Friday, October 3, 2014

TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND. - Grup Buku Karangkraf

TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND. - Grup Buku Karangkraf

“Oh…balulah
ni?” Darren terkejut.



Dewi mengangguk. Berjurus lamanya Darren terdiam. Seolah-olah mindanya menuntut
seratus peratus energi untuk berfikir. Tidak disangkanya bahawa perempuan yang
berjiran dengannya selama ini sudahpun
berstatus balu. Terlalu muda. Itu yang buat dia tersentak.



Dia menyepetkan matanya merenung Dewi. Keningnya berkerut menganalisis. Usia sementah itu sudah ditinggalkan
suaminya? Seusia itu sudahpun merenangi
hidup yang begitu perih lagi cadas. Patutlah jubah rona gelap sering jadi
pilihannya. Masih berkabung agaknya…getus
hati Darren.



“Abang
ucap takziah,” ucapnya membuatkan Dewi membundarkan mata.



Takziah
saja…Mana ucapan Innalillahiwainna Ilaihi
Rajiun
nya? Tergeleng Dewi.



“Dewi
ada anak?”Sekali lagi, teragak-agak Dewi
mengangguk.



“Bolehkan, kalau abang panggil Dewi
saja?” Sekali lagi Dewi mengangguk. Dia
baru saja memberitahu lelaki itu yang dia sudahpun punya anak. Tetapi reaksi Darren tidaklah seterkesima dibandingkan ketika
diberitahu yang dia sudahpun bergelar
balu tadi. Hairan…



Namun
ada sekilas kilauan di matanya. Tersirat sesuatu yang tidak mungkin mampu difahami
Dewi. Sehinggalah Darren meluahkannya.



“Abang
perhatikan, Dewi ni seperti perempuan yang belum berumahtangga. Masih macam seorang
gadis. Jadi, tambah pelik rasanya bila Dewi mengaku dah ada anak,” lontarnya tersenyum.
Dewi benar-benar terpaku. Pandai lelaki ni
meneka. Psikiatris ke dia ni…? Hati dan
benak bersoal-jawab sendiri.



“Mana
abang tau? Oops…alamak…
Maksud saya, pandai-pandai je abang
serkap jarang. Saya ni kan balu. Mananya
gadis lagi?”



“Hmm…”
Tenungan Darren kian dalam. Menggali
sesuatu yang tidak muncul di wajah itu.



“Berapa
orang anak?” soalnya tidak bersedia. Lantas tersentap bila Dewi
menjawab sesuatu yang di luar jangkaannya.



“Dua
orang. Mereka tinggal di Asrama Puteri.”
Darren menguja nafas. Sangkanya seorang.  Rupa-rupanya dua! Meskipun dia tidak pernah
melihat ‘anak’ yang dikatakan itu. Sudah masuk asrama, maknanya sudah
besar. Di usia berapa agaknya gadis ini
berkahwin? Dia tercengang. Betul-betul tercengang. Otak yang keliru menghitung-hitung 
usia Dewi.



“13
tahun? 14 tahun? Ni nikah zaman Jepun
ni!” tertawanya dalam hati.



“Lain
kali kalau ada yang bertanyakan tentang anak-anak Dewi, jangan cepat
sangat
iklankan yang mereka tu tinggal di asrama. Mendedahkan tempat tinggal
anak-anak kepada
orang asing sangat besar bahayanya. Kan anak-anak tu tinggal berasingan
daripada kita? Apa lagi kalau yang bertanya tu menyimpan niat salah.”
Sekali lagi kata-katanya membungkam Dewi. “Penjahat ada di mana-mana
saja Dewi. Pandai-pandailah menjaga diri.
Sedangkan rakan sendiri pun semakin sukar untuk kita percayai sekarang
ni…Jangan sampai yang bertanya tahu Dewi tinggal sendirian, bahaya!”



Dewi
diam menatap wajah di depannya itu. Nampaknya jejaka ini gemar memberi tips tentang menjaga
keselamatan diri. Cukup bertanggungjawab
dan prihatin orangnya. Hatinya mengelopak indah. Pertemuan tadi itu sudah membuncahkan kegirangan. Dan
perasaan membara itu mengimarah ke  seluruh
petala hatinya.



Pun,
jujurkah Darren bila menasihatinya? Dia berasa sedikit aneh. Juga bimbang.
Sebelumnya, dia sudahpun terlepaskan
rahsia itu kepada Assad yang sungguh mencurigakan itu.



“Abang
ni anggota polis ke?” Mendengar itu,
terpacul tawa Darren. “Abang ni bekerja sebagai apa sebenarnya…” Tidak mampu lagi
mengekang debaran ingin tahunya, terus saja dia ke soalan fokal. Apa agaknya
pekerjaan lelaki di depannya ini? Penampilannya bukan sembarangan!



“Lupakan
isu tadi, makanlah. Abang ni berniaga secara kecil-kecilan saja. Ekspot belacan
ke Siam. Cukuplah untuk kais pagi makan
pagi…” balasnya menguntai senyum kecil.
Dewi terdiam. Merendah dirilah
pulak…bisiknya.



Mengambil
nafas, ditenungnya wajah Darren sewaktu mata lelaki itu berkalih kepada pelayan yang menghantarkan
hidangan ke meja mereka. Sedikitpun dia tidak percaya lelaki itu berniaga
belacan.



Akhirnya
bibir diketap bila terasa lucu yang teramat. Belacan? Siam?



“Terima
kasih…” ucap Darren kepada sang pelayan.
“Makan Dewi!” Aik… arahan atau menyilakan?



Dilihat
Dewi, Darren hanya menjamah sedikit saja
makanannya. Sudah memilih diam. Lebih
banyak melayangkan fikirannya. Mungkin yang
menyentuh perniagaannya. Mungkin juga
hal peribadi. Mungkin sedang berangan-angan. Lalu peluang itu digunakan Dewi
untuk menelusuri gerak-gerinya. Cuba
membaca bahasa tubuh lelaki itu. Memang dia seorang yang mampu menimbulkan
tanda-tanya kepada yang baru mengenali. Meskipun bukan tanda-tanya yang
menakutkan, seperti rakan serumahnya si Assad!



Ironinya
bila disuruh menemankan makan, alih-alih sidia
yang mempelawa bertukar menjadi pemenung pula di depan. Baru sahaja
ramah bertanyakan itu ini. Tetapi keadaannya
yang sedang termangu itu memberikan
peluang pula kepada Dewi untuk menghabiskan nasi ayamnya.



Sewaktu
hendak berpisah ke kereta masing-masing sekali lagi Darren menitipkan pesan.



“Lain kali jangan layan sangat rakan-rakan
serumah abang tu. Dewi sorang saja di rumah tu. Jadi, pandai-pandailah
jaga diri. Harus ingat, mereka tu semua lelaki. Sebaik manapun seorang
lelaki tu, mereka
tetap lelaki. Dewi fahamkan maksud
abang?” Dewi yang tersentuh hatinya hanya angguk dan memilih diam.



Baik
betul hatinya memberikan nasihat seperti itu kepadaku, akan aku jadikan azimat
nasihatnya itu...sukmanya sekali lagi tersentuh.



DI
RUMAH, dia membaringkan diri di sofa sambil menggambarkan di ingatan
akan wajah dan sikap Darren.
Seorang pemuda yang tidak banyak
cakap tetapi boleh pula bertukar semesra itu! Dia juga bersikap sopan
terhadapnya. Adakah dia sesopan itu juga dalam lingkaran
pergaulannya dengan wanita-wanita lain? Ciri-ciri jejaka idaman Malaya.
Apapun, pemuda itu tetap suatu enigma kepadanya. Lagilah dia bertambah
ingin mengenali
peribadinya…



Tidak
sampai setengah jam berbaring memikirkan Darren, dia terlena di sofanya.

No comments: