Tuesday, March 18, 2014

Salam pada semua.

Okey, hari ni kita nak beralih dengan kisah BENAR hasil karya penulis ini. Siapa suka misteri angkat tangan? Hehe. Penulis ini merupakan penulis yang otai Alaf 21, Novelist Haiza Najwa. Ini merupakan novel yang ke-8. Penulis yang perlu di UNDI dalam pencalonan ANUGERAH GRUP BUKU KARANGKRAF 2013.

Suka dengan idea penulis, di mana pelajar-pelajar sekolah asrama dan cikgu Mazriezal membongkar misteri kematian bekas seorang pelajar sekolah yang dikatakan membunuh diri akibat terlanjur cinta. Tapi mustahil bagi pelajar bijak melakukan perbuatan sebegitu? Cikgu Masriezal pula dituduh penyebab Dania mengandung! Macam best aje, macam misteri aje kan?

JOM, kita layan dulu TEASER dari novel POTRET DUA WAJAH! Pasti meremang buku roma!

Malam itu, dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, Bibiey, Iman dan Jijah terserempak dengan beberapa pelajar lelaki yang menghala ke arah yang sama. Iman menyindir Firdaus kerana berjalan tertunduk-tunduk tanpa menyedari bahawa dia sedang
beriringan dengan mereka. Firdaus lantas mengangkat kening sebagai isyarat menyapa.

“Kita dalam perjalanan ke rumah ibadah, hentikanlah berbuat maksiat. Masing-masing dah ada wuduk, tapi masih mahu berzina dengan mata,” tegur Nik Hazuan yang jarang-jarang kelihatan bersama kumpulan pelajar lelaki itu.

Bibiey mencebik lalu menarik lengan Iman dan menyuruh rakan-rakannya yang lain supaya melangkah lebih pantas untuk mendahului kumpulan pelajar lelaki itu.

“Ehem.. kau tu pun sama Iman, tegur mereka buat apa?” Bibiey terkilan.

“Eh, kat kelas mereka tu bukan main rancak berborak dengan kita! Kat surau kena tukar imej pulak ke? Macamlah aku ada feel kat mereka! Langsung tak ada thrill! Semuanya serabai. Lagipun aku tegur cikgu tuisyen aku tu aje.” Iman mempertahankan tindakannya. Memaksudkan Firdaus yang selalu membantunya menyelesai masalah dalam subjek Matematik Tambahan.

Jijah dan Wawa ketawa. Hanya Anis yang diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Eh, Nik Hazuan tu smart apa!” bela Jijah. “Dia dengan Nazuan lebih kurang aje. Handsome!”

“Smart sekejap, bila gel kat kepala tu dah cair, serabailah balik!” balas Iman lalu tersengih.

“Mak datuk mulut kau! Nak ke surau, tapi mengata!” marah Bibiey lagi. “Memuji hanya kepada Allah...” Dia bertazkirah. “Sesama manusia pulak, jangan mengumpat...”

“Ya tak ya jugak, besok aku minta maaf kat dia!” balas Iman selamba.

“Mana si Aisyah Kepoh dan teamnya tu? Tak nampak batang hidung pun?” soal Anis.

“Daruratlah tu!” Iman meningkah.

“Takkan semua sekali kut?” Anis menyoal hairan.

“Biasalah tu... kan geng boria tu! Boria Pulau Pinang. Boria anak mami,” balas Iman lalu ketawa kecil.

“Setahu aku yang bercakap tu yang memegang status anak mami!” perli Bibiey. Iman membuat muka cemberut. Dia cukup marah dengan gelaran anak mami yang dilabelkan kepadanya itu. Disebabkan irasnya yang ala-ala Hindustan itu.

“Kau tu tak tahan gurau, cuma kau aje yang boleh kenakan orang. Bila kena diri sendiri, datanglah baran kau tu!” tegur Jijah.

Iman membiarkan kata-kata itu berlalu. Ada sesuatu yang lebih memukaunya daripada tempelakan sinis Jijah itu saat ini. Sesuatu yang mengejutkan.

“Damn!” terdengar dia menyeranah sendirian.

Mata Iman terpaku ke satu arah. Dia asyik memerhatikan kelibat kain putih yang sedang mengibas-ngibas seperti ditiup angin di puncak pokok beringin yang mengatasi ketinggian bumbung surau itu. Dia bertasbih dengan agak kuat. Rakan-rakannya menoleh ke arahnya dengan rasa hairan.

“Kenapa Iman?” Jijah yang sudah berkerut dahinya kerana kehairanan, menjungkitkan bahunya.

Iman menggerakkan bahunya. Mengisyaratkan tidak ada apa-apa yang perlu dihebohkan. Jijah mendengus agak kuat. Tidak puas hati.

“Dinginnya angin malam ni. Tiba-tiba aje pulak tu!” keluh Bibiey berasa seriau.

Iman mengerling ke arah Bibiey seketika dan kemudian menapak ke hadapan dengan lebih laju. Dia mendahului mereka masuk ke dalam surau. Kelibat yang dilihatnya tadi menggegar sedikit pertahanan batinnya walau pun tidak sepenuhnya. Perlakuannya yang terkocoh-kocoh itu menyebabkan rakan-rakannya diserbu rasa hairan.

Ketika di dalam surau, Iman bersimpuh di saf belakang. Matanya melilau ke saf hadapan yang belum dipenuhi. Dia bangun semula. Hasratnya hendak menambah bilangan jemaah pada saf ketiga yang masih jarang. Biar rapat. Syaitan tidak mampu mencelah di antara saf yang rapat.

Tiba-tiba dia terpandangkan Aisyah di sebelahnya yang sedang berteleku di atas sejadah. Dia sedang menekup sebelah mukanya dengan telekung yang dipakainya. Gadis itu hanya memandang ke sebelah kanan, seolah-olah sedang mengelak pandangannya daripada bertembung dengan sesuatu di
sebelah kirinya. Iman menghampiri gadis itu dan sama-sama duduk bersimpuh.

“Kau menangis ke Syah? Ada masalah?” Tidak lagi kasar nadanya seperti sebelum ini.

Aisyah menggeleng. Dia melepaskan tangannya tetapi masih menunduk. Matanya mengerling ke arah Iman. Dia berasa pelik dengan keramahan drastik senior sombong itu.

“Aku fikir kau menangis tadi. Kadang-kadang aku ni memang snobbish sikit tapi aku tak dapat tahan perasan aku bila melihat orang dalam keadaan sugul macam kau ni. Susah betul jadi orang baik macam aku!” Iman cuba berseloroh.

“Kalau Syah tahu macam ni, lebih baik masuk sekolah lain aje!”

Iman mengerut-ngerutkan dahinya kurang memahami keluhan Aisyah. Lalu menarik jari-jemari Aisyah yang menutup mukanya, perlahan.

“Apa halnya ni? Beritahulah Kak Iman. Ni tak pasal-pasal nak tukar sekolah. Apa hal?” Iman masih gagal membaca permasalahan juniornya itu.

“Kak Iman, pandang ke jendela sebelah kiri!” ujar Aisyah dengan nada gementar.

Iman hanya menurut. Dia membulatkan matanya dan selepas beristighfar, dia kembali memandang Aisyah. ‘Tadi kat atas... sekarang kat bawah pula. Ekspres betul,’ bisiknya.

“Itu fenomena biasa. Relakslah. Aku ada, buat apa takut! Aku pun nampak benda tu tadi! Buat tak tahu aje! Tadi dia kat atas. Penat agaknya, jadi dia turunlah. Sekejap dia ada... sekejap tak ada,” seloroh Iman.

“Macam tu Kak Iman kata fenomena biasa?” Aisyah pula mengerut-ngerutkan dahinya. Kaget dia menatap wajah seniornya itu.

“Yalah. Biasa. Alam ni kan menjadi habitat pelbagai makhluk dan benda, termasuk jugak kita, Syah! Tidak kira entiti itu bernyawa atau sekadar makhluk dari alam ghaib. Mereka juga sah dikira penghuni alam ciptaan Tuhan ini. Kadangkala deria keenam kita mengheret kita agar terserempak dengan benda-benda macam tu, relakslah... Buat apa takut? Kita ni makhluk yang lebih tinggi darjatnya daripada mereka,” jelas Iman bersahaja.

Aisyah menggeleng. Kata-kata seniornya itu tidak dapat diterima oleh akalnya.

“Syah rasa nak terimalah semula tawaran sekolah integrasi tu. Tak sanggup nak duduk di sini lagi kalau macam tu punya bahana pun, Kak Iman kata fenomena biasa.”

“Eh, kat mana-mana sekolah berasrama penuh pun, benda tu gerenti ada punya! Entah-entah di sekolah integrasi benda tu siap tinggal di dalam kelas lagi, siapa tahu? Anggap aje benda tu sebagai aksesori dan dekorasi sekolah berasrama
penuh!”

“Mulut Kak Iman ni betul-betul laser!” Aisyah menunjukkan wajah ketakutan.

“Biasalah... dia pun makhluk ALLAH juga. Cuma dia makhluk yang telah dilaknat. Mungkin dia mengintai tu kerana kesal tidak berkesempatan berbuat seperti apa yang kita buat sekarang ini. Mendirikan solat dan berbuat ibadah. Mungkin juga dia menyesal kerana tidak menjiwai puisi Tun. Dr. Mahathir, iaitu ‘Perjuangan yang Belum Selesai’. Jadi, kita yang masih hidup ini, ambillah iktibar. Selesaikan perjuangan untuk ukhrawi kita agar tidak terintai-intai seperti benda tu bila kita dah berhijrah ke alam yang satu lagi nanti. Biar mati kita dalam husnul khotimah!”

Aisyah merenung wajah Iman. Sukar baginya hendak mempercayai kata-kata nasihat itu yang terluah dari bibir Iman. Namun, nasihat Iman yang berbaur dengan kata-kata jenaka itu membuatkan dirinya lebih tenang. Emosinya kembali stabil. Ketakutan juga semakin pudar.

“Masa mula-mula masuk ke sekolah ni dulu, saya ingat
Kak Iman sombong orangnya.”

“Mungkin raut wajah Kak Iman yang macam artis Bollywood ni yang buat muka Kak Iman nampak sombong!” Spontan Iman menjawab.

“Eii... perasannya Kak Iman ni!”

Tiba-tiba seorang senior yang merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar, juga Penolong Ketua (MPP), yang berada di saf hadapan menegur Aisyah. “Tak tahu diam ke, hah pendek?” Dia mempamerkan wajah garang.

“Hei... Nadwa, ini surau kan? Biar beradab. Jangan nak tunjuk garang di sini. Muka kena manis! Lagipun muka yang kau buat tu tak menakutkan langsung!” Iman cuba membela Aisyah.

Aisyah tersenyum. Wakil MPP bernama Nadwa itu, membalas teguran Iman dengan wajah kelat. Senyuman Aisyah itu seakan-akan menempelaknya. Terasa dia sebagai Penolong Ketua MPP, telah diperlekeh oleh seorang yang rendah tarafnya berbanding dirinya.

Kasihan Aisyah!

Secara tidak langsung dan tanpa disedari, Aisyah telah menempah seorang musuh kronik pada hari pertama dia berada di SMTSU. Yang pasti, itu bukanlah pertemuan terakhir Nadwa dengan Aisyah. Nadwa yang amat pantang diperlekeh-lekehkan itu menyimpan agenda di kepalanya hendak mengajar Aisyah suatu hari nanti!

Di saf belakang, ada mata-mata yang kehairanan, sedang memerhatikan Iman dan Aisyah. Jijah, Bibiey dan Wawa berasa pelik melihat Iman melayan Aisyah dengan sopan dan ramah sekali. Setahu mereka, Aisyah dan rakan-rakannya cukup fobia dengan Iman. Tetapi tanda-tanya mereka terusir sebaik sahaja kedengaran muazin yang dilaungkan oleh Nazuan
begitu merdu sekali pada malam itu. Tersentuh hati mereka yang mendengar. Begitu terasa akan keagungan Ilahi.

“Ah, Nazuan... suaramu benar-benar memukauku!” gurau Jijah. Rakan-rakannya menahan diri daripada tergelak.

“Hormat azan!” tegur Bibiey dan masing-masing patuh.

Selesai azan, Bibiey menghulur sedikit tazkirah.

“Kita sepatutnya menjawab azan bukan bercakap-cakap ketika azan. Azan ini diilhamkan oleh malaikat dalam mimpi Abdullah bin Zaid dan Sayyidina Umar ra. Iaitu setelah Junjungan kita bermusyawarah mencari jalan bagaimana hendak memanggil para jemaah solat di masjid. Kemudian
diajarkan kepada bilal oleh Abdullah bin Zaid, bila disuruh Baginda Rasulullah SAW . Bait-bait azan itu ilham daripada malaikat tersebut dan jika yang datang itu daripada malaikat, apa maksudnya? Cuba guna akal logik!”

Bila masing-masing terpegun, Bibiey menyambung. “Setiap sesuatu yang terjadi adalah menurut kehendak-Nya!”

|LIKE|SHARE|COMMENT| Alaf 21
layari web Alaf 21 di http://alaf21.karangkraf.com/

Pembelian menerusi Karangkraf Mall • http://mall.karangkraf.com/
Pembelian e-book • http://emall.karangkraf.com/
Laman web Alaf 21 • http://www.alaf21.com.my/
Laman Facebook Alaf 21 • http://facebook.com/alaf 21https://www.facebook.com/groups/251244108226976/