Assalam. pada penghujung musim dingin yang lalu saya telah ke Beijing untuk mengutip LATAR BELAKANG cerita tentang seorang gadis bernama Humaira yang bercita-cita hendak menjadi Novelist Best Seller dan menukar namanya menjadi RUHI HASRAT. Jadi...Mulai Minggu depan saya akan update setiap minggu, novel terbaharu saya KUINGIN CINTAMU. SUDAHPUN ada di kedai-kedai buku utama di seluruh negara. Siapa yg tidak memilikinya boleh membacanya secara percuma di sini. Assalam. Pertembungan hero dan heroin di suatu tempat percutian membenihkan rasa cinta namun mengundang tragedi yang bukan kecil dalam hidup mereka. Pertemuan pertama di Tembok Besar Badaling berakhir dengan pelbagai konflik di antara dia dengan temanlelakinya dan juga kembarnya sendiri Huwaida
Prolog
FAKRUL
RAZI berpeluk tubuh. Matanya menilik sudut pagar yang sudah siap. Bibirnya menguntum senyum
penuh makna. Lutfi, kontraktor Melayu yang sebaya usia dengannya itu pula
kelihatan terangguk-angguk melayan sambil memerhati beberapa orang pekerja Indonesia yang sedang tekun bekerja.
“Cuaca panas kat Perlis sekarang ni Razi. InsyaALLAH
boleh siap cepat. Jangan risau.” Lutfi cuba meyakinkan. Sangkanya jiran sekampungnya dulu itu mahukan pagar konkrit dengan rekabentuk Tembok
Besar China itu disiapkan segera.
“Tak
perlu tergesa-gesa. Belum masanya anak-anak aku tinggal di kotej ni. Aku mahu pagar
konkrit yang mengelilingi kotej ini nampak macam replika Tembok Besar China,
tempat dia mula-mula bertemu Dr.. Damyral. Satu-satunya doktor di kampung kita
ni dulu. Aku mahu kisah cinta mereka hidup semula.”
Lamunan
Fakrul Razi mati bila matanya hinggap pada kelibat seorang wanita yang sedang
mengintainya di dinding sebelah kanan kotej tersebut.
“Abang
pulang...” Wanita itu merintih dengan suara sendu. Cepat-cepat Fakhrul Razi
beredar meninggalkan tempat itu.
“Perempuan
gila!” dengusnya melajukan keretanya meninggalkan lokasi.
“Aku
Sya, bang. Aku masih hidup...Yang mati 23 tahun dulu Munirah, bukannya Sya...”
rintih perempuan itu lagi, merenung sayu ke arah kereta yang sudah semakin
jauh.
BAB 1 |
KIAN
hampir mereka dengan kotej yang tertera alamatnya pada sekeping kertas, kian
besar mata Humaira terbeliak. Pandangannya dan Huwaida diterkam oleh
pemandangan rekabentuk pagar yang mengelilingi kediaman unik tersebut.
Humaira
ternganga. Tidak sedar yang dia sedang memandu ketika itu. “Eh, sama macam tembok di Badaling!”
serunya terkejut besar. Perasaan kaget bercampur hairan. Dia tertoleh-toleh
pada Huwaida yang duduk di sebelah.
“Ya, ya, memang sama!” balas Huwaida.Mukanya juga
berkerut hairan. “Tapi mata kau tu,tolong tengok pada pintu pagar tu. Jangan
sampai temboknya pula yang kau langgar.Jahanam Nissan Almera baru kau ni
nanti!” Amaran Huwaida.
Huwaida
juga seperti Humaira.Terpegun melihat pagar
bertembok yang sungguh unik itu. Rasanya belum ada sesiapa pun yang membina
pagar dengan bentuk seperti itu. Tidak pernah dibuat orang.Kalaulah dia tahu
idea siapa.
Humaira
memandu keretanya berhati-hati memasuki perkarangan rumah baru mereka itu.
Sebuah kediaman ala kotej yang terletak di Kampung Rantau. Sebuah daerah
terpencil di utara Perlis. Hanya beberapa kilometer saja dari Wang Kelian.
Umum
mengetahui, dari Wang Kelian hanya selempar batu sahaja jika hendak ke Wang
Prachan disebelah Thailand. Wang Kelian ialah tempat asal Syahirah, ibu mereka.
Wanita yang tidak pernah dikenali Humaira mahupun Huwaida. Satu fakta yang
terpadam daripada sejarah hidup mereka. Wanita yang disangka ayahnya Fakrul
Razi , sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah juga yang disangka oleh semua
orang kampung.
Humaira
terus kaget. Gagal mengawal matanya yang asyik merenung pagar unik itu.
“Aku rasa, kat sini kau boleh tulis novel kau yang
kelapan dengan rileks. Tak perlu bercinta lagi. Konon, kalau tak bercinta tak
ada ‘feel’ menulis. Tak ada cinta,
tak ada novel.Enam novel enam kali bercinta. Tujuh novel tujuh kali bercinta.
Huh!” Huwaida sempat menyindir sewaktu turun dari kereta.
Mengejek sikap kembarnya, Humaira yang gemar memulakan
‘cinta baharu’ setiap kali melancarkan manuskrip terbaharunya.
Rasa-rasanya,
selain Humaira, belum ada penulis lain yang berfitrah sedemikian. Bukan saja
perbuatannya itu menjengkelkan Huwaida, tetapi mengundang musibah dan bala yang
tidak henti-henti. Antara bencana tersebut ialah mereka berdua terpaksa cabut
hingga ke Perlis itu untuk menyorok daripada buruan bekas teman lelaki terkini Humaira
iaitu Azril.
Humaira
bagai tidak mendengar celoteh itu. Matanya terkedip-kedip membelek pagar yang
melingkari kotej tersebut. Terasa seolah-olah dia dikelilingi Tembok Besar
Cina. Ada perasaan rindu mengacahnya bila matanya hinggap pada replika unik
itu. Rindu pada teman lelaki pertamanya, Dr.. Damyral.
Tercapai sudah objektif Fakrul Razi ayahnya, membina tembok pagar sekeliling kotej tersebut
untuk membenihkan semula cinta yang pernah berputik di antara Humaira dan Dr..
Damyral.
“Aku terkenang dia. Dia yang kutemui di Tembok Besar
China dulu,” bisik Humaira melayan kenangan penuh nostalgia itu sambil matanya
melihat sekeliling. Angin petang sedang berhembus nyaman.Seolah-olah turut membantunya
mengimbau sejarah pertemuan yang sungguh nostalgik itu.
“Indah
betul memori aku dengan dia. Aku boleh lupakan yang lain-lain tu, tapi bukan
dia. Damyral lain. Dia tak seperti teman lelaki aku yang lain. Yang enam orang
tu. Aku tak mampu usir Damyral dari ingatan aku.”
Huwaida
menepuk belakangnya kuat bila terdengar ocehan kembarnya itu. Berdebuk
bunyinya.
“Itu
ayat dalam novel baru ke,atau kau maksudkan teman lelaki kau yang berderet tu?”
Huwaida mengejek.
Humaira
menggeliatkan bahunya. Terasa sengal bahunya ditepuk sekuat itu oleh Huwaida
yang memang kasar orangnya. Kasar dan perengus. Dia tidak melayan ejekan
kembarnya itu. Sebaliknya leka menggambarkan wajah teman lelaki pertamanya itu.
Melihat
Humaira yang sedang berkhayal, Huwaida membuka cerita lain sambil menyigung
rusuk kembarnya. Humaira yang terasa sakit, beranjak sedikit untuk mengelak disigung kali kedua.
“Aku
agaklah, tuan rumah ni pernah ke Beijing.Kemudian jatuh hati pada Tembok Besar
tu. Macam kau dulu? Seronok dan terkinja-kinja macam monyet bila mendaki
tangga-tangga curam tu. Jadi, untuk melepas gian kerana dah tak dapat ke sana
lagi, jadi dia buatlah replika ni supaya dapat lepaskan rasa giannya tu.” Huwaida
mengekeh sambil melakar teorinya.
Humaira
tidak melayannya. Geram pun ada kerana sakit rusuknya disigung kuat oleh
Huwaida tadi.Ditinggalkannya Huwaida lalu beranjak ke satu sudut lain.
Dipandangnya dengan mata tertarik pada dua batang pokok cermai yang berbuah
agak lebat.
“Rasa
macam aku pernah tercegat di sini... tapi bila? Pelik! Setahu aku, inilah kali pertama
aku dan Aida masuk ke Perlis ni...” gelengnya bingung.Tiba-tiba, dia merasakan seolah-olah
dia pernah berdiri di bawah dua batang pokok itu. Tapi bila? Separuh tenganga
dia memerhatikan dua pohon yang melarik ingatan samar-samar itu. Dia keliru.
“Oi..
Penulis memang macam ni ke?Sampai aje ilham... satu apa pun kau dah tak nampak
lagi!” Huwaida geram.
Imbas kembali bersama Dr. Damyral. Lokasi Jambatan Sri Gemilang....
BAB DUA [2]
DUA minggu sudah berlalu. Kini,
Humaira sedang berdiri di jendela kediaman tersebut. Pandangan dilempar ke
luar. Mata hitamnya menyambar bagan berpergola di halaman.Tetapi bagan dan
pergola itu langsung tidak memukau minatnya. Yang asyik direnungnya ialah pagar
konkrit yang mengelilingi kediaman tersebut.
|
Pagar itu seperti baru dibina.Justeru dia berasa aneh. Untuk
apa pemiliknya membina pagar baru kalau rumah itu akhirnya hendak ditinggalkan
jua? Tambah aneh bila memikirkan kenapa pagar itu dibina meniru rekabentuk
Tembok Besar negara Cina itu.
“Macam tau-tau aje aku dan Damyral mula bertemu di Tembok
Besar!” gelengnya mengangkat keningnya tinggi-tinggi sambil mengetap bibir.
Memorinya tiba-tiba membawanya merentas ke Tembok Besar
Badaling sekali lagi.Ada wajah yang ikut menemani ingatan spontan itu. Sudah
tentu wajah tampan Dr.. Damyral!
Argh... kuat sekali ingatan itu. Ironis kerana sejak
akhir-akhir ini, wajah itu memang kerap menyerbu kotak fikirannya. Apatah lagi
bila disuakan dengan pagar yang bentuknya cukup sinonim itu. Tambah menggilalah
ingatannya terhadap memori‘satu-satunya’ itu!
Dua kali dia bercuti di negara China.Kali pertama dengan
kembarnya Huwaida.Kali kedua, dia hanya sendirian. Mata dan hatinya sudah
dipukau oleh binaan yang juga dikenali dengan panggilan ‘Great Wall of China’
itu. Binaan yang menelan berkurun lama untuk disiapkan. Namun amat berbaloi
bila akhirnya diwartakan sebagai salah satu warisan ajaib dunia.
Siapa sangka lawatan kali kedua itu menemukan dia dengan
Dr.. Damyral? Sesuatu yang memang ditunggu-tunggu Humaira. Ada sangkut-paut
dengan kerjaya penulisan novelnya yang baru bermula. Dia berdepan dengan
masalah menghidupkan roh tulisannya. Manuskrip pertamanya itu kaku. Beku.
Sedangkan azamnya hendak menghipnotis tumpuan penggemar-penggemar novel yang
mahu dikumpulnya. Dia mahu jadi penulis best
seller!
Apakah kerana dia belum pernah bercinta lalu dia tidak
mampu menjadikan plot itu realistik?
“Samalah macam penulis yang belum kahwin tapi cukup berani
bercerita secara terperinci tentang adegan dalam kelambu sepasang pengantin
baru,” katanya pada Huwaida yang tergelak mendengar.
“Aida, aku perlu bercinta, baru mampu secara logik
menghidupkan plot cinta yang lesu dalam novel aku. Kau faham kan? Bercinta...
kemudian terjemahkan perasaan aku ke dalam novel.” Wajahnya benar-benar serius
ketika membentangkan teorinya itu.
“Habis dengan Mamat Bangla mana yang kau pilih untuk
bercinta ni?”Huwaida acuh tak acuh saja mengejeknya ketika itu.
Tiba-tiba ketika percutiannya nun jauh di hujung benua,dia
ditemukan dengan pria kacak lawa itu.Seorang Damyral ditakdirkan jatuh cinta
padanya. Nampaknya, dua kali dia beruntung. Satu untuk dirinya.Satu lagi untuk
novelnya. Memang durian runtuh sebenarnya!
Perasaan cinta itu berputik di hati Dr. Damyral
setelah berulang kali lelaki itu menemankan Humaira yang tercedera lututnya ke
sana ke mari dalam cuaca dingin bandar Beijing itu.Benar-benar seperti dongeng
‘Fairy Tale’.
Tapi bagaimana pula dengan dia? Dengan perasaanHumaira
sendiri? Benarkah dia cintakan lelaki itu? Ini kerana tidak lama sesudah
pengalaman indah itu, lelaki itu ditinggalkannya begitu saja. Begitu saja?
Zalim... Berkali-kali perkataan yang sama dipantak Huwaida
ke telinga Humaira.
“Kau putuskan?Kan baru lima bulan? Aku ingat kau nak kahwin
dengan dia!” Adik kembarnya Huwaida tergamam bila Humaira memaklumkan
keputusannya itu.
“Itulah yang aku takut.Aku takut dia ajak kahwin. Aku cuma
nak bercinta aje. Kau tau kan, untuk ‘feel’
menulis novel aku?”
“Zalim!” dengus Huwaida tidak percaya. “Nak feel menulis konon. Kejam betul
melukakan hati insan lain semudah tu!”
“Siapa nama mamat tu. Kerja apa?” Berkerut mukanya bertanya.
“Err... Rafiq!” bohongi Humaira. “He is a vet. Doktor haiwan.” Humaira teragak-agak.
Huwaida mencemik-cemik jengkel. Berkali-kali menyumbat
perkataan ‘kejam’tersebut ke telinga Humaira. Padanya tindakan Humaira
itu terlalu kejam.
“Dia paksa kau kahwin ke?” jerkah Huwaida.
Di situ Humaira terdiam.
Rasa-rasanya tak ada...
BAB TIGA [ 3]
SELEPAS memutuskan hubungan dengan Dr.. Damyral, silih
berganti lelaki yang muncul dalam hidupnya. Tetapi tidak ada yang kekal. Setiap
kali putus, dialah yang menetapkannya. Dia takut pada hubungan yang kekal.
Takut berakhir dengan jerat ‘perkahwinan’.
Sesuatu yang pasti, dalam ramai teman lelakinya, hanya
Dr.. Damyral yang tidak diperkenalkannya kepada Huwaida. Nama sebenar lelaki
itu juga tidak pernah didedahkan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu
berahsia sangat tentang cinta pertamanya itu daripada Huwaida.
“Kenapa kau termenung kat jendela ni?Tak elok tau!Tolong aku
kemas rumah ni lagi baik. Betul-betul lagak Si Pemalas. Tengoklah ni, masih
bersepah-sepah,” rungut Huwaida.
Sudah masuk minggu ketiga mereka berpindah di situ.
Tapi keadaan dalam rumah masih tunggang-langgang. Penyakit melamun Humaira pula
semakin teruk.
Suara kasar Huwaida itu hanya menyentaknya sekilas. Sejurus,
dia kembali semula termangu merenung pagar ala-Tembok Besar Cina itu.
Setiap kali memandangnya, setiap kali itu juga ingatannya akan terbang
melayang-layang pada Dr. Damyral. Mulalah hatinya berdebar tidak tentu arah.
Kemudian perasaan rindu itu... Perasaan yang menjerihkan itu akan menyengat
hingga ke hati. Argh!
Hairan betul... kenapa Damyral selalu sangat masuk ke
dalam otak aku sejak akhir-akhir ni? Kenapa mesti dia? Aku yang tinggalkan dia.
Bukannya dia yang tinggalkan aku. Jadi, kenapa perasaan aku pedih semacam saja?
“Atau aku ni dah gila talak? Gila talak yang ekstrem?”
Humaira berkeluh-kesah.
“Apa kau cakap?” Huwaida yang sedang berkemas merapati.
Nafasnya kedengaran mengah dan penat. “Aku dengar kau sebut talak tadi. Talak
apa?” tanyanya lagi hendak tahu.
Humaira menyengih sambil mengerling adiknya. Memang apa yang
melintasi benaknya, kadangkala terlepas dek lidah yang tidak bertulang. Kaifiat
itu adalah kelemahannya. Dia mengisyaratkan pagar kediaman rumah itu pada
Huwaida dengan memuncungkan mulutnya.
“Aida, kenapa pagar tu bentuk macam tu?”
Humaira mendengus bila Huwaida sengaja mengasak kasar
tubuhnya ke jendela hendak sama menjenguk. Terlontar perkataan ‘jantan’ dari
mulut Humaira .
“Minat manusia kan memang pelik? Aku rasa mesti berpuluh
ribu dihabiskan untuk bina pagar tak berfaedah tu.” Dia mengkritik. Mukanya
dicemik-cemik.
“Berpuluh ribu? Aku rasa paling kurang pun RM150
ribu!”Humaira menghitung-hitung sendiri.
“Tinggi kos tu. Tapi bila pandang pagar tu, aku rasa macam
teringin pulak nak ke sana lagi.” Huwaida menarik nafas berat mengharap-harap.
“Dahlah. Aku nak berkemas. Kau berdirilah situ sampai malam.
Puja replika Tembok Besar tu. Dasar pemalas!” Sambil mendengus Huwaida
meminggir dan meneruskan semula kerja-kerjanya. Membiarkan Humaira
terus-menerus termangu di situ.
“Damyral, ingatkah lagi kau padaku? Kesian kau terpaksa
dukung aku masa turun dulu. Tangga tu curam...” bisiknya dilamun nostalgia
semalam.
Ironis sekali... Dr. Damyral selalu mengusik ingatan masa
kininya. Tidak kira siang, tidak kira malam. Bukankah dia hanya salah seorang
daripada tujuh lelaki yang pernah mencintainya? Yang membezakan dia daripada
yang lain, hanyalah kerana dia yang pertama. Sulung pada lelaki-lelaki lain
yang jadi mangsa permainan cinta sementaranya.Semuanya gara-gara mencari‘feel’
untuk novelnya.
Termakan sumpah ni! Hatinya sudah berkata-kata.
Inikah yang dikatakan hukum karma? Aniaya dibalas aniaya!
Tapi aku tak aniaya dia. Bukankah dia yang jatuh cinta pada aku? Jadi,
salahkah, bila aku tinggalkan dia?
Fikirannya mula menerawang ke suatu waktu. Ketika itu dia
bercuti di Beijing. Dia ke sana untuk mencari idea setelah berdepan masalah
untuk menyiapkan manuskrip novel pertamanya.
BAB
4
IMBAS
KEMBALI
Badaling.
“PANJANGNYA...”
Terlontar rasa kagum dari mulut Humaira. Itu juga yang diungkapnya berkali-kali
pada Huwaida, sewaktu mereka berdua melawat ke situ dulu.
Pada
kali yang kedua, dia pergi sendirian kerana pada masa yang sama Huwaida ada acara
penting di Tadika Sweet Bunny. Mengeluh adik kembarnya itu kerana tidak dapat
ikut serta. Humaira juga kecewa. Tapi rupa-rupanya terselit hikmah di
sebaliknya. Justeru dalam lawatan kali kedua itulah dia telah dipertemukan
dengan Dr. Damyral.
Bibirnya
bergerak-gerak tersenyum sambil otaknya mengimbas insiden pertemuan itu. Ketika
itu, mata dan minda Humaira hanya fokus pada binaan hebat itu. Tangan kanannya
pula tekun menghalakan lensa kameranya dari satu sudut ke satu sudut yang lain
tanpa jemu sambil jarinya sibuk membidik pemandangan yang menarik.
“Panjang
gila... macam mana mereka bina?” Kumat-kamit bibirnya meluahkan rasa kagum.
“Hmm...
memang panjang. Lebih tujuh ribu kilometer.Itu belum termasuk Tembok Besar di
tempat lain. Tempat kita berdiri sekarang ialah tembok yang dibina sewaktu
pemerintahan Dinasti Ming. Sebelumnya pun sudah ada dibina di beberapa bahagian
provinsi yang lain. Pembinaannya berperingkat-peringkat. Tapi bukanlah
bersambung macam yang kita semua sangka. Lain dinasti, lain lokasi tembok
besarnya. Hmm... itu jawapan kenapa ia sangat panjang macam yang awak hairankan
sangat tu. Opps... Lupa pula, tembok awal dibina oleh pemerintah di zaman
Dinasti Qin!” Satu suara menjawab tanda tanyanya dari belakang.
“Hah?” Terus Humaira berpaling. Ingin tahu siapa gerangan
pemandu pelancong sukarela yang baik
hati, sudi menghurai fakta yang berjela-jela tanpa dipinta itu.
Sebaik
saling berdepan, dia tergamam. Dia terkesima lalu merenung paras dan sesusuk tubuh yang kini
sedang tercegat di depannya sambil tersenyum. Mungkin mereka tidak saling
kenal, tapi ada sesuatu yang mencelah-celah ke ingatannya tatkala meraup wajah itu. Bagaikan ada gema di kejauhan
menjeritkan bahawa lelaki itu pernah hadir dalam hidupnya. Gema yang gagal
dipastikan apakah dia.
Wah...
inilah baru dikatakan hero novel! bisiknya berlucu dalam hati. Lagi elemen itu mencuri-curi
membelah lorong ke ingatannya. Membuatkan dia terus merenung dengan aneh. Yakin
benar dia bahawa, lelaki itu ada kaitan dengan masa lalunya.
Humaira
cepat-cepat menukar ekspresinya bila menyedari betapa asyiknya dia memandang
wajah di depannya itu. Dahi dikerutkan dalam satu aksi lakonan. Takut pula jika
si dia perasan. Maklum, tenungannya itu tadi amat ralit. Nampak jelas seperti
dia tertarik. Meskipun hakikatnya,dia memang seorang jejaka yang menarik.
Tubuhnya
tinggi lampai. Tidaklah terlalu berisi tetapi tegap orangnya. Pemuda itu
menyarung fleece jacket.Nampak kemeja merah samar di dalam jaketnya itu. Berseluar
rona ‘beige’ Wajahnya... hmm, memang
kategori ‘sesuatu’. Orang seberang menyebutnya ‘ganteng’.
Opps...
jejaka itu juga baru tersedar. Sejak si gadis berpaling, matanya belum
sekalipun berkalih.Tidak pula dia membuang pandang, Cuma si gadis sudahpun mengalihkan
mukanya pada kawasan berbukit bukau di hadapan. Bukan gadis itu fokus sangat
kerana akhirnya gadis itu kembali
teragak-agak memandangnya sambil berkata..
“Terima
kasih.Err... untuk info awak tadi tu.”
Lancar lidahnya mengatur diksi. Sambil itu,
dipaksa juga jari-jarinya berlakon membetul-betulkan kamera. Argh...
kelelongnya!
Lelaki
itu menggerakkan kening.Agak terleka.
Humaira
memang mudah canggung kalau berdepan dengan lelaki. Impak dari sikap dingin
ayahnya terhadap dialah, apa lagi? Seorang ayah yang serius, tidak mesra dan
bersikap pilih kasih pula pada anak-anaknya. Lalu suburlah trait negatif itu ke
dalam dirinya. Iaitu ‘canggung berdepan dengan lelaki’!
“Tembok
besar yang paling awal, hanya guna tanah liat dan bongkah-bongkah batu. Masa
Dinasti Ming, barulah bahan-bahan yang lebih bermutu digunakan. Pembinaan pada
era itu lebih terancang.” Lelaki itu menambah fakta.Humaira apa lagi. Dia makin tertarik.
Dia
melilaukan mata ke sekitar. Barulah dia sedar hanya mereka berdua saja
pelancong Malaysia yang berada di situ pada ketika itu. Dalam hati, dia
berharap agar pemuda itu tidak terburu-buru meninggalkan tempat tersebut. Dia
akan keseorangan. Lainlah kalau ada Huwaida.
“Impresif.
Tapi, rugi kan bina tembok panjang-panjang macam ni? Mesti ramai yang
terkorban. Macam... err...ketika rakyat Firaun bina piramid dulu.” Humaira
mengandaikan. Sempat tersenyum pada seorang pelancong Eropah yang mengangguk
padanya sebagai isyarat menyapa. Diketapnya bibir sambil mengangkat kening
tinggi-tinggi.Bila matanya beralih pada Dr.. Damyral, terjadi pertembungan
mata. Humaira menggigit bibir sambil menaikkan kedua-dua keningnya lagi dalam
keadaan tersipu.
Jangan
dia tuduh aku gedik sudah... bisiknya terus tersipu-sipu diperhatikan seperti
itu..
Dr..
Damyral sebenarnya tersentap oleh aksi gadis itu.Menggigit bibir sambil
mengangkat kening.Macam pernah dilihatnya aksi itu dalam samar-samar ingatan.
Sekali lagi mata‘hero novel’ di depannya itu
mengilau bila seorang lagi pelawat berselisih lalu. Ini kerana pandangan
pelawat tersebut pasti singgah seketika pada Humaira. Gadis yang memakai skarf
ringkas itu memang mempesonakan sesiapa yang memandang. Termasuk dirinya.
Disebabkan itu juga maka dia memberanikan diri mencari jalan mendekati gadis
itu tadi.Sepanjang yang dia ingat, itulah pertama kali dia ‘mengorat’ seorang
gadis.
Tapi aksi gadis itu menggigit bibir dan
mengangkat kening tadi...Argh... sekali lagi dia berusaha memerah ingatan untuk
mengimbas satu-satunya memori yang enggan kembali. Aku tertarik padanya hanya
dengan sekali pandang... bisiknya membelek penampilan Humaira.
Gadis
ini ada aura istimewa. Tapi aku tidak pasti apa. Cuma aksinya menggigit bibir
dan mengangkat kening tadi mengimbau satu kenangan lama. Hati aku berkata yang
aku pernah melihat dia, tapi di mana?
Teringat
soalan gadis itu tadi, dia memaksa fokus.
“Betul
tu. Sebenarnya, tembok tinggi ini sudah jadi satu keharusan. Suku gasar nomad
seperti Monggol dan orang-orang Tartar di bahagian utara,suka menyerang
petempatan berhampiran sempadan. Mereka ni ganas. Perompak yang tak berhati
perut. Tembok Besar ni dijadikan kubu untuk menyekat penganiayaan mereka.
Orang-orang Cina masa tu, turut takut pada bangsa Mancu yang gemar menceroboh
petempatan mereka yang daif itu.” Usai menerangkan,bibirnya menyungging senyum.
Seronok kerana berjaya membuat Humaira tertarik.
Hmm...
dia kacak, manis.Aku suka lelaki yang tinggi... perfect. Patut sangat wanita
diharamkan merenung lelaki ajnabi. Protes imannya yang cuba menyeru pada
kebaikan. Humaira membalas senyumnya. Inilah hero novel pertamaku. Minda
nakalnya kini mula melakar karakter dalam novelnya. Rupa paras, gaya dan apa
saja kriteria hero itu untuk manuskripnya.
“Saya
Damyral.” Dia memperkenalkan diri tiba-tiba.
Humaira
tersentak. Tergamam berjurus lamanya.Macam pernah dengar. Namun gagal mengingat.
“Aa..
saya Humaira... Aira.”Sekali lagi dia menggigit bibir sambil mengangkat
kedua-dua kening dan membesarkan matanya. Aksi tadi berulang lagi. Nah!
“Aira?”
Dr.. Damyral terperanjat besar.
Nama itu sudah cukup untuk mengesahkan,
disokong pula oleh aksi yang dulu kerap dilihatnya bertahun-tahun yang lalu.
Seorang kanak-kanal yang gemar bermain biji saga dengan kembarnya yang kasar
dan perengus orangnya.Beberapa kali dia terpaksa menarik si kecil itu ke
rumahnya bila setiap kali kembarnya itu mula mengepal penumbuknya.
“Takapa,
takapa, Aira dah biasa kena tumbuk. Sakit kejap aje. Kan Aida?” Ungkapan
membela yang sering membuatnya sangat simpati terhadap kanak-kanak secomel itu.
Dia masih mahu bermain.Tetapi Dr.. Damyral tidak tega melihat dia dikasari adik
kembarnya yang bertubuh besar itu.
Setiap
kali diherdik si kembarnya, Aira akan menggigit bibir dan membesarkan mata
dengan menaikkan keningnya.Comel! Tidak tergambarkan peri sukacitanya Dr..
Damyral. Melihat si kecil yang kini sudahpun tegak seperti kelopak yang mekar
itu. Dia seolah-olah terperangkap dalam pesawat yang mampu memintas kelajuan
cahaya lalu membawanya masuk ke dimensi semalam!
Dr..
Damyral menarik nafas. Diperhatikan aksi yang diulang sekali lagi itu.Nama
‘Aira’ itu sudahpun memecah kebuntuan.Perlahan-lahan, bibirnya mengorak senyum.
Biji
Tasbih...”bisiknya dalam hati. Nampak terang peristiwa yang pernah tercatat
dalam memori silamnya itu.Rosary Pea... getus hatinya lagi.
Humaira
masih kecil waktu itu, Pasti dia sudah lupakan budak lelaki yang sering
menaburkan biji-biji saga di atas kepalanya dulu. Keluarga Humairapun
seolah-olah sudah melupakan kampung halaman mereka. Ah Aira!Dr.. Damyral
tersengih sambil bernostalgia. Gembira tidak terkira.
“Awak
fikirkan perbuatan kejam kaum-kaum nomad tu?” tanya Dr.. Damyral dengan mata
memicing reaksinya, bila Humaira sesekali menajamkan mata seralit-ralitnya
tatkala merenung dinding tembok besar itu.
Tersenggut
nafas Humaira. Bukan itu yang sedang difikirkannya. Ketika itu, dia sedang
membayangkan lelaki itu sebagai hero novelnya. Itu yang sebenarnya! Penampilan
lelaki itu sangat impresif. Mata manusia pula memang mudah berbuat dosa. Pintu
membenarkan dosa itu pula, tidak lain ialah hati yang mudah tertawan. Dari mana
datangnya cinta kalau tidak dari mata turun ke hati. Bidalan lama itu sahih
benarnya!
“Kaedah
tu berkesan ke? Maksud saya, selamat ke penduduk yang tinggal di belakang Tembok
Besar tu?” Dr..Damyral menggaritkan kening.
“Tak
juga,” akuinya dengan riak simpati. “Tembok ni tak dibina menyeluruh. Bermakna,
suku-suku nomad tersebut masih mampu menceroboh sempadan dengan cara merentas
masuk di bahagian hujung iaitu bahagian di mana pembinaan tembok itu berakhir.”
Wajahnya berubah serius. Mungkin membayangkan
bentuk jenayah di era tersebut. Di kala manusia yang lebih gagah memegang kuasa
undang-undang. Sistem hidup yang membuat mereka yang lemah sering ketakutan dan
ditindas.
Bila
dia buat muka serius, lagilah aku bertambah tertarik.Humaira tergelak-gelak dalam
hati. Bersinar-sinar matanya. Dia mendakap kuat tubuhnya bila angin sejuk
tiba-tiba bersemilir lalu. Dr.. Damyral memandang dengan wajah simpati. Baru
dia perasan yang gadis itu hanya
menyarung kemeja denim di tempat sedingin itu. Hendak dilekapkan fleece jacket
yang dipakainya ke tubuh gadis yang kesejukan itu, nampak ‘over’ pula.
Terlalu
awal nak berlagak gentleman... bisiknya melucu dalam hati. Lagipun saiz jaket
yang dipakainya itu agak besar untuk gadis di depannya itu.
“Hmm...”
Dia berdehem. Dibeleknya muka ingin tahu Humaira.
“Hakikat
yang tak boleh diubah ialah, Tembok Besar ni simbol kekejaman
pemerintah-pemerintah dinasti yang silih berganti tu. Mereka kerah para petani
dan orang awam membinanya. Betul kata awak. Terlalu banyak menelan korban
mereka yang tak berdosa. Mereka dikerah, dianiaya dan dijadikan buruh paksa
berkurun-kurun lamanya. Jadi tak hairankan Humaira, kalau tembok besar ni juga
digelar, kubur terpanjang di dunia?”
Humaira mendengar dengan penuh khusyuk. “Rejim kuku
besi,” gelengnya. “Ya... seriau bila kita bayangkan ganasnya pemerintah
menindas rakyat yang lemah dan tak berupaya membela diri,” sambung Humaira
mengangguksetuju.
“Saya
agak, mesti banyak sumpah seranah mangsa-mangsa yang dikerah membina tembok ni
kan?” tambahnya lagi. Dr. Damyral menggerakkan keningnya.
“Ya
mungkin. Petani yang teraniaya pasti berbakul sumpahnya memaki hamun pemerintah
dinasti, kerana didera sekejam itu. Agaknya sumpahan itu lebih banyak daripada penderitaan
yang terpaksa mereka tanggung. Jadi jaga-jaga jangan sampai awak pula yang
bersumpah di sini, takut disambut oleh kaki menyumpah di bawah.” Lawaknya itu
memanjangkan garis senyum di bibir Humaira..
BAB LIMA [5]
KETIKA mengayun kakinya hendak
meninggalkan tempat itu, Humaira tersepak sesuatu lalu gagal mengimbangi
tubuhnya. Dia jatuh tertiarap di lantai Tembok Besar itu. Natijah akibat
terleka.Terlalu seronok melayan cerita lelaki itu tentang Yinchuan, ibukota bagi
daerah Muslim di Xingchia.Juga ceritanya tentang masjid Nanguan tempat dia
sering singgah untuk bersolat bila ke sana.
Huh... betapa teruja dia. Terutama bila
Dr.. Damyral mempelawa supaya mengikut dia ke sana dengan khidmat kapal terbang
tambang murah. Perjalanan yang didakwa Dr.. Damyral konon memakan masa tidak
sampai pun lapan jam dari kota Beijing itu.
“Mak ai... koyak habis bahagian lutut
jeans ni. Terpaksalah saya cari jeans baru. Saya memang bawa dua helai aje
seluar kalau bercuti ke mana-mana. Jimat ruang bagasi.”Humaira merungut kecewa,
membuatkan lelaki yang sedang mencangkung menghadapnya itu tergeleng tidak
percaya.
Sambil meneliti lutut yang berdarah itu,
dia mengungkapkan dengan hairan. “Awak sepatutnya lebih risaukan luka di lutut
tu, bukannya merungut pasal jeans yang koyak ni. Ini bukan sekadar abrasion wound yang boleh awak ambil
ringan. Takut laceration wound
aje. Berdoalah supaya ia bukan kes kecederaan ACL. Jadi, cuba lebih serius
boleh tak?” bebelnya sambil membelek-belek luka di lutut Humaira.
“Hmm... macam ada cedera sikit kat
bahagian dalam.” Terangguk-angguk dia mengesahkan. Sejurus, dia mengangkat muka
memandang wajah selamba Humaira.
Nampaknya gadis ini masih memikirkan seluar jeansnya yang koyak.
Bukan memikirkan luka di lututnya. “Nak melangkah nanti, taulah nasib kau,”
bisik lelaki itu mula geram.
“Beginilah... di Beijing Mall nanti atau
di Wang Fu Jing shopping Street, awak
akan jumpa beratus jeans yang jauh lebih
baik daripada jeans koyak awak ni. Sekarang saya nak besarkan lagi koyak ni.
Tolong jangan bantah. Saya nak buat rawatan sementara, lepas tu kita cari
klinik kat downtown okey?” Lelaki itu sedikit pun tidak menghiraukan mata Humaira
yang terbuntang membantah ura-uranya itu.
Berlebih-lebih pula mamat ni. Sekarang
berlagak doktor lah pulak, gerutu Humaira.Tiba-tiba terasa lucu pula.Dia
menggigit bibirnya sambil mengangkat kening tersengih.
Dr.. Damyral menggelongsorkan beg
kembaranya ke bawah. Dengan pantas mengeluarkan kotak first-aid.Sempat
tersenyum bila melihat Humaira membuat mimik muka yang disukainya itu.
“Err... tu... tu Bioptron ke?” Humaira
menyibuk hendak tahu, sewaktu lelaki itu menuangkan jenis cecair ke liang
lukanya.”
Tergelak Dr.. Damyral mendengar nama
ubat itu disebut.Dengan pantas dia membalut bahagian yang luka setelah
menggunting sedikit lagi bahagian jeans yang koyak. Kagum pula Humaira
menyaksikannya. Mukanya ikut berkerut menahan pedih.
“Bioptron tu untuk penyakit diabetis.
Mana awak dengar?” sambil tekun membalut.
“Arwah Nek Ipah saya dulu selalu cuci
lukanya dengan ubat tu. Wah... expertnya awak balut. Awak ni jururawat terlatih
ke?”
Pertanyaan Humaira itu membuat lelaki
itu tersengih-sengih. Tampak anak matanya mengilau lucu.
“I’m
a vet. Or rather, a veterinarian. Doktor haiwan,” beritahunya. “Maaflah
terpaksa rawat awak macam yang saya lakukan pada haiwan-haiwan dan pet yang
selalu di hantar ke klinik saya.” Dia menyepetkan matanya memerhatikan Humaira
dengan pancaran lucu di matanya.
Bulu kening Humaira bertaut. Dalam
kepalanya membayangkan Dr.. Damyral sedang menjahit lutut seekor kuda yang
terjelepuk pengsan sesudah dibius. Berkerut mukanya membalas pandangan doktor
itu.
“Nasib baik awak tak terlompat-lompat
macam kucing yang sering saya rawat tu. Atau kuda-kuda yang jadi regular patient saya tu,” ungkapnya
lalu tergelak-gelak.
Dia kemudian membantu Humaira berdiri.
Pandai pula mentertawakan orang... bisik
Humaira mencerlung pandangan pada lelaki yang sedang memapahnya melangkah itu.
Ketika hendak menapak barulah terasa
oleh Humaira betapa seksanya setiap kali lututnya hendak digerakkan.Terdengar
dia mengaduh menahan sakit.
AkhirnyaDr. Damyral mendukungnya di
belakang sewaktu hendak menuruni tangga yang curam itu. Mula-mula dia berasa
kekok dan malu sangat. Tetapi bila Dr.. Damyral melawak mengatakan dia biasa
mendukung monyet di belakangnya, barulah Humaira berasa selesa bergayut di
belakang lelaki itu.
Tapi kasihan juga. Satu cabaran
sebenarnya, menuruni tangga curam itu dengan adanya‘penumpang’ di belakang.Kini
‘cerita semalam di Beijing’yang tidak pernah diperincinya dulu itu, mendadak
menjadi sebuah memori syahdu yang perlu dikenang! Tiba-tiba dia berasa sayu.
Lelaki itu sungguh ikhlas menolongnya dulu.
“Damyral... kenapa baru kini kurasa
indahnya pertemuan kita dulu?” Dia mengeluh. Saat ini dia berasa kosong. Banyak
sungguh perbezaan antara kau dengan mereka semua. Akuinya dalam sayu dan
merindu. Membandingkan lelaki itu dengan temanlelakinya yang lain.
Cengkaman pada kekisi jendela dikuatkan
bila ingatan terhadap lelaki itu menjadi sangat dominan. Dia melempar
pandangannya ke luar. Pada tembok pagar yang dibina mengikut rekabentuk Tembok
Besar di Badaling itu. Dia mengeluh lagi. Tercari-cari lagi sisa kenangannya
bersama Dr.. Damyral.
Kenapa hari ini dirasakannya kenangan
itu terlalu indah? Kenapa tidak dulu?
“Apa yang asyik sangat tu?” Huwaida
menepuk belakangnya membuatkan Humaira tersentak. Dia berpaling. Berkerenyut
wajahnya. Memori bersama Dr. Damyral padam terus dijerkah suara Huwaida yang
langsing.
Humaira menggigit bibir sambil menaikkan
keningnya.
“Itu bukan tepuk.Tapi tumbuk.Aku ingat
dah besar ni dapatlah aku pencen merasa penumbuk kau tu!” Humaira geram.
Huwaida tersengih. “Maaflah. Kau taulah
tangan aku ni ringan aje. Itu sebab rumah ni aku sorang yang berkemas. Ringan
penumbuk dan ringan tangan.” Sempat Huwaida memasukkan sedikit kebaikannya
untuk membela diri. Walaupun ringan tangan itu maksudnya mudah naik tangan.
Humaira mendengus. Kemudian dia kembali
menghadap ke jendela. Pandangan dilempar ke luar. Serentak itu dia dikejutkan
oleh sesuatu.
Pandangannya mengesan kelibat seorang
wanita sedang berehat di bagan berpergola yang dibina di sudut landskap di
bahagian tepi rumah itu. Beria-ia dia memerhati.Siapa?Siapa perempuan tu?
“Aku tengah perhati makcik tu.” Dia
menoleh pada Huwaida kemudian berpaling semula untuk melihat wanita tadi dengan
lebih jelas. Tapi kelibat wanita itu sudah tidak ada di situ. Hairan juga.Ke
mana hilangnya?Belum sempat pun matanya berkelip kali kedua.
“Perempuan?” Huwaida menghampiri jendela
hendak ikut meninjau. “Tepilah!” dengusnya menolak kasar Humaira ke tepi.
Dahinya berkerut-kerut. Memang tidak ada sebatang tubuh pun di situ.
“Dah pergi agaknya,” balas Humaira
membalas tanda-tanya di mata Huwaida. “Cepat pula hilangnya. Mungkin jiran yang
hendak bertanya khabar.Kitakan baru di sini?” Dia membuat kesimpulan sendiri.
Namun hati nalurinya tetap berdetik.
“Was-was jugak ek?” Dia mengangkat kening pada Huwaida.
Huwaida mendengus.
“Rumah ni bukannya antik sangat. Tak
payahlah rosakkan otak dengan sangkaan yang bukan-bukan. Betullah tu,jiran
sebelah sebenarnya yang muncul tadi. Tengok orang tak ada, dia blaah... okey?”
Humaira tergelak-gelak.
Huwaida memang penakut orangnya. Pantang
dicuit dengan topik mengenai supernatural.
Menggelabah habis.Harapkan badan saja besar tinggi.
“Lagipun, aku dah berkenan dengan rumah
baru kita ni Aira. Cantik, ala kotej gitu. Tak sangka kita diberi tinggal
percuma aje kat sini.” Huwaida menarik lengan Humaira mengajaknya ke ruang tamu
yang masih bersepah.
Terdorong-dorong Humaira dijujut dengan
kasar. Dia terpaksa berhati-hati bila melangkah itu. Banyak lagi barang
bertaburan yang belum dikemaskan. Tiba-tiba dia membongkok cemas sambil
mencapai sesuatu. “Patutlah dah lama aku tak jumpa. Kau rupanya! Sengaja sorok
dalam bungkusan surat khabar kan?” Humaira memberang. Barang yang dikutipnya
itu didakap ke dada. Hanya anak patung kecil dan jenis lama.
Huwaida mengekeh geli hati. “Anak patung
zaman purbakala tu. Aku pun pelik, kebanyakan mainan kau banyak yang jahanam
tapi benda sakti yang ini, masih nampak baru.Pandai kau jaga.Kok cantik pulak
tu, murahan!” Dia masih mengekeh. “Dulu kau curi-curi bawa ke sekolah masa mama
ugut nak bakar. Alih-alih aje mama dah tak kisah lagi, aku pun pelik.”
“Mainan aku habis jahanam tupun pasal
perbuatan kau.Sampai ke tangan kau gerenti jahanam. Yang ini selamat, pasal kau
tak suka.Jantan!” cemuh Humaira.
Huwaida mengikik lucu.
“Jantan-jantan pun, inilah chef yang
mengenyangkan kau kat rumah ni.Kalau tak, kebulur.”
“Eh, salah. Kalau tak masak, aku cukup
dengan roti dan biskut aje.Kau rajin masak tu kerana kau sendiri rajin
melapun,” balas Humaira sambil mencebik.
Huwaida tersengih-sengih.
“Aku pun pelik jugak Aida. Tiba-tiba aje
mama dah tak kisah kalau aku letak anak patung ni kat katil.Kalau adapun, dia
setakat jeling aje. Kenapalah benci sangat dengan anak patung kesayangan aku
ni.” Humaira melawak sambil berdecit-decit dan menggeleng
“By the way, siapa perempuan tadi ek?”
Humaira yang tidak puas hati kembali pada cerita tentang perempuan tadi.
“Jangan tanya aku. Aku tak nampak
sebatang tubuh pun kat situ tadi. Okey?” Suara Huwaida sudah kembali keras. Dia tidak lagi tersengih-sengih.
“Hmm..” Humaira akhirnya menguburkan
saja isu itu. Dia dudukdi sofa menghadap Huwaida.
“Aira, kau tak rasa pelik ke bila suami
isteri yang tak kita kenal, suruh kita tinggal di sini? Macam tau-tau aje yang
kita nak cabut dari rumah sewa kat KL tu.” Terhambur juga akhirnya teka-teki
dalam kepalanya sejak ditawarkan tinggal di kotej itu.
Humaira sendiri akur tentang itu. Tetapi
kerana semua berpunca daripada dia, terpaksalah dia diamkan saja apa yang turut
dipertikai akalnya itu.
“Ayah yang bagitahu dia orang, kat mana
kita menyewa dulu. Mungkin juga ayah dan mereka memang kenal.”
“Tapi mana ayah tau yang kita nak cabut
dari rumah sewa kita tu dulu, kau tak terfikir ke?” Huwaida keliru.
“Argh... malaslah nak peningkan kepala.”
Sebenarnya Humaira sudah lama ‘menangkap’keanehan itu.Tapi dia juga ada isu
yang lebih kronik. Azril!
Pada Humaira, dapat lari daripada teman
lelaki terbarunya itu sudah cukup melegakannya. Azril bukan saja
mengucar-kacirkan kepalanya, tapi terlaluan obses terhadapnya. Kalau tak cabut,
dia yang serabut!
Huwaida memuncungkan bibirnya. Tidak
puas hati. Nalurinya tetap mahu merungkai.
“Panjang-panjangkan cerita buat apa?
Kalau mereka ada hidden agenda, takkan ayah bagi mereka jumpa kita?” Humaira
menenangkan.
“Susah jugak dapat ayah yang kepalanya
tak serupa bapak orang lain ni! Ayah tu bukannya tau nak borak dengan kita.
Bincang apa-apa ke!Tapi tak pulak kalau dengan Aifa. Tak aci betul! Nak tahu
apa-apa cerita daripada ayah kandung sendiri pun
susah!” kesal Humaira bila mengenangkan ayahnya yang tidak memiliki sikap
terbuka. Yang menghairankan, ayah mereka itu mesra pula dengan saudara tiri
mereka Huwaifa.
“Ayah tu, macam Aifa sorang aje anak
dia,” rajuk Huwaida, melontarkan apa yang terbuku di dada. “Sebab tu Aifa
sombong dengan aku.” Rajuknya melalut.
“Jangan nak tuduh sembarangan.Aifa tu
bukan sombong,Tapi selain aku, siapa yang tahan dengan perangai kasar dan
penumbuk maut kau tu!”
Kata-kata Humaira membuat Huwaida
mencebik.
“Huh... Cerita pasal ayah aje, hilang
terus stamina aku,” dengus Humaira, lalu bangkit menuju ke dapur.
Haus tekaknya bila isu ayahnya dibangkitkan.Sejak
kecil hinggalah besar panjang, ayahnya tidak pernah mahu berbual mesra dengan
mereka berdua. Apa kes?
Huwaida masih dengan muka tidak puas
hatinya ketika matanya menyorot langkah Humaira.
Memang hubungan mereka berdua dengan si
ayah tidak mesra. Lelaki itu seperti ais bila bersama mereka. Tapi mahu pula
dia tersenyum jika saudara tirinya Aifa yang berceloteh dengannya. Tidak adil
betul!
Di dapur, di sebalik mengambil minuman,
Humaira menukar fikiran lalu menghampiri jendela.Dia menyelak tabir ke tepi.Dirayapkan
matanya. Terdapat sebuah rumah separuh batu di belakang rumah yang mereka diami
itu.Mungkin juga atas tanah pemilik yang sama.Kerana jelas tidak ada pagar yang
dijadikan sempadan memisahkan kedua-duanya.Dia memerhatikan dengan perasaan tertarik.
Sudah lama dia tidak menyaksikan sesuatu berbentuk ala-tradisi seperti itu.
Siapa tinggal di situ? Macam rumah
tinggal aje. Sepi macam tak ada orang, detak hatinya.
“Opocot!” Dia menampar dadanya terkejut
bila kelibat perempuanyang bersantai di bagan tadi, kini tiba-tiba saja
menghadang pandangannya. Dengan jantung berdegup kencang dia menjauhkan diri
dari jendela.Dia segera kembali ke ruang tamu.
Entah-entah perempuan tu,jiran yang
tinggal di rumah belakang tu tak? Gilalah aku ni. Apasal aku lari pulak?
Gelengnya terasa bodoh tiba-tiba..
BAB 6 [ENAM]
BAB 6 [ENAM]
DAH sejam lebih dok
termenung macam tu!” gerutu Huwaida memerhatikan Humaira yang hanya termangu
merenung komputernya yang ditempatkan di sudut ruang makan.
Bahagian itu jadi pilihan Humaira
memandangkan ruangnya yang lebih luas. Cukup kondusif kerana berhampiran
jendela dua panel menghadap landskap hadapan.Sebuah lagi jendela tiga panel
terdapat di dinding sebelah kanan.
Potret ibu mereka, Zainon awal-awal lagi
sudah dilekapkan ke dinding menghadap meja yang menempatkan set komputer
tersebut. Di belakang Humaira, terdapat sebuah meja makan yang panjang. Meja
itu asalnya diasak ke tepi dinding berhampiran jendela oleh pemilik asal.
Tetapi sudah dialihkan semula ke tengah oleh Huwaida yang memang hobinya
menyusun atur semula perabot rumah.Semua kerja dilakukannya sendiri. Huwaida
memang lasak dan kalau tidak keterlaluan, memang boleh dikategorikan sebagai
wanita perkasa.
“Tengok tu, langsung tak memandang
keliling!” Humaira tidak menyedari perbuatan Huwaida yang sedang mengkritik
aksinya.
“Penulis memang kuat berangan Nak ajak
berborak pun payah. Bosan aku!” Huwaida mendengus.
Humaira yang tidak sedar dirinya diperhatikan,
terus termenung. Sedikit pun tidak berkalih. Tidak pasti ke mana fokusnya.
Komputer? Komputer tersebut belum dipasang. Wayarnya masih bersanggitan.Atau
Dr.. Damyral lagikah?
Memang itulah yang sebenarnya. Dia sedang
tenggelam dalam lautan khayal mengenang Dr.. Damyral. Balik-balik ingatan
terhadap lelaki itu juga yang mengisi halaman memorinya.Dia tewas. Bahkan
berasa aneh.Apa sebenarnya yang menimpa dirinya kini? Sungguh berbeza dengan
sikap tidak endahnya dulu. Dulu perkataan ‘feveret’nya menyentuh lelaki ialah, “Apa ada pada lelaki,
lelaki boley blaah!” Termasuk Dr.. Damyrallah agaknya. Kononnya!
“Wei!” Huwaida
memanggil tumpuan kembarnya itu dengan teriakan. Bila Humaira tidak terkesan,
dia mengambil sebuah bantal Panda dan membaling tepat dikepala Humaira.
Humaira yang terhumban keluar daripada
lamunannya menoleh terkejut. Terbata-bata dia.Kemudian, dia mendengus geram.
“Aku ni dapat kembar jantan!” gerutu Humaira geram.
Huwaida pula terus menyambung
leterannya. “Siap aje satu novel, cepat-cepat kau menyorok. Lari daripada boyfriend kau. Walhal, sebelumnya kau
juga yang terhegeh-hegeh mencari calon Mr Love konon. Tapi bila kerja kau
selesai, manuskrip dah dicetak jadi buku, senang-senang aje kau tinggalkan
mereka.” Huwaida mencebik.
Humaira menarik nafas yang terkepung. Dia
menggaritkan sedikit hujung bibirnya. Kemudian kembali menghadap komputernya.
Malas melayan.
“Mentang-mentang dah enam kali kau
terlepas, kau buat lagi. Sekarang apa kes? Tengoklah sendiri apa kesudahan cinta
ke tujuh kau, si Azril tu!Tengoklah bala yang terpaksa kita tanggung lepas kau
tinggalkan dia. Kau dan aku-aku sekali
terpaksa cabut lari dan bersembunyi di tempat tersorok macam ni.Kesian
anak-anak kat tadika aku tu!”
Humaira menoleh dengan matanya mencerlung pada
kembarnya. Berdesing juga telinganya ditegur Huwaida secara tidak berlapik
seperti itu.Sentap!
“Kau ingat senang ke nak cari teacher sebaik aku?Tak ramai sanggup
bimbing kanak-kanak nakal macam tu!”
Huwaida yang bertubuh besar memang gemar
bermain dengan kanak-kanak.Tapi kanak-kanak itu juga tidak berani melawannya
kerana aura yang ada padanya. Mereka patuh pada setiap arahannya. Mungkin juga
takut.
“Kerana kau, hancur kerja aku!” bebel
Huwaida lagi.
Dia tidak puas hati sebenarnya. Sejak
berpindah ke situ, Humaira semakin kerap bermenung. Apahal dengan dirinya?
Sudah tentulah dia rasa keseorangan. Sudahlah terpaksa berhenti kerja semata-mata
kerana ‘gara-gara’yang dicetuskan oleh kembarnya yang cantik itu. Terpaksa pula
bersembunyi hingga ke hujung negeri. Ironisnya, orang yang ditemani, syok
sendiri. Sebilang waktu asyik melayan fikiran sendiri.
“Dahlah aku ni tak kenal satu orang pun
kat sini.Kecuali taukeh kedai runcit
hujung kampung tu. Lepas tu, kalau nampak aku mulalah nak tersengih-sengih.
Geli!”Humaira hanya mengetap bibir mendengar.
“Lepas ni kalau dia menggatal lagi, aku
acu penumbuk femes aku ni ke muka dia.” Humaira tergeleng melihat Huwaida
mengepal penumbuknya. Taukeh kedai mana pulak syokkan Huwaida ni...tersenyum
dia.Ada-ada saja Aida ni!
“Tujuh novel kau Aira. Bermakna dah
tujuh kali kau bercinta dan tujuh kali pula ‘kita’ jadi pelarian terpaksa
pindah randah. Tak betul cara kau ni!”
Mendengar itu, Humaira perlahan-lahan
memusingkan kerusinya 90darjah menghadap Huwaida. Namun fokus sebenarnya ialah
ke garis infiniti. Ada elemen lain masih membesarkan sarangnya di minda novelis
terlaris itu. Elemen yang berinitialkan huruf D. Dr.. Damyral!
“Berhentilah menghamun aku,
Aida...fikiran aku tengah dibejat ni.” Akhirnya Humaira membalas.
Dia memusingkan
kembali kerusinya lalu mula melekapkan plug wayar monitor ke CPU. Selesai, dia
menggerak-gerakkan tetikus sambil menanti tindak balas kusor. Sengaja mengelak
kerana enggan melayan bebelan Huwaida.
“Kau tau?Kataorang dulu-dulu,tujuh kali
pindah ni, boleh jatuh papa kedana tau tak? Fikirlah Aira, sampai bila kau nak
lari dari mangsa-mangsa kau tu? Minta maaf sajalah pada semua teman lelaki tu,
senang cerita!” Huwaida mengangkat kening menanti respons Humaira. Akhirnya dia
bersandar, bila Humaira tidak memberikan reaksi.
Dia tahu Humaira sengaja pura-pura menyibukkan
diri memasang gajet yang sudah berusia lebih dua tahun itu. Macamlah dia tak
kenal fi’il kembarnya itu.
“Bayar ganti rugi okey jugak. Tak payah
kita nak lari lagi.Aku penatlah,” keluhnya lagi lalu menyengih memandang
Humaira.Tiba-tiba teruja dengan idea
spontannya berkaitan royalti itu. “Eh...
royalti novel kau kan banyak, no problem kan kalau nak bayar ransum?”
Humaira tidak kuasa melayan.Dia
pura-pura memberi konsentrasi pada komputer peribadi yang belum dipasang.
Setelah seminggu baru hari ini alat telekomunikasi tersebut disentuhnya.
Sebelumnya jika perlu menaip, dia akan beralih pada netbook dan ipadnya sahaja.
Lebih mudah meskipun mata tak puas melihat.
Huwaida menipiskan bibir bila Humaira
masih tidak berminat melayan ocehannya. Kasanova betina... cebik Huwaida geram
Sebenarnya, jauh dalam hati Humaira, dia
mengakui kata-kata Huwaida itu betul. Dia sedar dia salah. Perbuatannya salah.
Konsepnya juga salah!
Teguran Huwaida itu mengingatkannya pada
Azril, bekas teman lelaki terbarunya. Juga yang ketujuh. Baru saja dia
memutuskan hubungan mereka. Lelaki itulah punca dia mengheret kembarnya itu
tinggal di kotej yang jadi kediaman mereka sekarang. Dia takut pada Azril!
Setelah MOU selesai ditandatangani, dia
cepat-cepat mengucapkan ‘sayonara’ pada cinta ke tujuhnya itu.Kenapa dia berbuat
begitu? Jawabnya mudah saja. Dia perlu tutup buku pada hubungan mereka. Itu
mesti. Sejujurnya dia amat pantang jika teman lelakinya memaksa dia kahwin.
Azril, dan lima lagi yang lain memang
tidak menyempat-nyempat mengajaknya kahwin. Dr.. Damyral tidak pula begitu.
Mungkin tidak sempat sebenarnya. Atau lelaki itu memang mengambil masa yang
lama hendak melamar teman wanitanya?
Kacau betul si Azril. Sibuk betul nak
bernikah. Hati budi keluarganya pun aku belum tau... dengusnya sebal.
Azril dan Damyral...
Seorang langit dan seorang bumi. Dia
membandingkan kedua-duanya. Tanpa sedar,dia sedang memuji yang pertama. Itulah
julung kalinya dia menghargai salah seorang daripada mereka. Kalau dulu
mulutnya itu payah hendak memuji walaupun hanya salah seorang.
Aku ni sebenarnya kenapa?Gila talak ke
aku ni dengan Damyral?Dia mengeluh lagi.
“Wei!” Sekali lagi suara nyaring Huwaida
menghentam gegendang telinganya. Sambil menumbuk meja sisi dengan tangannya
yang dikepal.
Lambat-lambat Humaira menoleh padanya.
Akhirnya membalas dengan nadacukup hambar.“Kalau tak pindah ke sini, dan tak
bergerak dari rumah sewa kita kat KL tu, kita dah mati!” Mudah-mudahan Huwaida
berhenti dan tidak lagi mengganggu fokus menungannya. Tapi kata-katanya itu
dibalas dengan tempelakan nyaring oleh Huwaida.
“Oi...tolong sikit. Yang mati bukan aku,
tapi kau!Aku mana ada rekod, mana ada kes? Azril tu bekas pakwe kau bukan pakwe
aku!” gunjingnya dengan suara melengking.
Humaira terkedu.Akhirnya tersengih sumbing.Betul jugak, bisiknya. Yang bermasalah
ialah aku, bukannya Aida.Itupun nasib baik dia nak ikut aku, simpati pula pada
Huwaida yang kini terjebak dalam permasalahannya.
Apapun, dia tahu tidak ke mananya kemarahan
Huwaida itu.Tidak kira apa yang dia lakukan, adiknya itu tetap akan mengekor ke
mana saja dia pergi. Pernahkah mereka berpisah? Sekali pun tidak!
Dulu, sebaik meninggalkan rumah keluarga
kerana bekerja, mereka berkongsi tempat tinggal yang sama. Mereka tidak pernah
berjauhan antara satu sama lain. Tidak akan pernah. Huwaida dan Humaira ialah
sepasang kembar yang tidak pernah terpisah.
Humaira melepaskan keluhannya. Jika
dulu,dia sekadar berpindah rumah kerana hendak menyepi diri seketika daripada
gangguan atau sebarang tindak balas teman lelakinya yang silih berganti
itu.Kini,keadaannya lagi teruk. Dia terpaksa lari jauh-jauh. Bukan lagi
berpindah
rumah tapi berpindah negeri terus.
Semuanya gara-gara Azril yang tidak berhenti mengasak dan mendesaknya. Mencari
dan memburunya tanpa jemu.
Kenapa mereka semua tak seperti Dr.. Damyral?
Keluhnya.Tanpa sedar dia memuji lagi lelaki itu.
Lagi?
Memang aku dah sewel... bisiknya.
Balik-balik aku teringatkan Damyral.Memuji Damyral! Kenapa asyik dia yang masuk
ke kepala aku sekarang?Argh... lelaki ni memang pantang dibuat kawan, dalam otak
kuning tu hanya ada satu saja, kahwin..kahwin!”
Kecuali Damyral, yang lain-lain tu tak
menyempat-nyempat ajak aku kahwin. Siap ada yang nak kongsi akaun. Gila! Dia
melepaskan gerutu di dada.
Apapun, teman lelakinya yang lain itu,
tidaklah seobses Azril. Lelaki itu setiap hujung minggu mengadakan ‘roadblock’
di pintu pagarnya. Humaira dan Huwaida kecut- perut dek cemas dan takut. Hari
Sabtu dengan Ahad tidak seorang pun di antara kembar itu yang berani
keluar.Menyorok saja di dalam. Toyota Caldinanya diparkir di rumah kawan.
Pura-pura, seolah-olah tiada siapa di rumah.
Kalau cool macam Dr. Damyral kan
best?Humaira mengangkat kening. Aku minta putus dulu pun, sporting aje. Dia
tersengih lagi bila ingatannya singgah pada bab Dr. Damyral.
Huwaida yang masih memerhatikannya,
tergeleng. “Angau ke?” bisiknya memanah matanya pada Humaira.
“Wei... angau ke?” seru Huwaida dari
ruang tamu yang terpisah dengan ruang makan oleh ‘bar counter’ itu.
Humaira spontan menoleh.
“Aku ni macam terkena sumpahanlah Aida.
Kebelakangan ni, kepala aku asyik teringatkan‘ex’ pertama aku dulu. Aku
termakan sumpah aku sendiri agaknya. Atau ini sumpahan Dewi Kuan Yin? Kau tau
kan aku pernah terlafaz sumpah masa melepak di Tembok Besar Cina dengan
‘ex’pertama aku tu dulu?”
“Rafiq?” tanya Huwaida.
Humaira pernah berbohong
yang teman lelaki pertamanya bernama Rafiq. Lantas dia terkedu mendengar nama
itu disebut. Berjurus dia terkaku. Sudah empat tahun dia berbohong tentang
itu.Bilalah dia mampu merungkainya dan
mengambus dosa dustanya itu. Dia mengeluh. Huwaida tidak pernah membohonginya
tentang satu apa jua. Dia cuma kasar, perengus tapi suka menolong. Tapi bukan
pembohong.
“Mulalah merapu tu...tak ada
maknanya terkena sumpah. Kau tu dah mula terima balasan dosa sebenarnya,” balas
Huwaida selamba. Tetapi, tidak didengari Humaira yang kini berkerut-kerut
keningnya mengimbas kenangan masa lalunya bersama Dr. Damyral.
BAB 7 [TUJUH]
IMBAS KEMBALI
Lokasi, Tembok Besar Badailing.
HARI itu hari ke tujuh percutian Humaira.
Keesokannya dia akan mengikut Dr.. Damyral melawat Masjid Nanguan. Hasil
promosi lelaki itu juga. Sebetulnya, dia ingin melihat sendiri cara hidup dan
budaya etnik Muslim Hui di Ningxia. Sesuatu yang mungkin bermanfaat untuk
dirakamkan ke dalam novel sulongnya nanti.
Sebelum berangkat, mereka sekali lagi ke
Tembok Besar. Sejak pertemuan kali pertama dulu, Dr.. Damyral belum pernah
ponteng menemuinya setiap hari. Hari itu hari ketujuh. Sewaktu di tempat jualan
tiket untuk ke Juyong Guan, berkali-kali Dr..Damyral bertanyakan lututnya.
Bimbang betul dia, kalau-kalau Humaira tidak mampu bertahan dengan aktiviti
yang memenatkan itu.
Humaira amat tersentuh. Terasa dirinya
dimanja. Seronok pula bila ada yang ‘sangat caring’ di tempat asing seperti
itu. Terkekeh-kekeh dia bila Dr.. Damyral pura-pura menuduhnya sengaja ke situ
lagi kerana hendak merasai pengalaman didukung kali kedua.
Sewaktu mereka berada di pos penjagaan
tembok besar itu, sesuatu terjadi. Terpempan Humaira dibuat dek Dr.. Damyral.
Pengakuan berani mati lelaki itu!
“Samada awak percaya atau tak, saya dah
jatuh cinta pada awak. Aira. Saya ni tak pandai putar belit. Apa lagi bermain dengan
kata-kata. Saya memang sukakan awak. Awak ni betul-betul dah takluk hati saya.”
Mata lelaki itu menikam tepat ke muka terkedu Humaira yang sebelum itu, sibuk
tertinjau-tinjau melihat pemandangan dari pos di situ.
Tersentap Humaira dihadiahkan kejutan
itu. Lama dia tergamam.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang sedang
menanti reaksinya itu. Namun di sebalik semua itu,datang perasaan indah
menyelit di celah-celah sanubari.
Inikah cinta? Menderu dan berulang-ulang
soalan itu bermain di benaknya.Semerta dia teringatkan manuskripnya yang kaku
seperti yang didakwa Huwaida. Kononnya, kisah cinta di dalamnya tidak hidup
kerana penulisnya sendiri tidak pernah
bercinta. Tak ada feel! Sekarang inilah peluangnya!
Hmm... tiba-tiba dia berasa malu hendak
membalas tatapan Dr.. Damyral yang asyik. Itulah pertama kali dia teruja bila
seorang lelaki mengucapkan kata cinta di depannya. Dulu, dia cukup meluat jika
dihadapkan dengan kalimah yang serupa oleh mana-mana lelaki yang meminatinya.
Dengan kata mudah, dia ‘alergik’mendengar perkataan tersebut. Mungkin kerana
itu dia tidak mahu mempunyai teman lelaki.
Tapi kini? Apakah dia dan Dr.. Damyral memang
ujud‘chemistry’ bila bersama? Secara saintifiknya, ‘love hormones’ seperti
dopamine dan fenylethylamine akan terbit berganda bila berlakunya tindak balas
kimia ini. Hormon adrenalin tiba-tiba meningkat, tinggi dari kadar biasa.
Argh... Mungkin juga dek pengaruh cuaca
di tempat itu. Suasana petang di situ,
pada ketika itu dingin lagi romantis. Manakala penampilan hebat lelaki
itu pula, memang jadi alat syaitan untuk menggoda mana-mana kaum Hawa
sepertinya.
Sambil berpeluk tubuh melawan udara
sejuk yang tembus ke dalam bajunya itu,dia memaksa diri untuk membalas.
“Saya juga tak pernah bercinta. Tak
sedalam mana pun pengetahuan saya tentang cinta. Tapi... saya akui, saya senang
bila dekat dengan awak. Mungkin dalam sedar tak sedar saya juga sukakan awak.”
Aduh... lancarnya. Gila! Patut ke sorang Hawa semudah itu mengaku akan
perasaannya secara berdepan seperti itu?
Atau mungkinkah kerana mindanya asyik
terkenangkan manuskrip novelnya yang belum siap? Dengan apa yang berlaku
sekarang, rasa-rasanya beberapa bahagian plot kini sudah boleh diubah suai. Ada
elemen syahdu perlu disuntik ke dalamnya. Sudah mampu diberi sentuhan
cinta.Pastinya adegan-adegan yang digambarkan dengan ‘feeling’ nanti, mampu
saja meruntun hati yang menghayatinya. Bak kata seorang wartawan teman baiknya
Nik Fauziah Nik Hussein, ‘menulislah dari hati, kerana ia akan menyentuh
hati-hati yang lain.’ Kini hatinya sedang diintai rasa cinta.
Dia tergelak sendiri memikirkan
manuskripnya yang tergendala itu. Membuatkan Dr.. Damyral terjongket keningnya
kerana tercengang.
“Kenapa gelak pelik macam tu?Awak anggap
lucu ke semua ni?” Perlahan dia menyoal, bingung.Aneh juga, bukankah tadi gadis
itu mengaku turut sukakannya?
Opss... Humaira menekup mulut. Aduh...
dia lupa saat itu dia sedang berdepan dengan Dr.. Damyral. Mudah betul otaknya
dilarikan sebaik-baik teringatkan manuskripnya. Memang seorang penulis boleh
berada dalam dua tiga lokasi dalam satu masa! Yang jelas, perasaan enak itu
sudah mulai bertakhta. Hatinya kini terbelah dua. Satu untuk Dr.. Damyral dan
satu lagi untuk manuskripnya. Dia menggigit bibir mengawal senyum.
“Saya... saya memang akan terlepas gelak
macam tu, bila hilang modal nak berkata-kata. Tapi betul Damyral. Saya ikhlas
sukakan awak,” katanya hendak mengambus segera aksinya yang membingungkan
doktor itu.
“Jadi tidak salah
kan kalau kita mencuba. Maksud saya meneruskan hubungan ini? Saya sukakan awak
dan awak pula sukakan saya juga. Buktinya,sedar tak sedar, sejak kita tiba di
pos ini, saya tak dengar pun awak mengeluh sakit. Dengan lutut awak yang masih
berbalut tu,” usik Dr.. Damyral.
Senyuman yang bermain di bibir Humaira
mengelopak indah. Hanya sebentar, kerana tidak lama kemudian dia mula mengaduh.
Dia bukan berpura-pura. Memang benar lututnya berdenyut-denyut sakit. Pelik
juga kerana tadi langsung tidak terasa sakitnya. Atau memang benar bahawa
mekanisme pertahanan tubuh kita ada waktu-waktunya mampu dikawal secara
psikologi.
“Kenapa awak ingatkan tentang luka saya
ni? Petang nanti kita dah nak bertolak ke Yingchuan!” keluhnya memikirkan
program yang tidak termasuk dalam itenerari asalnya. Rupa-rupanya perasaan
‘istimewa’ itu mampu meluputkan kesakitan. Humaira ketawa dalam hati. Dia
menggigit bibir sambil menaikkan keningnya. Membuatkan sepasang matanya
kelihatan bundar.
Dr.. Damyral hanya merenung ulang tayang
aksi yang pernah dilihatnya lebih dua puluh tahun yang lalu.Kini, kanak-kanak
comel yang suka bermain biji saga itu sedang tercegat di depannya. Sudah
melepasi tahap remaja. Manakala parasnya sungguh menawan! Dia menarik nafas
mengagumi.
“Tak mengapa. Awak kan ada doktor yang
menemankan percutian awak?” Sengihan Humaira semerta berganti dengan
kerut-kerut hairan di dahinya.
“Sabtu lepas, awak kata awak ni doktor
haiwan!” Dia mengingatkan.
Dr.. Damyral hanya tertawa mendengarnya. “Saya bergurau hari
tu..” jelasnya menutup dusta beberapa hari sudah.
“Jahat!” ucap Humaira. Apapun, muka berkerut
Humaira kembali jernih. Dia tersengih semula.
“Aira, tentang perasaan awak tu. Saya
harap awak tak bohong bila mengaku awak sukakan saya. Saya paling benci jika
orang bersimpati pada saya. Setengah perempuan memang mudah simpati pada lelaki
yang merayu cinta mereka. Lepas tu menyesal pula bila dah terlambat. Saya tak
nak awak menyesal. Dan saya sendiri tak
mahu kecewa. Awaklah gadis pertama yang saya cintai.”
“Berbohong tu bukan saya orangnya.”
Dengan cepat Humaira memintas.
Ada suatu rasa yang menyesak di dadanya
bila mendengar pengakuan cinta yang diulang-ulang itu.Tapi, dia mahu Dr..
Damyral tahu yang dia benar-benar sukakan lelaki itu. Dalam pada itu,gambaran
manuskripnya berulang-ulang menyerbu ke dalam kepala. Dia mengetap kuat
bibirnya bila keyakinannya mulai goyah dan keliru. Dr.. Damyral memerhatikan.
Humaira melawak cuba meyakinkannya.
“Dengan lelaki macam awak, takkan saya nak menyesal? Rugilah!” Kemudian dia
benar-benar menyesal setelah mengungkapkannya. Aku ni macam perempuan gedik... ralatnya dalam hati.
“Ada perempuan mudah menyambut cinta
lelaki. Ada juga yang pasang ‘spare’ dua tiga. Terutama yang ada rupa dan ada
gaya.” Dr.. Damyral berandaian.
“Saya ni ada gaya dan ada rupa ke?” Humaira memotong. Aik... macam perasan
pula aku ni. Akhirnya tersengih dan tersipu-sipu dia.
Dr.. Damyral menjongketkan keningnya.
“Awak nakkan pujian dari saya ke?” Gilirannya mengusik.
Humaira menghela nafas bengang. Mulut
aku memang tak ada insuran, dengusnya dalam hati.
“Aira,.. memang
awak ni penuh gaya. Awak juga sangat mencuit hati saya dengan sikap selamba
awak tu. Saya... saya selesa dengan cara awak tu.” Dr.. Damyral kemudian
kembali berserius. “Tapi, ikhlas ke awak dengan perasaan awak tu?”
Humaira spontan mengangguk.
“Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar
ni jadi saksi. Bahawa saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti
yang awak takutkan itu. Ditakdirkan suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya
tetap akan ulangi tempat ni lagi. Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan
kita. Cinta kita.” Humaira bergurau dalam serius.
Dr.. Damyral mengangkat tangan
berisyarat. “Jangan bersumpah. Tempat ni bukannya baik untuk melafaz ikrar
macam tu.Kita ni sedang berdiri atas makam ratusan ribu jiwa yang terkorban
ketika membina tembok ni dulu.” Dia mengingatkan.
Seriau pula tengkuk Humaira diingatkan
tentang itu. Akhirnya dia tergelak malu-malu. “Betul Damyral. Saya memang
sukakan awak. Kenapa pula saya mesti tipu.” Humaira memberanikan diri berterus
terang. Dia mahu lelaki itu yakin dengan kata-katanya.
Dr.. Damyral membawa Humaira ke gerai tempat
menyewa kostum tradisi. Mengekeh Humaira melihat Dr.. Damyral dalam pakaian
Pahlawan Maharaja Cina. Hatinya memuji-muji kekacakan lelaki itu.
“Habis lari ‘concubine’ Ming Emperor
kalau awak yang jadi pahlawan masa tu,” selorohnya.
Akhirnya, dia aku tinggalkan. Aku
tinggalkan dia tanpa sebarang alasan yang munasabah. Hanya kerana takut kalau
dia desak aku kahwin.Kerana apa?Kerana aku sangat takut terikat!” keluhnya
rawan. Menyesali tindakannya.
Sepanjang
tempoh dia bercinta dengan Dr.. Damyral, belum pernah sekali pun lelaki
itu membebel soal kahwin.Bukan seperti yang lain-lain.Selepas Dr. Damyral,
Humaira mencipta hubungan demi hubungan sehinggalah tiba giliran Azril. Konon
dia terpaksa.Kalau tidak,dia tidak ada‘feel’ untuk menulis manuskripnya.
Sedangkan dia beranggapan, terlalu banyak yang hendak disampaikannya pada
pembaca, Terlalu banyak!
Sesekali timbul juga rasa sesal itu. Dia tahu dia berdosa.Berdosa mempermainkan
perasaan orang lain.Tapi salah mereka juga.Mereka lelaki, sepatutnya lebih
gagah melawan perasaan... getus hatinya pula tidak mahu meletakkan 100%
kesalahan di pundaknya saja. Dia
menghapus kenangan lalu bersama Dr. Damyral. Kini memikirkan pula novel-novel
yang sudah berjaya dihasilkannya.
BAB 8 [LAPAN]
ENAM buah novelnya cukup laris hingga
dicop ‘Best Seller!’ pada kulit depannya. Yang terkini, manuskrip ketujuh dalam
proses untuk diterbitkan. Bermakna sudah tujuh novel yang telah dihasilkan.
Bererti juga, sudah tujuh kali dia menamatkan
episod cintanya. Tapi yang hendak diperkatakan ialah novel-novelnya yang laku
keras. Ramai yang bertanya, apakah formula yang digunakannya hingga menjadikan
novel-novel ini laris di pasaran macam keropok lekor.
Sungguh dia ialah Novelis Ruhi Hasrat yang sangat digilai. Dia
sendiri gagal menganalisis keadaan itu sepenuhnya.Yang dia tahu,formula
kejayaannya ialah meletakkan sepenuh
jiwa pada manuskripnya. Padanya ‘realiti’ pengalaman cinta itu perlu supaya boleh
diterjemahkan perasaan itu ke dalam setiap baris ayat yang ditulisnya hingga
menjadi sebuah novel. Dia bahkan ikut
tertawa dan menangis bersama watak-watak dalam novelnya.
Dia cuba merangsang elemen romantis ke
dalam dirinya yang dingin terhadap lelaki. Sikap dinginnya itu terusir sedikit ketika
bersama Dr.. Damyral dulu. Namun yang
aneh, sikap dingin dan egoisnya itu kembali menjadi trait personalitinya bila berada
di samping ke enam-enam yang lain itu. Apapun, dia tetap memanfaatkan setiap
pengalaman yang dilaluinya.
Satu lagi sisi Damyral yang aku tak
perasan. Dia buat aku gembira dan bahagia bila di sampingnya. Lalu atas alasan
gila apa aku putuskan hubungan kami dulu? Terasa kesal…
Dari kecil dia memang kaku kalau berdepan
kaum lelaki. Semua itu impak zaman kanak-kanak yang celaru. Dia tidak mendapat
kasih sayang daripada ayahnya. Ayahnya terlalu fokus pada anak dengan bekas
isteri pertama. Apapun, dia tetap sayangkan si tiri yang bernama Huwaifa itu.
Mereka ditakdirkan seusia, lahir pula pada
minggu yang sama.
“Tapi Aifa tu baik. Takada sebab aku nak
bermusuh dengannya biarpun dia lebih disayangi ayah...” bisik akalnya yang
rasional. “Cuma Aida harus terima bila Aifa kurang
menyukainya. Ganas sangat…” getusnya.
Sikap ayahnya yang
berat sebelah itu membuat dia dan Huwaida rasa tersisih. Lalu terbina persepsi
kurang enak tentang kaum Adam. Padanya, kaum lelaki amat menjengkelkan. Sama
saja dengan ayah mereka. Natijahnya, dia turut gagal memupuk hubungan baik
dengan guru-guru lelaki di sekolah. Malah, sangat ‘anti’ dengan mereka. Huwaida
tidak pula begitu.Samada kerana dia lebih fleksibel, atau kerana dia memang
tidak banyak bergaul. Atau sebenarnya kerana dia jarang dirapati lelaki.
Humaira teringatkan perkenalannya dengan
Amir Rizal. Ketua pelajar di sekolahnya dulu. Hubungan itu tidak lama kerana
berpunca daripada sikap pongahnya. Dia rimas bila teman lelakinya itu tidak
henti mengutus surat cinta. Bukankah setiap hari mereka terserempak di sekolah?
Perlukah surat-menyurat segala?
Kerana asyik ditempelak, Amir Rizal ambil
keputusan meninggalkannya. Tidak jadi masalah buat Humaira. Bukannya dia cinta
pun. Semua gara-gara hendak lari daripada tindakan disiplin. Humaira suka tuang
latihan rumah. Amir Rizal pula merupakan Kapten Rumah Merah. Memang kes
disiplin tidak pernah lekat!
Bermula peristiwa itu, dia tidak lagi cenderung
hendak menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki. Sehinggalah sembilan tahun
kemudian bila dia berjinak-jinak menulis novel. Keterujaan menulis itu lahir
setelah membaca sebuah novel, “Kuala Lumpur Di Mana Suamiku.”Bertolak dari
situ, cita-citanya hendak menulis novel sentiasa membara.
Pekerjaannya sebagai setiausaha agak merimaskan.
Apalagi bila wajah cantiknya itu sentiasa jadi buruan majikan dan kakitangan
lelaki di pejabatnya. Senario klise itulah
yang merangsangnya menulis bila berada di rumah. Jalan cerita melimpah ruah
dalam kepala.Tapi kenapa manuskripnya seperti tidak hidup bila idea-ideanya itu
digarap?
Kreativitinya terbejat dalam konteks
menghidupkan ceritanya. Kata kembarnya Huwaida yang jadi pengedit tidak
rasminya, ceritanya kaku! Kaku lagi beku. Cerita hebatnya gagal meruntun perasaan
pembaca. Jalan cerita menarik.Tapi tidak ada X-faktor. Kononnya! Humaira
memutuskan untuk mempraktikkan teori yang bersarang dalam kepalanya saat itu.
Dia perlu bercinta! Dia perlu melalui sendiri
pengalaman bercinta. Mungkin sesudah itu, barulah dia mampu menjiwai
tulisannya. Atau menyuntik elemen X-faktor yang dikatakan Huwaida itu. Dia
percaya kaedah itu yang paling praktikal dan dijamin berkesan! Lantaran itu,
dia memulakan percutian kedua di Beijing sebagai resolusinya.
Huwala! Kota majestik itu berjaya menemukannya
dengan cinta pertamanya.Dialah Dr.. Damyral. Hero pertama novelnya!
Satu cinta untuk satu novel! Setiap
novel yang dihasilkannya pasti ‘tangkap leleh’ Novel pertamanya, Akukah Yang
Berdusta membuatkan dirinya dibayar royalti lebih seratus ribu ringgit!
Novel keduanya, Landasan Terakhir Cinta
lebih hebat kerana diulang cetak lebih sepuluh kali. Tetapi sebaik-baik Landasan
Terakhir Cinta terbit, berakhirlah juga hubungannya dengan seorang Pensyarah di
UM, Amirul Ansari.
Untuk novel ketiga “It’s Complicated.” Dia
terjebak dengan seorang arkitek muda Kamal Asfahan yang turut berada dalam
pesawat yang dinaikinya bersama Huwaida ketika penerbangan mereka kePhuket. Itu
cinta ketiganya.
Ada empat lagi episode cintanya sesudah itu.
“Oi... lamanya berangan!” Humaira
terhumban keluar dari lamunannya bila dijerkah lagi dengan kasar oleh Huwaida. Diamenoleh. Huwaida membuat mimik mengejek sambil
memandangnya.
“Yang mana satu menyemak dalam kepala
otak kau sekarang? Yang pertama? Kedua?” Huwaida mengejek. “Atau tengah
menyesal kerana meninggalkan mereka semua tu? Maklumlah orang ramai peminat. Satu
pergi, gerenti sepuluh mari!” sindir Huwaida.
“Aku tak sedih bila putus hubungan
dengan mereka, Aida. Tapi yang peliknya sekarang aku mula berasa amat sedih
kerana meninggalkan lelaki pertama yang aku jatuh cinta dulu...” akuinya tanpa
berselindung.
“Oh... yang kau jumpa di Beijing tu?”
Humaira mengangguk sedih.
“Aku rasa, perasaan
aku sebenarnya ikhlas menyayanginya. Baru kini aku terasa.” Huwaida
memuncungkan bibir.
“Cinta pertama memang istimewa sikit.
Payah nak lupa.” Humaira mengangguk mengiakan kata-kata Huwaida.
Peristiwa dia memutuskan hubungan dengan Dr..
Damyral dulu kembali menggempur ingatan.Dia memasuki alam lamunannya sekali
lagi.
BAB 9 [SEMBILAN]
|
Babak-babak dia menoktahkan hubungan cinta
dengan Dr.. Damyral kembali mengopak pintu ingatan. Mereka memilih lokasi
pertemuan di Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya. Jambatan yang rekabentuknya
seakan-akan sebuah jambatan yang terdapat di Paris. Sebenarnya rumah Dr.
Damyral tidak berapa jauh dari lokasi
itu.
Bunyi hentakan sepatu kian lama kian
hampir. .Humaira yang sudah lama gugup,
cemas berpaling menanti lelaki yang sedang mara ke arahnya itu. Getar di
hatinya hanya TUHAN saja yang tahu. Dari jauh, senyum sudah terukir di bibir
lelaki tampan itu. Humaira serba salah. Sekejap-sekejap diketap bibirnya.
Hembusan nafasnya sudah tidak sekata.
“Tak menyempat-nyempat nak berjumpa. Saya
sepatutnya on call ni. Mujur Dr..
Hillman Aman mahu menggantikan.” Itu kata-kata pertama yang terluah dari bibir
Dr.. Damyral setelah berjurus lamanya mereka hanya bertentang mata dalam diam.
Dia belum tahu tujuan Humaira mengajaknya berjumpa.
Kasihan!
Berat hati Humaira hendak melontarkan
apa yang terpendam di hatinya. Berjurus lamanya dia hanya terkebil-kebil.
Teragak-agak hendak menyampaikan. Bagaimanakah reaksi Dr.. Damyral menerima keputusannya
itu nanti? Dia semakin berdebar-debar.
“Kenapa membisu ni, sayang?” Dr..
Damyral mula terasa kelainan itu. Wajah Humaira amat serius. Bagaikan memendam
sesuatu yang amat berat.
“Boleh tak kalau awak jangan panggil
saya sayang. Seriaulah... Tegak bulu roma saya mendengarnya,” pinta Humaira
yang berasa canggung dengan keadaan itu.
Dr.. Damyral tergelak. “Awak lupa ke
yang awak juga suka panggil saya begitu?” Dia mengingatkan.
Terkemap sesaat Humaira dibuatnya.
Cakap-cakap Dr.. Damyral itu memang betul. Argh... payah!
“Beritau sajalah. Awak ada masalah ke? Come on Aira, luahkan!” ungkap Dr..
Damyral yang menyangka Humaira mungkin perlukan stimulan ataupun motivasi untuk
berhadapan dengan masalah yang sukar. Meskipun dia sebenarnya sudah mula
tercium sesuatu yang kurang enak akan berlaku. Sixth sense yang dimiliki seorang
perawat profesional.
Humaira cuba fokus. Sepasang mata
beralis lentik itu ditenungnya tepat-tepat. Sambil menarik nafas
sedalam-dalamnya, dia melepaskan apa yang sejak tadi dikemam lidahnya kerana
tidak tergamak.
“Damyral... awak ni sporting tak?” tanya Humaira yang
sudah terus dicengkam rasa bersalah.
“Selalunya begitulah. Tapi kenapa?”
soalnya terasa kelainan suasana.
“Begini. Entah kenapa, saya baru sedar yang
saya hanya sukakan awak. Tapi, untuk menyatakan yang perasaan itu adalah cinta, ia agak ironi. Awak rasa,, kita ni terburu-buru sangat
tak?”
Humaira agak panik menanti reaksi pakar
kesihatan di depannya itu. Namun dia lega kini kerana sudah berjaya melepasi fasa tersebut. Meskipun
bergemuruh dadanya.
Dr.. Damyral hilang kata-kata. Terasa
seolah-olah jambatan itu mulai runtuh lalu perlahan-lahan menghempap sekujur tubuhnya.
Nafasnya bagaikan menyumbat dan terkumpul di rengkung. Senyuman yang menghiasi
bibirnya tadi hilang terus. Namun dia gagah mengawal amukan perasaannya.
Suaranya digumam. Gagal terluah. Tidak disangka khabar ngeri itu yang hendak
disampaikan Humaira!
“Kita sepatutnya berkawan saja. Terserah
kalau akhirnya berkesudahan dengan cinta ataupun tidak. Takdir tak terlawan
kan? Tapi...” Humaira dengan segala susah payah mengangkat dagu memandang Dr.. Damyral.
“Tapi... setakat ini, apa yang saya rasa
bukanlah cinta. Mungkin saya gembira berkawan dengan awak. Ya…itu saja. Saya
yakin sekarang, apa yang saya rasakan itu bukannya cinta.” Humaira menarik
nafas lega usai saja meluahkan segala isi hatinya.
Dr.. Damyral terus kaku. Paras lela di
depannya itu ditenungnya semacam. Hati di dalam argh... alangkah hibanya!
Dia memerhatikan bibir yang bergerak-gerak
meluncurkan ratusan perkataan berbisa yang tidak lagi mampu ditampung deria
dengarnya itu.
Bukankah di Beijing dulu dia pernah
bertanya samada Humaira benar-benar sukakannya atau sekadar bersimpati? Dia
mahukan satu kepastian. Kerana bila bercinta dia tidak olok-olok! Dia bertanya
kerana mahu mengelak dirempuh tragedi yang mampu meragut bahagia seperti apa
yang menimpa dia sekarang ini. Ketika di Beijing dulu, Humaira tika itu dengan
lantang mengakui tentang perasaannya tanpa sebarang rasa sangsi.
Kata-kata bersumpah Humaira dulu kembali
tengiang-ngiang. “Saya sumpah Damyral. Biar Tembok Besar ni jadi saksi. Bahawa
saya memang sukakan awak. Saya takkan menyesal seperti yang awak takutkan tu. Ditakdirkan
suatu hari, awak tinggalkan saya pun, saya tetap akan ulangi tempat ni lagi.
Demi meraikan kenangan istimewa pertemuan kita. Cinta kita.” Gadis itu dengan
beraninya bersumpah yang dia memang menyukainya.
Kenapa harus menukar prinsip semudah
itu? Sekarang siapa yang meninggalkan siapa? Akhirnya sambil memaksa dirinya
bertenang, Dr.. Damyral membalas ungkapan Humaira dengan sebuah senyuman
pura-pura. Berombak dadanya bergelut dengan nafas yang menyesak dan mengempang.
“Saya juga pernah terfikir ke situ.
Tetapi serba salah hendak mengakui kebenaran itu. Nampaknya perkara sudah jadi
mudah sekarang. Betul tak?” balasnya tanpa membuang senyum. Dapat didengar
suaranya bergumam sebak. Telinga Humaira saja yang tumpul untuk mengesan semua
itu.
Mendengar itu Humaira tergelak-gelak
kecil.
Relif!
Kalaulah Humaira benar-benar menatap
anak mata lelaki itu. Atau merenungnya dalam-dalam. Akan nampaklah betapa di
situ terpahat berjuta kesedihan. Cuma dia lelaki. Lalu dia mengawal kukuh
benteng air matanya.
Dia benar-benar cintakan Humaira.
“Jadi, no hard feeling ya. Kita berpisah secara baik?”
Dr.. Damyral mengangguk.Masih belum
lekang senyum yang dipaksakan di bibirnya. Meskipun kalbunya bagaikan
disiat-siat.
“Ya... kita berpisah secara baik. Kerana
awak yang mahukannya begitu.” Dia mengiaskan perasaan halusnya.
Sungguh ia bahasa tersirat yang gagal
ditangkap Humaira. Ditatap oleh Dr Damyral puas-puas akan wajah indah yang sudah lama bersemi di
halaman cintanya itu. “Aira...”
Humaira yang baru hendak melangkah
menuju ke tempat parkir tertegun. Pantas dia berpaling menghadap Dr.. Damyral
yang tegak menanti.
“Jangan pernah menyesal dengan perpisahan
ini. Mungkin ini yang terbaik. Jalanilah hidup seperti biasa. Saya tak apa-apa.
Hidup ini umpama roda pedati. Oleh itu sentiasalah bersedia. Ingat tu!”
Humaira berasa aneh dengan pesanan
terakhir lelakinya itu. Namun, dia tetap mengangguk sebagai ganti ucapan terima
kasih.
Ditatap lagi oleh Dr.. Damyral sepuas-puasnya
akan wajah yang bakal meninggalkannya itu. Apabila yakin Humaira tidak akan
menoleh lagi, dia membiarkan air matanya gugur beberapa titis.
Humaira meninggalkan tempat pertemuan
itu dengan perasaan yang cukup lega. Tapi tahukah dia apa yang sudah
dilakukannya pada lelaki yang benar-benar ikhlas mencintainya itu? Kasihan Dr..
Damyral... Kakinya seolah-olah tidak berjejak lagi pada lantai jambatan.
“Aku benar-benar mencintaimu...” lafaz
Dr.. Damyral amat sedih.
Sambil pandangan sayunya merenung Toyota
Caldina hitam yang sudah mula bergerak meninggalkannya untuk ghaib buat
selama-lamanya itu.
“Seperti dia yang telah pergi, aku juga
harus pergi dari sini. Aku akan pergi jauh. Jauh sekali. Kau takkan jumpa aku
lagi Aira. Tak sanggup aku terserempak denganmu sekali lagi. Hatta untuk
melihat tempat di mana pernah ada bekas tapak kakimu,” raung batinnya yang
tersangat hiba. Hatinya sungguh luka. Amat luka.
Humaira takut untuk terikat lama pada
satu-satu hubungan. Dirinya yang tidak suka dikongkong, akan terlonta-lonta mencari
eskapisme. Dia takut berkahwin. Tambahan pula bila sang kekasih mula memantak
isu hantaran dan perkahwinan ke telinganya.
Aku takut diserang trauma... bisiknya.
Bagaimana kalau lelaki itu juga sama saja seperti
ayah? Hanya sayangkan anak isteri pertama? Manakala anak-anak dengan isteri
kedua pula ditiri-tirikan. Ah tak
sanggup aku! Dia menghempas nafas.
Memikirkan risiko dijebak oleh lelaki
seperti ayahnyalah, maka dia mencari cara terbaik untuk segera mengucapkan salam
perpisahan. Lagipun, bukunya sudah hampir hendak terbit. Apa lagi?
‘Mission
accomplished!’
2 comments:
wahhh.. hebat kak najwa.. ^_^ sampai ke beijing nk dpt maklumat..
masuk Bab 4 sekarang..sila hayati ea
Post a Comment