman lelaki pertamanya, Dr.. Damyral.
Tercapai sudah objektif  Fakrul Razi ayahnya,  membina tembok pagar sekeliling kotej tersebut untuk membenihkan semula cinta yang pernah berputik di antara Humaira dan Dr.. Damyral.
“Aku terkenang dia. Dia yang kutemui di Tembok Besar China dulu,” bisik Humaira melayan kenangan penuh nostalgia itu sambil matanya melihat sekeliling. Angin  petang sedang  berhembus nyaman.Seolah-olah turut membantunya mengimbau sejarah pertemuan yang sungguh nostalgik itu.
“Indah betul memori aku dengan dia. Aku boleh lupakan yang lain-lain tu, tapi bukan dia. Damyral lain. Dia tak seperti teman lelaki aku yang lain. Yang enam orang tu.  Aku tak mampu usir  Damyral  dari ingatan aku.”
Huwaida menepuk belakangnya kuat bila terdengar ocehan kembarnya itu. Berdebuk bunyinya.
“Itu ayat dalam novel baru ke,atau kau maksudkan teman lelaki kau yang berderet tu?” Huwaida mengejek.
Humaira menggeliatkan bahunya. Terasa sengal bahunya ditepuk sekuat itu oleh Huwaida yang memang kasar orangnya. Kasar dan perengus. Dia tidak melayan ejekan kembarnya itu. Sebaliknya leka menggambarkan wajah teman lelaki pertamanya itu.
Melihat Humaira yang sedang berkhayal, Huwaida membuka cerita lain sambil menyigung rusuk kembarnya. Humaira yang terasa sakit, beranjak sedikit untuk mengelak disigung  kali  kedua.
“Aku agaklah, tuan rumah ni pernah ke Beijing.Kemudian jatuh hati pada Tembok Besar tu. Macam kau dulu? Seronok dan terkinja-kinja macam monyet bila mendaki tangga-tangga curam tu. Jadi, untuk melepas gian kerana dah tak dapat ke sana lagi, jadi dia buatlah replika ni supaya dapat lepaskan rasa giannya tu.” Huwaida mengekeh sambil melakar teorinya.
Humaira tidak melayannya. Geram pun ada kerana sakit rusuknya disigung kuat oleh Huwaida tadi.Ditinggalkannya Huwaida lalu beranjak ke satu sudut lain. Dipandangnya dengan mata tertarik pada dua batang pokok cermai yang berbuah agak lebat.
“Rasa macam aku pernah tercegat di sini... tapi bila? Pelik! Setahu aku, inilah kali pertama aku dan Aida masuk ke Perlis ni...” gelengnya bingung.Tiba-tiba, dia merasakan seolah-olah dia pernah berdiri di bawah dua batang pokok itu. Tapi bila? Separuh tenganga dia memerhatikan dua pohon yang melarik ingatan samar-samar itu. Dia keliru.
“Oi.. Penulis memang macam ni ke?Sampai aje ilham... satu apa pun kau dah tak nampak lagi!” Huwaida geram.





 
BAB DUA [2]
DUA minggu sudah berlalu. Kini, Humaira sedang berdiri di jendela kediaman tersebut. Pandangan dilempar ke luar. Mata hitamnya menyambar bagan berpergola di halaman.Tetapi bagan dan pergola itu langsung tidak memukau minatnya. Yang asyik direnungnya ialah pagar konkrit yang mengelilingi kediaman tersebut.
Pagar itu seperti baru dibina.Justeru dia berasa aneh. Untuk apa pemiliknya membina pagar baru kalau rumah itu akhirnya hendak ditinggalkan jua? Tambah aneh bila memikirkan kenapa pagar itu dibina meniru rekabentuk Tembok Besar negara Cina itu.
“Macam tau-tau aje aku dan Damyral mula bertemu di Tembok Besar!” gelengnya mengangkat keningnya tinggi-tinggi sambil mengetap bibir.
Memorinya tiba-tiba membawanya merentas ke Tembok Besar Badaling sekali lagi.Ada wajah yang ikut menemani ingatan spontan itu. Sudah tentu wajah tampan Dr.. Damyral!
Argh... kuat sekali ingatan itu. Ironis kerana sejak akhir-akhir ini, wajah itu memang kerap menyerbu kotak fikirannya. Apatah lagi bila disuakan dengan pagar yang bentuknya cukup sinonim itu. Tambah menggilalah ingatannya terhadap memori‘satu-satunya’ itu!
Dua kali dia bercuti di negara China.Kali pertama dengan kembarnya Huwaida.Kali kedua, dia hanya sendirian. Mata dan hatinya sudah dipukau oleh binaan yang juga dikenali dengan panggilan ‘Great Wall of China’ itu. Binaan yang menelan berkurun lama untuk disiapkan. Namun amat berbaloi bila akhirnya diwartakan sebagai salah satu warisan ajaib dunia.
Siapa sangka lawatan kali kedua itu menemukan dia dengan Dr.. Damyral? Sesuatu yang memang ditunggu-tunggu Humaira. Ada sangkut-paut dengan kerjaya penulisan novelnya yang baru bermula. Dia berdepan dengan masalah menghidupkan roh tulisannya. Manuskrip pertamanya itu kaku. Beku. Sedangkan azamnya hendak menghipnotis tumpuan penggemar-penggemar novel yang mahu dikumpulnya. Dia mahu jadi penulis best seller!
 Apakah kerana dia belum pernah bercinta lalu dia tidak mampu menjadikan plot itu realistik?
“Samalah macam penulis yang belum kahwin tapi cukup berani bercerita secara terperinci tentang adegan dalam kelambu sepasang pengantin baru,” katanya pada Huwaida yang tergelak mendengar.
“Aida, aku perlu bercinta, baru mampu secara logik  menghidupkan plot cinta yang lesu dalam novel aku. Kau faham kan? Bercinta... kemudian terjemahkan perasaan aku ke dalam novel.” Wajahnya benar-benar serius ketika membentangkan teorinya itu.
“Habis dengan Mamat Bangla mana yang kau pilih untuk bercinta ni?”Huwaida acuh tak acuh saja mengejeknya ketika itu.
Tiba-tiba ketika percutiannya nun jauh di hujung benua,dia ditemukan dengan pria kacak lawa itu.Seorang Damyral ditakdirkan jatuh cinta padanya. Nampaknya, dua kali dia beruntung. Satu untuk dirinya.Satu lagi untuk novelnya. Memang durian runtuh sebenarnya!
 Perasaan cinta itu berputik di hati Dr. Damyral setelah berulang kali lelaki itu menemankan Humaira yang tercedera lututnya ke sana ke mari dalam cuaca dingin bandar Beijing itu.Benar-benar seperti dongeng ‘Fairy Tale’.
 Tapi bagaimana pula dengan dia? Dengan perasaanHumaira sendiri? Benarkah dia cintakan lelaki itu? Ini kerana tidak lama sesudah pengalaman indah itu, lelaki itu ditinggalkannya begitu saja. Begitu saja?
Zalim... Berkali-kali perkataan yang sama dipantak Huwaida ke telinga Humaira.
“Kau putuskan?Kan baru lima bulan? Aku ingat kau nak kahwin dengan dia!” Adik kembarnya Huwaida tergamam bila Humaira memaklumkan keputusannya itu.
“Itulah yang aku takut.Aku takut dia ajak kahwin. Aku cuma nak bercinta aje. Kau tau kan, untuk ‘feel’ menulis novel aku?
“Zalim!” dengus Huwaida tidak percaya. “Nak feel menulis konon. Kejam betul melukakan hati insan lain semudah tu!”
“Siapa nama mamat tu. Kerja apa?” Berkerut mukanya bertanya.
“Err... Rafiq!” bohongi Humaira. “He is a vet. Doktor haiwan.” Humaira teragak-agak.
Huwaida mencemik-cemik jengkel. Berkali-kali menyumbat perkataan ‘kejam’tersebut ke telinga Humaira. Padanya  tindakan Humaira itu terlalu kejam.
“Dia paksa kau kahwin ke?” jerkah Huwaida.
Di situ Humaira terdiam.
Rasa-rasanya tak ada...




 BAB TIGA [ 3]

SELEPAS memutuskan hubungan dengan Dr.. Damyral, silih berganti lelaki yang muncul dalam hidupnya. Tetapi tidak ada yang kekal. Setiap kali putus, dialah yang menetapkannya. Dia takut pada hubungan yang kekal. Takut berakhir dengan jerat ‘perkahwinan’.
 Sesuatu yang pasti, dalam ramai teman lelakinya, hanya Dr.. Damyral yang tidak diperkenalkannya kepada Huwaida. Nama sebenar lelaki itu juga tidak pernah didedahkan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berahsia sangat tentang cinta pertamanya itu daripada Huwaida.
“Kenapa kau termenung kat jendela ni?Tak elok tau!Tolong aku kemas rumah ni lagi baik. Betul-betul lagak Si Pemalas. Tengoklah ni, masih bersepah-sepah,” rungut Huwaida.
 Sudah masuk minggu ketiga mereka berpindah di situ. Tapi keadaan dalam rumah masih tunggang-langgang. Penyakit melamun Humaira pula semakin teruk.
Suara kasar Huwaida itu hanya menyentaknya sekilas. Sejurus, dia kembali semula  termangu merenung pagar ala-Tembok Besar Cina itu. Setiap kali memandangnya, setiap kali itu juga ingatannya akan terbang melayang-layang pada Dr. Damyral. Mulalah hatinya berdebar tidak tentu arah. Kemudian perasaan rindu itu... Perasaan yang menjerihkan itu akan menyengat hingga ke hati. Argh!
 Hairan betul... kenapa Damyral selalu sangat masuk ke dalam otak aku sejak akhir-akhir ni? Kenapa mesti dia? Aku yang tinggalkan dia. Bukannya dia yang tinggalkan aku. Jadi, kenapa perasaan aku pedih semacam saja?
“Atau aku ni dah gila talak? Gila talak yang ekstrem?” Humaira berkeluh-kesah.
“Apa kau cakap?” Huwaida yang sedang berkemas merapati. Nafasnya kedengaran mengah dan penat. “Aku dengar kau sebut talak tadi. Talak apa?” tanyanya lagi hendak tahu.
Humaira menyengih sambil mengerling adiknya. Memang apa yang melintasi benaknya, kadangkala terlepas dek lidah yang tidak bertulang. Kaifiat itu adalah kelemahannya. Dia mengisyaratkan pagar kediaman rumah itu pada Huwaida dengan memuncungkan mulutnya.
“Aida, kenapa pagar tu bentuk macam tu?”
Humaira mendengus bila Huwaida sengaja mengasak kasar tubuhnya ke jendela hendak sama menjenguk. Terlontar perkataan ‘jantan’ dari mulut  Humaira .
“Minat manusia kan memang pelik? Aku rasa mesti berpuluh ribu dihabiskan untuk bina pagar tak berfaedah tu.” Dia mengkritik. Mukanya dicemik-cemik.
“Berpuluh ribu? Aku rasa paling kurang pun RM150 ribu!”Humaira menghitung-hitung sendiri.
“Tinggi kos tu. Tapi bila pandang pagar tu, aku rasa macam teringin pulak nak ke sana lagi.” Huwaida menarik nafas berat mengharap-harap.
“Dahlah. Aku nak berkemas. Kau berdirilah situ sampai malam. Puja replika Tembok Besar tu. Dasar pemalas!” Sambil mendengus Huwaida meminggir dan meneruskan semula kerja-kerjanya. Membiarkan Humaira terus-menerus termangu di situ.
“Damyral, ingatkah lagi kau padaku? Kesian kau terpaksa dukung aku masa turun dulu. Tangga tu curam...” bisiknya dilamun nostalgia semalam.
Ironis sekali... Dr. Damyral selalu mengusik ingatan masa kininya. Tidak kira siang, tidak kira malam. Bukankah dia hanya salah seorang daripada tujuh lelaki yang pernah mencintainya? Yang membezakan dia daripada yang lain, hanyalah kerana dia yang pertama. Sulung pada lelaki-lelaki lain yang jadi mangsa permainan cinta sementaranya.Semuanya gara-gara mencari‘feel’ untuk novelnya.
Termakan sumpah ni! Hatinya sudah berkata-kata.
Inikah yang dikatakan hukum karma? Aniaya dibalas aniaya! Tapi aku tak aniaya dia. Bukankah dia yang jatuh cinta pada aku? Jadi, salahkah, bila aku tinggalkan dia?
Fikirannya mula menerawang ke suatu waktu. Ketika itu dia bercuti di Beijing. Dia ke sana untuk mencari idea setelah berdepan masalah untuk menyiapkan manuskrip novel pertamanya.


BAB 4
IMBAS KEMBALI
Badaling.



“PANJANGNYA...” Terlontar rasa kagum dari mulut Humaira. Itu juga yang diungkapnya berkali-kali pada Huwaida, sewaktu mereka berdua melawat ke situ dulu.
Pada kali yang kedua, dia pergi sendirian kerana pada masa yang sama Huwaida ada acara penting di Tadika Sweet Bunny. Mengeluh adik kembarnya itu kerana tidak dapat ikut serta. Humaira juga kecewa. Tapi rupa-rupanya terselit hikmah di sebaliknya. Justeru dalam lawatan kali kedua itulah dia telah dipertemukan dengan Dr. Damyral.
Bibirnya bergerak-gerak tersenyum sambil otaknya mengimbas insiden pertemuan itu. Ketika itu, mata dan minda Humaira hanya fokus pada binaan hebat itu. Tangan kanannya pula tekun menghalakan lensa kameranya dari satu sudut ke satu sudut yang lain tanpa jemu sambil jarinya sibuk membidik pemandangan yang menarik.
“Panjang gila... macam mana mereka bina?” Kumat-kamit bibirnya meluahkan rasa kagum.
“Hmm... memang panjang. Lebih tujuh ribu kilometer.Itu belum termasuk Tembok Besar di tempat lain. Tempat kita berdiri sekarang ialah tembok yang dibina sewaktu pemerintahan Dinasti Ming. Sebelumnya pun sudah ada dibina di beberapa bahagian provinsi yang lain. Pembinaannya berperingkat-peringkat. Tapi bukanlah bersambung macam yang kita semua sangka. Lain dinasti, lain lokasi tembok besarnya. Hmm... itu jawapan kenapa ia sangat panjang macam yang awak hairankan sangat tu. Opps... Lupa pula, tembok awal dibina oleh pemerintah di zaman Dinasti Qin!” Satu suara menjawab tanda tanyanya dari belakang.
“Hah?”  Terus Humaira berpaling. Ingin tahu siapa gerangan  pemandu pelancong sukarela yang baik hati, sudi menghurai fakta yang berjela-jela tanpa dipinta itu.
Sebaik saling berdepan, dia tergamam. Dia terkesima lalu  merenung paras dan sesusuk tubuh yang kini sedang tercegat di depannya sambil tersenyum. Mungkin mereka tidak saling kenal, tapi ada sesuatu yang mencelah-celah ke ingatannya tatkala meraup  wajah itu. Bagaikan ada gema di kejauhan menjeritkan bahawa lelaki itu pernah hadir dalam hidupnya. Gema yang gagal dipastikan apakah dia.
Wah... inilah baru dikatakan hero novel! bisiknya berlucu dalam hati. Lagi elemen itu mencuri-curi membelah lorong ke ingatannya. Membuatkan dia terus merenung dengan aneh. Yakin benar dia bahawa, lelaki itu ada kaitan dengan masa lalunya.
Humaira cepat-cepat menukar ekspresinya bila menyedari betapa asyiknya dia memandang wajah di depannya itu. Dahi dikerutkan dalam satu aksi lakonan. Takut pula jika si dia perasan. Maklum, tenungannya itu tadi amat ralit. Nampak jelas seperti dia tertarik. Meskipun hakikatnya,dia memang seorang jejaka yang menarik.
Tubuhnya tinggi lampai. Tidaklah terlalu berisi tetapi tegap orangnya. Pemuda itu menyarung fleece jacket.Nampak kemeja merah samar di dalam jaketnya itu. Berseluar  rona ‘beige’ Wajahnya... hmm, memang kategori ‘sesuatu’. Orang seberang menyebutnya ‘ganteng’.
Opps... jejaka itu juga baru tersedar. Sejak si gadis berpaling, matanya belum sekalipun berkalih.Tidak pula dia membuang pandang, Cuma si gadis sudahpun mengalihkan mukanya pada kawasan berbukit bukau di hadapan. Bukan gadis itu fokus sangat kerana akhirnya gadis itu  kembali teragak-agak memandangnya  sambil  berkata..
“Terima kasih.Err... untuk info awak tadi tu.”
 Lancar lidahnya mengatur diksi. Sambil itu, dipaksa juga jari-jarinya berlakon membetul-betulkan kamera. Argh... kelelongnya!
Lelaki itu menggerakkan kening.Agak terleka.
Humaira memang mudah canggung kalau berdepan dengan lelaki. Impak dari sikap dingin ayahnya terhadap dialah, apa lagi? Seorang ayah yang serius, tidak mesra dan bersikap pilih kasih pula pada anak-anaknya. Lalu suburlah trait negatif itu ke dalam dirinya. Iaitu ‘canggung berdepan dengan lelaki’!
“Tembok besar yang paling awal, hanya guna tanah liat dan bongkah-bongkah batu. Masa Dinasti Ming, barulah bahan-bahan yang lebih bermutu digunakan. Pembinaan pada era itu lebih terancang.” Lelaki itu menambah fakta.Humaira apa lagi.  Dia makin tertarik.
Dia melilaukan mata ke sekitar. Barulah dia sedar hanya mereka berdua saja pelancong Malaysia yang berada di situ pada ketika itu. Dalam hati, dia berharap agar pemuda itu tidak terburu-buru meninggalkan tempat tersebut. Dia akan keseorangan. Lainlah kalau ada Huwaida.
“Impresif. Tapi, rugi kan bina tembok panjang-panjang macam ni? Mesti ramai yang terkorban. Macam... err...ketika rakyat Firaun bina piramid dulu.” Humaira mengandaikan. Sempat tersenyum pada seorang pelancong Eropah yang mengangguk padanya sebagai isyarat menyapa. Diketapnya bibir sambil mengangkat kening tinggi-tinggi.Bila matanya beralih pada Dr.. Damyral, terjadi pertembungan mata. Humaira menggigit bibir sambil menaikkan kedua-dua keningnya lagi dalam keadaan tersipu.
Jangan dia tuduh aku gedik sudah... bisiknya terus tersipu-sipu diperhatikan seperti itu..
Dr.. Damyral sebenarnya tersentap oleh aksi gadis itu.Menggigit bibir sambil mengangkat kening.Macam pernah dilihatnya aksi itu dalam samar-samar ingatan.
 Sekali lagi mata‘hero novel’ di depannya itu mengilau bila seorang lagi pelawat berselisih lalu. Ini kerana pandangan pelawat tersebut pasti singgah seketika pada Humaira. Gadis yang memakai skarf ringkas itu memang mempesonakan sesiapa yang memandang. Termasuk dirinya. Disebabkan itu juga maka dia memberanikan diri mencari jalan mendekati gadis itu tadi.Sepanjang yang dia ingat, itulah pertama kali dia ‘mengorat’ seorang gadis.
 Tapi aksi gadis itu menggigit bibir dan mengangkat kening tadi...Argh... sekali lagi dia berusaha memerah ingatan untuk mengimbas satu-satunya memori yang enggan kembali. Aku tertarik padanya hanya dengan sekali pandang... bisiknya membelek penampilan Humaira.
Gadis ini ada aura istimewa. Tapi aku tidak pasti apa. Cuma aksinya menggigit bibir dan mengangkat kening tadi mengimbau satu kenangan lama. Hati aku berkata yang aku pernah melihat dia, tapi di mana?
Teringat soalan gadis itu tadi, dia memaksa fokus.
“Betul tu. Sebenarnya, tembok tinggi ini sudah jadi satu keharusan. Suku gasar nomad seperti Monggol dan orang-orang Tartar di bahagian utara,suka menyerang petempatan berhampiran sempadan. Mereka ni ganas. Perompak yang tak berhati perut. Tembok Besar ni dijadikan kubu untuk menyekat penganiayaan mereka. Orang-orang Cina masa tu, turut takut pada bangsa Mancu yang gemar menceroboh petempatan mereka yang daif itu.” Usai menerangkan,bibirnya menyungging senyum. Seronok kerana berjaya membuat Humaira tertarik.
Hmm... dia kacak, manis.Aku suka lelaki yang tinggi... perfect. Patut sangat wanita diharamkan merenung lelaki ajnabi. Protes imannya yang cuba menyeru pada kebaikan. Humaira membalas senyumnya. Inilah hero novel pertamaku. Minda nakalnya kini mula melakar karakter dalam novelnya. Rupa paras, gaya dan apa saja kriteria hero itu untuk manuskripnya.
“Saya Damyral.” Dia memperkenalkan diri tiba-tiba.
Humaira tersentak. Tergamam berjurus lamanya.Macam pernah dengar. Namun gagal mengingat.
“Aa.. saya Humaira... Aira.”Sekali lagi dia menggigit bibir sambil mengangkat kedua-dua kening dan membesarkan matanya. Aksi tadi berulang lagi. Nah!
“Aira?” Dr.. Damyral terperanjat besar.
 Nama itu sudah cukup untuk mengesahkan, disokong pula oleh aksi yang dulu kerap dilihatnya bertahun-tahun yang lalu. Seorang kanak-kanal yang gemar bermain biji saga dengan kembarnya yang kasar dan perengus orangnya.Beberapa kali dia terpaksa menarik si kecil itu ke rumahnya bila setiap kali kembarnya itu mula mengepal penumbuknya.
“Takapa, takapa, Aira dah biasa kena tumbuk. Sakit kejap aje. Kan Aida?” Ungkapan membela yang sering membuatnya sangat simpati terhadap kanak-kanak secomel itu. Dia masih mahu bermain.Tetapi Dr.. Damyral tidak tega melihat dia dikasari adik kembarnya yang bertubuh besar itu.
Setiap kali diherdik si kembarnya, Aira akan menggigit bibir dan membesarkan mata dengan menaikkan keningnya.Comel! Tidak tergambarkan peri sukacitanya Dr.. Damyral. Melihat si kecil yang kini sudahpun tegak seperti kelopak yang mekar itu. Dia seolah-olah terperangkap dalam pesawat yang mampu memintas kelajuan cahaya lalu membawanya masuk ke dimensi semalam!
Dr.. Damyral menarik nafas. Diperhatikan aksi yang diulang sekali lagi itu.Nama ‘Aira’ itu sudahpun memecah kebuntuan.Perlahan-lahan, bibirnya mengorak senyum.
Biji Tasbih...”bisiknya dalam hati. Nampak terang peristiwa yang pernah tercatat dalam memori silamnya itu.Rosary Pea... getus hatinya lagi.
Humaira masih kecil waktu itu, Pasti dia sudah lupakan budak lelaki yang sering menaburkan biji-biji saga di atas kepalanya dulu. Keluarga Humairapun seolah-olah sudah melupakan kampung halaman mereka. Ah Aira!Dr.. Damyral tersengih sambil bernostalgia. Gembira tidak terkira.
“Awak fikirkan perbuatan kejam kaum-kaum nomad tu?” tanya Dr.. Damyral dengan mata memicing reaksinya, bila Humaira sesekali menajamkan mata seralit-ralitnya tatkala merenung dinding tembok besar itu.
Tersenggut nafas Humaira. Bukan itu yang sedang difikirkannya. Ketika itu, dia sedang membayangkan lelaki itu sebagai hero novelnya. Itu yang sebenarnya! Penampilan lelaki itu sangat impresif. Mata manusia pula memang mudah berbuat dosa. Pintu membenarkan dosa itu pula, tidak lain ialah hati yang mudah tertawan. Dari mana datangnya cinta kalau tidak dari mata turun ke hati. Bidalan lama itu sahih benarnya!
“Kaedah tu berkesan ke? Maksud saya, selamat ke penduduk yang tinggal di belakang Tembok Besar tu?” Dr..Damyral menggaritkan kening.
“Tak juga,” akuinya dengan riak simpati. “Tembok ni tak dibina menyeluruh. Bermakna, suku-suku nomad tersebut masih mampu menceroboh sempadan dengan cara merentas masuk di bahagian hujung iaitu bahagian di mana pembinaan tembok itu berakhir.”
 Wajahnya berubah serius. Mungkin membayangkan bentuk jenayah di era tersebut. Di kala manusia yang lebih gagah memegang kuasa undang-undang. Sistem hidup yang membuat mereka yang lemah sering ketakutan dan ditindas.
Bila dia buat muka serius, lagilah aku bertambah tertarik.Humaira tergelak-gelak dalam hati. Bersinar-sinar matanya. Dia mendakap kuat tubuhnya bila angin sejuk tiba-tiba bersemilir lalu. Dr.. Damyral memandang dengan wajah simpati. Baru dia perasan yang gadis itu       hanya menyarung kemeja denim di tempat sedingin itu. Hendak dilekapkan fleece jacket yang dipakainya ke tubuh gadis yang kesejukan itu, nampak ‘over’ pula.
Terlalu awal nak berlagak gentleman... bisiknya melucu dalam hati. Lagipun saiz jaket yang dipakainya itu agak besar untuk gadis di depannya itu.
“Hmm...” Dia berdehem. Dibeleknya muka ingin tahu Humaira.
“Hakikat yang tak boleh diubah ialah, Tembok Besar ni simbol kekejaman pemerintah-pemerintah dinasti yang silih berganti tu. Mereka kerah para petani dan orang awam membinanya. Betul kata awak. Terlalu banyak menelan korban mereka yang tak berdosa. Mereka dikerah, dianiaya dan dijadikan buruh paksa berkurun-kurun lamanya. Jadi tak hairankan Humaira, kalau tembok besar ni juga digelar, kubur terpanjang di dunia?”
Humaira mendengar dengan penuh khusyuk. “Rejim kuku besi,” gelengnya. “Ya... seriau bila kita bayangkan ganasnya pemerintah menindas rakyat yang lemah dan tak berupaya membela diri,” sambung Humaira mengangguksetuju.
“Saya agak, mesti banyak sumpah seranah mangsa-mangsa yang dikerah membina tembok ni kan?” tambahnya lagi. Dr. Damyral menggerakkan keningnya.
“Ya mungkin. Petani yang teraniaya pasti berbakul sumpahnya memaki hamun pemerintah dinasti, kerana didera sekejam itu. Agaknya sumpahan itu lebih banyak daripada penderitaan yang terpaksa mereka tanggung. Jadi jaga-jaga jangan sampai awak pula yang bersumpah di sini, takut disambut oleh kaki menyumpah di bawah.” Lawaknya itu memanjangkan garis senyum di bibir Humaira..

 

BAB LIMA [5]

KETIKA mengayun kakinya hendak meninggalkan tempat itu, Humaira tersepak sesuatu lalu gagal mengimbangi tubuhnya. Dia jatuh tertiarap di lantai Tembok Besar itu. Natijah akibat terleka.Terlalu seronok melayan cerita lelaki itu tentang Yinchuan, ibukota bagi daerah Muslim di Xingchia.Juga ceritanya tentang masjid Nanguan tempat dia sering singgah untuk bersolat bila ke sana.
Huh... betapa teruja dia. Terutama bila Dr.. Damyral mempelawa supaya mengikut dia ke sana dengan khidmat kapal terbang tambang murah. Perjalanan yang didakwa Dr.. Damyral konon memakan masa tidak sampai pun lapan jam dari kota Beijing itu.
“Mak ai... koyak habis bahagian lutut jeans ni. Terpaksalah saya cari jeans baru. Saya memang bawa dua helai aje seluar kalau bercuti ke mana-mana. Jimat ruang bagasi.”Humaira merungut kecewa, membuatkan lelaki yang sedang mencangkung menghadapnya itu tergeleng tidak percaya.
Sambil meneliti lutut yang berdarah itu, dia mengungkapkan dengan hairan. “Awak sepatutnya lebih risaukan luka di lutut tu, bukannya merungut pasal jeans yang koyak ni. Ini bukan sekadar abrasion wound yang boleh awak ambil ringan. Takut laceration wound aje. Berdoalah supaya ia bukan kes kecederaan ACL. Jadi, cuba lebih serius boleh tak?” bebelnya sambil membelek-belek luka di lutut Humaira.
“Hmm... macam ada cedera sikit kat bahagian dalam.” Terangguk-angguk dia mengesahkan. Sejurus, dia mengangkat muka memandang wajah selamba Humaira.
Nampaknya gadis ini  masih memikirkan seluar jeansnya yang koyak. Bukan memikirkan luka di lututnya. “Nak melangkah nanti, taulah nasib kau,” bisik lelaki itu mula geram.
“Beginilah... di Beijing Mall nanti atau di Wang Fu Jing shopping Street,  awak akan jumpa beratus jeans yang jauh  lebih baik daripada jeans koyak awak ni. Sekarang saya nak besarkan lagi koyak ni. Tolong jangan bantah. Saya nak buat rawatan sementara, lepas tu kita cari klinik kat downtown okey?” Lelaki itu sedikit pun tidak menghiraukan mata Humaira yang terbuntang membantah ura-uranya itu.
Berlebih-lebih pula mamat ni. Sekarang berlagak doktor lah pulak, gerutu Humaira.Tiba-tiba terasa lucu pula.Dia menggigit bibirnya sambil mengangkat kening tersengih.
Dr.. Damyral menggelongsorkan beg kembaranya ke bawah. Dengan pantas mengeluarkan kotak first-aid.Sempat tersenyum bila melihat Humaira membuat mimik muka yang disukainya itu.
“Err... tu... tu Bioptron ke?” Humaira menyibuk hendak tahu, sewaktu lelaki itu menuangkan jenis cecair ke liang lukanya.”
Tergelak Dr.. Damyral mendengar nama ubat itu disebut.Dengan pantas dia membalut bahagian yang luka setelah menggunting sedikit lagi bahagian jeans yang koyak. Kagum pula Humaira menyaksikannya. Mukanya ikut berkerut menahan pedih.
“Bioptron tu untuk penyakit diabetis. Mana awak dengar?” sambil tekun membalut.
“Arwah Nek Ipah saya dulu selalu cuci lukanya dengan ubat tu. Wah... expertnya awak balut. Awak ni jururawat terlatih ke?”
Pertanyaan Humaira itu membuat lelaki itu tersengih-sengih. Tampak anak matanya mengilau lucu.
I’m a vet. Or rather, a veterinarian. Doktor haiwan,” beritahunya. “Maaflah terpaksa rawat awak macam yang saya lakukan pada haiwan-haiwan dan pet yang selalu di hantar ke klinik saya.” Dia menyepetkan matanya memerhatikan Humaira dengan pancaran lucu di matanya.
Bulu kening Humaira bertaut. Dalam kepalanya membayangkan Dr.. Damyral sedang menjahit lutut seekor kuda yang terjelepuk pengsan sesudah dibius. Berkerut mukanya membalas pandangan doktor itu.
“Nasib baik awak tak terlompat-lompat macam kucing yang sering saya rawat tu. Atau kuda-kuda yang jadi regular patient saya tu,” ungkapnya lalu tergelak-gelak.
Dia kemudian membantu Humaira berdiri.
Pandai pula mentertawakan orang... bisik Humaira mencerlung pandangan pada lelaki yang sedang memapahnya melangkah itu.
Ketika hendak menapak barulah terasa oleh Humaira betapa seksanya setiap kali lututnya hendak digerakkan.Terdengar dia mengaduh menahan sakit.
AkhirnyaDr. Damyral mendukungnya di belakang sewaktu hendak menuruni tangga yang curam itu. Mula-mula dia berasa kekok dan malu sangat. Tetapi bila Dr.. Damyral melawak mengatakan dia biasa mendukung monyet di belakangnya, barulah Humaira berasa selesa bergayut di belakang lelaki itu.
Tapi kasihan juga. Satu cabaran sebenarnya, menuruni tangga curam itu dengan adanya‘penumpang’ di belakang.Kini ‘cerita semalam di Beijing’yang tidak pernah diperincinya dulu itu, mendadak menjadi sebuah memori syahdu yang perlu dikenang! Tiba-tiba dia berasa sayu. Lelaki itu sungguh ikhlas menolongnya dulu.
“Damyral... kenapa baru kini kurasa indahnya pertemuan kita dulu?” Dia mengeluh. Saat ini dia berasa kosong. Banyak sungguh perbezaan antara kau dengan mereka semua. Akuinya dalam sayu dan merindu. Membandingkan lelaki itu dengan temanlelakinya yang lain.
Cengkaman pada kekisi jendela dikuatkan bila ingatan terhadap lelaki itu menjadi sangat dominan. Dia melempar pandangannya ke luar. Pada tembok pagar yang dibina mengikut rekabentuk Tembok Besar di Badaling itu. Dia mengeluh lagi. Tercari-cari lagi sisa kenangannya bersama Dr.. Damyral.
Kenapa hari ini dirasakannya kenangan itu terlalu indah? Kenapa tidak dulu?
“Apa yang asyik sangat tu?” Huwaida menepuk belakangnya membuatkan Humaira tersentak. Dia berpaling. Berkerenyut wajahnya. Memori bersama Dr. Damyral padam terus dijerkah suara Huwaida yang langsing.
Humaira menggigit bibir sambil menaikkan keningnya.
“Itu bukan tepuk.Tapi tumbuk.Aku ingat dah besar ni dapatlah aku pencen merasa penumbuk kau tu!” Humaira geram.
Huwaida tersengih. “Maaflah. Kau taulah tangan aku ni ringan aje. Itu sebab rumah ni aku sorang yang berkemas. Ringan penumbuk dan ringan tangan.” Sempat Huwaida memasukkan sedikit kebaikannya untuk membela diri. Walaupun ringan tangan itu maksudnya mudah naik tangan.
Humaira mendengus. Kemudian dia kembali menghadap ke jendela. Pandangan dilempar ke luar. Serentak itu dia dikejutkan oleh sesuatu.
Pandangannya mengesan kelibat seorang wanita sedang berehat di bagan berpergola yang dibina di sudut landskap di bahagian tepi rumah itu. Beria-ia dia memerhati.Siapa?Siapa perempuan tu?
“Aku tengah perhati makcik tu.” Dia menoleh pada Huwaida kemudian berpaling semula untuk melihat wanita tadi dengan lebih jelas. Tapi kelibat wanita itu sudah tidak ada di situ. Hairan juga.Ke mana hilangnya?Belum sempat pun matanya berkelip kali kedua.
“Perempuan?” Huwaida menghampiri jendela hendak ikut meninjau. “Tepilah!” dengusnya menolak kasar Humaira ke tepi. Dahinya berkerut-kerut. Memang tidak ada sebatang tubuh pun di situ.
“Dah pergi agaknya,” balas Humaira membalas tanda-tanya di mata Huwaida. “Cepat pula hilangnya. Mungkin jiran yang hendak bertanya khabar.Kitakan baru di sini?” Dia membuat kesimpulan sendiri.
Namun hati nalurinya tetap berdetik. “Was-was jugak ek?” Dia mengangkat kening pada Huwaida.
Huwaida mendengus.
“Rumah ni bukannya antik sangat. Tak payahlah rosakkan otak dengan sangkaan yang bukan-bukan. Betullah tu,jiran sebelah sebenarnya yang muncul tadi. Tengok orang tak ada, dia blaah... okey?”
Humaira tergelak-gelak.
Huwaida memang penakut orangnya. Pantang dicuit dengan topik mengenai supernatural. Menggelabah habis.Harapkan badan saja besar tinggi.
“Lagipun, aku dah berkenan dengan rumah baru kita ni Aira. Cantik, ala kotej gitu. Tak sangka kita diberi tinggal percuma aje kat sini.” Huwaida menarik lengan Humaira mengajaknya ke ruang tamu yang masih bersepah.
Terdorong-dorong Humaira dijujut dengan kasar. Dia terpaksa berhati-hati bila melangkah itu. Banyak lagi barang bertaburan yang belum dikemaskan. Tiba-tiba dia membongkok cemas sambil mencapai sesuatu. “Patutlah dah lama aku tak jumpa. Kau rupanya! Sengaja sorok dalam bungkusan surat khabar kan?” Humaira memberang. Barang yang dikutipnya itu didakap ke dada. Hanya anak patung kecil dan jenis lama.
Huwaida mengekeh geli hati. “Anak patung zaman purbakala tu. Aku pun pelik, kebanyakan mainan kau banyak yang jahanam tapi benda sakti yang ini, masih nampak baru.Pandai kau jaga.Kok cantik pulak tu, murahan!” Dia masih mengekeh. “Dulu kau curi-curi bawa ke sekolah masa mama ugut nak bakar. Alih-alih aje mama dah tak kisah lagi, aku pun pelik.”
“Mainan aku habis jahanam tupun pasal perbuatan kau.Sampai ke tangan kau gerenti jahanam. Yang ini selamat, pasal kau tak suka.Jantan!” cemuh Humaira.
Huwaida mengikik lucu.
“Jantan-jantan pun, inilah chef yang mengenyangkan kau kat rumah ni.Kalau tak, kebulur.”
“Eh, salah. Kalau tak masak, aku cukup dengan roti dan biskut aje.Kau rajin masak tu kerana kau sendiri rajin melapun,” balas Humaira sambil mencebik.
Huwaida tersengih-sengih.
“Aku pun pelik jugak Aida. Tiba-tiba aje mama dah tak kisah kalau aku letak anak patung ni kat katil.Kalau adapun, dia setakat jeling aje. Kenapalah benci sangat dengan anak patung kesayangan aku ni.” Humaira melawak sambil berdecit-decit dan menggeleng
“By the way, siapa perempuan tadi ek?” Humaira yang tidak puas hati kembali pada cerita tentang perempuan tadi.
“Jangan tanya aku. Aku tak nampak sebatang tubuh pun kat situ tadi. Okey?” Suara Huwaida sudah kembali  keras. Dia tidak lagi tersengih-sengih.
“Hmm..” Humaira akhirnya menguburkan saja isu itu. Dia dudukdi sofa menghadap Huwaida.
“Aira, kau tak rasa pelik ke bila suami isteri yang tak kita kenal, suruh kita tinggal di sini? Macam tau-tau aje yang kita nak cabut dari rumah sewa kat KL tu.” Terhambur juga akhirnya teka-teki dalam kepalanya sejak ditawarkan tinggal di kotej itu.
Humaira sendiri akur tentang itu. Tetapi kerana semua berpunca daripada dia, terpaksalah dia diamkan saja apa yang turut dipertikai akalnya itu.
“Ayah yang bagitahu dia orang, kat mana kita menyewa dulu. Mungkin juga ayah dan mereka memang kenal.”
“Tapi mana ayah tau yang kita nak cabut dari rumah sewa kita tu dulu, kau tak terfikir ke?” Huwaida keliru.
“Argh... malaslah nak peningkan kepala.” Sebenarnya Humaira sudah lama ‘menangkap’keanehan itu.Tapi dia juga ada isu yang lebih kronik. Azril!
Pada Humaira, dapat lari daripada teman lelaki terbarunya itu sudah cukup melegakannya. Azril bukan saja mengucar-kacirkan kepalanya, tapi terlaluan obses terhadapnya. Kalau tak cabut, dia yang serabut!
Huwaida memuncungkan bibirnya. Tidak puas hati. Nalurinya tetap mahu merungkai.
“Panjang-panjangkan cerita buat apa? Kalau mereka ada hidden agenda, takkan ayah bagi mereka jumpa kita?” Humaira menenangkan.
“Susah jugak dapat ayah yang kepalanya tak serupa bapak orang lain ni! Ayah tu bukannya tau nak borak dengan kita. Bincang apa-apa ke!Tapi tak pulak kalau dengan Aifa. Tak aci betul! Nak tahu apa-apa cerita daripada ayah kandung sendiri pun susah!” kesal Humaira bila mengenangkan ayahnya yang tidak memiliki sikap terbuka. Yang menghairankan, ayah mereka itu mesra pula dengan saudara tiri mereka Huwaifa.
“Ayah tu, macam Aifa sorang aje anak dia,” rajuk Huwaida, melontarkan apa yang terbuku di dada. “Sebab tu Aifa sombong dengan aku.” Rajuknya melalut.
“Jangan nak tuduh sembarangan.Aifa tu bukan sombong,Tapi selain aku, siapa yang tahan dengan perangai kasar dan penumbuk maut kau tu!”
Kata-kata Humaira membuat Huwaida mencebik.
“Huh... Cerita pasal ayah aje, hilang terus stamina aku,” dengus Humaira, lalu bangkit menuju ke dapur.
 Haus tekaknya bila isu ayahnya dibangkitkan.Sejak kecil hinggalah besar panjang, ayahnya tidak pernah mahu berbual mesra dengan mereka berdua. Apa kes?
Huwaida masih dengan muka tidak puas hatinya ketika matanya menyorot langkah Humaira.
Memang hubungan mereka berdua dengan si ayah tidak mesra. Lelaki itu seperti ais bila bersama mereka. Tapi mahu pula dia tersenyum jika saudara tirinya Aifa yang berceloteh dengannya. Tidak adil betul!
Di dapur, di sebalik mengambil minuman, Humaira menukar fikiran lalu menghampiri jendela.Dia menyelak tabir ke tepi.Dirayapkan matanya. Terdapat sebuah rumah separuh batu di belakang rumah yang mereka diami itu.Mungkin juga atas tanah pemilik yang sama.Kerana jelas tidak ada pagar yang dijadikan sempadan memisahkan kedua-duanya.Dia memerhatikan dengan perasaan tertarik. Sudah lama dia tidak menyaksikan sesuatu berbentuk ala-tradisi seperti itu.
Siapa tinggal di situ? Macam rumah tinggal aje. Sepi macam tak ada orang, detak hatinya.
“Opocot!” Dia menampar dadanya terkejut bila kelibat perempuanyang bersantai di bagan tadi, kini tiba-tiba saja menghadang pandangannya. Dengan jantung berdegup kencang dia menjauhkan diri dari jendela.Dia segera kembali ke ruang tamu.
Entah-entah perempuan tu,jiran yang tinggal di rumah belakang tu tak? Gilalah aku ni. Apasal aku lari pulak? Gelengnya terasa bodoh tiba-tiba.. 

BAB 6 [ENAM]





DAH sejam lebih dok termenung macam tu!” gerutu Huwaida memerhatikan Humaira yang hanya termangu merenung komputernya yang ditempatkan di sudut ruang makan.

Bahagian itu jadi pilihan Humaira memandangkan ruangnya yang lebih luas. Cukup kondusif kerana berhampiran jendela dua panel menghadap landskap hadapan.Sebuah lagi jendela tiga panel terdapat di dinding sebelah kanan.

Potret ibu mereka, Zainon awal-awal lagi sudah dilekapkan ke dinding menghadap meja yang menempatkan set komputer tersebut. Di belakang Humaira, terdapat sebuah meja makan yang panjang. Meja itu asalnya diasak ke tepi dinding berhampiran jendela oleh pemilik asal. Tetapi sudah dialihkan semula ke tengah oleh Huwaida yang memang hobinya menyusun atur semula perabot rumah.Semua kerja dilakukannya sendiri. Huwaida memang lasak dan kalau tidak keterlaluan, memang boleh dikategorikan sebagai wanita perkasa.
“Tengok tu, langsung tak memandang keliling!” Humaira tidak menyedari perbuatan Huwaida yang sedang mengkritik aksinya.
“Penulis memang kuat berangan Nak ajak berborak pun payah. Bosan aku!” Huwaida mendengus.
 Humaira yang tidak sedar dirinya diperhatikan, terus termenung. Sedikit pun tidak berkalih. Tidak pasti ke mana fokusnya. Komputer? Komputer tersebut belum dipasang. Wayarnya masih bersanggitan.Atau Dr.. Damyral lagikah?
 Memang itulah yang sebenarnya. Dia sedang tenggelam dalam lautan khayal mengenang Dr.. Damyral. Balik-balik ingatan terhadap lelaki itu juga yang mengisi halaman memorinya.Dia tewas. Bahkan berasa aneh.Apa sebenarnya yang menimpa dirinya kini? Sungguh berbeza dengan sikap tidak endahnya dulu. Dulu perkataan ‘feveret’nya  menyentuh lelaki ialah, “Apa ada pada lelaki, lelaki boley blaah!” Termasuk Dr.. Damyrallah agaknya. Kononnya!
“Wei!” Huwaida memanggil tumpuan kembarnya itu dengan teriakan. Bila Humaira tidak terkesan, dia mengambil sebuah bantal Panda dan membaling tepat dikepala Humaira.
Humaira yang terhumban keluar daripada lamunannya menoleh terkejut. Terbata-bata dia.Kemudian, dia mendengus geram. “Aku ni dapat kembar jantan!” gerutu Humaira geram.
Huwaida pula terus menyambung leterannya. “Siap aje satu novel, cepat-cepat kau menyorok. Lari daripada boyfriend kau. Walhal, sebelumnya kau juga yang terhegeh-hegeh mencari calon Mr Love konon. Tapi bila kerja kau selesai, manuskrip dah dicetak jadi buku, senang-senang aje kau tinggalkan mereka.” Huwaida mencebik.
 Humaira menarik nafas yang terkepung. Dia menggaritkan sedikit hujung bibirnya. Kemudian kembali menghadap komputernya. Malas melayan.
“Mentang-mentang dah enam kali kau terlepas, kau buat lagi. Sekarang apa kes? Tengoklah sendiri apa kesudahan cinta ke tujuh kau, si Azril tu!Tengoklah bala yang terpaksa kita tanggung lepas kau tinggalkan dia. Kau dan aku-aku  sekali terpaksa cabut lari dan bersembunyi di tempat tersorok macam ni.Kesian anak-anak kat tadika aku tu!”
 Humaira menoleh dengan matanya mencerlung pada kembarnya. Berdesing juga telinganya ditegur Huwaida secara tidak berlapik seperti itu.Sentap!
“Kau ingat senang ke nak cari teacher sebaik aku?Tak ramai sanggup bimbing kanak-kanak nakal macam tu!”
Huwaida yang bertubuh besar memang gemar bermain dengan kanak-kanak.Tapi kanak-kanak itu juga tidak berani melawannya kerana aura yang ada padanya. Mereka patuh pada setiap arahannya. Mungkin juga takut.
“Kerana kau, hancur kerja aku!” bebel Huwaida lagi.
Dia tidak puas hati sebenarnya. Sejak berpindah ke situ, Humaira semakin kerap bermenung. Apahal dengan dirinya? Sudah tentulah dia rasa keseorangan. Sudahlah terpaksa berhenti kerja semata-mata kerana ‘gara-gara’yang dicetuskan oleh kembarnya yang cantik itu. Terpaksa pula bersembunyi hingga ke hujung negeri. Ironisnya, orang yang ditemani, syok sendiri. Sebilang waktu asyik melayan fikiran sendiri.
“Dahlah aku ni tak kenal satu orang pun kat sini.Kecuali taukeh  kedai runcit hujung kampung tu. Lepas tu, kalau nampak aku mulalah nak tersengih-sengih. Geli!”Humaira hanya mengetap bibir mendengar.
“Lepas ni kalau dia menggatal lagi, aku acu penumbuk femes aku ni ke muka dia.” Humaira tergeleng melihat Huwaida mengepal penumbuknya. Taukeh kedai mana pulak syokkan Huwaida ni...tersenyum dia.Ada-ada saja Aida ni!
“Tujuh novel kau Aira. Bermakna dah tujuh kali kau bercinta dan tujuh kali pula ‘kita’ jadi pelarian terpaksa pindah randah. Tak betul cara kau ni!”
Mendengar itu, Humaira perlahan-lahan memusingkan kerusinya 90darjah menghadap Huwaida. Namun fokus sebenarnya ialah ke garis infiniti. Ada elemen lain masih membesarkan sarangnya di minda novelis terlaris itu. Elemen yang berinitialkan huruf D. Dr.. Damyral!
“Berhentilah menghamun aku, Aida...fikiran aku tengah dibejat ni.” Akhirnya Humaira membalas.
Dia memusingkan kembali kerusinya lalu mula melekapkan plug wayar monitor ke CPU. Selesai, dia menggerak-gerakkan tetikus sambil menanti tindak balas kusor. Sengaja mengelak kerana enggan melayan bebelan Huwaida.
“Kau tau?Kataorang dulu-dulu,tujuh kali pindah ni, boleh jatuh papa kedana tau tak? Fikirlah Aira, sampai bila kau nak lari dari mangsa-mangsa kau tu? Minta maaf sajalah pada semua teman lelaki tu, senang cerita!” Huwaida mengangkat kening menanti respons Humaira. Akhirnya dia bersandar, bila Humaira tidak memberikan reaksi.
Dia tahu Humaira sengaja pura-pura menyibukkan diri memasang gajet yang sudah berusia lebih dua tahun itu. Macamlah dia tak kenal fi’il kembarnya itu.
“Bayar ganti rugi okey jugak. Tak payah kita nak lari lagi.Aku penatlah,” keluhnya lagi lalu menyengih memandang Humaira.Tiba-tiba  teruja dengan idea spontannya berkaitan royalti  itu. “Eh... royalti novel kau kan banyak, no problem kan kalau nak bayar ransum?”
Humaira tidak kuasa melayan.Dia pura-pura memberi konsentrasi pada komputer peribadi yang belum dipasang. Setelah seminggu baru hari ini alat telekomunikasi tersebut disentuhnya. Sebelumnya jika perlu menaip, dia akan beralih pada netbook dan ipadnya sahaja. Lebih mudah meskipun mata tak puas melihat.
Huwaida menipiskan bibir bila Humaira masih tidak berminat melayan ocehannya. Kasanova betina... cebik Huwaida geram
Sebenarnya, jauh dalam hati Humaira, dia mengakui kata-kata Huwaida itu betul. Dia sedar dia salah. Perbuatannya salah. Konsepnya juga salah!
Teguran Huwaida itu mengingatkannya pada Azril, bekas teman lelaki terbarunya. Juga yang ketujuh. Baru saja dia memutuskan hubungan mereka. Lelaki itulah punca dia mengheret kembarnya itu tinggal di kotej yang jadi kediaman mereka sekarang. Dia takut pada Azril!
Setelah MOU selesai ditandatangani, dia cepat-cepat mengucapkan ‘sayonara’ pada cinta ke tujuhnya itu.Kenapa dia berbuat begitu? Jawabnya mudah saja. Dia perlu tutup buku pada hubungan mereka. Itu mesti. Sejujurnya dia amat pantang jika teman lelakinya memaksa dia kahwin.
Azril, dan lima lagi yang lain memang tidak menyempat-nyempat mengajaknya kahwin. Dr.. Damyral tidak pula begitu. Mungkin tidak sempat sebenarnya. Atau lelaki itu memang mengambil masa yang lama hendak melamar teman wanitanya?
Kacau betul si Azril. Sibuk betul nak bernikah. Hati budi keluarganya pun aku belum tau... dengusnya sebal.
Azril dan Damyral...
 Seorang langit dan seorang bumi. Dia membandingkan kedua-duanya. Tanpa sedar,dia sedang memuji yang pertama. Itulah julung kalinya dia menghargai salah seorang daripada mereka. Kalau dulu mulutnya itu payah hendak memuji walaupun hanya salah seorang.
Aku ni sebenarnya kenapa?Gila talak ke aku ni dengan Damyral?Dia mengeluh lagi.
“Wei!” Sekali lagi suara nyaring Huwaida menghentam gegendang telinganya. Sambil menumbuk meja sisi dengan tangannya yang dikepal.
Lambat-lambat Humaira menoleh padanya. Akhirnya membalas dengan nadacukup hambar.“Kalau tak pindah ke sini, dan tak bergerak dari rumah sewa kita kat KL tu, kita dah mati!” Mudah-mudahan Huwaida berhenti dan tidak lagi mengganggu fokus menungannya. Tapi kata-katanya itu dibalas dengan tempelakan nyaring oleh Huwaida.
“Oi...tolong sikit. Yang mati bukan aku, tapi kau!Aku mana ada rekod, mana ada kes? Azril tu bekas pakwe kau bukan pakwe aku!” gunjingnya dengan suara melengking.
Humaira terkedu.Akhirnya tersengih  sumbing.Betul jugak, bisiknya. Yang bermasalah ialah aku, bukannya Aida.Itupun nasib baik dia nak ikut aku, simpati pula pada Huwaida yang kini terjebak dalam permasalahannya.
 Apapun, dia tahu tidak ke mananya kemarahan Huwaida itu.Tidak kira apa yang dia lakukan, adiknya itu tetap akan mengekor ke mana saja dia pergi. Pernahkah mereka berpisah? Sekali pun tidak!
 Dulu, sebaik meninggalkan rumah keluarga kerana bekerja, mereka berkongsi tempat tinggal yang sama. Mereka tidak pernah berjauhan antara satu sama lain. Tidak akan pernah. Huwaida dan Humaira ialah sepasang kembar yang tidak pernah terpisah.
Humaira melepaskan keluhannya. Jika dulu,dia sekadar berpindah rumah kerana hendak menyepi diri seketika daripada gangguan atau sebarang tindak balas teman lelakinya yang silih berganti itu.Kini,keadaannya lagi teruk. Dia terpaksa lari jauh-jauh. Bukan lagi berpindah
rumah tapi berpindah negeri terus. Semuanya gara-gara Azril yang tidak berhenti mengasak dan mendesaknya. Mencari dan memburunya tanpa jemu.
 Kenapa mereka semua tak seperti Dr.. Damyral? Keluhnya.Tanpa sedar dia memuji lagi lelaki itu.
 Lagi?
Memang aku dah sewel... bisiknya. Balik-balik aku teringatkan Damyral.Memuji Damyral! Kenapa asyik dia yang masuk ke kepala aku sekarang?Argh... lelaki ni memang pantang dibuat kawan, dalam otak kuning tu hanya ada satu saja, kahwin..kahwin!”
Kecuali Damyral, yang lain-lain tu tak menyempat-nyempat ajak aku kahwin. Siap ada yang nak kongsi akaun. Gila! Dia melepaskan gerutu di dada.
Apapun, teman lelakinya yang lain itu, tidaklah seobses Azril. Lelaki itu setiap hujung minggu mengadakan ‘roadblock’ di pintu pagarnya. Humaira dan Huwaida kecut- perut dek cemas dan takut. Hari Sabtu dengan Ahad tidak seorang pun di antara kembar itu yang berani keluar.Menyorok saja di dalam. Toyota Caldinanya diparkir di rumah kawan. Pura-pura, seolah-olah tiada siapa di rumah.
Kalau cool macam Dr. Damyral kan best?Humaira mengangkat kening. Aku minta putus dulu pun, sporting aje. Dia tersengih lagi bila ingatannya singgah pada bab Dr. Damyral.
Huwaida yang masih memerhatikannya, tergeleng. “Angau ke?” bisiknya memanah matanya pada Humaira.
“Wei... angau ke?” seru Huwaida dari ruang tamu yang terpisah dengan ruang makan oleh ‘bar counter’ itu.
Humaira spontan menoleh.
“Aku ni macam terkena sumpahanlah Aida. Kebelakangan ni, kepala aku asyik teringatkan‘ex’ pertama aku dulu. Aku termakan sumpah aku sendiri agaknya. Atau ini sumpahan Dewi Kuan Yin? Kau tau kan aku pernah terlafaz sumpah masa melepak di Tembok Besar Cina dengan ‘ex’pertama aku tu dulu?”
“Rafiq?” tanya Huwaida.
Humaira pernah berbohong yang teman lelaki pertamanya bernama Rafiq. Lantas dia terkedu mendengar nama itu disebut. Berjurus dia terkaku. Sudah empat tahun dia berbohong tentang itu.Bilalah dia mampu merungkainya dan mengambus dosa dustanya itu. Dia mengeluh. Huwaida tidak pernah membohonginya tentang satu apa jua. Dia cuma kasar, perengus tapi suka menolong. Tapi bukan pembohong.
“Mulalah merapu tu...tak ada maknanya terkena sumpah. Kau tu dah mula terima balasan dosa sebenarnya,” balas Huwaida selamba. Tetapi, tidak didengari Humaira yang kini berkerut-kerut keningnya mengimbas kenangan masa lalunya bersama Dr. Damyral.
 

BAB 7 [TUJUH]



 IMBAS KEMBALI 
Lokasi, Tembok Besar Badailing.


HARI  itu hari ke tujuh percutian Humaira. Keesokannya dia akan mengikut Dr.. Damyral melawat Masjid Nanguan. Hasil promosi lelaki itu juga. Sebetulnya, dia ingin melihat sendiri cara hidup dan budaya etnik Muslim Hui di Ningxia. Sesuatu yang mungkin bermanfaat untuk dirakamkan ke dalam novel sulongnya nanti.
Sebelum berangkat, mereka sekali lagi ke Tembok Besar. Sejak pertemuan kali pertama dulu, Dr.. Damyral belum pernah ponteng menemuinya setiap hari. Hari itu hari ketujuh. Sewaktu di tempat jualan tiket untuk ke Juyong Guan, berkali-kali Dr..Damyral bertanyakan lututnya. Bimbang betul dia, kalau-kalau Humaira tidak mampu bertahan dengan aktiviti yang memenatkan itu.
Humaira amat tersentuh. Terasa dirinya dimanja. Seronok pula bila ada yang ‘sangat caring’ di tempat asing seperti itu. Terkekeh-kekeh dia bila Dr.. Damyral pura-pura menuduhnya sengaja ke situ lagi kerana hendak merasai pengalaman didukung kali kedua.
Sewaktu mereka berada di pos penjagaan tembok besar itu, sesuatu terjadi. Terpempan Humaira dibuat dek Dr.. Damyral. Pengakuan berani mati lelaki itu!
“Samada awak percaya atau tak, saya dah jatuh cinta pada awak. Aira. Saya ni tak pandai putar belit. Apa lagi bermain dengan kata-kata. Saya memang sukakan awak. Awak ni betul-betul dah takluk hati saya.” Mata lelaki itu menikam tepat ke muka terkedu Humaira yang sebelum itu, sibuk tertinjau-tinjau melihat pemandangan dari pos di situ.
Tersentap Humaira dihadiahkan kejutan itu. Lama dia tergamam.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang sedang menanti reaksinya itu. Namun di sebalik semua itu,datang perasaan indah menyelit di celah-celah sanubari.
Inikah cinta? Menderu dan berulang-ulang soalan itu bermain di benaknya.Semerta dia teringatkan manuskripnya yang kaku seperti yang didakwa Huwaida. Kononnya, kisah cinta di dalamnya tidak hidup kerana  penulisnya sendiri tidak pernah bercinta. Tak ada feel! Sekarang inilah peluangnya!
Hmm... tiba-tiba dia berasa malu hendak membalas tatapan Dr.. Damyral yang asyik. Itulah pertama kali dia teruja bila seorang lelaki mengucapkan kata cinta di depannya. Dulu, dia cukup meluat jika dihadapkan dengan kalimah yang serupa oleh mana-mana lelaki yang meminatinya. Dengan kata mudah, dia ‘alergik’mendengar perkataan tersebut. Mungkin kerana itu dia tidak mahu mempunyai teman lelaki.
 Tapi kini? Apakah dia dan Dr.. Damyral memang ujud‘chemistry’ bila bersama? Secara saintifiknya, ‘love hormones’ seperti dopamine dan fenylethylamine akan terbit berganda bila berlakunya tindak balas kimia ini. Hormon adrenalin tiba-tiba meningkat, tinggi dari kadar biasa.
Argh... Mungkin juga dek pengaruh cuaca di tempat itu. Suasana petang di situ,  pada ketika itu dingin lagi romantis. Manakala penampilan hebat lelaki itu pula, memang jadi alat syaitan untuk menggoda mana-mana kaum Hawa sepertinya.
Sambil berpeluk tubuh melawan udara sejuk yang tembus ke dalam bajunya itu,dia memaksa diri untuk membalas.
“Saya juga tak pernah bercinta. Tak sedalam mana pun pengetahuan saya tentang cinta. Tapi... saya akui, saya senang bila dekat dengan awak. Mungkin dalam sedar tak sedar saya juga sukakan awak.” Aduh... lancarnya. Gila! Patut ke sorang Hawa semudah itu mengaku akan perasaannya secara berdepan seperti itu?
Atau mungkinkah kerana mindanya asyik terkenangkan manuskrip novelnya yang belum siap? Dengan apa yang berlaku sekarang, rasa-rasanya beberapa bahagian plot kini sudah boleh diubah suai. Ada elemen syahdu perlu disuntik ke dalamnya. Sudah mampu diberi sentuhan cinta.Pastinya adegan-adegan yang digambarkan dengan ‘feeling’ nanti, mampu saja meruntun hati yang menghayatinya. Bak kata seorang wartawan teman baiknya Nik Fauziah Nik Hussein, ‘menulislah dari hati, kerana ia akan menyentuh hati-hati yang lain.’ Kini hatinya sedang diintai rasa cinta.
Dia tergelak sendiri memikirkan manuskripnya yang tergendala itu. Membuatkan Dr.. Damyral terjongket keningnya kerana tercengang.
“Kenapa gelak pelik macam tu?Awak anggap lucu ke semua ni?” Perlahan dia menyoal, bingung.Aneh juga, bukankah tadi gadis itu mengaku turut sukakannya?
Opss... Humaira menekup mulut. Aduh... dia lupa saat itu dia sedang berdepan dengan Dr.. Damyral. Mudah betul otaknya dilarikan sebaik-baik teringatkan manuskripnya. Memang seorang penulis boleh berada dalam dua tiga lokasi dalam satu masa! Yang jelas, perasaan enak itu sudah mulai bertakhta. Hatinya kini terbelah dua. Satu untuk Dr.. Damyral dan satu lagi untuk manuskripnya. Dia menggigit bibir mengawal senyum.
“Saya... saya memang akan terlepas gelak macam tu, bila hilang modal nak berkata-kata. Tapi betul Damyral. Saya ikhlas sukakan awak,” katanya hendak mengambus segera aksinya yang membingungkan doktor itu.
“Jadi tidak salah kan kalau kita mencuba. Maksud saya meneruskan hubungan ini? Saya sukakan awak dan awak pula sukakan saya juga. Buktinya,sedar tak sedar, sejak kita tiba di pos ini, saya tak dengar pun awak mengeluh sakit. Dengan lutut awak yang masih berbalut tu,” usik Dr.. Damyral.
Senyuman yang bermain di bibir Humaira mengelopak indah. Hanya sebentar, kerana tidak lama kemudian dia mula mengaduh. Dia bukan berpura-pura. Memang benar lututnya berdenyut-denyut sakit. Pelik juga kerana tadi langsung tidak terasa sakitnya. Atau memang benar bahawa mekanisme pertahanan tubuh kita ada waktu-waktunya mampu dikawal secara psikologi.
“Kenapa awak ingatkan tentang luka saya ni? Petang nanti kita dah nak bertolak ke Yingchuan!” keluhnya memikirkan program yang tidak termasuk dalam itenerari asalnya. Rupa-rupanya perasaan ‘istimewa’ itu mampu meluputkan kesakitan. Humaira ketawa dalam hati. Dia menggigit bibir sambil menaikkan keningnya. Membuatkan sepasang matanya kelihatan bundar.
Dr.. Damyral hanya merenung ulang tayang aksi yang pernah dilihatnya lebih dua puluh tahun yang lalu.Kini, kanak-kanak comel yang suka bermain biji saga itu sedang tercegat di depannya. Sudah melepasi tahap remaja. Manakala parasnya sungguh menawan! Dia menarik nafas mengagumi.
“Tak mengapa. Awak kan ada doktor yang menemankan percutian awak?” Sengihan Humaira semerta berganti dengan kerut-kerut hairan di dahinya.
“Sabtu lepas, awak kata awak ni doktor haiwan!” Dia mengingatkan.
Dr.. Damyral hanya  tertawa mendengarnya. “Saya bergurau hari tu..” jelasnya menutup dusta beberapa hari sudah.
“Jahat!” ucap Humaira. Apapun, muka berkerut Humaira kembali jernih. Dia tersengih semula.
“Aira, tentang perasaan awak tu. Saya harap awak tak bohong bila mengaku awak sukakan saya. Saya paling benci jika orang bersimpati pada saya. Setengah perempuan memang mudah simpati pada lelaki yang merayu cinta mereka. Lepas tu menyesal pula bila dah terlambat. Saya tak nak awak menyesal. Dan saya sendiri  tak mahu kecewa. Awaklah gadis pertama yang saya cintai.”
“Berbohong tu bukan saya orangnya.” Dengan cepat Humaira memintas.
Ada suatu rasa yang menyesak di dadanya bila mendengar pengakuan cinta yang diulang-ulang itu.Tapi, dia mahu Dr.. Damyral tahu yang dia benar-benar sukakan lelaki itu. Dalam pada itu,gambaran manuskripnya berulang-ulang menyerbu ke dalam kepala. Dia mengetap kuat bibirnya bila keyakinannya mulai goyah dan keliru. Dr.. Damyral memerhatikan.
Humaira melawak cuba meyakinkannya. “Dengan lelaki macam awak, takkan saya nak menyesal? Rugilah!” Kemudian dia benar-benar menyesal setelah mengungkapkannya. Aku ni  macam perempuan gedik... ralatnya dalam hati.
“Ada perempuan mudah menyambut cinta lelaki. Ada juga yang pasang ‘spare’ dua tiga. Terutama yang ada rupa dan ada gaya.” Dr.. Damyral berandaian.
“Saya ni ada gaya dan ada rupa  ke?” Humaira memotong. Aik... macam perasan pula aku ni. Akhirnya tersengih dan tersipu-sipu dia.
Dr.. Damyral menjongketkan keningnya. “Awak nakkan pujian dari saya ke?” Gilirannya mengusik.
Humaira menghela nafas bengang. Mulut aku memang tak ada insuran, dengusnya dalam hati.
“Aira,.. memang awak ni penuh gaya. Awak juga sangat mencuit hati saya dengan sikap selamba awak tu. Saya... saya selesa dengan cara awak tu.” Dr.. Damyral kemudian kembali berserius. “Tapi,  ikhlas ke awak  dengan perasaan awak tu?”
Humaira spontan mengangguk.
“Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi. Bahawa saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan itu. Ditakdirkan suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi. Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Humaira bergurau dalam serius.
Dr.. Damyral mengangkat tangan berisyarat. “Jangan bersumpah. Tempat ni bukannya baik untuk melafaz ikrar macam tu.Kita ni sedang berdiri atas makam ratusan ribu jiwa yang terkorban ketika membina tembok ni dulu.” Dia mengingatkan.
Seriau pula tengkuk Humaira diingatkan tentang itu. Akhirnya dia tergelak malu-malu. “Betul Damyral. Saya memang sukakan awak. Kenapa pula saya mesti tipu.” Humaira memberanikan diri berterus terang. Dia mahu lelaki itu yakin dengan kata-katanya.
 Dr.. Damyral membawa Humaira ke gerai tempat menyewa kostum tradisi. Mengekeh Humaira melihat Dr.. Damyral dalam pakaian Pahlawan Maharaja Cina. Hatinya memuji-muji kekacakan lelaki itu.
“Habis lari ‘concubine’ Ming Emperor kalau awak yang jadi pahlawan masa tu,” selorohnya.
Akhirnya, dia aku tinggalkan. Aku tinggalkan dia tanpa sebarang alasan yang munasabah. Hanya kerana takut kalau dia desak aku kahwin.Kerana apa?Kerana aku sangat takut terikat!” keluhnya rawan. Menyesali tindakannya.
 Sepanjang  tempoh dia bercinta dengan Dr.. Damyral, belum pernah sekali pun lelaki itu membebel soal kahwin.Bukan seperti yang lain-lain.Selepas Dr. Damyral, Humaira mencipta hubungan demi hubungan sehinggalah tiba giliran Azril. Konon dia terpaksa.Kalau tidak,dia tidak ada‘feel’ untuk menulis manuskripnya. Sedangkan dia beranggapan, terlalu banyak yang hendak disampaikannya pada pembaca, Terlalu banyak!
Sesekali timbul juga rasa sesal itu.  Dia tahu dia berdosa.Berdosa mempermainkan perasaan orang lain.Tapi salah mereka juga.Mereka lelaki, sepatutnya lebih gagah melawan perasaan... getus hatinya pula tidak mahu meletakkan 100% kesalahan di pundaknya saja.  Dia menghapus kenangan lalu bersama Dr. Damyral. Kini memikirkan pula novel-novel yang sudah berjaya dihasilkannya.



BAB 8 [LAPAN]
     

ENAM buah novelnya cukup laris hingga dicop ‘Best Seller!’ pada kulit depannya. Yang terkini, manuskrip ketujuh dalam proses untuk diterbitkan. Bermakna sudah tujuh novel yang telah dihasilkan.
 Bererti juga, sudah tujuh kali dia menamatkan episod cintanya. Tapi yang hendak diperkatakan ialah novel-novelnya yang laku keras. Ramai yang bertanya, apakah formula yang digunakannya hingga menjadikan novel-novel ini laris di pasaran macam keropok lekor.
Sungguh dia  ialah  Novelis Ruhi Hasrat yang sangat digilai. Dia sendiri gagal menganalisis keadaan itu sepenuhnya.Yang dia tahu,formula kejayaannya ialah  meletakkan sepenuh jiwa pada manuskripnya. Padanya ‘realiti’  pengalaman cinta itu perlu supaya boleh diterjemahkan perasaan itu ke dalam setiap baris ayat yang ditulisnya hingga menjadi sebuah novel. Dia bahkan  ikut tertawa dan menangis bersama watak-watak dalam novelnya.
Dia cuba merangsang elemen romantis ke dalam dirinya yang dingin terhadap lelaki. Sikap dinginnya itu terusir sedikit ketika  bersama Dr.. Damyral dulu. Namun yang aneh, sikap dingin dan egoisnya itu kembali menjadi trait personalitinya bila berada di samping ke enam-enam yang lain itu. Apapun, dia tetap memanfaatkan setiap pengalaman yang dilaluinya.
Satu lagi sisi Damyral yang aku tak perasan. Dia buat aku gembira dan bahagia bila di sampingnya. Lalu atas alasan gila apa aku putuskan hubungan kami dulu? Terasa kesal…
Dari kecil dia memang kaku kalau berdepan kaum lelaki. Semua itu impak zaman kanak-kanak yang celaru. Dia tidak mendapat kasih sayang daripada ayahnya. Ayahnya terlalu fokus pada anak dengan bekas isteri pertama. Apapun, dia tetap sayangkan si tiri yang bernama Huwaifa itu. Mereka ditakdirkan seusia, lahir  pula pada minggu yang sama.
“Tapi Aifa tu baik. Takada sebab aku nak bermusuh dengannya biarpun dia lebih disayangi ayah...” bisik akalnya yang rasional. “Cuma Aida harus terima bila  Aifa  kurang menyukainya. Ganas sangat…” getusnya.
Sikap ayahnya yang berat sebelah itu membuat dia dan Huwaida rasa tersisih. Lalu terbina persepsi kurang enak tentang kaum Adam. Padanya, kaum lelaki amat menjengkelkan. Sama saja dengan ayah mereka. Natijahnya, dia turut gagal memupuk hubungan baik dengan guru-guru lelaki di sekolah. Malah, sangat ‘anti’ dengan mereka. Huwaida tidak pula begitu.Samada kerana dia lebih fleksibel, atau kerana dia memang tidak banyak bergaul. Atau sebenarnya kerana dia  jarang dirapati lelaki.
Humaira teringatkan perkenalannya dengan Amir Rizal. Ketua pelajar di sekolahnya dulu. Hubungan itu tidak lama kerana berpunca daripada sikap pongahnya. Dia rimas bila teman lelakinya itu tidak henti mengutus surat cinta. Bukankah setiap hari mereka terserempak di sekolah? Perlukah surat-menyurat segala?
 Kerana asyik ditempelak, Amir Rizal ambil keputusan meninggalkannya. Tidak jadi masalah buat Humaira. Bukannya dia cinta pun. Semua gara-gara hendak lari daripada tindakan disiplin. Humaira suka tuang latihan rumah. Amir Rizal pula merupakan Kapten Rumah Merah. Memang kes disiplin tidak pernah lekat!
 Bermula peristiwa itu, dia tidak lagi cenderung hendak menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki. Sehinggalah sembilan tahun kemudian bila dia berjinak-jinak menulis novel. Keterujaan menulis itu lahir setelah membaca sebuah novel, “Kuala Lumpur Di Mana Suamiku.”Bertolak dari situ, cita-citanya hendak menulis novel sentiasa membara.
 Pekerjaannya sebagai setiausaha agak merimaskan. Apalagi bila wajah cantiknya itu sentiasa jadi buruan majikan dan kakitangan lelaki di pejabatnya. Senario klise  itulah yang merangsangnya menulis bila berada di rumah. Jalan cerita melimpah ruah dalam kepala.Tapi kenapa manuskripnya seperti tidak hidup bila idea-ideanya itu digarap?
Kreativitinya terbejat dalam konteks menghidupkan ceritanya. Kata kembarnya Huwaida yang jadi pengedit tidak rasminya, ceritanya kaku! Kaku lagi  beku. Cerita hebatnya gagal meruntun perasaan pembaca. Jalan cerita menarik.Tapi tidak ada X-faktor. Kononnya! Humaira memutuskan untuk mempraktikkan teori yang bersarang dalam kepalanya saat itu.
 Dia perlu bercinta! Dia perlu melalui sendiri pengalaman bercinta. Mungkin sesudah itu, barulah dia mampu menjiwai tulisannya. Atau menyuntik elemen X-faktor yang dikatakan Huwaida itu. Dia percaya kaedah itu yang paling praktikal dan dijamin berkesan! Lantaran itu, dia memulakan percutian kedua di Beijing sebagai resolusinya.
 Huwala! Kota majestik itu berjaya menemukannya dengan cinta pertamanya.Dialah Dr.. Damyral. Hero pertama novelnya!
Satu cinta untuk satu novel! Setiap novel yang dihasilkannya pasti ‘tangkap leleh’ Novel pertamanya, Akukah Yang Berdusta membuatkan dirinya dibayar royalti lebih seratus ribu ringgit!
Novel keduanya, Landasan Terakhir Cinta lebih hebat kerana diulang cetak lebih sepuluh kali. Tetapi sebaik-baik Landasan Terakhir Cinta terbit, berakhirlah juga hubungannya dengan seorang Pensyarah di UM, Amirul Ansari.
 Untuk novel ketiga “It’s Complicated.” Dia terjebak dengan seorang arkitek muda Kamal Asfahan yang turut berada dalam pesawat yang dinaikinya bersama Huwaida ketika penerbangan mereka kePhuket. Itu cinta ketiganya.
Ada empat lagi episode cintanya sesudah itu.
“Oi... lamanya berangan!” Humaira terhumban keluar dari lamunannya bila dijerkah lagi dengan kasar oleh Huwaida.  Diamenoleh. Huwaida membuat mimik mengejek sambil memandangnya.
“Yang mana satu menyemak dalam kepala otak kau sekarang? Yang pertama? Kedua?” Huwaida mengejek. “Atau tengah menyesal kerana meninggalkan mereka semua tu? Maklumlah orang ramai peminat. Satu pergi, gerenti sepuluh mari!” sindir Huwaida.
“Aku tak sedih bila putus hubungan dengan mereka, Aida. Tapi yang peliknya sekarang aku mula berasa amat sedih kerana meninggalkan lelaki pertama yang aku jatuh cinta dulu...” akuinya tanpa berselindung.
“Oh... yang kau jumpa di Beijing tu?”
Humaira mengangguk sedih.
“Aku rasa, perasaan aku sebenarnya ikhlas menyayanginya. Baru kini aku terasa.” Huwaida memuncungkan bibir.
“Cinta pertama memang istimewa sikit. Payah nak lupa.” Humaira mengangguk mengiakan kata-kata Huwaida.
  Peristiwa dia memutuskan hubungan dengan Dr.. Damyral dulu kembali menggempur ingatan.Dia memasuki alam lamunannya sekali lagi.
BAB 9 [SEMBILAN]

Imbas kembali bersama Dr. Damyral. Lokasi Jambatan Sri Gemilang....


