Saturday, September 27, 2014

TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND - Grup Buku Karangkraf

TAKKAN KULUPA /YOU'RE ALWAYS ON MY MIND - Grup Buku Karangkraf







BAB 11
“Hi…”
Dewi
berpaling.  Lama tergamam.  Larut dalam terkesima. Jantungnya berdegup  kencang.
Sukar
menggambarkan perasaannya di saat  itu. Bertembung
sekali  lagi dengan si dia yang cukup  signifikan dalam memorinya. Jujur, memang dia
sering terintai-intaikan jirannya yang seorang ini.  Hmm…
Manalah
dia sangka lelaki itu akan menegurnya lagi? 
Fikirnya, ‘chapter’ dia dengan
lelaki yang bernama Darren itu  sudah tamat.  Selepas tamatnya peristiwa  di suatu pagi itu. Langsung dia tidak
mengetahui yang  Darren sudahpun
pulang  dari Australia!  Ada perasaan berbuncah-buncah menggempur
dadanya..  Matanya terus dipaku oleh
wajah itu.
“Tak
ingat abang lagi ke…? Cepat sungguh awak lupakan kawan…” perlinya dalam
mengusik.  Masih membahasakan dirinya
sebagai ‘abang’. Untuk beberapa saat  bibirnya melirikkan senyum.
‘Lupa…?’
bisik nurani Dewi. Dalam keadaan masih terkedu  menatap wajah lelaki yang tiba-tiba saja
menjelma semula setelah sekian lama  itu.
Kelibat yang seolah-olah  berhalimunan di
antara batas-batas  waktu yang cukup
menguji  penantiannya. Kini betul-betul
di depannya.
Ditenungnya
lelaki itu yang berpakaian lengkap seperti hendak ke pejabat. Seluar berwarna
tanah dan kemeja lengan panjang rona kuning cair. Cuma tali lehernya saja
kelihatan terjulur keluar sedikit daripada poketnya. Spontan Dewi  tunduk menghakimi   pakaian yang membaluti tubuhnya sendiri.
Selekehnya
aku…dia berbisik walang.
Hanya
baju kurung murahan…kalaulah aku pakai cantik sikit…luah batinnya terkilan.
Terkilan kerana pakaiannya terlalu ‘simple’ ketika ditakdirkan bertembung
dengan Darren hari itu.   Kenapa harus
hari ini…? Dia mengeluh terkilan.
Ekor
 matanya memicing tali leher yang sedikit
terjulur dari poket seluar lelaki itu.
Kalau
promoter, canvasser atau jurujual,  jarang sekali menanggalkan tali leher jika
keluar makan seperti itu. Menjangka bila-bila masa sahaja atau di mana-mana
sahaja akan bertembung klien atau prospek baru.
Diperhatikan
Dewi, fabrik pakaiannya nampak sedikit bersinar diterjah cahaya Sang
Surya.  Pastinya  fabrik mahal…terteka-teka Dewi dibelenggu
kompleks inferior tiba-tiba.
“Lain
kali tak perlulah  nak beramah-tamah
sangat dengan mereka…” Kata-kata Darren yang 
terpacul tiba-tiba itu membuat Dewi  terpinga-pinga. Gagal meneka punca dan arah
kata-katanya itu. Tiba-tiba saja ungkapan sepelik itu terluah.  Berkerut-kerut dahi Dewi menatapnya.
“Mereka.  Err…siapa yang abang maksudkan?” Dewi lambat
menangkap. Darren mengetap senyumnya bila terbit  juga suara Dewi akhirnya.  Kepalanya menekur ke tanah, menarik
ingatannya pada  kata-kata Emir tentang   tiga
perempuan cantik dari rumah sebelah yang bertamu ke kediaman mereka.
Housemate abang tu.  Mereka tu, bukannya  mesra-jiran. 
Sia-sia saja jika berbuat baik dengan mereka.” Tiba-tiba dia ketawa
kecil. Teringatkan lakonan Emir seperti yang diceritakan Alegri kepadanya.   Fahamlah Dewi.  Bercakap tentang lawatan mengejut rakannya   Jasmina, Zulaikha dan Irene rupa-rupanya.
‘Cerita spaghetti & cubaan mengorat’ yang tidak menjadi hari itu. Huh!
“Oh…itu
ke?”  terdiam sesaat.  Berkerut-kerut  kening Dewi  cuba menjelaskan  apa  sebenarnya yang berlaku.
“Bukan
saya, tapi  rakan-rakan saya yang tak
semena-mena  teringin sangat nak berbuat
baik  dengan mereka.  Sebenarnya tengahari  tu  kami
ada buat jamuan sedikit.  Kami hulurlah  apa-apa yang  patut pada  jiran.  Tapi
saya tak campur  ‘misi kemanusian’  mereka tu . 
Pasal saya  dah boleh agak fi’il
kawan-kawan abang tu  tentu pongah dan  sombong. 
Harapkan muka saja macam innocent.”
Mendengar itu, Darren  memanjangkan
gelak-gelak halusnya. Lucu juga mendengar komen Dewi tentang rakan serumahnya.
“Jangan
percaya dengan apa yang dilihat  kali
pertama.” Dia berkias. Terdengar mengelirukan di telinga Dewi yang memang lurus
orangnya.