Babak-babak dia menoktahkan hubungan cinta dengan Dr.. Damyral kembali mengopak pintu ingatan. Mereka memilih lokasi pertemuan di Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya. Jambatan yang rekabentuknya seakan-akan sebuah jambatan yang terdapat di Paris. Sebenarnya rumah Dr. Damyral tidak berapa  jauh dari lokasi itu.
Bunyi hentakan sepatu kian lama kian hampir.  .Humaira yang sudah lama gugup, cemas berpaling menanti lelaki yang sedang mara ke arahnya itu. Getar di hatinya hanya TUHAN saja yang tahu. Dari jauh, senyum sudah terukir di bibir lelaki tampan itu. Humaira serba salah. Sekejap-sekejap diketap bibirnya. Hembusan nafasnya sudah tidak sekata.
“Tak menyempat-nyempat nak berjumpa. Saya sepatutnya on call ni. Mujur Dr.. Hillman Aman mahu menggantikan.” Itu kata-kata pertama yang terluah dari bibir Dr.. Damyral setelah berjurus lamanya mereka hanya bertentang mata dalam diam. Dia belum tahu tujuan Humaira mengajaknya berjumpa.
Kasihan!
Berat hati Humaira hendak melontarkan apa yang terpendam di hatinya. Berjurus lamanya dia hanya terkebil-kebil. Teragak-agak hendak menyampaikan. Bagaimanakah reaksi Dr.. Damyral menerima keputusannya itu nanti? Dia semakin berdebar-debar.
“Kenapa membisu ni, sayang?” Dr.. Damyral mula terasa kelainan itu. Wajah Humaira amat serius. Bagaikan memendam sesuatu yang amat berat.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil saya sayang. Seriaulah... Tegak bulu roma saya mendengarnya,” pinta Humaira yang berasa canggung dengan keadaan itu.
Dr.. Damyral tergelak. “Awak lupa ke yang awak juga suka panggil saya begitu?” Dia mengingatkan.
Terkemap sesaat Humaira dibuatnya. Cakap-cakap Dr.. Damyral itu memang betul. Argh... payah!
“Beritau sajalah. Awak ada masalah ke? Come on Aira, luahkan!” ungkap Dr.. Damyral yang menyangka Humaira mungkin perlukan stimulan ataupun motivasi untuk berhadapan dengan masalah yang sukar. Meskipun dia sebenarnya sudah mula tercium sesuatu yang kurang enak akan berlaku. Sixth sense yang dimiliki seorang perawat profesional.
Humaira cuba fokus. Sepasang mata beralis lentik itu ditenungnya tepat-tepat. Sambil menarik nafas sedalam-dalamnya, dia melepaskan apa yang sejak tadi dikemam lidahnya kerana tidak tergamak.
“Damyral... awak ni sporting tak?” tanya Humaira yang sudah terus  dicengkam rasa bersalah.
“Selalunya begitulah. Tapi kenapa?” soalnya terasa kelainan suasana.
“Begini. Entah kenapa, saya baru sedar yang saya hanya sukakan awak. Tapi, untuk menyatakan yang perasaan itu  adalah cinta, ia agak  ironi. Awak rasa,, kita ni terburu-buru sangat tak?”
Humaira agak panik menanti reaksi pakar kesihatan di depannya itu. Namun dia lega kini  kerana sudah berjaya melepasi fasa tersebut. Meskipun bergemuruh dadanya.
Dr.. Damyral hilang kata-kata. Terasa seolah-olah jambatan itu mulai runtuh lalu  perlahan-lahan menghempap sekujur tubuhnya. Nafasnya bagaikan menyumbat dan terkumpul di rengkung. Senyuman yang menghiasi bibirnya tadi hilang terus. Namun dia gagah mengawal amukan perasaannya. Suaranya digumam. Gagal terluah. Tidak disangka khabar ngeri itu yang hendak disampaikan Humaira!
“Kita sepatutnya berkawan saja. Terserah kalau akhirnya berkesudahan dengan cinta ataupun tidak. Takdir tak terlawan kan? Tapi...” Humaira dengan segala susah payah  mengangkat dagu memandang Dr.. Damyral.
“Tapi... setakat ini, apa yang saya rasa bukanlah cinta. Mungkin saya gembira berkawan dengan awak. Ya…itu saja. Saya yakin sekarang, apa yang saya rasakan itu bukannya cinta.” Humaira menarik nafas lega usai saja meluahkan segala  isi hatinya.
Dr.. Damyral terus kaku. Paras lela di depannya itu ditenungnya semacam. Hati di dalam argh... alangkah hibanya!
 Dia memerhatikan bibir yang bergerak-gerak meluncurkan ratusan perkataan berbisa yang tidak lagi mampu ditampung deria dengarnya itu.
Bukankah di Beijing dulu dia pernah bertanya samada Humaira benar-benar sukakannya atau sekadar bersimpati? Dia mahukan satu kepastian. Kerana bila bercinta dia tidak olok-olok! Dia bertanya kerana mahu mengelak dirempuh tragedi yang mampu meragut bahagia seperti apa yang menimpa dia sekarang ini. Ketika di Beijing dulu, Humaira tika itu dengan lantang mengakui tentang perasaannya tanpa sebarang rasa sangsi.
Kata-kata bersumpah Humaira dulu kembali tengiang-ngiang. “Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi. Bahawa saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan tu. Ditakdirkan suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi. Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Gadis itu dengan beraninya bersumpah yang dia memang menyukainya.
Kenapa harus menukar prinsip semudah itu? Sekarang siapa yang meninggalkan siapa? Akhirnya sambil memaksa dirinya bertenang, Dr.. Damyral membalas ungkapan Humaira dengan sebuah senyuman pura-pura. Berombak dadanya bergelut dengan nafas yang menyesak dan mengempang.
“Saya juga pernah terfikir ke situ. Tetapi serba salah hendak mengakui kebenaran itu. Nampaknya perkara sudah jadi mudah sekarang. Betul tak?” balasnya tanpa membuang senyum. Dapat didengar suaranya bergumam sebak. Telinga Humaira saja yang tumpul untuk mengesan semua itu.
Mendengar itu Humaira tergelak-gelak kecil.
Relif!
Kalaulah Humaira benar-benar menatap anak mata lelaki itu. Atau merenungnya dalam-dalam. Akan nampaklah betapa di situ terpahat berjuta kesedihan. Cuma dia lelaki. Lalu dia mengawal kukuh benteng air matanya.  
Dia benar-benar cintakan Humaira.
“Jadi, no hard feeling ya. Kita berpisah secara baik?”
Dr.. Damyral mengangguk.Masih belum lekang senyum yang dipaksakan di bibirnya. Meskipun kalbunya bagaikan disiat-siat.
“Ya... kita berpisah secara baik. Kerana awak yang mahukannya begitu.” Dia mengiaskan perasaan halusnya.
Sungguh ia bahasa tersirat yang gagal ditangkap Humaira. Ditatap oleh Dr Damyral  puas-puas  akan wajah indah yang sudah lama bersemi di halaman cintanya itu. “Aira...”
Humaira yang baru hendak melangkah menuju ke tempat parkir tertegun. Pantas dia berpaling menghadap Dr.. Damyral yang tegak menanti.
“Jangan pernah menyesal dengan perpisahan ini. Mungkin ini yang terbaik. Jalanilah hidup seperti biasa. Saya tak apa-apa. Hidup ini umpama roda pedati. Oleh itu sentiasalah bersedia. Ingat tu!”
Humaira berasa aneh dengan pesanan terakhir lelakinya itu. Namun, dia tetap mengangguk sebagai ganti ucapan terima kasih.
Ditatap lagi oleh Dr.. Damyral sepuas-puasnya akan wajah yang bakal meninggalkannya itu. Apabila yakin Humaira tidak akan menoleh lagi, dia membiarkan air matanya gugur beberapa titis.
Humaira meninggalkan tempat pertemuan itu dengan perasaan yang cukup lega. Tapi tahukah dia apa yang sudah dilakukannya pada lelaki yang benar-benar ikhlas mencintainya itu? Kasihan Dr.. Damyral... Kakinya seolah-olah tidak berjejak lagi pada lantai jambatan.
“Aku benar-benar mencintaimu...” lafaz Dr.. Damyral amat sedih.
Sambil pandangan sayunya merenung Toyota Caldina hitam yang sudah mula bergerak meninggalkannya untuk ghaib buat selama-lamanya itu.
“Seperti dia yang telah pergi, aku juga harus pergi dari sini. Aku akan pergi jauh. Jauh sekali. Kau takkan jumpa aku lagi Aira. Tak sanggup aku terserempak denganmu sekali lagi. Hatta untuk melihat tempat di mana pernah ada bekas tapak kakimu,” raung batinnya yang tersangat hiba. Hatinya sungguh luka. Amat luka.
Humaira takut untuk terikat lama pada satu-satu hubungan. Dirinya yang tidak suka dikongkong, akan terlonta-lonta mencari eskapisme. Dia takut berkahwin. Tambahan pula bila sang kekasih mula memantak isu hantaran dan perkahwinan ke telinganya.
Aku takut diserang  trauma... bisiknya.
 Bagaimana kalau lelaki itu juga sama saja seperti ayah? Hanya sayangkan anak isteri pertama? Manakala anak-anak dengan isteri kedua pula ditiri-tirikan.  Ah tak sanggup aku!  Dia menghempas nafas.
Memikirkan risiko dijebak oleh lelaki seperti ayahnyalah, maka dia mencari cara terbaik untuk segera mengucapkan salam perpisahan. Lagipun, bukunya sudah hampir hendak terbit. Apa lagi?
      ‘Mission accomplished!’