And furthermore, appearance can be deceptive…”
Dalam terasa lucu itu, sempat pula dia berteka-teki.
Dewi
membuka mulut hendak bertanya sesuatu, tetapi kemudian mematikan saja  hasratnya. 
Merasakan jawapan lelaki itu nanti  mungkin tidak mampu difahaminya.
 “Lain kali hati-hati. Bukan semua jiran tu
baik.  Kadang-kala tanpa kita sedari,
kita sedang  berjiran dengan musuh
sebenarnya. Kalau yang berjiran itu sebuah  keluarga, okey juga.  Tapi, inikan orang-orang bujang?  Tindakan kawan-kawan awak tu amat bahaya
sebenarnya Dewi.” Serius dia menuturkannya. 
Lama juga Dewi terdiam. 
Meneka-neka niat pemuda yang bernama Darren itu.
Jujurkah?  Atau sedang mengejek perbuatan kawan-kawannya
dulu?  Wajah tampan itu direnung. Jujur
dia mengakui bahawa dia  memang tertarik
pada wajah itu. Perasaan itu dirasainya sejak dia melihat aksi lelaki itu
mengganyang pemuda-pemuda yang mengancamnya dulu. Dengan tutur katanya yang
tidak pernah kasar, pandai mengawal emosi supaya tidak kecundang.  Cuma sikapnya yang  suka menyergah dan  tidak tahu memberi salam itu yang kurang
dipersetujui hatinya.  Kurang didikan
agama, mungkin juga.
“Temankan
saya makan?” Dewi yang terkesima  jadi separuh
ternganga. Tidak sangka akan dipelawa makan pula oleh Darren yang sering
membuat dia terpegun dan hatinya kecimbungan itu.
“Cuaca
panas…”Darren melangut ke awan yang tipis. Mengecilkan matanya memandang langit
yang tegar membiru. Dewi mengangkat kening agak lama. Tidak faham kenapa
Darren  menimbulkan isu tentang  cuaca tiba-tiba.
“Hidung
dan atas dagu awak tu berpeluh.  Sebab tu
saya ajak awak  ke restoran sana.  Dalam tu dingin,” senyumnya sambil menuding
ke restoran di antara rumah -rumah kedai di situ.  Fahamlah Dewi  maksud ceritanya tentang cuaca itu.
 Tidak sedar dia mengangguk.  Dia mengesat hujung hidungnya yang dikatakan
berpeluh itu. Kemudian tersengih-sengih mengekori lelaki itu.
Usai
 memesan makanan, lelaki itu melunjurkan
kedua-dua lengannya di meja.  Mata
berkilaunya fokus  ke wajah Dewi.
“Awak
bekerja Dewi?” Dewi mengangguk.
“Saya
ni kurang berpelajaran jadi, jawatan saya cuma kerani syarikat. Tempat kerja
saya pun  ada dekat-dekat sini saja.”
Darren mengangkat kening.  Kemudian
mengangguk. Terasa lucu pula dengan kaedah Dewi bermukadimah menjawab soalan
ringkasnya.
“Dewi
ni macam nama kaum India…” komennya  itu
membuat Dewi menyengih.
“Ibu
ambil nama seorang jiran. Ibu dengan jiran yang namanya Dewi tu memang  dah lama berkawan. Hinggalah dia peluk agama
kita. Malang nasibnya, bila orang kampong tak suka dia kerana nikah suami
orang. Lelaki tu   Imam Kampung kami, jauh lebih tua daripada dia.
Dia setuju kahwin pun kerana nak belajar agama Islam.  Memang perangai ibu saya suka buat kawan
dengan sesiapa yang tidak begitu disukai oleh orang lain.  Dia cepat kesian melihat  orang lain  dipulaukan. Mak cik India tu  selalu tolong ibu di kebun. Akhirnya terpaksa
juga dia pindah lepas suami dia mati. Dia takutkan madunya.”  Darren mengerutkan dahinya. Simpati juga dia
mendengar cerita Dewi.
Sejurus
terdiam, dia menyoal lagi.
“Dewi
saja?”
“Oh…nama
penuh saya Dewi Salsabila.” Darren mengangguk sekali.  Tertarik dengan  padanan dua nama itu.    
“Salsabila…?”
ulangnya bertanya.
“Kata
mak, tu nama salah satu mata air di syurga,” perjelas Dewi. Membuat Darren terdiam
sejenak.
Patutlah mataku
sejuk saja bila menatap  wajahnya.
Biarpun sekadar berjubah dan berbaju kurung.…berbisik hati Darren sambil
meneliti riak wajah Dewi yang kelihatan canggung-canggung  duduk di depannya.
“Sudah
berumahtangga?” Dewi mengangguk. 
Kemudian cepat-cepat menggeleng. Keliru. Akhirnya angguk  semula. Bila teringatkan  bagaimana dia pernah mengangguk pada Tok Kadhi
yang mengijab-kabulkannya dulu.
“Yang
mana satu?” Darren menahan senyum. Tubuhnya dianjak sedikit kebelakang.  Menyandar dalam posisi  sedikit mengiring. Dengan matanya yang
semakin fokus.  “Dah kahwin atau, belum
kahwin?  Kejap angguk, kejap geleng.”
“Saya
dah kahwin.  Tapi, suami dah arwah.”

No comments: